Wednesday, May 22, 2013

Anak muda sering terlupa!


Merenung ayat 12-15 surah Maryam:-






Di dalam contoh ini, kita boleh lihat pemuda yang diberikan hikmah kebijaksanaan sejak umur kanak-kanak lagi. Hanya dengan mendengarkan konsep ini, membuatkan kita bertanya kepada diri sendiri, mengapa tidak aku juga mengikut jalan ini?


Al-Quran menganjurkan kepada kita untuk mengikut jejak langkah model ini dengan menginspirasikan hasil daripada akhlak mulia Nabi Yahya a.s. Baginda digambarkan sebagai seorang yang bertakwa, sangat berbelas kasihan dan setia kepada kedua ibu bapanya. Allah s.w.t menggambarkan baginda sebagai orang yang sangat rendah hatinya serta taat kepada tuhannya:-

…dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka. (14)

Al-Quran menyatakan pula bahawa kemuliaan ini berterusan sehingga hari kebangkitan selepas mati. Hari dimana manusia mencari apa saja yang dapat dia berlindung dari kemurkaanNYA. Hari dimana rambut hitam kanak-kanak bertukar uban. Hari dimana, tempohnya sepanjang lima puluh ribu tahun, manusia ditenggelami peluh kerisauan mereka sendiri. 

Kita menemukan formula kepada keselamatan dan perlindungan di hari Pembalasan itu dalam qudwah Nabi Yahya a.s apabila Allah s.w.t berfirman:-

…Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari ia diperanakkan, dan pada hari ia mati, serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat) (15)

Lalu, segala kelebihan ini membuatkan kita tertanya-tanya. Bagaimana Nabi Yahya a.s mencapai karekteristik semulia ini? Bagaimana baginda dapat membina perisai kukuh menahan gelora nafsu duniawi? Bagaimana baginda memilih keputusan dalam kancah kekeliruan manusia?
Jawapannya segera terungkai dalam ayat ini:-

"Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! (12)

Baginda seorang pemuda yang memegang kemas amanah kitab tersebut. Amanah yang dijalankan berdasarkan kefahaman yang dalam, kekuatan menyebarkan isinya, kekuatan dalam tindakan, kesabaran, keyakinan dan kepercayaan yang jitu akan segala ajarannya.

Keselamatan dalam Al-Quran

Apabila dibentangkan segala keilmuan Al-Quran, bermula dengan Qiraat hinggalah Tafsirnya, berapa ramai pemuda hari ini yang benar-benar mengusainya? Apabila ditanya kepada belia hari ini, rata-ratanya akan menggelengkan kepala apabila ditanya;

Adakah anda membaca Al-Quran?

Berapa kalikah anda mengkhatamkannya?

Adakah anda boleh membaca dengan baik bertajwid?

Kerapkah anda meluangkan masa untuk meneliti tafsirnya dan bermuhasabah dengannya?

Al-Quran menawarkan kepada anak muda hari ini keselamatan dalam pilihan keputusan, perisai menongkah kejelikan maksiat, penerang bagi menyuluh kekeliruan, lalu adakah kita benar-benar memeluk erat segala perutusanNYA?

Kembalilah wahai anak muda.

Mudah disebut, namun tidak mudah dilaksana. 

Mengembalikan kebobrokan akhlak kita dengan Al Quran.

Mengembalikan kecelaruan kefahaman kita dengan Al Quran.

Penjernihan manusia kepada Al-Quran, bukan seruan klasik. Sebaliknya ia seruan sepanjang zaman, kerana itulah inti dakwah Rasulullah s.a.w.

Mulai hari ini, marilah berpegang pada ayat ini!

يَـٰيَحۡيَىٰ خُذِ ٱلۡڪِتَـٰبَ بِقُوَّةٍ۬‌ۖ

No comments: