Sunday, July 25, 2010

Yatim Itu Tarbiyyah


“ Ok…hari ini kita akan belajar Sirah nabi s.a.w, dibawah tajuk ‘Kehilangan Ibu dan Bapa Tersayang’. Siapa boleh bantu ustaz, siapa nama bapa nabi s.a.w?” ujar saya kepada murid tahun 2 Bestari.


Setelah ber ‘PRAKTIKUM’ lebih kurang 3 minggu di S.K Maras, saya semakin serasi dengan telatah mereka. Ada masanya saya lebih bersifat demokratik, dan ada kalanya saya akan bersifat tegas dan garang. Inilah caranya mendidik...reaksi guru, biar kena pada tempatnya.


“Saya! Saya!” kata Faqeh, mengangkat tangan sambil menjungkit-jungkitkan kakinya.


“Ha, Faqeh…siapa?” saya memberi kebenaran untuk dia menjawab.


“Err…Abdullah kan ustaz?”


“Aik? Tanya ustaz balik pulak? Betullah jawapan kamu tu. Nama bapa nabi Abdullah. Bagus…bagus…tepuk tangan untuk Faqeh!” bergema seluruh kelas meraikan semangat Faqeh.


Faqeh tersenyum, bangga barangkali diberi penghargaan. Inilah namanya PENEGUHAN POSITIF, ianya bersifat lebih alami dengan mengiktiraf kelebihan manusia.


“Baiklah…sekarang ini…ustaz nak memperdengarkan sebuah nasyid, semua pasang telinga ye..dengar betul-betul lirik dia.”


Raihan – Nabi Anak Yatim


Muhammad Muhammad Muhammad Mustafa
Ibunya bernama Aminah
Ayahnya bernama Abdullah
Dilahirkan di Makkah Mukarramah
Ibu susunya Halimatus Sa'adiah

Ayahnya meninggal dunia
Tika nabi di dalam kandungan
Alangkah sedih pilunya
Ibunya menjaga baginda
Muhammad Mustafa

Semasa di dalam perjalanan
Pulang dari maqam suaminya
Aminah jatuh sakit di Abwa'
Kembali ke alam baqa'

Tinggallah nabi seorang diri
Hilanglah insan yang dikasihi
Tinggallah nabi seorang diri
Mengajarnya hidup berdikari

Anak yatim anak yang mulia
Dilindungi Allah setiap masa

Terpadam api di biara Majusi
Runtuhlah istana Kisra Parsi
Mekah diterangi cahya putih
Tanda lahir Nabi anak yatim

Anka yatim anak yang mulia
Dilindungi Allah setiap masa

Hidupnya yatim, yatim piatu
Tiada ayah tiada ibu
Namun dialah manusia agung


Sebaik sahaja nasyid tersebut didendangkan, seluruh kelas menjadi sunyi sepi, masing-masing ‘ghalit’ mendengar bait demi bait. Saya sendiri…khusyuk menghayati lagu yang popular sekitar tahun 1999 ini.


Entah dari mana ianya datang, perasaan terharu dan sedih menyelubungi diri saya. Mengenang diri nabi s.a.w yang telah pun kehilangan kedua ibu bapa baginda seawal usia kanak-kanak. Sebenarnya…lebih tepat lagi, saya terkenangkan arwah abah! Bertakung air di kelopak mata saya, tidak sempat di sapu…ianya telahpun jatuh ke bumi.


Usai sahaja lagu itu dimainkan…


“Dah dengar? Nabi s.a.w sejak kecil lagi, Allah s.w.t telah mematikan kedua-dua ibubapa baginda. Nabi sebenarnya ANAK YATIM!” ujar saya dalam nada bercerita.


“Siapa dalam kelas ini pernah kehilangan ibu atau ayah?” soal saya umum kepada seluruh kelas.


“Khadijah! Khadijah!” jawab murid sambil menunding jari ke arah orang yang dimaksudkan.


“Ok..ok..kalau kamu nak tahu, ustaz pun anak yatim juga, ayah ustaz meninggal dunia tiga tahun lalu.” Terasa dada dihurung sebak apabila membuat penyataan ini dihadapan anak murid sendiri.


