Sunday, March 28, 2010

Keyakinan Kita...Keimanan Sahabat...

Tubuh terasa amat letih,seminggu berpraktikum di S.K Pagar Besi memerlukan kepada pengerahan tenaga mental dan fizikal lebih banyak daripada biasa. Barulah saya tahu betapa penatnya insan bernama GURU. Bertugas sebagai guru “DUA ALAM” ini serba sedikit memberikan kelebihan kepada saya, mula bertugas jam 10 pagi dan selesai jam 3.30 petang membolehkan saya mengenali lebih ramai guru dari kedua-dua sesi pengajaran, pagi dan petang walaupun bergelar AMPHIBIA =)


Namun kerana kesibukan dan keletihan inilah, saya mengabaikan banyak kuliah Maghrib sepanjang minggu. Leka menyiapkan buku rekod PRAKTIKUM, pembinaan Bahan Bantu Mengajar dan menanda kertas/buku latihan. Terbit penyesalan kerana GAGAL menyusun jadual hidup dengan baik. =( Kekesalan inilah yang memberikan tekad untuk tetap menghadirkan diri ke kuliah Maghrib hari ini biarpun kalau diikutkan, saya lebih senang berehat di rumah.


Sengaja saya menyandarkan diri di tiang surau, biar mudah mengimbang tubuh yang lesu ini. Hari ini Ustaz Shaharuddin akan mengisi jadual Kuliah Maghrib di Surau Gong Pak Jin ini. Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi seringkali menjadi pilihan ramai penceramah di sekitar Kuala Terengganu untuk mengisi ruangan kuliah/ceramah termasuklah di sini.


Saya tertarik dengan syarah ustaz mengenai hadis ke-41 dibawah bab Sabar. Makanya, Tinta Al-Murabbi menjadi medan untuk saya menyampaikan ilmu ini kepada yang lain:-


Dari Abu Abdullah, iaitu Khabbab Bin ‘Aratt r.a, katanya:-


“Kita mengadu kepada Rasulullah s.a.w dan beliau ketika itu meletakkan burdahnya di bawah kepala baginda sebagai bantal dan berada di bawah naungan Ka’bah, aku bertanya: Mengapa Tuan (baginda) tidak memohonkan pertolongan (kepada Allah s.w.t) untuk kita, sehingga kita menang? Mengapa Tuan tidak berdoa sedemikian itu untuk kita?”


Lalu baginda bersabda:-


“Pernah terjadi terhadap orang-orang sebelummu (zaman Nabi yang lalu) ada seorang yang ditangkap oleh musuhnya kerana ia beriman, kemudian digalikanlah tanah lalu diletakkan dia di dalam tanah (ditanam hidup-hidup), ada juga yang diletakkan gergaji di atas kepalanya lalu dibelah terputus dua. Selain itu, ada yang di sisir dengan sisir yang dibuat daripada besi lalu disisir di bawah daging dan tulangnya, kesemua seksaan itu tidak memalingkan ia dari agamanya (tetap beriman kepada Allah s.w.t). Demi Allah s.w.t, nescaya Allah s.w.t akan menyempurnakan agama ini (kemenangan Islam), sehingga seseorang yang berkenderaan/berjalan dari San’a ke Hadhramaut tidak ada yang ditakuti melainkan kepada Allah s.w.t atau kerana takut pada srigala membaham kambingnya. Tetapi engkau semua itu hendak bercepat-cepat sahaja (gopoh).


Riwayat Bukhari.


Syarah Ringkas


Khabbab Bin ‘Aratt adalah salah seorang sahabat yang mula-mula memeluk agama Islam. Beliau di antara sahabat yang sering menelan mehnah dan tribulasi dalam mempertahankan aqidahnya. Jika Rasulullah s.a.w diberi perlindungan oleh bapa saudara baginda (Abu Talib), Saidina Abu Bakar punyai suku Bani Taim yang mempertahankannya, Saidina Ali juga dijamin keselamatannya oleh suku kaumnya sendiri, namun Khabbab adalah seseorang yang tidak punyai siapa-siapa untuk melindungi beliau dari seksaan kaum kafir Musyrik. Dicaci, dihina, diherdik, dipukul menyebabkan Khabbab tidak dapat bertahan lagi lalu berkeputusan untuk mengadu kepada Rasulullah s.a.w.


