Monday, February 23, 2009

BijakSANA atau BijakSINI?

Teriknya! Terasa sinar matahari pagi ini seakan memancarkan cahayanya lebih daripada biasa. Duduk di atas pentas berhadapan Tok Guru dalam keadaan matahari yang memancar terik di belakang badan, membuatkan tubuh gempal saya ini mula mengalirkan titisan peluh. “Takpelah..nak salam dengan Tok Guru punye pasal..panas pun panaslah..” bisik hati saya.



Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang tokoh Menteri Besar yang mentadbir sebuah negeri bernama Darul Naim ini banyak menyentuh hati ini mengenai hakikat kepimpinan Islam yang sebenarnya. Perwatakannya, tutur katanya, penampilannya mampu membuatkan diri ini terkesima dan terkeliru pemimpin negara atau rakyat biasakah beliau ini? Serba serbi sederhana, malah..jika ditanya pada saya bahagian manakah dalam penampilannya yang boleh menunjukkan bahawa beliau seorang Menteri Besar, maka saya hanya mampu menggeleng memberi jawapan tidak tahu!

Kezuhudan beliau terhadap dunia meskipun bergelar seorang Menteri Besar, lantas membuatkan diri ini terasa jauh benar dari beliau, saya? Seorang manusia alpa, yang telah menghidap penyakit ‘Al-Wahnu’ sekian lamanya. Terkadang lupa bahawa Allah dan RasulNYA perlu dicintai lebih dari segalanya. Membelek-belek gadget sekitar diri; telefon bimbit, jam, kasut, baju, wallet, laptop..hmm..nampaknya..seolah-olah perkataan ‘Zuhud’ susah benar hendak melekat pada diri ini. Ya Allah..aku perlukan penyucian hati!



Kata Tok Guru “Ambo kalau ikutkan bulih jah, tuntut elaun rumah, elaun itu, elaun ini tapi ambo runsing kalau-kalau elaun itu sok Allah tanya di Padang Mahsyar kelak. Itu hok mu ko, hok rakyat? Manusia loni, keno bijakSANA jangan bijakSINI! Ore hok bijaksana, dio bijok blako tapi kalu ore bijaksini dio bijaksini jah.”

Sungguh, otak bahagian bahasa saya berkerja keras untuk ‘menterjemahkan’ setiap butir perkataan yang tok guru syarahkan. Namun bahagian ini yang paling saya jelas dan punya keberanian untuk disampaikan dalam Tinta Al-Murabbi. Loghat Kelantan ini membunuhku! Mujur, ada rakan berdarah Kelantan di sebelah yang sudi menjadi ‘DUTA’ penterjemah kepada saya. Terima Kasih Din! =)

Orang yang bijaksana, segala-galanya bijak, bijak merancang, bijak mentadbir, bijak mengurus, bijak bertindak, bijak itu, bijak ini. Namun, apa yang lebih penting daripada itu ialah orang yang bijaksana itu akan bijak sehingga ke SANA! Merancang untuk ke SANA, Mentadbir hingga ke SANA, Mengurus untuk ke SANA, Bertindak untuk ke SANA. Pendek kata, segala-gala yang dibuat untuk hari ini adalah bekalan untuk ke SANA! SANA? = Akhirat kelak wahai sang pembaca!

Berbeza dengan orang yang bijaksini. Hanya bijak merancang untuk di SINI, mengurus untuk di SINI, bertindak untuk di SINI, mentadbir untuk di SINI, segala-galanya adalah untuk di SINI! Sini tu adalah di Dunia yang fana’ ini sahaja! Oleh kerana itu, mereka dari golongan ini amat pendek akal fikiran mereka. Dan disebabkan ‘Mind Set’ seperti inilah manusia hari ini tidak segan silu melakukan kemungkaran dan maksiat! Mengambil rasuah, Berzina, serta pelbagai lagi amalan Ahli Neraka. Mereka menyangka dengan aqal licik mereka berjaya terlepas di dunia, hal yang sama boleh di aplikasikan di Yaumul Mahsyar kelak! Alangkahnya bodohnya pemikiran serupa ini!
Barangkali mereka lupa ayat Allah:-

"Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" (al Zalzalah: 6-8)

Arwah abah pernah pesan “Rip, manusia ni ada yang CERDIK dan PANDAI tahu?”