“Yeke ustaz? Ayah ustaz sakit apa?” celah Alimin bersama persoalannya.


“Kanser…” jawab saya memudahkan bicara.


“Ooo..”


“Ustaz nak minta tolong boleh? Ustaz minta kamu semua sedekahkan Al Fatihah kepada abah ustaz dan ayah Khadijah, semoga roh mereka berkumpul bersama roh orang beriman, boleh?” soal saya.


“Boleh!!” sorak mereka separa menjerit.


“Terima kasih…Al Fatihah!” saya memulakan bacaan sambil menadah tangan.

Seluruh kelas bergema…


“ Bismillahirrahmanirahim. Alhamdulillahi Rabbi Alamin..” sungguh…tulus doa mereka. Doa dari mereka yang belum lagi ditaklifkan sebarang tanggungan orang yang sudah Mukallaf. Harapnya, masih bersih dan suci.


Ketika ini, saya merasakan sangat bersyukur, dikurniakan Allah s.w.t anak murid yang sudi mendoakan kesejahteraan roh arwah abah disana.


“Ya Allah…andainya KAU sisihkan doaku untuk arwah Abah mungkin kerana aku bukanlah ANAK yang SOLEH, namun…aku pohon padaMU, terimalah doa mereka, terimalah doa mereka. Mereka yang masih Mulus ini..” hati saya bermonolog sendirian.


Bukan Kecacatan


Kata Dr. Said Ramadhan Al Bouti dalam karangannya, Fiqh Al-Sirah:-


“Hikmah Ilahi yang mahukan Rasulullah s.a.w hidup dalam keadaan yatim piatu. Hanya pemeliharaan dan jagaan Allah s.w.t sahaja dapat menjauhkan tangan-tangan yang cuba memanjakan baginda, menjauhkan baginda dari wang, harta kekayaan dan yang cuba memewahkan kehidupan baginda. Hal ini berlaku supaya jangan timbul di jiwanya semangat kebendaan atau gilakan pangkat”


“Oleh itu, segala-galanya (keadaan) tidak mendorongkan baginda ke arah duniawi, yang mungkin mengelirukan antara KENABIAN dengan DUNIAWI. Agar tertutup mulut manusia yang mengatakan KENABIAN itu sengaja dibuat-buat untuk mencapai tujuan DUNIAWI.”


Ya…menjadi yatim bukanlah sesuatu kekurangan, sebaliknya ia adalah sebuah PELUANG.


Sebuah PELUANG untuk merasai apa yang Rasulullah s.a.w alami bergelar si YATIM PIATU.


PELUANG untuk BERDIKARI dalam meniti apa yang disusun oleh Allah s.w.t dalam TarbiyyahNYA kepada kita..si Yatim.


Jangan menangis…


Jangan beralasan…


Jangan merungut…


Hanya kerana kita GAGAL melihat sisi baik menjadi seorang YATIM! Mari…Kita harungi kehidupan ini dengan SEMANGAT RASULULLAH s.a.w. Biarpun YATIM namun, Rasulullah s.a.w adalah manusia AGUNG sepanjang zaman!


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).”


(Direkodkan oleh Bukhari)

Monday, July 19, 2010

Antara Kita =P

Sungguh...lagu ini saya ter'sangkut' padanya adalah kerana cara penyampaian muzik yang kreatif. Kemudian barulah di teliti isi lagunya =) Hampir-hampir sahaja saya mahu 'ter'menari kerana terasyik dengan alunan muziknya.

Menyelitkan mesej kesamarataan manusia di sisiNYA. Memberitahu kepada kita manusia tidak hebat dengan harta, pangkat dan wang. Namun, nilai manusia adalah pada ukuran ketaqwaanya pada Allah s.w.t. Maka, atas dasar apakah kita punyai hak untuk menCEMARI UKHWAH antara MUSLIM yang sepatutnya diperlihara dan dibela? Demi Allah s.w.t, manusia itu hanya mulia dengan ISLAM! Sidang pembaca, terimalah...

Far East - Antara Kita

Awan berarak megah penuh ceria
Pohon melambai indahnya alam maya
Kita bersama menggapai kejayaan
Berganding bahu mara ke hadapan

Walaupun kita berbeza rupa warna
Pangkat dan harta mahupun rumpun bangsa
Kita semua adalah sama sahaja
Di sisi Nya Allah Yang Esa

Oh tiada?jurang kita
Antara kita adalah sama sahaja
Nilai kita hanya taqwa
Sebagai ukuran kehidupan dunia

Silaturrahim dibina
Ukhuwah yang dijaga
Mekar teguh mewangi dan sempurna
Berasaskan keimanan, jalinan kemesraan
Di bawah satu arah perjalanan

Di Timur jauh panorama terbentang
Rimba tropika mendamai suasana
Hormati insan dengan kasih dan sayang
Negara makmur rakyat sejahtera

Antara kita adalah sama sahaja


Selamat Berukhuwwah Semua!

Sunday, July 11, 2010

Kurangkan Perhubungan...Cepatkan Pernikahan

Sejak dibenarkan untuk menggunakan ‘Barqiya’ sepenuhnya bagi tujuan pengangkutan, jarang sekali saya pulang ke rumah dengan menaiki bas. Namun, dek kerana merasakan kepulangan kali ini hanya untuk dua hari sahaja, maka saya berkeputusan untuk menggunakan khidmat Bas Sani Express. Tambahan pula, tiada yang sudi untuk meneman perjalanan pulang saya jikalau menaiki kereta. Rasa keseorangan pula nanti =P


Bas dua tingkat itu tiba tepat pada masanya di Perhentian Bas Kuala Terengganu. Usai meletakkan beg di bahagian bawah, saya menaiki tingkat atas bas bagi mencari ‘single seat’ yang ditempah kelmarin. Sebaik sahaja punggung dilabuhkan, handphone pula berbunyi menandakan ada mesej masuk.


Sebaik dibuka, saya tersenyum kambing seorang diri. Mujur duduk single seat, kalau double, tentu orang di sebelah memikirkan saya ‘kurang waras’ senyum sorang-sorang di hadapan handphone. =)


Mana tidaknya, mesej sampai dari seorang sahabat lama yang dikenali sejak bangku sekolah lagi. Ditambah lagi dengan sebuah soalan unik secara tiba-tiba ditujukan kepada saya. Bunyinya lebih kurang begini:-


“Salam..rep..ak nk tnya ko sket ni…ape tanda seorang lelaki MUSLIM serius membina sebuah perhubungan dengan seorang perempuan MUSLIMAH?”


Saya mengeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum. Otak saya pula ligat memikirkan apakah skema jawapan yang hendak diberikan. Sejak bila pula saya punyai kepakaran mengenai hal-hal sebegini? Kahwin pun tak lagi =P


Jika ditanya apa tanda seorang PAKWE serius membina perhubungan dengan seorang MAKWE, makanya saya akan terus berkeputusan untuk tidak membalasnya, kerana saya sendiri tidak tahu apakah jawapannya. Kerana saya sendiri tidak yakin sama sekali adanya KESERIUSAN dalam perhubungan yang mereka bina itu.


Namun, soalan yang dilontarkan ialah lelaki MUSLIM dengan perempuan MUSLIMAH. Menunjukkan masing-masing punyai iltizam untuk membina hubungan berdasarkan syara’, bedasarkan kadar pemahaman masing-masing terhadap ISLAM. Sebuah anggapan yang saya kira berasas, memandangkan ianya diambil kira juga dari sudut peribadi sahabat saya itu. Alhamdulillah…beliau yang saya kenali…ISTIQAMAH dengan ISLAMNYA.


Jari jemari saya menari-nari di atas permukaan papan kekunci QWERTY sambil membuang pandangan ke luar bas. Apa yang ada hanyalah kepekatan gelapnya malam, suasana ini langsung tidak membantu bagi menjana otak saya memikirkan jawapan bagi persoalan ini.