Datangnya Khabbab r.a kepada Rasulullah s.a.w dengan harapan besar kerana mengetahui doa Baginda itu tiada hijabnya dengan Allah s.w.t. Memohon agar biarlah Islam MENANG. Agar reda penderaan tersebut…sakitnya, pedihnya di seksa oleh musyrikin Makkah ini tidak tertanggung lagi rasanya.



Baginda tenang menjawab soalan Khabbab…sengaja Rasulullah s.a.w sisipkan perjuangan Nabi-nabi terdahulu sebagai pengiktibaran. Pesan nabi s.a.w, yakinlah bahawa Islam itu PASTI akan MENANG. Tertegaknya Islam itu nanti membawa keamanan yang sangat LUAS sehinggakan seseorang yang bermusafir dalam jarak yang jauh pun tidak punyai apa-apa untuk ditakuti melainkan Allah s.w.t dan ancaman binatang buas. Tiada lagi ancaman rompakan, samun dan peperangan.


Benar kata-kata Asy Syahid Hasan Al Banna ketika menasihati anak muridnya. Dua konsep penting yang perlu tegar dalam sanubari seorang pejuang sebelum turun ke medan dakwah, yang pertama IKHLAS dan yang kedua KITA PERLU YAKIN BAHAWA ISLAM PASTI MENANG. Jika cukup kedua perkara ini, campaklah ke mana sekalipun, tentu ISLAM yang menjadi agenda utama untuk dirinya.


Ke Mana Pergi ROH perjuangan itu?


Para du’at sekalian, hari ini musuh kita bukan sahaja datang daripada golongan KUFFAR sahaja, namun wujud juga mereka yang terdiri dari sekolompok manusia yang hanya bertopengkan ISLAM, hakikatnya mereka menghadam fahaman SEKULARISME dalam segala tingkah laku mereka. Memisahkan segala bentuk aspek kehidupan dengan agama. Bagi mereka, agama itu hanya perkara ritual semata-mata


Hari ini kita diserang dari pelbagai sudut…hilang jati diri anak muda MUSLIM, runtuh dan ranap institusi bait MUSLIM, hancur berkecai akhlak masyarakat MUSLIM. Sampai bila kita mahu bersifat DEFENSIVE dengan menunding jari ke arah MUSUH? Baru di uji dengan herdikan manusia yang celupar mulutnya kita sudah merungut mahu ‘BERSARA’ dari perjuangan ini. Bayangkanlah, Khabbab r.a. yang masih timbul birat merah dek kerana sebatan kafir musyrik di badannya itupun dikatakan GOPOH oleh Rasulullah s.a.w, apatah lagi kita yang hanya diuji dengan mulut manusia?


Tanamkan di hati, Islam itu…Allah s.w.t telah takdirkan untuk MENANG, pasti TERTEGAK di Muka Bumi ini, lembayungnya akan dinikmati seluruh penduduk bumi. Keyakinan yang jitu ini akan memudahkan kita untuk BANGKIT andai jatuh berguling ditiup kencang oleh badai bernama MEHNAH…


Marilah kita sama-sama segarkan semula roh perjuangan itu…Kental diuji walau ombak yang melanda…Saya tahu, tulisan saya ini bakal diuji kelak akan kesahihannya melalui reaksi diri apabila Allah s.w.t meletakkan diri saya dalam realiti perjuangan yang sebenarnya. Maka dengan itu, saya pohon kepada Allah s.w.t, agar DIA menguji saya setara dengan KEIMANAN yang saya MILIKI. Jangan dilebihkan ya Allah kerana aku takut menghadapinya…ALLAHUAKBAR!!

Tuesday, March 23, 2010

Motif???

Sengaja saya pilih untuk berada di rumah sahaja memandangkan tempoh cuti tidaklah terlalu panjang. Hanya seminggu sahaja. Lebih senang ‘melekat’ di atas kerusi malas sambil menghabiskan Bacaan Wajib yang telah ditetapkan di dalam borang Mutaba’ah Amal. Menghirup teh sambil membelek-belek buku genre Haraki karangan Dr. Ali Sharbaji yang bertajuk ‘Suri Teladan di dalam Kehidupan Para Sahabat’, bagi saya buku ini punyai metod tersendiri dalam mengimbau kembali jerit payah para sahabat nabi s.a.w untuk mendaulatkan Islam di muka bumi Allah suatu masa dahulu. Buah tangan ulama’ besar yang juga antara pengarang kitab Fiqh Minhaji As-Syafie.

Sedang asyik meneliti buku tersebut, kedengaran hon posmen di laman rumah, menghulurkan bungkusan yang memerlukan tandatangan si penerima. Sempat juga saya menarik risalah yang terselit di celah pagar sebelum masuk semula ke rumah. Seperti biasa, taman perumahan ini seringkali menjadi sasaran para peniaga bagi mempromosikan perniagaan mereka melalui tebaran risalah serupa ini. Saya kembali melabuhkan punggung kembali ke kerusi malas tersebut. Kerusi ini punyai nostalgia panjang bersama arwah abah, sekali duduk pasti ketagihan dengan keempukannya! =)

Alangkah terkejutnya saya apabila melihat kandungan risalah tersebut! Memaparkan gambar seorang sami Siam yang sedang duduk bersila di dalam sebuah kuil (wat). Nah ini gambarnya:-

Helaian kertas A4 putih bercetak depan dan belakang itu menceritakan bagaimana seorang ‘Tok Guru’ berkebolehan membantu menyelesaikan masalah kewangan dengan hanya memberi nombor ramalan (nombor ekor) kepada mereka yang memerlukan bantuannya. Sambil menggaru kepala yang tidak gatal ini, saya sangat tertanya-tanya, apakah tujuannya risalah serupa ini disebarkan di kawasan perumahan saya yang hampir 98% nya berbangsa Melayu, beragama Islam?? Tidak cukup sekadar itu, disertakan juga ‘testimoni’ mereka yang telah berjaya sebagai bahan bukti penguat keyakinan mereka yang membacanya. Hairan…siapa sebenarnya golongan sasaran mereka?

Melihatkan kepada iklan ini, ianya bukan sahaja berpotensi untuk membuahkan kesyirikan (meminta bantuan kepada ‘Tok Sami’ tersebut, dengan membelakangkan Allah s.w.t), malahan ia boleh merangsang kemaksiatan dengan mempromosi NOMBOR EKOR! Aduhai…bukankah ini sangat jelas? Sebaran seperti ini bukan sahaja bisa menyuburkan kemaksiatan, tetapi juga boleh MEROSAKKAN AKIDAH umat Islam.

Pengiklanan berorientasikan SYAHWAT dan MAKSIAT

Tidak dapat dinafikan kuasa pengiklanan itu sangat besar dan berpengaruh. Jika tidak, masakan banyak syarikat-syarikat besar membelanjakan jutaan ringgit untuk melariskan perniagaan mereka melalui pengiklanan. Ringkas dan padat adalah unsur penting yang perlu ada pada setiap iklan untuk memastikan penonton/pendengar terkesan dengan perkara yang disampaikan.

Namun, kebelakangan ini, saya melihat banyak iklan di kaca TV khususnya,yang dihiasi unsur-unsur tidak elok untuk ditonton oleh kita (Muslim). Ada sebilangan iklan yang dengan beraninya menonjolkan ‘KESEKSIAN’ wanita untuk dijadikan bahan penarik iklan mereka. Sebagai contoh, iklan DEODORANT yang lebih senang menayangkan seorang WANITA meleretkan bahan tersebut di KETIAKnya yang putih melepak, pakej PENGURUSAN BADAN yang terang-terang memaparkan seorang wanita dengan hanya memakai pakaian dalam sahaja. Perkara yang OPTIONAL sebegini, mengapa perlu pendedahan yang melampau sebegitu?

Bayangkan, kadar pengulangan iklan yang kerap di kaca TV, ditatap oleh jutaan MUSLIM saban hari. Apatah lagi kanak-kanak yang masih mulus jiwanya, dicemari dengan tontonan lenggok giur wanita semata-mata mahu mempromosikan sabun mandi! Bagaimana ‘Tarbiyyah Islamiyyah’ mampu mekar dalam jiwa anak-anak Muslim jika begini keadaannya? Common View seperti ini dibimbangi mampu mematikan naluri seorang Muslim yang sepatutnya berteraskan Al-Quran dan Sunnah. Hati seorang Mukmin sepatutnya dibendung dengan titik Putih, tetapi kerana tontonan ‘rutin’ iklan-iklan ini, maka dengan mudah sekali, hujanan titik Hitam pula berkarat di dalamnya.

