Wednesday, May 4, 2011

Review: Bumi Cinta

Saya kurang gemar membaca novel. Sebabnya? Novel pada pandangan saya mempunyai aura tarikan yang tinggi. Sangat tinggi sehinggakan seseorang itu boleh leka dan ‘ghalit’ hanya kerana membaca novel. Berguling-guling dengan novel, makan dengan novel, tidur dengan novel, melepak dengan novel, mandi dengan novel (???). Pendek kata, sekali tersangkut…segala-galanya bersama novel. Apabila mula membuka lembaran pertama, penangannya akan menyebabkan kita tidak mahu berhenti membacanya, ratusan muka surat bukanlah masalah bagi ‘kaki novel’ untuk mengkhatamkannya.

Akhirnya, saya berkeputusan untuk meninggalkan dunia pembacaan novel semenjak tingkatan 5 lagi di ITQAN. Seingat saya, novel terakhir yang saya habiskan ialah ‘Mandatori’ karangan Ramlee Awang Murshid. Itupun akibat terkesan dengan ‘Novel Maniac’ yang melanda sahabat-sahabat ketika itu. Kemudiannya, saya lebih cenderung kepada buku-buku berbentuk ilmiah yang disampaikan dalam laras bahasa yang lebih rasmi dan akademik.

Namun, 2 tahun lepas, salah seorang Murabbi saya, Al Fadhil Ustaz Ismail, pernah mencadangkan agar membaca novel karya Habiburrahman El Shirazy. Sangat bagus dan memberikan impak yang baik katanya. Ayat-Ayat Cinta dan Dalam Mihrab Cinta. Begitu juga adik saya, Amirah Khairiah yang beria-ria menyuruh saya membaca karya-karya Novel Islami seperti itu, samaada yang dikarang oleh Habiburrahman El Shirazy dan juga Fatimah Syarha.

Walaupun begitu, sengaja saya tidak mengendahkan sangat galakan berkenaan kerana saya bimbang akan ‘ketagihan’ yang bakal melanda sekiranya saya memulakan balik pembacaan novel.

“Daripada aku habis masa baca novel, baik aku baca buku lain” bisik hati kecil saya yang sangat skeptikal ketika itu.

Jendela Ilmu

Entah mengapa, ketika singgah ke toko buku kegemaran saya, Jendela Ilmu baru-baru ini, Allah s.w.t melorongkan hati saya untuk membeli sebuah novel. Berlatarbelakang keunikan bangunan klasik Moscow, novel bertajuk Bumi Cinta itu merupakan karya tahun 2010 oleh Habiburrahman Shirazy.

Pulang sahaja ke rumah, saya memilih untuk membaca novel tersebut dahulu, berbanding dua buku lain yang dibeli iaitu Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawiyyah karangan Muhammad Munir Ghatban. Nampaknya, keterujaan untuk menamatkan novel tersebut telah berjaya memesongkan perhatian saya daripada subjek kegemaran saya, Sirah Nabawiyyah. Lihat? Dahsyat bukan penangan novel? ^_^

Akhirnya, guling punya guling, baca punya baca, selepas 3 hari, novel setebal 722 muka surat itu berjaya saya habiskan. 722 muka surat? Lebih tebal dari Al-Quran!


Tadabbur AyatNYA

Hebat! Setelah sekian lama meninggalkan pembacaan novel, persepsi sempit saya yang dahulunya itu sudah boleh dibakulsampahkan. Novel ini benar-benar boleh menjadi PEMBANGUN JIWA! PENYUBUR SEMANGAT MUJAHADAH serta PENYUNTIK MUHASABAH yang berkesan.

Habiburrahman telah menggarap penceritaan novel ini melalui tadabbur ayat Allah s.w.t:-

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا لَقِيتُمۡ فِئَةً۬ فَٱثۡبُتُواْ وَٱذۡڪُرُواْ ٱللَّهَ ڪَثِيرً۬ا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (٤٥) وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ وَلَا تَنَـٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡ‌ۖ وَٱصۡبِرُوٓاْ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ (٤٦) وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَـٰرِهِم بَطَرً۬ا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٌ۬ (٤٧)

Ertinya:- Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu bertemu Dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang Yang keluar dari negerinya Dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha meliputi pengetahuannya akan apa Yang mereka kerjakan. (al Anfal 45-47)

Ayat ini memberitahu kepada kita secara jelas kunci bagi orang-orang beriman pabila menghadapi musuh-musuh mereka. Ia menyatakan 4 kunci berikut; 1) Berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya, 2) Taatlah kepada Allah dan RasulNYA tanpa berbantah-bantahan, 3) Bersabarlah 4) Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang Yang keluar dari negerinya Dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah.

