Monday, May 30, 2011

Masih dan Terus untuk Mencuba...

Maafkan saya…

Jika perkara yang membuatkan kamu rasa sensitif , tidak membuatkan saya sentitif…

Jika perkara yang membuatkan kamu marah, tidak pun membuatkan saya marah…

Jika perkara yang membuatkan kamu rasa segan, tidak langsung membuatkan saya rasa segan…

Maafkan saya...

Jika apa yang syadid pada kamu, hanyalah harus bagi saya…

Jika apa yang keras pada kamu, hanyalah lembut pada saya…

Jika apa yang emosi bagi kamu, hanyalah tenang bagi saya…

Hakikatnya, semuanya ini kerana kita berbeza.

Kenapa?

Kerana kita dibesarkan dalam persekitaran (biah) yang berbeza…

Kerana kita lahir dari latar belakang keluarga/jemaah yang berbeza…

Kerana kita mempelajari kehidupan dari kacamata berbeza…

Kerana kita menempuh pengalaman yang berbeza…

Salahkah perbezaan ini?

Tidak, inilah keunikan yang Allah s.w.t turunkan kepada kita. Mempunyai sisi kuat dan lemah masing-masing. Apo ghoman eh kalau sumo manusio ni sepesen (sejenis) yo? =P

Namun, apa yang salah, apabila kita menjadikan perbezaan ini titik untuk menimbulkan perbalahan, bukan titik membentuk kebersamaan.

Sepatutnya perbezaan ini saling bertindan menutup lubang kelemahan. Kita memang takkan pernah menjadi insan sempurna, namun dengan adanya saya dan kamu, kita perlu menjadi jemaah yang sempurna demi menongkah pancaroba dunia yang menggila. Namun, adakah kita sedang begitu?

Faham dan Mengerti

Membina keserasian pada kesemua perbezaan ini bukan senang, melainkan kita sanggup memahami antara satu sama lain. Memahami dan mengerti, bukan mudah, tetapi perlu!

Saturday, May 14, 2011

Empuknya Kerusi Di atas…

“Tuan-tuan dan puan-puan tahu tak, antara semua yang duduk di bawah ni dengan saya yang duduk di atas kerusi penceramah yang empuk ni, bahaya lagi orang yang duduk di atas ni (kerusi penceramah)” ujar guru saya, Ustaz Tarmizi Taha.

(Sumber: Mr. Google)

“Nak tahu kenapa? Sebabnya, tuan-tuan yang duduk dibawah ni sentiasa ada saya yang mengajar ni untuk menegur salah silap tuan-tuan. Bila ada perkara yang melanggar syariat, dalam kuliah sebegini lah saya akan sampaikan nasihat dan teguran. Alhamdulillah, setakat kudrat yang ada ini, Insya Allah saya konsisten menegurnya.”

“Tapi, apa yang merungsingkan, saya yang duduk atas kerusi penceramah ni, kalau salah silap saya, khilaf saya, siapa yang mahu tegur? Lebih-lebih lagi, takut untuk tegur, maklumlah, kononnya saya ni tahap USTAZ dah. Bukan macam tu!”

“Saya juga perlukan tuan-tuan untuk tegur saya, marilah sama-sama kita saling tegur menegur atas kesilapan masing-masing”. Ustaz mengakhiri kuliah beliau.

Allah, Allah, Allah…bergetar hati saya mendengarnya, bergenang air mata…Sungguh, kuliah beliau banyak menyentuh hati saya. Terima kasih ustaz!

Wednesday, May 4, 2011

Review: Bumi Cinta

Saya kurang gemar membaca novel. Sebabnya? Novel pada pandangan saya mempunyai aura tarikan yang tinggi. Sangat tinggi sehinggakan seseorang itu boleh leka dan ‘ghalit’ hanya kerana membaca novel. Berguling-guling dengan novel, makan dengan novel, tidur dengan novel, melepak dengan novel, mandi dengan novel (???). Pendek kata, sekali tersangkut…segala-galanya bersama novel. Apabila mula membuka lembaran pertama, penangannya akan menyebabkan kita tidak mahu berhenti membacanya, ratusan muka surat bukanlah masalah bagi ‘kaki novel’ untuk mengkhatamkannya.

Akhirnya, saya berkeputusan untuk meninggalkan dunia pembacaan novel semenjak tingkatan 5 lagi di ITQAN. Seingat saya, novel terakhir yang saya habiskan ialah ‘Mandatori’ karangan Ramlee Awang Murshid. Itupun akibat terkesan dengan ‘Novel Maniac’ yang melanda sahabat-sahabat ketika itu. Kemudiannya, saya lebih cenderung kepada buku-buku berbentuk ilmiah yang disampaikan dalam laras bahasa yang lebih rasmi dan akademik.

Namun, 2 tahun lepas, salah seorang Murabbi saya, Al Fadhil Ustaz Ismail, pernah mencadangkan agar membaca novel karya Habiburrahman El Shirazy. Sangat bagus dan memberikan impak yang baik katanya. Ayat-Ayat Cinta dan Dalam Mihrab Cinta. Begitu juga adik saya, Amirah Khairiah yang beria-ria menyuruh saya membaca karya-karya Novel Islami seperti itu, samaada yang dikarang oleh Habiburrahman El Shirazy dan juga Fatimah Syarha.

Walaupun begitu, sengaja saya tidak mengendahkan sangat galakan berkenaan kerana saya bimbang akan ‘ketagihan’ yang bakal melanda sekiranya saya memulakan balik pembacaan novel.

“Daripada aku habis masa baca novel, baik aku baca buku lain” bisik hati kecil saya yang sangat skeptikal ketika itu.

Jendela Ilmu

Entah mengapa, ketika singgah ke toko buku kegemaran saya, Jendela Ilmu baru-baru ini, Allah s.w.t melorongkan hati saya untuk membeli sebuah novel. Berlatarbelakang keunikan bangunan klasik Moscow, novel bertajuk Bumi Cinta itu merupakan karya tahun 2010 oleh Habiburrahman Shirazy.

Pulang sahaja ke rumah, saya memilih untuk membaca novel tersebut dahulu, berbanding dua buku lain yang dibeli iaitu Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawiyyah karangan Muhammad Munir Ghatban. Nampaknya, keterujaan untuk menamatkan novel tersebut telah berjaya memesongkan perhatian saya daripada subjek kegemaran saya, Sirah Nabawiyyah. Lihat? Dahsyat bukan penangan novel? ^_^

Akhirnya, guling punya guling, baca punya baca, selepas 3 hari, novel setebal 722 muka surat itu berjaya saya habiskan. 722 muka surat? Lebih tebal dari Al-Quran!