Lalu saya mula menaip…


“Ape yg bersandar pd sebuah perhubungan sebelum pernikahn itu hanyalah CINTA semata-mata, tp pd sebuah ikatan penikahan itu ada padanya CINTA dan TANGGUNGJAWAB. Jd, jika MUSLIM itu benar-benar serius dgn seorang MUSLIMAH, die ptt bersedia utk TANGGUNGJAWAB itu, bukan skadar cinta semata-mata. Sblm pernikahn, dia akan MENGURANGKN PERHUBUNGN dan CUBA MEMPERCEPATKN sebuah ikatan yg sah di sisi syara’. MUJAHADAH menjaga sebuah perhubungan itu tanda kesediaan utk menampung sebuah tanggungjawab pernikahan.”


(Maaf, saya mengekalkan ejaan sms untuk keaslian mesej)


Kredit untuk Ustaz Hasrizal kerana menghasilkan sebuah buku yang sengaja saya nukilkan sedikit konsep darinya untuk ditaip kedalam ruangan mesej itu tadi. Saya kira, ikon seperti ini sudah diketahui umum kepakarannya mengenai cinta di khalayak ramai. Walaupun pendek, namun saya kira sampai maksudnya.


Ikhtilat Sebelum Nikah


Ikhtilat (perhubungan) adalah sesuatu yang agak sukar untuk dibendung. Lebih-lebih lagi dalam dunia globalisasi tanpa perbatasan ini, segala jenis alat komunikasi membolehkan kita berhubung dengan mudah. Serba sedikit ianya membantu penyuburan maksiat di sisi mereka yang JAHIL, hanya memanfaatkan akan keburukannya. Malah, saya sendiri akui, terkadang ketika berurusan dengan berlainan jantina, saya terlanggar batas yang sepatutnya. Berbual, bergelak tawa atau bergurau berlebih-lebihan. Hanya Istighfar yang beruntai di bibir tatkala hati memberi signal kepada otak bahawasanya ini HARAM!


Pengalaman berada lebih kurang sebulan menuntut di Darul Quran menceritakan bagaimana penjagaan ikhtilat itu dijaga rapi melindungi para Huffaz Al-Quran ini. Suatu ketika, saya terlihat seorang Muslimin berurusan dengan dua orang Muslimat di sebuah tempat khas yang terbuka serta bertabirkan langsir. Yang kedengaran hanyalah suara berbincang mengenai perkara yang diperlukan. Ianya adalah sesuatu yang sangat janggal bagi anak jati Kuala Lumpur seperti saya yang rutinnya ‘melihat’ secara ‘live’ bagaimana kerosakan dan kebebasan sosial menjadi semakin sadis martabatnya.


Itu cebisan pengalaman lama yang masih tersisip kemas di ingatan empat tahun dahulu, sebelum saya mengambil keputusan untuk berpindah ke IPG k DRI. Memberitahu kepada saya masih wujud lagi alam institut pengajian tinggi di Malaysia ini yang masih tegar memelihara sunnah komunikasi yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w buat kita. Lain benar keadaannya, di sini…di Insititut Perguruan kampus Dato’ Razali Ismail ini. Perhubungan itu dibuka seadanya, membiarkan pelajar menilai sendiri apakah ‘haya’ (malu) itu masih bertakung di jiwa atau sudah luput ditelan nafsu. Bagi yang kuat, Alhamdulillah, mereka mengharunginya dengan baik, namun ramai juga yang kecundang dengan tuntutan nafsu, menuntut agar diabaikan sahaja komunikasi kolot seperti ini.


Seorang MUSLIM yang baik itu seharusnya tahu dan sedar bahawa, perhubungan yang dibina bersama dengan seorang MUSLIMAH itu adalah salah satu lubang halus yang boleh menjerumuskan mereka berdua ke lembah kemaksiatan. Andai tidak ditadbir dengan baik berlandaskan Al-Quran dan Sunnah, maka mereka akan tergolong bersama mereka yang dilaknat oleh Allah s.w.t dalam firmannya. Matlamatnya sangat TEPAT, menuju gerbang perkahwinan di bawah naungan keredhaan Allah s.w.t. Tetapi kaedahnya? Masih ramai yang KABUR, menjadikan jalannya itu tidak JELAS.