Melalui 4 kunci ini, Habiburrahman telah membina watak penyelamat keimanan, Muhammad Ayyas dalam novel Bumi Cinta ini. Menghadapi musuh iman yang terjelma dalam bentuk hawa nafsu, Muhammad Ayyas meneruskan survival keimanannya di bumi yang bertuhankan kebebasan dan pornografi iaitu Rusia. Tentunya ujian itu bukan calang-calang yang memerlukan mujahadah yang tinggi. Mujahadah yang sentiasa berlawanan dengan hawa nafsu liar yang menuntut kepuasan syahwat tanpa mengira halal dan haram.

Mujahadah Mengawal Nafsu

Dikelilingi dengan kejelitaan wanita-wanita Rusia, hal ini bertambah parah apabila Muhammad Ayyas terpaksa tinggal sebumbung dengan 2 wanita lain. Kecantikan Yelena dan Linor yang terpaksa ditatap saban hari sudah tentu mampu mengundang gundah pada jiwa pemuda beriman seperti Muhammad Ayyas. Apatah lagi, apabila dirumah, mereka lebih senang mengenakan pakaian yang mampu menggetarkan nafsu mana-mana lelaki normal apabila melihatnya.

Sebuah muhasabah kepada diri saya melihatkan bagaimana tabahnya pemuda itu berusaha untuk memelihara imannya. Mujahadah Muhammad Ayyas segera dibandingkan dengan amalan Fardi saya yang entah layak ataupun tidak untuk bergelar mujahadah sekalipun. Keinsafan segera timbul pabila membaca bahagian yang memperlihatkan kesungguhan Muhammad Ayyas mengawasi Imannya agar tidak tercalar. Ianya seperti menjentik-jentik diri ini supaya mencontohi watak novel itu biarpun identitinya hanya sebuah rekaan.

Muhammad Ayyas, graduan Universiti Madinah itu berada dalam persekitaran sebuah negara yang bertentangan 100% dengan biah solehah yang didudukinya selama ini. Dikelilingi suasana negara yang melihat kerendahan moral sebagai sebuah keagungan, menjadikan misi menyelamat iman itu sebuah penceritaan yang sangat menarik. Maka, andaikan jika kita berada ditempat beliau, mampukah kita melawan arus itu? Atau tenggelam bersamanya?

Teringat kepada kata-kata guru saya, Ustaz Tarmizi Taha ketika beliau mensyarahkan kitab Minhajul Abidin karangan Imam Ghazali:-

“Nafsu itu tidak boleh DIBUANG, sebaliknya ianya perlu DIUBAH dan DIKAWAL melalui jalan Mujahadah”

Novel Ilmiah

Selain itu, satu perkara yang membezakan Novel Islami ini berbanding Novel Jiwang Karat yang lain adalah aspek keilmuan yang diterapkan. Penghuraian mengenai beberapa aspek sejarah apabila Muhammad Ayyas membaca buku di ruangan pejabat Professor Tomskii. Menceritakan bagaimana pandangan bukan Islam mengenai Islam melalui titian sejarah pada muka surat 92 hingga 95 di dalam novel ini. Tidak ketinggalan juga penghujahan ilmiah mengenai Ethiesme pada bahagian dimana berlakunya forum yang membahaskan mengenai kewujudan TUHAN.

Penerapan ilmiah ini secara tidak sedar merupakan sebuah suapan fakta-fakta rasmi yang sengaja dikarang dengan penuh hikmah oleh Habiburrahman melalui jalan bahasa novel yang santai. Bagus~

Kesimpulannya, silalah mula membaca novel Islami seperti ini, siapapun pengarangnya, Habiburrahman Shirazy, Fatimah Syarha, Hilal Asyraf, Abd. Latip Jaafar mahupun Faisal Tehrani. Insya Allah, kualitinya bagai dituang kedalam minda kalian untuk mengalami pencerahan disamping keseronokan mengikuti plot novel tersebut.

P/S:-

: Err..ini review ke SYARAH novel? Panjangnya. Hoho~ (Entri ini sebenarnya telah dikarang pada Januari 2011 lalu, namun kesibukan telah menunda ia untuk dipublishkan pada bulan ini) (^_^)

: Kepada semua rakan-rakan (khasnya untuk adik saya, Atikah Nur nun jauh disana) yang sedang menghidap demam peperiksaan. Silalah study dengan cemerlang ok? Saya mendoakan untuk diri saya dan kalian semua agar najah semuanya Insya Allah. Marilah kita menadah tangan untuk mendoakan antara satu sama lain ye!

No comments: