Belia atau pemuda di dalam Al Quran disebut dengan 3 perkataan (Hasrizal, 2013).
Ghulam (غلام).
Fata (فتى).
Syaab (شاب).
Tumpuan pendidikan yang dibawakan oleh Al Quran mengenai pembentukan belia terlalu banyak dan menyeluruh. Namun, aspek yang akan disentuh dalam penulisan ini adalah sekitar pembentukan Aqidah dan pembentukan Akhlak. Kisah-kisah yang diceritakan secara langsung di dalam Al Quran mengenai belia akan diambil ibrahnya melalui rujukan tafsir.
Ada empat faktor yang menyebabkan kisah dari Al Quran itu merupakan pelajaran yang terbaik dan sempurna (Muhammad Soleh Utsaimin, 2002):-
1) Bersumberkan dari Allah s.w.t
2) Berisi kejujuran.
3) Diungkapkan dengan gaya bahasa yang jelas dan terang. Tiada perkataan yang lebih jelas berbanding Kalam Allah.
4) Kisah itu wujud kerana kehendak Allah s.w.t yang tidak mengkehendaki kita berada diatas jalan yang sesat dan dipandu oleh kisah-kisah ini.
1.1 Pembentukan Iman
1.1.1 Nabi Ibrahim
Di zaman Nabi Ibrahim, telah berleluasanya pemujaan dan penyembahan berhala di kalangan masyarakat. Dengan semangat iman dan tauhid, Nabi Ibrahim selalu menyeru mereka kepada kebenaran dan mencela perbuatan-perbuatan sesat mereka, namun seruan itu tidak dihiraukan oleh mereka Lalu, Nabi Ibrahim bersumpah, dengan suara yang didengari sebahagian kaumnya, sesungguhnya dia akan menipu daya berhala-berhala mereka (Ibnu Kathir, 1994)
Akhirnya pada suatu ketika, Nabi Ibrahim mengambil sebuah kapak lalu ia menghancurkan semua patung berhala pemujaan mereka kecuali sebuah patung berhala yang terbesar, sengaja dibiarkan ditempatnya lalu digantung kapak yang telah digunakan untuk memusnahkan berhala kecil-kecil tersebut dileher berhala itu (HAMKA, 1984)
Alangkah terkejutnya mereka melihat keadaan tersebut, lalu mereka bertanya siapakah yang berbuat begini terhadap tuhan-tuhan kita?
Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Anbiya ayat 60:-
(قَالُواْ سَمِعۡنَا فَتً۬ى يَذۡكُرُهُمۡ يُقَالُ لَهُ ۥۤ إِبۡرَٲهِيمُ (٦٠
Maksudnya:- Kami pernah mendengar seorang pemuda yang selalu mencela berhala ini bernama: Ibrahim.
Nabi Ibrahim dituduh sebagai pengacau ketertiban dan keamanan serta penentang pemerintah sehingga diseret dan diajukan kedepan Raja Namrud (Muhammad Ja’far, 1982). Lalu berlakulah sesi dialog dan perdebatan seperti yang direkodkan di dalam Al Quran. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al Anbiya ayat 62-69:-
قَالُوٓاْ ءَأَنتَ فَعَلۡتَ هَـٰذَا بِـَٔالِهَتِنَا يَـٰٓإِبۡرَٲهِيمُ (٦٢) قَالَ بَلۡ فَعَلَهُ ۥ ڪَبِيرُهُمۡ هَـٰذَا فَسۡـَٔلُوهُمۡ إِن ڪَانُواْ يَنطِقُونَ (٦٣) فَرَجَعُوٓاْ إِلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ فَقَالُوٓاْ إِنَّكُمۡ أَنتُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ (٦٤) ثُمَّ نُكِسُواْ عَلَىٰ رُءُوسِهِمۡ لَقَدۡ عَلِمۡتَ مَا هَـٰٓؤُلَآءِ يَنطِقُونَ (٦٥) قَالَ أَفَتَعۡبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُڪُمۡ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا يَضُرُّكُمۡ (٦٦) أُفٍّ۬ لَّكُمۡ وَلِمَا تَعۡبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِۖ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ (٦٧
Maksudnya:- Setelah dia dibawa ke situ) mereka bertanya: Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim? (62) Dia menjawab: (Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata. (63) Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim. (64) Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)? (65) Nabi Ibrahim berkata: Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? (66) Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu? (67)
Alangkah marahnya mereka mendengar hujah Nabi Ibrahim itu, lalu apabila mereka tidak dapat menjawab lagi, akhirnya Nabi Ibrahim dilemparkan ke dalam api yang sedang menyala. Namun, Allah s.w.t yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang selalu menolong hambaNYA yang ikhlas membela agamaNYA, maka api yang panas sifatnya itu serta menghanguskan bertukar menjadi dingin dan menyenangkan Nabi Ibrahim a.s.