“Bukan sama je ke abah?” Soal saya.

“Lain..Pandai bila kita dapat ‘SCORE’ dalam akademik, tapi cerdik bila kita dapat 'SCORE' dalam hidup di dunia dan di akhirat! Sebab tu orang guna perkataan CERDIK PANDAI!”ujar Abah dalam menterjemahkan dua perkataan itu mengikut ‘Kamus DBP’ versi pengalaman abah.

Nah, si Pembaca sekalian..anda bijakSANA atau bijakSINI? CERDIK ke PANDAI?

Thursday, February 12, 2009

Chelsea FC VS Hull City (7 Feb)

Minggu lepas, berbicara soal Aqidah bersama-sama anak-anak usrah telah menimbulkan sebuah analogi yang agak menarik untuk dikongsi bersama dalam entri kali ini. Sengaja saya bawakan perumpamaan bola sepak kerana sudah tentunya ia agak dekat dengan remaja masa kini. Dan tentunya saya adalah salah seorang peminat bagi sukan berkenaan! Melihat Chelsea di tangga keempat liga ketika ini membuatkan harapan pasukan berkenaan untuk bergelar Juara agak kabur. Namun, tidak mengapalah, unjur strategi Luiz Felippe Scolari tentunya punyai rancangan tersembunyi di saat genting ini. Jurulatih Portugal itu kini barangkali sedang memotivasikan semangat anak buahnya untuk menampilkan persembahan yang terbaik dalam perlawanan seterusnya.



Bagi saya, bola sepak merupakan salah satu topik perbahasan yang agak hangat di kalangan muda mudi kini, maka seharusnya kita selaku Du’at mengaplikasi topik ini sebagai ‘pencucuk jarum’ dahulu, kemudian pandai-pandailah kita ‘menjahitnya’ dengan rapi dan kemas. Tidak perlu terlalu TAKSUB dengan bola sepak, cukup sekadar MENGETAHUINYA, nescaya perbualan anda bersama Mad’u tentunya rancak dan panas.

“Abang, ana ada sedikit kemusykilan, Allah telah pun menetapkan kita samada berbahagia di Syurga atau di humban kedalam Neraka sejak azali bukan? Malah nama kita telah pun tercatit di Luh Mahfuz sebagai penghuni Syurga atau Neraka!” soal anak Usrah saya.

Saya sekadar mengangguk-angguk, menunggu ‘apa yang dimusykilkan’ sebenarnya.

“Maka, mengapa kita disuruh bersungguh-sungguh untuk mengamalkan Islam, beria-ia mengamalkan kebajikan, berbuat baik dan sebagainya sedangkan awal-awal lagi Allah dah tetapkan kita sebagai penghuni Syurga. Sama juga sebaliknya, beria-ia kita mengawal diri dari melakukan perkara yang dimurkai Allah, sedangkan nama kita telah pun tercatat sebagai penghuni Neraka, tidakkah ini sia-sia?” ujarnya lagi.

“Kalau dah begitu keadaannya, lebih baik kita hidup BEBAS sahaja tanpa terikat dengan apa-apa peraturan Islam, tidak begitu?”

Saya berdiam diri sambil menyapu janggut saya yang agak malu untuk tumbuh itu. Diam tanda berfikir, bak kata Ustaz Hasrizal dalam membahaskan The 7 Habit of Highly Effective People, “tekan butang pause bila perlu, untuk memilih reaksi terbaik”.
Selaku pelajar Pengajian Agama Islam, Insya Allah, saya berupaya untuk menjawab dari segi hujah, nas dan dalil Al-Quran dan Sunnah. Namun, untuk membahaskan perkara ini, saya perlukan rujukan semula ke kitab-kitab Aqidah, tambahan pula saya ini jenis ‘ilmu tidak sempat lekat di dada’, dengan kata lain hujah dan nas itu tidak sempat pun untuk dihafaz. Malah, jika ingin menjawab perkara ini, mungkin di pertemuan akan datang dapat dijawab sepenuhnya, tambahan pula jarum jam menghampiri pukul 11 malam.

Saya menggaru kepala yang tidak gatal, memerah bahagian otak kiri saya untuk mencari penyelesaian umum untuk memberi tasawwur awal kepada anak usrah mengenai permasalahan ini. Bagaimana ya? Menjawab permasalahan yang panjang lebar dalam tempoh lima minit? Tidak mahu terlalu banyak mengambil masa anak-anak usrah kerana tentunya banyak hal lain yang mereka ingin selesaikan.

“Enta, ada tengok match Chelsea VS Hull City minggu lepas?”

Sambil tersengih, dia menjawab “Tengok juga, seri! 0-0”



“Ana tak sempat pun untuk mengikuti sepenuhnya match tu, hanya tengok highlights saja, walaupun sudah tahu keputusannya, tapi untuk puas hati, nak juga tengok!”

“Tulah..lawan di Stamford Bridge pun boleh kalah ke?Hadoi la..”keluh anak usrah saya yang lain.

Tersimpul sebuah senyuman di bibir saya. Situasi ini, serupa di kedai kopi gamaknya!

“Haa…anta rasa, kalau lah player Chelsea dan Hull City tu dah tahu awal-awal keputusan di penghujung perlawanan adalah seri..agak-agak mereka akan berusaha keras ke untuk berlawan antara satu sama lain?”saya cuba membuat provokasi.

“Hish..abang oi! Kalau mereka dah tahu keputusan perlawanan sebelum bermain, tentulah mereka bermain sambil lewa sahaja. Tapi, masalahnya, mana ada orang boleh tahu keputusan perlawanan sebelum perlawanan! Ilmu apa dia pakai ye??” cepat sungguh anak Usrah saya ni membetah.

“Pandai pun..dah tu..enta dah tahu ke samada enta ke syurga atau ke neraka? Player Chelsea dan Hull City tu berusaha separuh mati sebab mereka mahu menang! Walaupun pada hakikatnya, pada pengakhiran perlawanan mereka hanya Seri! Mereka menentang satu sama lain bermati-matian kerana mereka tidak tahu apa yang bakal berlaku.” Ujar saya.

“Cuba bawa perumpamaan itu dalam kehidupan kita, ibaratkan diri kita selaku player yang sedang berusaha keras untuk menang, dan 90 minit itu adalah jangka hayat kita! Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku samaada kita ahli neraka atau ahli syurga, namun kita wajib berusaha untuk menjadi ahli syurga bukan? Ke enta nak jadi ahli neraka?”

Sambil tersenyum, mereka menggeleng.

“Ahli Sunnah Wal Jamaah meletakkan usaha manusia itu berdasarkan pilihan mereka. Jika mereka memilih untuk menjadi ahli Syurga maka sepatutnya mereka memilih untuk melakukan kebaikan dan begitu juga sebaliknya”.

Prihal Allah sudah menentukan samaada kita ke Syurga atau ke Neraka serupalah seperti kita menonton perlawanan highlights, melihat player (manusia) berusaha keras, namun kita sudah pun tahu keputusannya!

Mereka termanggu sebentar untuk memproses anologi yang saya keutarakan. Lalu saya menyambung..

“Baiklah, cukup sekadar sedikit analogi untuk permasalahan ini, dah lewat ni..entum semua boleh balik bilik, kalau masih tidak faham, ana boleh jelaskan ikut Dalil dan Nas yang sohih, tapi dalam pertemuan minggu depan lah..kalau sempat sebelum tidur tu..renung-renungkanlah amalan kita sekarang ini, amalan menuju menjadi ahli syurga atau ahli neraka?”

