Saturday, May 22, 2010

Disebalik Kaca Mata Angah…

“Abah… jomlah amik spek mata angah!” ujar saya kepada Abah. Ketika itu dia sedang sibuk di meja pejabatnya yang berpengkalan di rumah.


“Kejaplah…hari tu kan kita dah bayar deposit RM90. Ada baki lagi RM10, tapi pada Abah ada RM7 je…tak cukup lagi RM3 ni..” balas Abah kepada saya yang ketika itu baru berumur 13 tahun.


“Erk? Yeke Abah ni? Takkan Abah takde duit? Ala...RM3 je lagi..” rungut saya.


“Betul…meh la kita cari sama-sama kat sini..mesti ada duit-duit syiling yang bersepah” kata Abah sambil menolak lembut bahu saya untuk mencari bersama-samanya.


Saya mengalah dan turut serta bersama Abah mencari kepingan-kepingan duit syiling di sekeliling pejabat Abah yang agak berselerak itu. Habis segala ceruk dijelajahi, segala celah diterokai demi mencari syiling-syiling yang selama ini tidak diendahkan pun jika hilangnya entah ke mana. Berjuraian juga peluh mencarinya. Laci meja, almari fail, dibawah kusyen…semuanya telah kami ungkai. Akhirnya setelah penat…saya berhenti sebentar melepaskan lelah…


“Bah…angah dah dapat RM1.50..cukup tak lagi?” saya bertanya.


“Ha..cukup dah tu..Abah dah ada RM2 ni..” Abah tersenyum sambil mengusap-usap kepala saya.


Sesampainya di kedai optik Setiawangsa, Abah dengan selambanya mengeluarkan note RM10 berwarna merah kepada tuan punya kedai untuk melangsaikan baki RM10. Saya tercengang…


Sebaik sahaja melabuhkan punggung di dalam kereta, saya sekali lagi merungut...


“Abah ni…tadi kata takde duit? RM10 tadi tu?” ujar saya sambil memuncungkan bibir tanda merajuk.


Abah tersenyum…


“Susah tak nak dapat lagi RM3 tadi tu?” soalnya kembali, soalan saya tadi dibiarkan menyepi.


“Penat…nak kena cari bawah kusyen, laci…habis berpeluh-peluh angah, macam baru lepas main bola pula.” Jawab saya. Ada rasa sedikit bengang dengan Abah.


“Nah…” Abah memberikan semua duit syiling yang telah kami kumpul bersama-sama tadi. “Abah nak anak Abah tahu menghargai harta yang dia ada, cuba kamu beritahu Abah, masuk spek yang ini, dah berapa kali kita beli spek baru?” ujar Abah lagi.


Saya diam membisu…benar…jika dikumpulkan kesemuanya, sudah 3 cermin mata yang patah dek kerana buasnya saya hidup di asrama.


“ Kalau kamu tahu, macam mana susahnya nak dapat duit…mesti kamu akan jaga spek tu betul-betul. Membazir je, setiap bulan nak kena tukar spek baru..” nasihat Abah kali ini benar-benar meresap ke sanubari saya.


Sungguh…sehingga ke hari ini peristiwa tersebut masih segar di minda saya. Meskipun sudah hampir 9 tahun lepas ianya berlaku. Natijahnya, saya sedaya upaya untuk berhati-hati setiap kali membelanjakan wang. Memikirkan dimanakah keperluan barangan yang hendak dibeli dan adakah ianya berpatutan untuk dibeli.


Arwah abah sudah pergi meninggalkan kami hampir 3 tahun. Beliau lahir dalam keluarga kampung yang tidaklah terlalu dhoif. Namun cukup makan pakainya. Abah begitu ‘survival’ untuk memperjuangkan rezeki dari sumber yang halal untuk kami sekeluarga. Tambahan pula, kehidupan di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur ini memerlukan lebihan usaha untuk mendapat pendapatan yang mencukupi. Abah bukan kedekut…tetapi Abah tak mahu anak-anaknya hidup terlalu senang sehingga melupakan bahawa kesusahan itu perlu dilalui oleh setiap insan sebagai fitrah untuk kekal TAWADU’ kepada TUAN PUNYA DUNIA.