1.1.2 Ashabul Kahfi
نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّۚ إِنَّہُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَـٰهُمۡ هُدً۬ى (١٣) وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُواْ فَقَالُواْ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَاْ مِن دُونِهِۦۤ إِلَـٰهً۬اۖ لَّقَدۡ قُلۡنَآ إِذً۬ا شَطَطًا (١٤
Maksudnya: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat petunjuk. (13) Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran. (14) (Al Kahfi: 13-14)
Firman Allah s.w.t diatas memberitahu kepada kita bahawa para belia Ashabul Kahfi merupakan para pemuda yang berani untuk mempertahankan serta memelihara keimanan, pemikiran, keperibadian mereka. Mereka adalah orang yang teguh imannya, sehingga mereka tidak akur sama sekali terhadap larangan pemerintah ketika itu. Meskipun jumlah mereka sedikit, tetapi keimanan mereka tetap teguh kepada Allah s.w.t. (M.Fethullah Gulen: 2011)
Diriwayatkan bahawa, bahawa pemuda-pemuda itu adalah anak raja dan orang kenamaan dari negara Rom. Mereka telah menghadiri sebuah pesta perayaan yang merupakan adat bagi kaum yang diperintah oleh seorang raja yang bernama Diqyanus. Malahan, pesta perayaan ini merupakan anjuran dan arahan dari raja ini.
Namun, apa yang diperhatikan oleh anak muda ini dalam pesta tersebut merupakan statu perayaan yang mensyirikkan Allah s.w.t. Berlakunya aktiviti penyembahan berhala serta mengorbankan haiwan sembelihan bagi tujuan pemujaan. Seorang demi seorang dari kalangan pemuda itu menyisihkan diri di suatu sudut sunyi di pesta itu. Akhirnya, terkumpul beberapa orang pemuda yang mempunyai pandangan yang sama terhadap kebatilan yang dilakukan oleh kaum mereka di dalam pesta tersebut. Mereka sepakat untuk mendirikan sebuah rumah ibadat untuk bersembahyang menyembah Allah s.w.t. Namun, lama kelamaan, perbuatan ini diketahui orang juga. Mereka dipanggil menghadap raja, lalu diperiksa dan disoal siasat. Disinilah dengan teguh mereka mempertahankan aqidah mereka dengan berkata:-
Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.
Lalu Raja mengarahkan supaya dibuang pakaian dan perhiasan kebesaran mereka. Raja menyuruh mereka pulang untuk berfikir agar kembali kepada agama kebanyakan. Ketika ini, mereka bertekad membuat keputusan untuk berhijrah meninggalkan negeri itu ke suatu tempat yang mereka bebas untuk beribadat dan mempraktikkan tauhid kepada Allah s.w.t.
Mereka berangkat meninggalkan negeri tersebut dan memilih untuk menetap di sebuah gua (Kahfi). Apabila berita kehilangan mereka sampai kepada Raja, dikerahkan pasukan untuk mencarinya. Namun, dengan takdir Allah s.w.t, meskipun pasukan tersebut hampir-hampir dapat menemui gua tersebut, Allah s.w.t telah mengkaburkan penglihatan mereka. Dengan kuasa Allah s.w.t mereka ditidurkan selama 309 tahun. Sehingga apabila mereka bangun dari tidur, suasana ketika itu berbeza. Pemerintahan dan masyarakat ketika itu sudah pun mentauhidkan Allah s.w.t
Penggunaan perkataan Fata (فتى) di dalam kedua-dua surah ini menunjukkan kepada kita bagaimana kesungguhan belia untuk mempertahankan iman mereka daripada diganggu gugat oleh sang Penzalim. Bahkan, cabaran nekad seperti menghancurkan berhala dan menyembunyikan diri ke dalam gua hanya berani dilakukan oleh anak muda. (HAMKA, 1984)
Allah s.w.t telah menurunkan ujian dan cabaran kepada belia ini sebagai satu bentuk didikan terhadap pembentukan iman para pemuda tersebut.
Semakin kuat mereka diuji semakin kukuhlah iman mereka terhadap Allah s.w.t. Menghadap cabaran ini juga sebagai suatu bentuk pembuktian amali terhadap iman, bukan sekadar berkata-kata: “Aku telah beriman”. Firman Allah s.w.t:-
أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ (٢) وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ (٣
Maksudnya:- Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (3)
No comments:
Post a Comment