Jesteru, perbanyakkan bacaan dan kerapkan bertanya kepada mereka yang tahu dan mampu. Saya tidak berniat untuk mengulas panjang satu persatu mengenai etika perhubungan sebenar antara MUSLIM dan MUSLIMAH yang bukan mahram serta perbatasannya. Semuanya anda boleh rujuk sendiri dengan mudah dengan menaip perkataan ‘IKHTILAT’ di ruangan carian Google. =)


Ingatlah, andainya anda membuka seluas-luasnya urusan ikhtilat ini bersama pasangan anda, maka secara tidak langsung anda telah mendedahkan diri kepada FITNAH yang bisa mengundang amarah Allah s.w.t. Pesan saya, bezakan sendiri antara KEPERLUAN dan KEHENDAK dalam komunikasi bersama pasangan. Jika ianya KEPERLUAN, maka turutilah sekadarnya dalam keadaan SEDAR dan punyai IMAN di JIWA. Namun jika ianya KEHENDAK, maka berhati-hatilah, rungsing kedua-duanya TIDAK SEDAR lalu terbukalah apa yang sepatutnya dihijabkan antara mereka. Tatkala itu, hilanglah haya’ (malu) yang seharusnya mendasari perhubungan mereka.



Tanggungjawab bernama NIKAH


Ya…bukan mudah menanggung MUJAHADAH CINTA ini. Kita bukan pasangan PAKWE dan MAKWE yang melata melakukan kemaksiatan seperti yang anda lihat hari ini. Kita adalah DAIE! Sudah tentu gaya perhubungan kita bertentangan dengan mereka. Jika tidak…apa bezanya kita dengan mereka?


Panahan cinta itu bukan sebarangan panah, ianya panah alami yang menuntut kehendak fitrah. Bukan 1-2 kes yang boleh kita lihat, para daie yang kecundang dengan dunia per ‘couple’ an ini dan akhirnya futur (tercicir) jauh…semakin jauh…


Saya akui…tempoh sebelum pernikahan itu sangat mencabar untuk ditempuh oleh kedua-dua pihak. Bukan sekadar cakap kosong. PENGALAMAN itu pernah menjadi guru saya, kini…ia masih lagi seorang guru yang tegar.


Justeru, seruan saya, CEPATkan PERNIKAHAN.Pernikahan itu bersamanya dua perkara iaitu TANGGUNGJAWAB dan CINTA. Kedua-duanya punyai peranan yang sama besar, sama penting. Cinta tanpa tanggungjawab itu BUTA, dan TANGGUNGJAWAB tanpa CINTA pula adalah PAKSA. Boleh jadi ianya berjalan berseiringan, dan boleh jadi ianya tidak seimbang. Lumrah jika salah satunya itu berkurangan a.k.a senget sebelah. Ia akan menampung antara satu sama lain andai berlakunya ketirisan salah satu daripadanya. Namun, ianya jadi bahaya apabila salah satu daripadanya HILANG dan GHAIB! Sungguh...cacat pernikahan itu biarpun tanpa salah satu daripadanya.


Tanggungjawab dan Cinta, kedua-duanya memerlukan PERSIAPAN rapi, siap dan siaga dalam segala aspek. Pertimbangkanlah tempoh yang secukupnya bagi diri anda menerima kedua-duanya dengan ikhlas dan jujur. Bukan kerana paksa..dan terpaksa RELA. Isikanlah diri dengan ILMU dan KEMAHIRAN yang sewajarnya. Bayangkanlah seekor ketam yang berjalan bengkok, mampukah mengajar anaknya berjalan lurus? Anda adalah MUJAHID! Bakal melahirkan anak kecil yang berpotensi untuk menyambung perjuangan MUJAHID seperti anda. Mana mungkin itu akan terlaksana jika anda sendiri masih longlai ilmunya mengenai ilmu kekeluargaan?