Saya kira SESETENGAH (bukan semua) konsep pengiklanan perniagaan di Malaysia sudah mencapai tahap yang amat merisaukan. Daripada media elektronik hinggalah media cetak, kesemuanya banyak di dominasi oleh syarikat-syarikat perniagaan yang ingin melariskan produk/servis mereka. Matlamat keuntungan yang ingin mereka capai telah membelakangkan moral, agama serta adat ketimuran yang kita miliki. Mereka meletakkan pelarisan produk sebagai objektif utama tanpa mengira apakah impaknya kepada pemikiran masyarakat. Serangan pemikiran kuning ke dalam minda bawah sedar Muslim, tentunya akan melesukan lagi kemantapan jati diri kita. Ditambah lagi dengan dunia yang semakin MENGGILA suasananya di luar sana. Selamatkah kita? Keluarga kita? Anak-anak kita?

Mempromosi tanpa menggadaikan aqidah dan akhlak bukankah jauh lebih praktikal? Contoh mudah saya petik dari laman ini: http://saifulislam.com/?p=6868. Kekreatifan yang Allah s.w.t kurniakan itu sepatutnya disalurkan ke arah menghasilkan sesuatu yang lebih BERMORAL! Jangan jadi seperti barat yang hendak mengiklankan makanan ringan tetapi dengan cara yang amat MENJIJIKKAN. (http://www.youtube.com/watch?v=6aXxbuqvESI&feature=PlayList&p=7B4B985429330BF3&playnext=1&playnext_from=PL&index=3) –lihat minit ke 4. Tiada langsung nilai yang membina! Semoga kita mengambil pengiktibaran daripadanya.

Sengaja saya mengaitkan isu pengiklanan ini dengan pengalaman sebenar saya menerima risalah promosi yang berunsur syirik di atas. Biar hidup realitinya bukan sekadar tohmahan kosong semata-mata. Wallahua’alam.


P/S:- Sedang bergelumang dengan dunia PRAKTIKUM, doakan saya tenang menghadapinya. Hidup dalam dua alam ini agak menyeronokkan! =)

Thursday, February 25, 2010

Maulidur Rasul 2010


" Haaa? Nabiku Sayang...Nabiku Hentam, syeikh Zaki ni...bila dah bagi tajuk memang pelik-pelik jadinya." Itulah persepsi pertama saya apabila diajukan jemputan untuk menjadi ahli panel bagi mengisi ruangan forum ini.

" Hehe...biasalah abe...tajuk biar pelik supaya senang tarik penonton. On ke tak?" Ujar saudara Zaki sambil tersenyum kambing.

" Insya Allah...ana cuba yang terbaik. Setakat ini, tiada aral yang melintang." Saya memberikan persetujuan.

Itulah Biro Agama Dan Moral (BADAM), dahulunya lebih dikenali dengan MPPI. Sentiasa aktif dalam menghidupkan suasana Biah Soleh di IPG kampus Dato' Razali Ismail ini. Pimpinan yang silih berganti itu sentiasa berkobar api juangnya untuk terus berusaha bagi memastikan syiar Islam subur dan megah di bumi ini. Saya difahamkan sempena Maulidur Rasul ini, banyak program telah direncanakan selama lebih kurang seminggu. Semoga Allah s.w.t mempermudahkan serta memberikan kekuatan kepada kalian untuk melaksanakan apa yang telah dirancang.

Sollu 'Alan Nabiy...

Saturday, February 20, 2010

Kita mencari JODOH...Bukan mengejar CINTA

“ Rep...enta boleh bayang tak? Ana dah beli semua barangan untuk pertunangan kecuali cincin tunang sahaja. Ana cadang hendak masuk meminang dia pertengahan tahun ini. Tapi, tahu-tahu saja dia putuskan hubungan kami..Enta boleh gambarkan perasaan ana sekarang ini? ” ada getar dalam nada suara Fauzi (bukan nama sebenar).

Saya kelu...sungguh saya tidak sangka inilah rupanya permasalahan yang membelenggu anak usrah saya 3-4 minggu kebelakangan ini. Saya membatukan diri...menunggu permasalahan itu diluah secukup rasa.

