Sunday, July 26, 2009

Ahlan Wasahlan!

Alhamdulillah…baru-baru ini IPGM Kampus Dato’ Razali Ismail telah menerima sejumlah besar ‘warga’ baru yang datang dari seluruh pelusuk negeri. Seramai 264 orang pelajar telah mendaftar dan secara rasminya bergelar ‘Guru Pelatih’. Pada hari pertama pendaftaran mereka pada 13 Julai 2009 baru-baru ini saya dan rakan-rakan sekelas telah ditugaskan untuk mengawal lalu lintas dan menjaga parking bagi megelakkan kesesakan memandangkan pelajar-pelajar baru ini rata-ratanya akan datang mendaftar bersama keluarga dengan menaiki kereta. Suatu tugas rasmi bagi mereka yang menyertai unit beruniform ‘Kadet Remaja Sekolah’. Lantaran letihnya berdiri sambil berbumbungkan terik mentari itu telah membuatkan uniform yang dipakai itu lencun dengan deraian peluh, namun demi meraikan adik-adik baru itu, kami sanggup. (Walaupun, sepanjang tugasan itu saya terdengar juga keluhan dan rintihan ahli KRS =)


Oh ya..sepanjang Minggu Pengurusan Pelajar Baru (MPPB) kali ini, saya kurang melibatkan diri berbanding MPPB tahun lepas dan dua tahun lepas, sekadar menjadi AJK bawahan yang menurut arahan sang ketua. Berada dalam keadaan MENGARAH dan DIARAH banyak bezanya, saya dapat rasakannya memandangkan tahun sebelum ini saya bertindak sebagai Ketua dan sebahagian daripada Jawatankuasa Perwakilan Pelajar. Tahun ini? Terasa seperti mahu ‘berehat’...samaada terus PENCEN atau mengambil CUTI nanti saya pohon istikharah. Kecil atau besar peranan kita biar Allah s.w.t yang tentukan, kerana apa yang jauh lebih beerti daripada itu keikhlasan kita berkhidmat kepadaNYA.


Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada adik-adik kerana bakal menerima tarbiyyah seorang GURU. Menjadi seorang GURU bukanlah mudah kerana untuk menjadi seorang GURU PELATIH pun sudah agak payah. Anda perlu bersedia untuk menerima sebuah tatacara/disiplin hidup yang tidak diterima oleh kebanyakan rakan anda di universiti lain. Saya namakan ia sebagai ETIKA GURU. Bayangkan, anda perlu memakai tie, berkemeja lengan panjang serta ber’tuck’ in, berseluar slack, berkasut hitam sepanjang waktu kuliah sedangkan rakan anda di IPTA/S boleh sahaja mengenakan t-shirt round neck bersama sehelai seluar jeans yang ‘stylo’ untuk ke kelas! Lagi, ketabahan anda untuk menghadiri perhimpunan pagi seawal jam 7.30 pagi setiap hari, tentunya membuatkan diri anda terasa kembali ke alam persekolahan. Namun, itulah hakikatnya! Anda bakal bertugas di SEKOLAH! Lihatlah segala peraturan itu sebagai sebuah disiplin pembentukan diri ke arah sebuah perkerjaan yang sememangnya memerlukan peraturan itu untuk dijadikan sebuah rutin dalam hidup anda. Pakaian sekemas itu dan ‘PUNCH CARD’ seawal itu semuanya adalah wajib bagi seorang guru. Ya...tentunya jiwa remaja anda memberontak untuk bebas dari ‘kekangan’ ini, tapi apa yang perlu anda ketahui ialah jiwa remaja itu bukan DIMATIKAN tetapi ia sedang DIHIDUPKAN ke arah fasa kematangan yang baru. Itulah fasa kematangan seorang GURU.

Saya pasti, saat menerima tawaran untuk ke IPGM puluhan ucapan tahniah dan syabas anda terima dari sanak saudara, rakan taulan atas kecemerlangan itu. Mana tidaknya, daripada 60 000 permohonan untuk ke IPGM hanya kira-kira 8 000 sahaja yang diterima masuk. Barangkali, dalam keterujaan ini, ada dikalangan mereka melakukan majlis kenduri kesyukuran sambil menjamu penduduk sekampung. Tumbang seekor kerbau mungkin? =)

Sengaja saya bawakan dalam Tinta Al-Murabbi kali ini, bagaimana jika tawaran itu kita lihat dari sudut yang berbeza?

Mari kita imbas kembali saat-saat sewaktu Nabi Muhammad s.a.w menerima kerasulan. Usai menerima wahyu pertama dalam keadaan takut dan menggigil, baginda meminta Siti Khadijah supaya menyelimutkannya. Selepas beberapa ketika...nabi terlelap.

Pulang sahaja dari bertemu Waraqa Bin Naufal, dilihatnya Muhammad s.a.w masih tidur. Dipandangnya suaminya itu dengan rasa kasih dan penuh ikhlas, bercampur harap dan cemas.

Dalam tidur yang demikian itu, tiba-tiba ia menggigil, nafasnya terasa sesak dengan keringat yang sudah membasahi wajahnya. Ia terbangun, manakala didengarnya malaikat datang membawakan wahyu kepadanya:

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah dan sampaikan peringatan. Dan agungkan Tuhanmu. Pakaianmu pun bersihkanlah. Dan hindarkan perbuatan dosa. Jangan kau memberi, kerana ingin menerima lebih banyak. Dan demi Tuhanmu, tabahkan hatimu." (Al-Mudatstsir:1-7)

Siti Khadijah memandang Rasulullah s.a.w dengan penuh rasa kasih sayang, ada rasa sayu di hatinya. Didekati baginda perlahan-lahan seraya dimintanya, supaya kembali tidur dan beristirehat.

"Waktu tidur dan istirehat sudah tiada lagi, Khadijah," jawab baginda. "Jibril membawa perintah supaya aku memberi peringatan kepada umat manusia, mengajak mereka, dan supaya mereka beribadat hanya kepada Allah. Tapi siapa yang akan kuajak? Dan siapa pula yang akan mendengarkan?"

(Secebis petikan dari ‘Sejarah Hidup Muhammad s.a.w’ – Muhammad Husain Haekal)

Baiklah, jika diperhatikan, nabi juga menerima sebuah TAWARAN untuk menjadi seorang RASUL. Cumanya, tawaran ini tanpa pilihan, sewajibnya ia diterima sebagai utusan umat sekalian alam. ‘Pendaftaran’nya berlaku apabila Rasulullah s.a.w dipeluk erat Jibrail a.s untuk menerima wahyu pertama baginda di Gua Hira’. Bergelar Rasul Allah bukan suatu perkara yang mudah. Ia bukan sekadar sebuah gelaran malah ia datang bersama sebuah tanggungjawab dan amanah yang berat. Menyebarkan dakwah Islamiyyah di tengah-tengah kejahilan tegar masyarakat Arab ketika itu memerlukan kekuatan dari segala aspek. Sudah tentu, insan mulia bernama Muhammad s.a.w itu tahu bahawa cabaran yang digalasnya bukan calang-calang, ia menuntut sebuah pengorbanan yang maha besar. Apa yang menjadi galang ganti kepada pengorbanan menyebarkan kalimah Syahadah itu ialah harga sebuah kesenangan dan kemewahan dunia. Segala-galanya harus diketepikan apabila ia bertembung dengan tuntutan dari yang Maha Esa.

Adik-adikku sekalian, dalam menerima tawaran kenabian itu, langsung tiada ucapan TAHNIAH daripada ALLAH s.w.t! Jika tawaran yang anda terima datang bersama kos pengajian yang percuma dan elaun yang bernilai ribuan ringgit, namun tawaran yang Rasulullah s.a.w terima itu datang bersama PENARIKAN sebuah kesenangan dan kemudahan dunia! Rasulullah s.a.w yang sedang beristirehat diarah bangun oleh Allah s.a.w dalam wahyunya. Walhal, jika dibandingkan tawaran KEGURUAN dengan tawaran KENABIAN, sudah pasti tawaran KENABIAN itu punyai nilaian yang tidak terjangkau harganya.