Ingin saya tekankan, CEPATKAN PERNIKAHAN itu, bukan sekadar tin kosong, bunyinya kencang, namun isinya tiada. Kayu ukur kesediaan dan persiapan itu anda sendiri yang tentukan. Siapa, bila dan dimana.


Namun, andai ada kesulitan untuk mempercepatkannya…gunakan sahaja tips ini:-


Kurangkan seminimum mungkin perhubungan anda bersama pasangan, berkomunikasi hanya bila perlu, sibukkan diri dengan usaha mempercepatkan pernikahan itu. Insya Allah…anda tidak akan sedar masa itu berlalu dengan pantas~ Bukan sedikit…nilai MUJAHADAH anda ini balasannya adalah SYURGA!


BERSEDIAKAH ANDA?


Wallahu ‘alam.

Saturday, July 3, 2010

TARBIYYAH…suatu PROSES, bukannya SISTEM


Saban hari, para du’at perlu memikirkan bagaimana mahu meneruskan kelangsungan perjuangan dakwah mereka. Sinergi ini penting bagi memastikan tidak terjadinya KEMANDULAN dalam medan ini. Dakwah ini memerlukan kepada suatu usaha yang berpanjangan dan berterusan, ISTIQAMAH…itu kata kuncinya.


Mungkin ISLAM itu tidak tertegak pada hayat kita…Namun pada HAYAT pejuang-pejuang akan datang…


Mungkin ianya MEGAH pada HAYAT GENERASI akan datang, ketika itu...HAYAT GENERASI kita sudah lama dimamah ulat...


Mungkin SYIAR itu TIDAK berkibar pada tahun ini, mungkin 5 tahun akan datang, 10 tahun akan datang, 35 tahun? 50 tahun? 100 tahun mungkin?


Bila? Biarlah ia terus berada dalam lipatan Takdir yang mana ianya berada luar dari pengetahuan kita.


Tempoh itu bukan persoalan, kerana MENANG itu haknya hanya pada ALLAH s.w.t. Kita ditaklifkan untuk BERUSAHA pada kadar yang sewajarnya.


(Al Fatihah untuk Allahyarham Ustaz Hasan Shukri yang telah pulang ke rahmatullah baru-baru ini. Semoga titis peluh generasi mereka yang telah pergi dihitung Allah s.w.t atas segala perjuangan menegakkan SYIAR-NYA)


Proses membentuk generasi dakwah ini dinamakan oleh sesetengah jemaah sebagai PENGKADERAN, wasilahnya pelbagai…usrah, seminar, kem dan sebagainya. Kesenioran yang ada pada generasi terdahulu akan digunakan untuk membina generasi baru yang lebih segar untuk memikul amanah ini. Adik-adik akan ditarbiyyah mengikut silibus yang telah ditentukan dalam pelbagai caranya.


Abang dan kakak akan dijadikan mentor rujukan adik dalam perkara baru yang ditempuhi di alam pengajian tinggi ini. Oleh kerana itu, amat penting untuk menjadikan kita para daie sebagai Qudwah (figure) yang boleh dicontohi oleh mereka. Sekurang-kurangnya melalui peribadi kita, tiada sebarang syak bagi mereka untuk menjadikan ianya sebagai ikutan.


Alhamdulillah…Allah s.w.t telah melorongkan diri saya sebagai salah seorang yang terlibat secara langsung untuk membentuk Jundullah (askar Allah s.w.t) segar ini. Beberapa kumpulan usrah yang diamanahkan, akan sedaya upaya saya tunaikan hak pentarbiyahan mereka melalui lisan saya.


Membina ukhuwwah…


Bercerita kisah suka dan duka…


Berkongsi ilmu dan pengalaman…


Mengisi segenap Muwasoffat Tarbiyyah (ciri-ciri tarbiyyah)…


Produk yang GAGAL


“Hish…diorang ni tak macam kita dulu, sikit-sikit dah mengadu, merungut, lembik! Takkan kita nak keluarkan da’ie yang lemah?”


“Mereka ini susah benar mahu faham…semuanya mahu disuap belaka, kurang membacalah ni! Tanya sikit dah ternganga...“


“Ana nak mereka jadi macam ana…ana dulu, rela je berkorban (tadhiyyah) segalanya, duit, masa…tapi kecewa betul ana dengan adik-adik ni..semua tak bolehlah, tak sempatlah, tak laratlah…GAGAL!”


Bukan sekali dua saya mendengar ‘rintihan’ dan ‘aduan’ serupa ini. Ianya seringkali terkeluar dari mulut-mulut abang-kakak yang tidak dapat menutup rasa kecewa terhadap ‘kegagalan’ adik-adik yang tidak dapat mengikut jejak langkah serupa dengan mereka. Bagi mereka, jalan yang dia tempuhi dahulu, mestilah dilalui oleh adik-adik itu sebagai suatu syarat untuk menjadi seorang DAIE.


Sungguh…saya tidak menafikan langsung peranan PENGALAMAN dalam pentarbiyahan. Faktor pengalaman jika diabaikan dalam pentarbiyahan maka ianya adalah sebuah tarbiyyahan yang longgar dan cuai. Cuma apa yang ingin dipersoalkan…sejauh manakah pengalaman itu mengkaji waqi’ (realiti) adik-adik kita? Adakah kapasiti mereka, sama dengan kapasiti kita suatu masa dahulu? Atas dasar apa kita melabelkan generasi mereka sebagai GAGAL? Hanya semata-mata kerana mereka tidak melalui apa yang telah kita lalui?


Di dalam silibus Pendidikan IPG timbul suatu kesedaran yang dinamakan ‘Kepelbagaian Budaya’. Setiap Guru diminta untuk meraikan dan menghormati kepelbagaian budaya dan latar belakang yang ada pada setiap murid. Ambillah konsep yang sama, mengapa tidak kita aplikasikan ia pada mad’u/adik kita?


Kewangan mereka…


Latar belakang ibu bapa mereka…


Rakan-rakan mereka…


Pernahkah kita mempertimbangkan ini sebelum kita mengeluh?


Pesan guru saya, Ustaz Amir Syarifuddin dalam hal ini:-


“Kita perlu tahu dan sedar bahawa Tarbiyyah itu adalah sebuah PROSES. Apabila dikatakan proses, maka ianya adalah pendidikan yang berterusan sepanjang masa. Mereka pasti akan menempuhi apa yang ditempuhi oleh para pejuang agama Allah s.w.t, cuma yang membezakannya adalah tempoh. Tempoh untuk matang, tempoh untuk faham, dan tempoh untuk sedar. Berikan ruang…”


“Tarbiyyah itu bukan sebuah SISTEM/FORMULA yang mesti mempunyai PRODUK WAJIB begini dan begitu. Tarbiyyah bukan 1 + 1 = mesti 2, sebaliknya ia berbeza mengikut kapasiti individu. Setengah orang banyak kelebihannya, setengah orang banyak pula kelemahannya. ”


Saya bukan bermaksud menjadikan kelemahan itu untuk sebagai alasan untuk longlai dalam gerak kerja. Namun, dengan kelemahan itu kita sebagai abang/kakak perlu faham bahawa manusia itu perlu tempoh untuk mengatasi kelemahan itu. Inilah Tarbiyyah, proses untuk da’ie untuk berKEMBANG, bukan untuk terus menJADI.


Jangan kerana kita telah sampai ke satu marhalah (peringkat) harakiyah yang agak tinggi, kita lupa akan kepentingan TEMPOH untuk mencapai tahap ini. Akhirnya, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Akibat kecewa kita mengabaikan terus peranan kita sebagai naqib adik-adik.


Kita bukan PENGHUKUM! Kita adalah PENGISLAH!


Rasulullah s.a.w pernah bersabda:-


“ Manusia yang berkualiti adalah seperti unta, Daripada seratus unta, hanya seekor sahaja daripadanya yang dapat digunakan untuk perjalanan yang jauh”

(Riwayat Bukhari)