“ Family ana dan dia dah pun bertemu...masing-masing dah berkenalan antara satu sama lain. Jujurnya...ana sangat mengharap perhubungan ini berjaya. Tapi...” Fauzi tidak dapat meneruskan lagi kata-katanya. Air mata sudah pun mengalir dipipinya.

Kaget..saya sedikit buntu bagaimana mahu membantu dia untuk tidak bersedihan lagi. Tatkala itu otak saya memutar ligat memikirkan kalimah terbaik yang perlu disusun bagi memujuk jiwa yang duka itu. Saya hanya mampu mengusap-usap bahagian belakangnya. Lalu, saya mula membuka bicara...

“ Sabar ji..kita sama-sama tahukan setiap ujian yang Allah s.w.t timpakan kepada kita...”

“ pasti ada hikmahnya.” tidak sempat saya menghabiskan ayat tersebut, Fauzi sendiri yang melunaskan bait-bait terakhirnya.

“Ana tahu...ana tahu segala yang Allah s.w.t timpakan pada hambaNYA adalah untuk meningkatkan lagi darjatnya. Tapi rep...berbicara itu mudah apabila keadaannya senang, tetapi beramal dengannya sangat payah apabila menelan sakitnya.”

Saya tersenyum..inilah Fauzi yang saya kenal. Petah bicaranya itu kadangkala boleh membisukan pihak yang ingin menasihati. Dia adalah di antara anak usrah saya yang paling menyerlah sekali. Seringkali juga, usrah kami itu seakan-akan medan berbahas akibat kelantangan hujah-hujahnya dalam membincangkan isu semasa.

Sekali lagi, otak saya diperah memikirkan bentuk nasihat yang berkesan untuk dilemparkan ke dalam kotak pemikiran orang yang sudah ‘tinggi’ darjatnya ini.

“Siapalah ana untuk menghalang keputusan yang dia buat...ana hormati keputusannya. Cuma yang bermasalah adalah diri ana. Nak melupakan seseorang yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup kita bukan mudah!” ketika ini sendu tangisnya semakin perlahan. Saya pula? Menggangguk dan terus memerah..

“ Ji..kalau yang dicari seorang lelaki itu JODOH. Makanya, kesedihan itu tidaklah terlalu berpanjangan walaupun dikecewakan puluhan orang...Tapi, kalau yang dikejarnya itu CINTA, sedihnya mungkin membawa kepada bunuh diri tahu?” sekadar sebuah persoalan yang dicampak bagi menggugurkan segala keserabutan yang ada.

Fauzi melemparkan pandangan kosong ke arah tumbuhan hijau yang melata di hadapan mata. Barangkali sedang memproses ayat-ayat tadi supaya ianya mudah meresap ke hati. Saya menyambung...

“Dalam keserabutan...mohon NUSRAH Allah s.w.t, dahla tu..ana lapar dah ni...breakfast kat Pok Pim jom? Kita sambung cerita kat sana pulak” Saya sendiri tersenyum kerana mengenangkan kepada siapa nasihat tersebut pernah diberi.

(Maaf, saya tidak dapat meneruskan kisah ini sehingga pengakhirannya kerana telah diamanahkan oleh Fauzi untuk menghadkannya. Cukuplah sekadar yang diperlukan untuk mengambil ‘point’ yang ada)



Hakikat Ubudiyyah di bawah takdir JODOH

Berada di sesi pengajian semester 5 ini sedikit sebanyak telah banyak membuka minda saya mengenai erti percintaan, pernikahan dan tanggungjawab. Topik ini seringkali menjadi tajuk utama perbualan kami rakan sekelas/seusrah. Jika dahulu ‘awek’, tapi kini ‘calon isteri’, jika dahulu ‘couple’, tapi kini ‘nikah’...kematangan topik ini seiring dengan kematangan usia. Prosesnya? Terpulang kepada individu...ada yang masih mengumpul duit (ini ramai..=), ada yang sudah bertunang, ada juga yang dah nak bernikah dah pun =P (Amin..jgn terasa ye?hehe). Apa pun peringkatnya, saya menyeru agar dipelihara lingkungan syara’ sebagai perbatasan perhubungan itu kerana cita-cita melahirkan sebuah pokok keluarga Soleh bermula dari akar pencarian pasangan yang seiring dengan Syara’.

Namun, tidak semua proses itu berjalan lancar seperti yang diharapkan. Kecundang ataupun gagal bukanlah istilah yang tepat untuk menterjemahkannya. Setiap perkara itu mempunyai sisi pandang positif bagi menjadikan diri kita semakin dekat kepada Allah s.w.t. Salah satu contohnya adalah seperti yang diceritakan diatas. Gerak kerja saudara Fauzi agak lemau 2-3 minggu kebelakangan ini dan saya menyedarinya. Alhamdulillah, risikan demi risikan, saya dibukakan olehNYA untuk mengetahui kisah sebenar disebalik kekenduran itu.

Allah s.w.t telah memberikan TIGA ketetapan untuk setiap Muslim mengenai prihal jodohnya. Pertama, dipermudahkan dan dipercepatkan olehNYA bagi mendapatkan pasangan hidup. Kedua, susah dan diperlambatkan olehNYA (tetapi masih dikurniakan), atas sebab-sebab hanya yang Allah s.w.t sahaja yang mengetahuinya. Ketiga, ditunda soal jodohnya hingga ke Akhirat kelak (ertinya di atas dunia tidak dipertemukan kepadanya mana-mana pasangan hidup).

Saya pasti konsep ini mudah dihadam oleh mana-mana pejuang agama Allah s.w.t. Cuma adakalanya kita terlupa konsep asas ini sehinggakan kita terasa berputus asa pada takdir Allah s.w.t ini, hanya kerana sulitnya untuk menjayakan sebuah pernikahan. Kita berkahwin dengan pasangan yang telah diJODOHkan oleh Allah s.w.t kepada kita, bukan dengan pasangan yang TELAH kita CINTAI. Jika keadaannya kita telah terlanjur mendahulukan CINTA pada seseorang maka bermuhasabahlah, kerana tiada CINTA SEBELUM PERKAHWINAN. Hanya yang wujud adalah sebuah persefahaman dan perkenalan, itu pun apabila menempuh proses pertunangan.

Terkadang perasaan itu berkeseinambungan hingga tumbuhnya rasa KASIH SAYANG, dan disinilah wujudnya HARAPAN. Tidak mengapa...kerana ia adalah lumrah dalam perkembangan kepada sebuah perhubungan, cuma amat ditekankan disini agar ia sentiasa ditekan dan dikongkong serta jangan sekali-kali perasaan itu dibiarkan bebas menghalalkan suasana yang HARAM. Perlulah ianya segara diikat dengan sebuah ikatan pernikahan. Jangan diletakkan perasaan itu secara total dan penuh kepada pasangan, kelak ianya akan membawa kesengsaraan pada sang pencinta, MENGAPA? Kerana CINTA dan HARAPAN itu selayaknya hanya di letak kepada Allah s.w.t.

Bersedihlah…kerana Rasulullah s.a.w juga bersedih. Tetapi sedihnya baginda sentiasa ada Allah s.w.t sebagai tempat aduan. Hatta, Rasulullah s.a.w, yang kita sama-sama akui Qudwah terbaik dalam medan perjuangan dakwah Islamiyyah itu pun, sujud mengadu pada Allah s.w.t tatkala dihurung duka dan nestapa. Inikan pulan kita manusia biasa? Yang sentiasa tercalit dengan dosa dan noda…layakkah kita berputus asa padaNYA? Sentiasa sabar dan redha dalam menempuh proses lumrah bagi setiap insan ini. Pastikan jiwa Ubudiyyah itu sentiasa segar agar tidak mudah mengalah dan berputus asa.





Artikel ini sekadar memudahkan pemahaman dan menjelaskan lagi misi sebenar pencarian JODOH dalam Islam. Ambillah iktibar sebagaimana tabahnya seorang pemuda bernama Khairul Azam dalam filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’ mencari jodoh bagi dirinya. Sentiasa ada yang tidak kena, tapi jiwa pemuda itu sentiasa tegar dan tidak berputus asa mencari keredhaan Allah s.w.t melalui jalan penikahan. Konsepnya mudah…berCINTA itu tidak semestinya berakhir dengan diJODOHkan, namun JODOH itu pasti bersamanya sebuah rasa CINTA. Insya Allah. Wallahua’alam.