Ya…mungkin anda semua melihat saya hari ini sebagai seorang anak bandar yang hidup senang lengkap serba serbinya. Hakikatnya tidak..saya juga ada masanya kesuntukan wang, terpaksa mengikat perut...ada ruangan dalam diri yang sedang saya didik untuk menerima kesusahan. Kerana dari kesusahanlah manusia itu sedar siapa dirinya. Dan kerana itulah, saya seakan-akan tidak boleh menerima andai ada dikalangan ‘orang-orang’ KAYA yang sombong memijak bumi tanpa sedar bahawa BUMI ini MILIK SIAPA!


Abah…semalam angah mimpikan Abah…


Abah…TERIMA KASIH…



“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil” Al Isra’:24


P/S: Sidang pembaca, sudi kiranya andai dapat menghadiahkan pahala seuntai bacaan Al-Fatihah kepada arwah Abah saya, Allahyarham Dzulkhefli Ismail. Al Fatihah.. (T_T)

Friday, May 14, 2010

Ini Ceritera Layang-Layang

Gembira benar rasanya hati ini apabila Umi menyatakan hajatnya untuk menziarahi saya di sini (Terengganu). Datangnya ditemani oleh kakak saya, Along. Seingat saya, Umi pernah datang ke sini kira-kira dua tahun lepas. Itupun tidak banyak masa yang dapat kami lapangkan bersama ketika itu kerana lawatan itu bukanlah sebuah percutian, sebaliknya Umi ditugaskan untuk menghadiri sebuah kursus.


Sebelum itu, satu-satunya ahli keluarga yang pernah sampai ke tempat pengajian saya ini adalah arwah Abah. Ketika itu, beliau masih lagi dalam rawatan Kimoterapi, namun sanggup menggagahi diri untuk menghantar saya bagi mendaftarkan diri di IPGKDRI ini. Saya sangat terharu setiap kali terkenangkan memori ini, arwah Abah adalah antara faktor besar yang menyebabkan diri ini sangat tegar untuk menjadi seorang USTAZ. Itulah harapan yang pernah beliau beritahu suatu ketika dahulu, ketika saya masih muda dan tersangat mentah. Sungguh…saya sangat merinduinya… (+_+)


Alhamdulillah, Umi dan Along tiba di stesen bas MPKT jam 10.00 malam. Sepatutnya bas tersebut tiba sekitar jam 8-9 malam, namun dek kerana perjalanan pada siang hari maka tempoh perjalanan yang sepatutnya hanya 7 jam (jika malam) terlajak hingga 9 jam. Mungkin perjalanan siang ini dipengaruhi oleh faktor kereta yang banyak dijalan raya berbanding pada waktu malam.


Sebaik sahaja Umi melabuhkan punggung ke dalam Barqiya, beliau terus mengeluh:-


“ Haih…lamanya naik bas ni! Umi ingatkan 7 jam..letih betul rasanya..”


“ Tula, angah ingatkan Umi naik bas malam, kalau malam tak terasa sangat..” jawap saya sambil tersenyum menyambut kehadiran ibu tercinta.


“ Yelah..kalau ‘trip’ malam, memang waktu tidur, jadinya..sedar-sedar je dah sampai, kalau siang…leka dengan menguap jelah” tambah Along, ada raut kepenatan di wajahnya.


Kereta dipacu balik semula ke Batu Rakit. Saya telah menempah sebuah chalet di tepi pantai bagi meredakan ‘kemaruk’ Umi dan Along mengenai keindahan pantai. Memang itulah antara tujuan lain menziarahi saya disini, melihat keindahan Terengganu yang dikhabarkan sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Pantai ini.


Keesokan harinya, saya memulakan misi sebagai pemandu pelancong. Melawat di sekitar IPGM kampus Dato’ Razali Ismail yang ‘comel’ ini. =) IPG ‘Hijau’ kami ini sangat mesra flora dan fauna memandangkan terdapat banyak pokok yang melitupi di sekelilingnya. Sangat jauh berbeza dengan beberapa IPG lain yang berlokasi di tengah-tengah bandar. Sangat panas dan ‘kebatuan’.


Usai melawat tempat pengajian saya, kami terus ke Bandar Kuala Terengganu. Tempat pertama yang dituju ialah ke Pasar Payang seterusnya Masjid Sultanah Zahirah, dan Noor Arfa Batik. Petangnya pula kami menikmat sotong goreng yang sangat segar dan keropok lekor rangup sambil menikmati hembusan bayu pantai Batu Rakit. Adalah hampir mustahil bagi orang Terengganu untuk meninggalkan aktiviti ini pada setiap hujung minggu. =P


Hari kedua kami teruskan dengan melawat Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal dan beberapa tempat menarik yang lain. Hinggalah ke petang harinya kami berkeputusan untuk bersantai sebentar di Pantai Batu Burok berhadapan restoran A&W. Kebetulan ketika itu, angin pantai sangat kuat. Lalu…


“ Long..angin kuat camni..best kalau main layang-layang! Jom?” ujar saya.


“A’ah…layang-layang memang kamu ada letak dalam kereta ni kan?” soal Along.


“Hehe…angah curi layang-layang ni dari rumah…dari terperuk je dalam stor, baik angah bawak main kat sini”. Hakikatnya, layang-layang itu tidaklah ‘sokmo’ sangat pun dimainkan walaupun bersama saya. =P


Maka inilah hasilnya~

Wah…sudah terbang!


Erk..long..nape mcm senget nak jatuh je layang-layang tu? =P


Huwaa~ Saya Berjaya menangkapnya~ =)


Hikmah Layang-Layang pada Mukmin


Memori saya melayang sebentar kepada sebuah program ‘Smart Circle Training’ yang dilangsungkan kira-kira satu tahun yang lalu. Sasarannya adalah adik-adik junior yang baru masuk ke IPGKDRI ini. Saya yang berperanan sebagai fasilitator telah diminta untuk memberi ‘khulasah’ ataupun rumusan kepada sebuah slot yang dinamakan ‘Islam sebagai cara hidup’.


Sebaik sahaja modul dan pembentangan selesai, saya dijemput naik ke pentas untuk memberi ucapan. Agak gementar juga kerana sudah agak lama saya tidak berucap dihadapan ‘audience’ yang memenuhi segenap ruang Dewan Al Farabi ini.


Antara analogi menarik yang saya keutarakan bagi memudahkan pemahaman adik-adik tentang slot itu…


“Seperti sebuah layang-layang yang mempunyai tali sebagai pengawal kepada pergerakan layang-layang itu di awan biru. Kita boleh lihat bagaimana layang-layang itu bebas menari-nari, namun apabila ianya hendak jatuh atau terlencong, maka tuan punya layang-layang akan menarik tali itu bagi menyeimbangkan posisinya semula. Cuba adik-adik bayangkan kalau sebuah layang-layang tanpa tali? Ya…kita juga boleh lihat ia berterbangan bebas, namun tanpa tali…akhirnya…ia kemana? Jatuh ke longkang, tersangkur di pokok-pokok, dan tersadai di bumbung rumah bukan?”


“Sama ibaratnya seperti kita ini! Kita diikat oleh sebuah tali bernama ‘Syariatullah’ (Syariat Allah) bukan untuk mengongkong…namun untuk mengawal! Kita bebas bergerak dan melaksanakan fitrah manusia (Sunatullah), tapi biarlah ia punyai keterbatasan yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Sebagai hasilnya, tiada sedikit pun ada keuntungannya di sisi Allah s.w.t. Namun ianya sangat diperlukan oleh kita yang bernama MANUSIA. Jikalau kita terus berkehidupan tanpa ‘TALI ALLAH s.w.t’ maka kita adalah sehina-hina makhluk yang terjerumus dalam lembah kemaksiatan yang jijik lagi hina! Kita hidup bertuhankan NAFSU!” ada getar dalam suara saya.


Maksudnya:- Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri (tabiatnya), maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) Yang lebih betul jalannya". (al Isra':84)


Pesan Salman Al Farisi r.a.


Abu Nua’aim mengeluarkan suatu perkhabaran di dalam kitabnya Al-Hilyah, diriwayatkan oleh Salman r.a yang telah berkata:-


“Orang Mukmin di dunia ini umpama seorang pesakit, bersama-samanya seorang doktor yang tahu tentang penyakit dan ubatnya sekali. Jesteru itu apabila pesakit inginkan sesuatu yang memudaratkan dirinya, maka doktor dengan segera melarangnya dengan berkata:- Jangan makan itu, ianya amat berbahaya, ia boleh memudaratkan kau. Begitulah seterusnya, doktor akan melarang dan melarang hinggalah pesakit itu sembuh dari penyakit yang dialaminya. Demikianlah seorang mukmin yang mengidam segala macam perkara melebihi daripada apa yang beliau perlukan. Maka Allah s.w.t melarang dan menghalangnya hinggalah orang Mukmin itu meninggalkan dunia ini. Lantas dimasukkan ke dalam SyurgaNYA”


Makanya sidang pembaca, dalam segala bentuk hal kehidupan kita di muka bumi Allah ini, adakah kita masih TEGAR bertitikan Al-Quran dan Sunnah sebagai CARA HIDUP?