Koreksi diri sedalam-dalamnya, apakah kita sudah bersedia untuk menerima tanggungjawab dan amanah sebagai seorang pendidik. ARKITEK BANGSA seperti kita ini memerlukan perincian dalam setiap tingkah laku kerana kita adalah Qudwah yang amat mempengaruhi minda dan tindak tanduk murid. Jatuh bangun sebuah generasi terpikul atas bahu kita. Jangan dipandang segala kemewahan yang diterima andai bertugas sebagai seorang guru, tetapi lihatlah tanggungjawab dan amanah yang perlu ditelan demi merubah generasi hari ini kearah generasi yang berada dalam keredhaanNYA!

Wednesday, July 22, 2009

Abang MAU ka???

Sengaja saya singgah sebentar ke pasar malam di kawasan stesen LRT Jelatek, sebaik sahaja selesai membeli tiket bas untuk pulang ke Terengganu pada esok hari. Hajat di hati, mahu mencari vcd @ dvd filem ‘Syurga Cinta’ . Tergerak rasa hati untuk menontonnya selepas membaca komentar Ustaz Hasrizal mengenai filem ini dalam blog beliau. Kata beliau, ada nilai dakwah dalam keseluruhan jalan cerita ini, maka saya sangat berkeinginan untuk mengetahui tahap keberkesanan dakwah itu? Mungkin boleh diaplikasi dalam ruang lingkup mad’u saya sendiri? Entahlah..baru-baru ini, ramai pula yang datang bertanya pendapat mengenai ‘Kisah Cinta’ mereka kepada saya. BUNTU saya jadinya! =P

Saya tidak terus kepada tujuan sebenar, sebaliknya saya mengambil kesempatan ini untuk berjalan-jalan (merayau-rayau) bagi melihat gelagat warga Kuala Lumpur di malam hari. Teriakan para penjual bercampur baur, masing-masing ligat mempromosikan jualan mereka. Ditambah dengan limpahan lampu neon yang mewarnai suasana pasar malam, membuatkan ianya tidak ubah seperti sebuah pesta jalanan. Saya sedikit terhibur dengan suasana begini. ‘Happening’ bahasa Inggerisnya.

Gambar Hiasan

Apa yang lebih menarik perhatian saya ialah para pembeli juga berebut-rebut mem’promosi’kan diri mereka. Ada yang bertindik bibirnya, ketat seluarnya, merah rambutnya, juga senteng bajunya. Saya hanya mampu menggeleng di dalam hati, kerana kalau digeleng secara fizikal/zahir menggunakan tengkuk ini ke kiri dan kanan, mahu patah jadinya leher saya! Terlalu ramai untuk digelengkan, sehingga gelengan yang sepatutnya berperanan di tengkuk, turun sekadar ke hati.

Mungkin inilah erti ISLAM dalam perspektif pengamalan kerohanian semata-mata. Hanya Solat, Zakat, Haji, Puasa sahaja yang bermain dalam minda mereka apabila diminta menterjemahkan apakah kaitan ISLAM dengan dirimu? Sedangkan, ISLAM itu prihal kehidupan seorang MUSLIM, tidur MUSLIM, makan MUSLIM, pakaian MUSLIM, berniaga MUSLIM, pendek kata segala-galanya adalah ISLAM. Ia sebuah lingkungan peraturan dalam kehidupan di dunia ini untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak. Gagal disini maka bererti GAGAL juga di SANA!

Saya singgah di sebuah gerai menjual VCD (cetak rompak atau original? Entahlah.. =). Mata saya mencari-cari kalau ada filem yang saya inginkan itu. Dalam kekhusyukan mencari itu, lalu...

“Abang..Mau ka? Baik punya!” kata seorang lelaki berbangsa Cina kepada saya. Terus, dia menghulurkan sekeping VCD kepada saya.

Tersentak saya, apabila dihulurkan VCD itu. Ianya ber’cover’kan gambar perempuan separuh bogel! VCD Lucah ni!! Jerit saya dalam hati.

Lalu, saya pandang wajah lelaki itu dengan seribu tanda tanya. Dengan selamba dan sambil mengenyitkan sebelah matanya, dia berkata “Mau lain ka? Korea? Jepun? Melayu takda la boss!”

Merah telinga saya menahan marah! Terus saya beredar meninggalkan gerai itu...mahu saja saya maki lelaki itu, tapi saya tahu..lelaki itu bukan berseorangan, sudah pun ‘ standby’ kaki-kaki pukul di luar sana untuk membalas dendam.