Surah Ar Rum ayat 21 : “Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir


P/S:- Alhamdulillah...rakan baik saya telah membuka kembali blognya, dengan nama dan identiti yang lebih segar dan diberi nafas baru. Sangat baik dan kreatif. Semoga Allah s.w.t selalu merahmatinya dan semoga Allah s.w.t sentiasa menganugerahkan 'Husnu Dzon' antara kami untuk terus bersahabat. Allahumma Ameen... =)


Friday, February 12, 2010

Review: Telaga Budi


“ Dalam setengah-setengah keadaan kata-kata Tok Guru sudah menjadi ringkas. Ia padat seperlunya, jesteru ia mengusung makna hikmah yang berlapis, kesan jalan berliku yang ditempuhinya. Ia sudah bernilai metafisika.”

“Kata-kata Tok Guru Nik Abdul Aziz kadang-kadang sudah mencecah nilai-nilai klasik sezaman yang boleh diuji dan tahan uji. Ini semata-mata kerana kata-kata beliau kukuh bersandar. Jika ia sehimpun kayu, duduknya terletak. Di sana ada Allah s.w.t dan Rasul NYA yang sedia menanggung.”

Inilah sebahagian daripada sinopsis “Telaga Budi”. Saya membelinya sekitar Januari tahun lalu. Buku yang hanya mempunyai 218 helaian sahaja ini telah mengambil masa kira-kira 11 bulan untuk saya menghabiskannya. Tamat ketika saya sedang mengerjakan ibadah haji! Saya hanya tersenyum sendirian apabila memikirkan sebab utama mengapa buku ini agak “LIAT” untuk dikhatamkan. Mahu tahu mengapa?

Bagi seseorang yang berjiwa agak sentimental seperti saya, buku-buku yang berkisarkan penghayatan hati dan pemikiran seperti “Telaga Budi” ini memerlukan kepada lonjakan perubahan diri, setiap kali selesainya satu bab. Buku ini bukanlah jenis buku yang mengandungi terjahan fakta konkrit, yang hanya memerlukan kepada perubahan corak pemikiran semata-mata, tetapi ia adalah adunan kata-kata hikmah seorang Ulama’ yang mampu membimbing pembacanya ke arah perubahan corak tingkah laku juga. Oleh kerana itu, pada amatan saya, keberkesanan buku ini akan lebih dirasai sekiranya, pembaca tidak sekadar MENGETAHUI segala isi kandungannya tetapi lebih daripada itu, ianya perlu DIHAYATI. Proses perubahan diri itulah sebenarnya yang memakan masa.

Huraian penuh dalil oleh Saudara Annual Bakri Haron membuatkan kata-kata ringkas Tok Guru itu menjadi mampat dan sarat. Untaian hikmah yang tidak telalu berjela itu sebenarnya membawa anjakan paradigma kita sebagai “MELAYU” kepada “ISLAM”. Allah s.w.t mengilhamkan kepada ulama’ ini:- “Kata yang SEDIKIT, Kesan yang MENDALAM dan BERTEBARAN”. Semoga Tok Guru dapat terus MEMBERI. Izinkan saya memetik sebuah kata-kata hikmah sebagai penutup entri:-

“Syurga dan Neraka. Kedua-dua projek raksasa ini sudah ada, apabila syurga ini sudah ada, hendak kaji apa lagi. Kewujudannya sudah disahkan sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w sewaktu peristiwa Isra’ Mikraj. Dalam kesempatan diberi hidup menumpang di bumi Allah s.w.t inilah kita semua sedang diuji sama ada mahu melaksanakan Islam ataupun tidak. Individu diuji secara individu dan pemimpin kerajaan serta pemerintah, juga diuji dalam bentuk amanah kekuasaan. UJIANNYA IALAH SEJAUH MANA KAMU BERUSAHA MELAKSANAKAN ISLAM dan bukannya sejauh mana kamu mengkaji dan menyesuaikan Islam dengan teori ekonomi Adam Smith ataupun teori sosialis Karl Marx dan menghalang pelaksanaan Islam.”

Semoga pembacaan kita yang luas kepada mana-mana buku Islami, bukan sekadar TEORI semata-mata, tapi sedarlah..ia sebenarnya sangat-sangat PRAKTIKAL. =)