“Ingat pesanan Nabi s.a.w mafhumnya:- Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat. Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu jalan ke syurga. Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu jalan ke neraka”

P/S: Kisah ini dikarang sebelum Luiz Felippe Scolari dipecat sbg coach Chelsea.
: Mohon kemaafan kerana entri ini banyak bercampur aduk bahasa. Sekadar mahu menghidupkan suasana.

Wednesday, January 21, 2009

Alfu Mabruk ya Ukhti!

Ucapan seorang Ibu di hari perkahwinan anaknya:-

Ain..anakku sayang, semalam kau sah bergelar isteri Ahmad Zairil, akad itu, akad yang sama pernah dilafazkan oleh arwah abah ketika menerima Umi. Sungguh, hari itu, telah meniti semula memori Umi bersama Abah dahulu. Akad itu bukan sekadar dilafaz, namun ia datang bersama tanggungjawab yang amat bermakna. Bergelar Isteri bukan semudah bergelar Anak Dara. Kalau dahulu, Ain bergelar CIK kini Ain bergelar PUAN. Kalau dahulu, Ain hanya perlukan kebenaran Umi untuk keluar kemana-mana, kini Ain perlukan juga kebenaran Zairil. Kalau dahulu, hanya makan dan pakaian Ain sahaja yang perlu dijaga, kini makan dan pakaian Zairil juga perlu dijaga dan diteliti. Pendek kata, segala tindak tanduk, segala perilaku perlu mendapat pertimbangan suamimu, Zairil. Ain..Isteri lambang maruah si Suami, WAJIB! Ain, memelihara maruah Zairil sebagaimana Ain memelihara maruah diri. Bicara hati seorang ibu seperti umi, amat menginginkan Ain kekal bahagia. Bahagia bukan sahaja di dunia, malah juga di akhirat. Jangan sekali-kali Ain lupa, jikalau syurga dibawah tapak kaki ibu bagi si anak, syurga juga dibawah tapak kaki suami bagi si Isteri. Sesungguhnya, Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: Jikalau manusia dibenarkan untuk sujud sesama manusia, nescaya aku akan perintahakan si Isteri untuk sujud pada si Suami.



Ahmad Zairil..menantuku, saat akad nikah itu dilafaz semalam, tentunya Zairil tahu ianya bukan sekadar sebuah lafaz. Bukan sekadar lafaz yang berjanji bahawa untuk memenuhi segala hak seorang Isteri secara fizikal dan batin, bahkan ianya lebih daripada itu. Ia sebuah lafaz saksi bahawa Zairil sedia menerima dan menanggung segala dosa yang dilakukan si Isteri sekiranya tidak ditegur! Tegurlah Ain, sekiranya dia melanggar suruhan Syara’, didiklah! Jangan dibiarkan. Selama 26 tahun, Ain dididik dalam pemerhatian Umi, diasuh dan dipelihara. Bagai minyak yang ditatang penuh, Umi tidak pernah biarkan ‘insan sulung’ ini terdedah kepada kekurangan dan kecelaan, maka, peliharalah Ain seperti mana Umi memeliharanya. Jangan dilalaikan tanggungjawab sebagai seorang Suami. Harapnya, dakapan Zairil mampu menggantikan dakapan seorang Abah yang telah pun pergi meninggalkan kami 2 tahun lalu.



Wahai kedua mempelai, ingatlah, hukum Allah menyatakan bahawa lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan begitu juga sebaliknya. Maka, formulanya cukup mudah, perbaiki dirimu untuk menjamin pasanganmu juga baik. Solehkan diri mu untuk menjadikan pasangan mu juga soleh. Sesudah itu, suatu Baitul Muslim akan lahir mencerminkan sebuah peribadi keluarga Islam yang mapan. Semoga, anak-anak soleh yang bakal dihasilkan kelak mampu menjadi Mujahid agama Allah. Anak-anak yang diberi peluang menyinari agama Islam dengan sinar kecemerlangan dan kejayaan.



Tiada kata yang dapat menterjemahkan betapa berterima kasihnya saya dan keluarga kepada seluruh ahli keluarga sebelah En. Abu Bakar (Ayah Zairil) dan juga kepada ahli keluarga saya sendiri serta keluarga Allahyarham Dzulkhefli Ismail. Titik peluh kalian dalam menjayakan majlis walimah ini hanya Allah saja yang mampu membalasnya. Semoga tali persaudaraan yang jauh dapat didekatkan dan yang renggang dapat dirapatkan.



Kepada kesemua tetamu yang hadir, ribuan ucapan terima kasih saya hulurkan kepada kalian semua di atas kesudian kalian untuk menghadiri majlis walimah yang tidak seberapa ini. Majlis ini hanya sekadar majlis perkahwinan biasa sekiranya ukhwah antara kita tidak dieratkan. Sungguh, dalam kesibukan kita melayan dunia, kita terkadang terlepas pandang peri pentinganya persaudaraan ini. Mohon agar hikmah tersirat disebalik semua ini dapat kita hayati bersama, Insya Allah.

Pesanan Penaja =)
: Teks disampaikan di khalayak ramai pada 18 Januari 2008.
: Ribuan ucapan tahniah untuk Along dan Abg Zairil atas pernikahan ini. Sesungguhnya kalian telah pun menyempurnakan sebahagian daripada agama. Semoga keluarga yang bakal dibina sentiasa berada dalam Bi’ah Solehah. Pesanan adikmu ini, telah pun sampai dalam teks yang disampaikan oleh Umi. Of course I’m the one who made it! Isi hati seorang ibu dan adik digabungkan dalam sebuah ucapan yang agak mensayukan hati yang mendengar~
: Digelar kakak sebagai penulis air mata?Betul ke?

Tuesday, January 13, 2009

Apa yang kau mampu?

Menatap akhbar Berita Harian hari ini, diri terasa betul-betul dipengaruhi oleh perasaan marah yang amat kuat. Setiap kali menatap gambar-gambar saudara se Islam kita di Palestin diperlakukan dengan zalim, bulu roma saya menjadi tegak dan darah saya mulai mendidih. Saya genggam buku lima saya erat-erat lalu dengan urat yang masih timbul di dahi, saya meneruskan bacaan. ‘Celaka kau Zionis!’ getus hati saya. Demi Allah! Mereka bangsa Yahudi, bangsa yang kita WAJIB gelarkan dengan gelaran ‘Bangsa Pelarian Seumur Hidup’. Rasulullah sendiri menjadi saksi bagaimana, kaum Yahudi Bani Quraizah diusir dari bumi Khaibar. Setelah kemenangan Islam dalam Perang Khaibar itu, tiada lagi bumi untuk mereka untuk di didiami apatah lagi untuk bergelar sebuah negara!

Gambar demi gambar saya tatap, tangisan, darah, bom silih berganti menterjemahkan betapa rakusnya si Yahudi membaham tubuh-tubuh yang tidak berdosa. Manusia jenis apakah mereka ini?? Diheret kanak-kanak dan wanita, dikumpulkan, lalu dikurung di dalam sebuah bangunan. Mereka bedil dengan hujanan peluru dan mortar bangunan itu sehingga tiada lagi yang BERNYAWA! Lagi, kanak-kanak kecil terpaksa mengangkat mayat ibu mereka sendiri untuk tempoh hampir 4 jam! Mencecah hampir 905 orang mangsa pembunuhan zalim ini, 400 daripadanya adalah kanak-kanak, warga Emas dan wanita! Dimana lagi logiknya alasan kita untuk TIDAK menggelarkan Rejim Zionis ini sebagai B.I.N.A.T.A.N.G?! Jelas sekali, Yahudi Laknatullah ini cuba melakukan penjajahan fizikal dan cuba meng’ghaib’kan Palestin dari Peta Dunia!

Saya menggaru kepala yang tidak gatal..pelik memikirkan dimanakah peranan pemerintahan negara-negara Islam lain, benua Timur Tengah yang majoritinya adalah beragama Islam! Di’buta’kan serta merta, ‘Kelu’ tanpa bicara. CUKUP! Sekadar sekatan minyak negara-negara Arab terhadap Amerika dan Israel sudah pun boleh mengkucar kacirkan ekonomi Amerika yang sudah pun berada di zon tenat. Lantas, serangan ketenteraan lumpuh kerana krisis kewangan yang kritikal. Perkara semudah ini mungkin mudah dengan hanya bicara, namun berat pada tindakan. Ya, saya akui berat pada tindakan, menghadapi kemungkinan yang membawa padah yang berterusan. Tapi, jikalau dibanding PADAH itu, dengan kezaliman dan penindasan Zionis terhadap Palestin selama lebih kurang 60 TAHUN. Masih samakah timbal baliknya??

Disinilah baru kita dapat lihat dengan jelas apabila fahaman ‘PATRIOTISME’ dan ‘NASIONALISME’ mula dijalarkan secara aktif dan melampau dalam pemikiran umat Islam masakini. Suatu kejayaan BESAR apabila BARAT telah meninggalkan ‘PARUT’ ini setelah era kolonial mereka berakhir pada negara-negara yang dijajah mereka. Lalu lahirlah, manusia yang bertopengkan syaitan seumpama Mustafa Kamal Atartuk, Anuar Sadat dan Jamal Naseer. Mereka selaku boneka, telah melancarkan penjajahan bentuk pemikiran sehingga mengenepikan soal Syara’. Lalu menanamkan ideologi BARAT untuk menterjemahkan Al-Quran dan Sunnah yang kononnya menjadi tunggak pemerintahan mereka.

Maaf, saya tidak mengatakan bahawa menyayangi negara (PATRIOTISME dan NASIONALISME) adalah sesuatu yang bertentangan dengan syara’, namun apabila kita mempraktikkannya dengan terlalu melampau dan taksub akan menimbulkan suatu sikap negatif iaitu terlalu mementingkan BANGSA dan NEGARA sehingga membelakangkan AGAMA! Terlalu mementingkan keamanan NEGARA sendiri, RAKYAT sendiri, sehingga kita lupa bahawa negara Islam lain juga merupakan Negara ALLAH, Rakyat ALLAH! Bukan MELAYU, ARAB, CINA, INDIA, PUNJABI menjadi ukuran Allah di negeri Akhirat kelak. Malah lebih dari itu adalah tahap KEIMANAN dan KETAQWAAN kita kepada ALLAH. Dengan kata lain yang lebih mudah = Mengagungkan PATRIOTISME hingga lupa JIHAD! Sudah tentu, tanggungjawab kita sesama MUSLIM lebih penting daripada tanggungjawab kita sesama BANGSA. Jangan kerana itu negara kau yang dibom, bangunan kau yang musnah, rakyat kau yang dibunuh, kita lupa bahawa ISLAM ialah agama dibina atas dasar KETAQWAAN bukan KEBANGSAAN!
Wahai umat ISLAM! Bangkitlah! Sedarlah!

Maksudnya: “Berpeganglah kamu pada tali-tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.”
(Al-Imran: 103)

P/S: This picture has taken from bharian.com.my and segenihrubu3.wordpreess
: Maaf lama tidak update..kesibukan membelengguku~

Tuesday, December 30, 2008

Reunion 10th Generation Of Tahfiz (ITQAN) 27 & 28 Disember 2008

Terasa sengal seluruh tulang temulang badan, mahu saja rasanya melelapkan mata di dalam Bas SKS KL ini, tapi andai saya tidur, tentu hanyut terlepas ke Puduraya!. Dan jika itu berlaku, tentu terlepas peluang saya untuk berdoa Akhir Tahun Hijrah bersama umi yang sedang menunggu di rumah. Biarpun LETIH yang ‘mengurut’ lenguh di bahu, namun hati terasa puas yang amat sangat. Puas bergurau senda, puas bergelak ketawa, puas berendam di kolam, puas melepas rindu yang terbungkam pada sahabat yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Reunion kami di Port Dickson baru-baru ini bagaikan UBAT yang melegakan kesakitan ‘rindu’ pada diri masing-masing. Mana tidaknya, sejak berpisah tahun 2005, hanya ‘Aidilfitri’ yang menyatukan kami, selepas itu, komitmen lain pula yang sering mendampingi diri masing-masing.