Monday, May 3, 2010

Mahu "Design" Rumah Baru Anda?

Selesai menziarahi adik saya, Atikah Nur di Kolej Mara Banting bersama Umi, pedal kereta Avanza ditekan menuju ke destinasi seterusnya. Kali ini ke Bangi, melihat proses pembinaan rumah baru yang bakal siap tahun depan. Insya Allah.


Setelah beberapa tinjauan dilakukan, akhirnya Umi mengambil keputusan untuk menghabiskan sisa-sisa pencennya di Bangi. Saya sendiri tertarik hati dengan suasana kawasan ini, majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu. Lokasinya yang tidaklah terlalu ke’KAMPUNG’an dan juga tidaklah terlampau ke’BANDAR’an, sangat sesuai bagi membentuk iklim pembesaran anak-anak saya nanti. =P


Dikelilingi oleh beberapa institusi pengajian tinggi seperti UKM, IP kampus Pendidikan Islam, ILIM dan lain-lain. Secara tidak langsung, ianya telah memudahkan lagi perencanaan saya untuk terus menyambung pembelajaran hingga ke peringkat Sarjana sambil berkerja. Itulah perancangannya, namun Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui, mohon doa dari kalian agar dikabulkan Allah s.w.t perancangan ini, sekadar sebuah congakan titian hidup dari insan kerdil ini.


Secara tidak rasminya saya telah menukar status dari orang Kuala Lumpur kepada orang Selangor. =) Bolehlah saya menyokong team bola sepak Selangor selepas ini =P kan Din kan??hehe..


Suatu keistimewaan yang ditawarkan oleh Rumpun Ehsan Sdn. Bhd. (pihak pemaju) ialah pembinaan rumah berpandukan rekabentuk yang dipilih sendiri mengikut citarasa pembeli. Pembeli dicadangkan dengan beberapa rekabentuk menarik berdasarkan bajet yang diperuntukkan. Tambahan boleh dibuat agar ianya memenuhi kehendak pembeli. Ibaratnya, pembeli sendiri yang menjadi arkitek untuk menentukan rekabentuk rumah yang bakal didiami oleh mereka. Sudah tentu perkara ini menjadi daya penarik bagi para pelanggan untuk membina sendiri rumah idaman mereka.



Arkitek Kubur


Teori Humanistik dari Abraham Maslow menyatakan bahawa tangga yang paling bawah dalam turutan hieraki ialah keperluan fisiologi. Keperluan ini perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum ianya menaiki tangga seterusnya. Termasuk dalam keperluan fisiologi ini ialah tempat tinggal (shelter), seharusnya rumah menjadikan tapak asas yang penting dalam kehidupan. Ianya mestilah selamat dan selesa untuk didiami. Maka, tidak hairanlah semua manusia bertungkus lumus memerah keringat siang dan malam untuk memastikan keperluan ini dipenuhi.


Namun, itu ceritera rumah dunia..


Seorang MUSLIM sewajibnya beriman bahawa dia punyai sebuah lagi rumah yang perlu dijaga rapi kerana ia adalah rumah yang bakal menjadi stesen persinggahan sebelum menuju Akhirat. Bahan binanya secara asas hanyalah galian tanah (lubang) dan dua buah batu asas yang dinamakan batu nisan. Mudah bukan? Tidak perlu simen berguni-guni mahupun bata bertingkat-tingkat.


Namun, apa yang lebih menggerunkan ialah bagaimana keadaannya apabila kita secara rasminya mendaftar sebagai salah seorang ahli kelab Alam Barzakh ini (a.k.a MATI)?


Islam tidak mengajar kita untuk takut kepada KEMATIAN, namun Islam menyuruh kita memikirkan apa yang menimpa kita SELEPAS KEMATIAN!