Usaha pencarian diteruskan, saya singgah di gerai yang lain..

Langkah saya terhenti di sebuah lagi gerai VCD, kali ini seorang lelaki Melayu, berumur lingkungan 40 an mungkin. Mata saya meliar mencari jikalau ada VCD ‘Syurga Cinta’ itu. ‘Takde pun...’ saya mengomel sendirian. Setelah lebih kurang 5 minit saya berdiri di situ, terasa bahu saya ditepuk..

‘Dik..cari yang XX punya ke?’ tanya lelaki Melayu itu. ‘Tunggu kejap boleh? Abang gi ambil stok dalam van..’ sambungnya lagi.

Geramnya! Lain yang dicari, lain pula yang ditanya! Saya genggam buku lima erat-erat. Secebis Iman yang masih ada itu dijadikan kekuatan untuk tidak melayangkan ia ke muka manusia yang boleh saya gelarkan ‘Pak Cik’ itu.

‘Ape ni bang? Melayu pun nak rosakkan Melayu ke?? Baik keje jadi pencacai tahi je dari jual benda haram!’ lancang mulut saya menyembur. Kali ini, saya betul-betul hilang sabar. (Biarpun jauh di sudut hati saya mengatakan:- ‘Mungkin dia ingat saya berbangsa Cina kot!?)’

Terus, saya beredar dan meninggalkan ‘Pak Cik’ itu terpinga-pinga. Ada raut kesal di wajahnya. Hilang niat asal saya untuk mencari filem itu. ‘Barqiya’ di hidupkan dan saya terus memacu ia pulang ke rumah.

Gambar Hiasan

Ya...saya akui, mungkin cara saya itu tidak betul. Setelah direfleksikan, maka saya katakan ia adalah sebuah tindakan yang bersandarkan emosi semata-mata, sepatutnya ia perlu melalui proses menenangkan diri untuk memilih reaksi terbaik, sungguh..terbit rasa sesal setelah difikirkan semula. Namun, jika dibandingkan, marahnya saya, geramnya saya, sedihnya saya, kecewanya saya dengan ‘pelawaan’ 2 kali itu, adakah ia masih punya nilai dengan rosaknya akhlak seorang MUSLIM jika menonton filem itu? Demi Allah s.w.t...tanyalah soalan yang sama pada diri kalian!

Bayangkan, berapakah harganya nilai AKHLAK seorang MUSLIM yang telah rosak akibat menonton filem LUCAH yang dijual di pasar malam dengan harga sekitar RM 5 sahaja?! Menitis air mata saya apabila terkenangkan perkara ini. Sidang pembaca, ingin sekali saya bertanya apakah reaksi kalian andai berada di tempat saya, ditawar untuk ‘menikmati’ maksiat mata yang mampu meransang syahwat sebanyak 2 kali?




Monday, July 6, 2009

Alam itu kan WASILAH...

Saya benar-benar letih…

Penat…Tersangat sangat penat…1-2 bulan kebelakangan ini, jiwa saya agak celaru dan haru-biru. Biasanya, apabila sesuatu masalah menimpa, saya akan cepat memotivasikan diri. Bingkas bangkit dari jatuh untuk meneruskan larian sebagai seorang Mujahid. Namun, ujian yang diturunkan Allah s.w.t kali ini bersifat jangka panjang dan bertimpa-timpa. Sesekali saya akui…saya tertewas jua. Saya tahu, saya tidak boleh hendak berterusan dalam keadaan ini, mana mungkin saya dapat meneruskan gerak kerja andai langkahan kaki sendiri pun masih longlai.

Soal penantian dan kesanggupan, soal wang, soal sahabat, soal exam, soal assignment, soal usrah dan bermacam-macam lagi persoalan terus membebani dan melingkari jiwa ini. Lantas, saya yang asalnya berlari, kemudian perlahan berjalan, kemudian tunduk merangkak, dan akhirnya duduk berhenti. Mencari-cari hela nafas yang hilang disebalik dengusan layu yang menimpa diri. Tercungap-cungap saya teruskan perjuangan ini. Saya kira, lama juga spirit yang terbang itu membawa diri. Entah dimana saya perlu cari gantinya? Sudahlah sayap hanya sebelah…

Petang itu, saya tekad membawa diri. Memacu laju ‘Barqiya’ ke sebuah ‘port’ yang saya rasakan dapat mendamaikan resah di jiwa. Myvi putih itu meluncur masuk kesebuah jalan kecil yang tidak bertar. Berhenti betul-betul di sebalik semak pokok-pokok. Destinasi ini memerlukan saya meredahi denai kecil ditemani pasir-pasir laut. Langkahan saya berhenti, dan bibir saya mengukir sebuah senyuman. Inilah dia ‘port’ saya@kami!



Mungkin, hampir 3 tahun saya duduk di kawasan Batu Rakit ini, saya boleh katakan saya sudah bosan dengan pantai, ombak dan laut. Hanya lima minit sahaja dari IPG dengan menaiki kereta kita akan dapat menyaksikan pemandangan laut yang sungguh mengasyikkan. Namun, sengaja saya ambil ‘port’ yang juga pantai berhampiran, tetapi teramat jarang dikunjungi manusia, mungkin kerana struktur geografinya yang agak tersembunyi.

Desiran ombak menyinggah telinga, bau laut yang neutral itu mengamankan lagi deria bau hidung saya! Lalu, saya bentangkan sejadah menghadap kiblat serta terus menunaikan solat sunat dua rakaat. Terasa damai sekali saat mengangkat takbir. Khusyuk itu hadir dengan sendirinya, seolah-olah ber’chemistry’ dengan bunyi-bunyi alam ini. Dalam sujud yang terakhir, saya menangis sepuas-puasnya menginsafi segala prilaku lemah ini. Usai salam yang kedua, saya duduk bertafakur berwirid panjang. Alunan tasbih saya laungkan separa kuat. Tahmid, takbir, istighfar bergilir-gilir membasahi bibir. Terasa bagai ada yang ikut sama berzikir. Angin sepoi-sepoi bahasa seperti menjiwai zikir yang saya alunkan, mungkin membawa ia terbang mencari spirit diri yang sebelumnya telah hilang. Berdoa..berdoa..dan terus berdoa, mohon agar suara insan kerdil ini dimakbulkanNYA.

Sebelum pulang, sengaja saya rapatkan diri ke tepian pantai, membiarkan kaki dibasahi air laut. Kemudian, saya menarik nafas sedalam-dalamnya. Lalu...

ALLAHUAKBAR!!! ALLAHUAKBAR!!! ALLAHUAKBAR!!!

Saya bertempik sekuat hati! Moga dengan cantuman zikrullah dan tempikan itu dapat membuang segala nilai-nilai lesu yang sedang membungkam diri. Kemudian, saya hadapkan wajah ke langit, dengan saki air mata yang mengalir, saya berselawat Syifa’, biarlah hati yang menelan pahit ini berjiwa luas seperti luasnya langit ini!!Ya Allah...saya pohon ditetapkan iman dan kekuatan agar terus dapat meniti di atas perjuangan ini!!

Myvi putih berundur meninggalkan perkarangan ‘port’ itu...

Insan...kau diciptakan bersama dengan tumbuh-tumbuhan yang mekar hijaunya, laut yang membentang birunya, langit yang kepalang luasnya...semua itu Allah s.w.t ciptakan untuk kau hayati nilainya, renungi iktibarnya. Ambillah ia sebagai wasilah andai diri sedang mengerang...perit yang datang dari sakitnya rohani.

ربنا ما خلقت هذا بطلا سبحنك
Erti:- Wahai Tuhan kami! Tiadalah Engkau ciptakan alam ini dengan sia-sia sahaja, Maha sucilah engkau! (al-Imran:191)

“ Inilah sentuhan pertama yang menyentuh hati para Ulul Albab yang berfikir pada kejadian langit dan bumi dan kejadian pertukaran malam dan siang. Ia menyentuh mereka dengan kesedaran beribadat, berzikir dan berhubung dengan Allah s.w.t. Inilah sentuhan yang menerapkan ke dalam hati mereka kebenaran yang tulen yang wujud pada sistem alam ini lalu terkeluarlah dari lidah mereka ucapan tasbih yang memuji Ilahi."( Asy Syahid Syed Qutb – Fi Zilal Quran)

Alhamdulillah...hasilnya, saya sudah bersedia untuk kembali ke medan perjuangan. Biarpun, terpaksa dimulakan dari garisan permulaan. Sekurang-kurangnya saya sudah mengenal duri mana yang terpaksa dielak, ranjau mana yang perlu dilompat! Artikel ini khas untuk mereka yang sedang berada dalam era kejatuhan! Kuatkan azam, tegarkan diri! Ayuh..BANGKITLAH wahai MUJAHID/AH ISLAM!

P/S: Entri ini ditulis pada pertengahan bulan MEI, sengaja saya tidak post kan, kerana menunggu masa yang sesuai. Feeling? Hmm..mungkin?hihi

Wednesday, July 1, 2009

Pandangan Manusia VS Pandangan Allah s.w.t

24 Jun 2009

“Rip, hang boleh sampaikan kuliah maghrib masa program Bina Insan Guru nanti tak?” pinta Wafiy. Dalam program anak angkat semester ini, dia ditaklifkan sebagai Ketua Kerohanian.

Hampir tersedak Mee Hoon yang sedang saya kunyah ketika itu. “Aiseh..xdak orang lain ke? Asyik aku je..” luah di hati, tapi bisu di bibir.

“Hari apa?Di Mana?” tak sanggup rasanya menolak pelawaan seorang sahabat. Biarlah, mungkin ini peluangku untuk berjasa kepada penduduk kampung.

“Hari Jumaat, di Masjid Kg. Kasar..Boleh kan?” tanya Wafiy lagi.

“Hmm..kalau camtu, aku kena tolak tawaran M.C malam forum bicara pemimpin tula.” Ujar saya.

Selepas membuat panggilan kepada saudara Ridzwan bagi memberitahu pembatalan tersebut, saya terus bersetuju untuk pelawaan kuliah Maghrib itu.

25 Jun 2009

Malam bacaan Yassin dan Tahlil, Masjid Kampung Kasar, suatu halaqah besar dapat dilihat. Rata-ratanya dipenuhi oleh peserta BIG (program anak angkat).

“Rip, bile nak potong rambut tu? Dengan kopiah kau ni, dah macam ustaz Akhil Hayy dah nampaknya” tegur Syadid seusai bacaan tahlil.

“Hehe..mana ada, ustaz Akhil Hayy tu lagi panjang..standardlah ni.” Ujar saya mempertahankan diri.

“Jadi ke Kuliah Maghrib sok? Aku tanya orang kampung, diorang kata esok malam selalu ada ustaz yang bagi kuliah.” Ujar Syadid.

“La..betul ke? Bagus jugak kalau macam tu hehe..Lego hati den..” saya menyatakan kelegaan.

26 Jun 2009

Selesai solat Subuh, saya dan ‘adik-adik’ angkat yang lain bersarapan bersama Abah angkat kami, Haji Ramli.

Entah mengapa, saya seakan tidak berpuas hati dengan kenyataan Syadid semalam, sengaja saya tanyakan soalan kepada abah yang juga Bilal Masjid Kg. Kasar.

“Pok, malam ni ada ustaz kan yang mengajar kuliah Maghrib di Masjid?”

“ Selalu memang ada, tapi kita dah telepon ke dia, sebab ada program anak angkat ni, jadi dia dok mari la..” balas abah.

Terkejut saya jadinya! Macam chipsmore! Sekejap ada, sekejap tiada! Sudahla…adeyh~. Terus saya mencapai buku Telaga Budi, karangan Tuan Guru Nik Aziz untuk dicari beberapa ‘point’ penting untuk menjadi ‘teman’ kuliah Maghrib malam ini.

Sekitar 7.00 malam, dengan kaki yang belum sembuh sepenuhnya, terhencut-hencut saya berjalan kaki menuju masjid. Amanah tetap amanah. Janji tetap janji! Selagi terdaya saya akan penuhinya andai tiada aral yang melintang. Selesai wirid solat Maghrib, satu lagi ‘Chipsmore’ yang terjadi! Masjid yang semalamnya penuh dengan peserta BIG, hanya tinggal beberapa orang-orang tua kampung yang termasuk beberapa orang tutor kami. Kira-kira 9 orang kesemuanya, itu muslimin, yang muslimat saya tidak tahu.



Kecewa? Tidak! Soal kehadiran ini, juga soal hidayah yang Allah s.w.t turunkan kepada hati manusia. Walau segagah mana sekalipun tubuh seseorang Muslim itu, tapi andai tidak diberikan Allah s.w.t, hidayah untuk hadir, maka siapa lagi yang punya kuasa untuk menggerakkan batang tubuh itu? Saya sendiri akui, ada di kalangan kami yang rumahnya jauh dari Masjid. Malah ada di kalangan keluarga tidak mempunyai sebarang kenderaan sekalipun. Maka, atas masyaqqah itu, saya tidak menyalahkan mana-mana pihak sekalipun. Bersangka baik adalah senjata terbaik bukan bagi mengelakkan perasaan mazmumah iaitu syak wasangka menguasai diri?

Alhamdulillah, kuliah Maghrib itu berjalan dengan lancar dengan izin Allah s.w.t. Saya banyak menekankan mengenai kepentingan ukhwah, perbezaan pandangan manusia dengan pandangan Allah s.w.t. Saya cuba menyampaikan kepada pendengar mengenai peri penting kita mengejar pandangan Allah s.w.t berbanding kita mengejar pandangan manusia. Manusia hari ini banyak yang hanyut ketika berlumba-lumba berenang mengejar material duniawi. Bagi mereka, mengumpul sebanyak mungkin material itu, akan memartabatkan darjat mereka pada sisi pandangan manusia.

Persaudaraan pada pandangan manusia tidak lebih dari hubungan darah daging semata-mata. Hanya kasih pada yang bertalian darah. Lupa bahawa kita semua berasal dari Adam dan Hawa yang sama! Namun, pada pandangan Allah s.w.t, persaudaraan itu diluaskan lagi di atas satu tunjang aqidah dan matlamat yang sama. Kita berukhwah kerana Allah s.w.t, dan kita berpisah jua kerana Allah s.w.t. Itulah ukhwah Islamiyyah. Pada pandangan manusia mereka mulia kerana darjat, pangkat dan harta, tapi disisi Allah s.w.t, muslim itu mulia kerana ketaqwaannya.


Sengaja saya simpulkan kuliah saya dengan petikan kata-kata Tok Guru:-

‘Sebagaimana tubuh atas dunia ini berkehendak kepada makan dan minum, maka roh juga berkehendak kepada makan minum. Untuk makan dan minum di dunia ini kita terpaksa menggunakan duit untuk membeli beras, petrol, bayar sewa rumah dan lain-lain. Tapi duit tidak lagi laku bila sahaja kita masuk ke dalam kubur. Duit Ringgit, Dollar Amerika, Jongkong Emas pun tak laku. Yang laku hanyalah pahala!’

Mudah bukan konsep mata wang ini? Kalau di dunia, kita berkira-kira untuk menyediakan wang bagi memenuhi keperluan hidup. Tapi adakah kita pernah berkira-kira berapa banyak pahala untuk memenuhi Mizan Allah s.w.t untuk ke syurga? Ingat! Kalau di dunia, duit bertimbun-timbun itu dapat menyelamatkan kita dari sebarang kecelakaan dan bala, namun di akhirat kelak cubalah hulurkan duit itu sebagai tukar ganti kepada syurga. Nilainya? Entah..mungkin anda boleh fikirkan untuk saya?

Titik tolak kebijaksanaan manusia ialah bagaimana dia menggunakan material dunia itu untuk mencapai Redha Allah s.w.t, bagaimana dia berhubung sesama manusia untuk mengeratkan lagi perhubungannya dengan Allah s.w.t. Kan saya sudah beritahu, bijakSANA! Jangan sekadar bijakSINI. Silalah mengambil berat dengan tempat jatuh pandangan Allah s.w.t itu…

P/S:- Dialog-dialog diatas adalah antara set Induksi yang paling panjang pernah saya tulis!Maaf jika ia sedikit mengarut =)

:-27 Jun 2009?Oh..sengaja tidak disenaraikan, terlalu banyak yang bersifat peribadi (^_^)