Biarpun hanya 9 orang sahaja yang dapat menyertai kami dari jumlah keseluruhan 13 orang, namun Reunion ini tetap meriah. Meriah dengan perkongsian gelak tawa dan cerita-cerita lucu. Tentu tidak terlepas jika ada modal humor yang diketengahkan, jawabnya berderailah ketawa kami. Senak perut dibuatnya! Masih terngiang lagi hilai tawa itu di telinga ini.

Letih main bola sepak pantai rupanya!

Sesungguhnya, ikatan ukhwah yang terbina tujuh tahun lamanya itu, menyimpan seribu satu memori yang tidak pernah luput dari ingatan kami. Bila dikenang kembali zaman itu, pasti sebuah senyuman yang terukir dibibir. Ada yang manis, gembira dan ada juga pahit, sedih, tapi andai digumpal pasti mengimbau sejarah lampau yang terpahat di hati. Saat didenda bersama oleh ustaz kerana tidak tasmi’, saat lari mencanak ketika ‘FLY’ kami terkantoi, saat disebat secara ‘berjemaah’, saat meng’amah’ junior dengan istiqamahnya, saat berkongsi makanan pabila lapar, kenangan itu, andai disenarai tentu menjela panjangnya. 13 ‘budak’ lelaki ini, masing-masing membawa pelbagai ragam tersendiri, cerita dan latar belakang yang tersendiri. Perbezaan itulah yang melengkapkan kami sebagai generasi ke 10 ITQAN.

Sunset view!

Sahabat, air yang dicincang takkan putus. Hari ini kita berukhwah, kita akan terus berukhwah. Bak kata Hafiz a.k.a Sheng, ‘Kita kawan sampai mati rip!’. Harapnya ia kekal begitu. Cuma pesan saya, kita kelak pergi merantau mencari haluan masing-masing, ke Mesir, ke Jordan, ke Maghribi, ke UKM, ke USIM. Tatkala itu, masa dan jarak jadi alasan, jangan dilupa sahabat yang pernah digenggam erat tangannya ini. Masa bakal berlalu tanpa kita sedari, hari ini bergelar Bujang, esok Tunangan orang, mungkin lusa Suami orang. Ketika itu, perkataan ‘sibuk’ mudah sahaja disebut menggantikan ukhwah kita. Tolong ya akh..jangan biar itu berlaku!

Sementara menunggu..

Sahabat, percayalah bahawa bukti kasih dan sayang seorang rakan bukan hanya pada keperihatinan kebajikan, pada kenangan pahit manis yang dikongsi bersama, pada pengorbanan fizikal yang dihulurkan sahaja namun bukti kasih dan sayang juga dinilai pada betapa ringan mulut dan tangan bertindak menegur kemaksiatan @ kejahilan yang dilakukan oleh sahabatnya! Kita telalu menyayangi sahabat, sehingga tidak sanggup meninggalkan mereka terkapai di Neraka Jahanam kelak. Terlalu menyayangi sahabat hinggakan ketakutan kita pada azab Allah diterjemahkan dengan teguran pada teman yang amat kita sayangi! Biarpun, kita tahu, kalau-kalau teguran itu mampu mengeruhkan persahabatan kita dengannya. Sungguh! Saya menilai seorang sahabat bukan dengan pujian namun dengan teguran yang mampu diberikannya.

BBQ Time!

Sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:“Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya”. Jika benar kita bersahabat atas dasar iman, maka adakah DIAM menjadi pilihan tatkala melihat sahabat melakukan maksiat? Sudah tentu tidak! Maka, lahirkanlah kasih sayang mu dengan teguran berhemah dengan apa cara sekalipun.

P/S: This entri dedicated to all my fellow friends too!