Secara realitinya, kubur itu 2 kaki lebar dan 7 kaki dalam, namun apakah keeluasan itu juga bakal kita nikmati, apabila dihitung dari sudut ALAM GHAIBnya? Luas atau sempitnya kubur itu sebenarnya kita sendiri yang tentukan. Kita sebagai ARKITEK kepada ruangan kubur sendiri! Sebuah rumah ditentukan pembinaannya melalui pelan yang direka oleh seorang arkitek, namun sebuah kubur ditentukan keluasannya melalui hitungan khas AMALAN KEBAJIKAN yang dilakukan oleh sang penghuni di atas muka bumi. Maka, ingin saya lontarkan sebuah persoalan supaya sedikit agar segar otak yang lemau…BERAPA LUASKAH KUBUR ANDA NANTI?



Anda adalah penentu kepada rekabentuk kubur anda nanti. Jika anda TAHU, SEDAR DAN MAMPU bahawa untuk terus berada di muka bumi ini, memerlukan IMAN dan TAQWA, maka berbahagialah anda dengan segala nikmat kubur yang dijanjikan dalam firmanNYA juga Sunnah NabiNYA. Namun, jika anda LALAI, LEKA dan ALPA, terus menerus menjalani pentas kehidupan dengan berpaksikan HAWA dan NAFSU, maka, insaflah…sesungguhnya azab kubur itu…amat pedih dan mengerikan.


Abu Nu’aim telah meriwayatkan sebuah hadis dari Ad Dhahak bin Abdul Rahman di dalam kitab Al-Hilyah. Berkata Ad Dhahak:-


Abu Musa As Asy’ari r.a semasa dalam keadaan nazak telah memanggil budak-budak surahannya, lalu berkata kepada mereka:- “Ayuh pergi galikan kuburku, perluaskan dan perdalamkan.”


Kemudian telah berkata Abu Musa r.a.:- “ Demi Allah s.w.t, ianya salah satu di antara dua keadaan. Boleh jadi diluaskan kubur persinggahan sementaraku hingga akan jadi empat puluh hasta luasnya, kemudian dibukakan kepadaku pintu-pintu syurga hingga dapatku melihat isteri-isteriku, rumah-rumahku dan segala sesuatu yang telah pun Allah s.w.t sediakan untukku sebagai sebahagian daripada kemuliaanNYA. Kemudian pasti sudah aku lebih mengetahui ke tempat tinggalku itu lebih (baik) daripada rumahku sekarang ini. Dan pasti pula akan terkena padaku bauan dan wangian syurga, hinggalah aku dibangkitkan oleh Allah s.w.t nanti.”


“Tetapi kalau aku termasuk pada kelompok yang kedua, A’uzubillah…kuburku menjadi sempit untukku. Lebih sempit dari bucu tombak. Kemudian dibuka untukku salah satu pintu neraka. Di masa itu akan kulihat kepada rantai-rantai membelengguku dan teman-temanku. Seterusnya aku lebih tahu arah dan tempatku di neraka lebih dari pengetahuanku ke rumahku di dunia ini. Kemudian akan terkena aku dengan hembusan sumum (air panas yang menggelegak) dan hamim dari hinggalah aku dibangkitkan”


Ya…kubur itu adalah sebuah menifestasi awal Allah s.w.t kepada penghuninya mengenai tempat tinggal mereka di Negara kekal abadi, hari Qiamat…ke Syurga atau ke Nerakah kita?


Fikir Kematian


Hadis Riwayat Imam at Tirmizi

عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ

نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ

هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ


Dari Syaddaad bin Aus dari Nabi s.a.w baginda telah bersabda Orang yang cerdik ialah orang yang bermuhasabah diri dan ia beramal untuk hari-hari selepas mati Orang yang lemah ialah mereka mengikut hawa nafsunya dan ia berangan-angan keatas Allah


Makanya, saya adalah SEORANG yang BODOH. Seringkali ingkar, lupa dan alpa tentang MATI dan apa yang bakal terjadi kepada saya SELEPAS MATI. Terus ketawa dan ceria atas dunia yang penuh kefanaan ini, sedangkan setiap detik itu merupakan perjalanan yang semakin dekat sengan KEMATIAN. Sungguh…saya sendiri tidak tahu bagaimana keadaan kubur saya nanti! Anda…BAGAIMANA??


P/S:-

:Bulan Mei adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh saya. Sebabnya? Bakal berjuang bersama rakan seperjuangan di alam peperiksaan. Doakan kejayaan saya ye =)

:Atikah Nur...juga sedang berperang dengan paper finalnya. Moga dipermudahkan segalanya ye dik =P

: Kepada yang sedang dan bakal menghadapi 'kemarau' peperiksaan, pesanan ringkas dari saya..baca byk2 surah Al Insyirah banyak2 =)