Monday, August 24, 2009

Ramadhan...Bulan Tarbiyyah

“Haa..Ustaz, ustazah, kenapa ada di antara kita yang berpuasa tapi dalam waktu yang sama melakukan maksiat, tak pun puasa penuh dah sebulan, tapi bila habis je Ramadhan, buat balik maksiat? Siapa boleh tolong saya jawab?” soal En. Mazlan, Pensyarah Jabatan Matematik.

Sengaja beliau mulakan kelas pada tengah hari tersebut dengan soalan yang memerlukan pemerahan otak, mungkin beliau melihat ada di kalangan kami yang sudah mencapai tahap kemengantukan yang amat sangat.

Maka, pelbagai versi jawapan yang kami perbincangkan dan perbahaskan bersama-sama, “Eh..dah macam kelas tasawwuf pula..patutnya kelas matematik ni..” bisik hati kecil saya sambil tersenyum. Sungguh, tumpuan kami tidak lagi terarah untuk belajar dalam waktu tengah hari ditambah pula dengan perut yang sedang lapar, apatah lagi untuk menyumbat formula-formula Matematik yang memerlukan pengaktifan semula sel-sel otak kami! =)

Misi Berpuasa

Pertama sekali, bagi menjawab persoalan di atas, seharusnya kita memperjelaskan misi sebenar seorang Muslim berpuasa. Hal ini bergantung kepada ‘CARA’ kita melihat faedah puasa tersebut, setengah orang, melihat berpuasa dari sudut penurunan berat badan, setengah yang lain, menyelamatkan ‘ekonomi poket’ daripada terus kering, maka cara yang paling tepat dan betul bagi seorang Muslim untuk menentukan ‘cara pandang’ perintah berpuasa ini dengan merujuk kembali makna sebenar berpuasa iaitu dari segi bahasa bererti ‘menahan’. Semua perkara atau perlakuan yang ‘ditahan’ (haram) semasa berpuasa hakikatnya adalah bebas (halal) dilakukan jika tidak berpuasa. Semasa berpuasa umat Islam dilatih bukan sahaja meninggalkan perkara yang haram malah yang halal juga.

Baik, misi utama perintah berpuasa ialah ‘menahan diri’ dengan melawan hawa nafsu. Puasa adalah latihan ‘mengurus’ atau mengawal nafsu yang menjadi musuh dalam diri manusia. Jika solat adalah latihan menghubung hati secara langsung dengan Allah s.w.t, zakat membersihkan rasa tamak kepada harta di dalam jiwa, puasa pula adalah ibadah khusus untuk melawan nafsu. Jesteru, puasa mempunyai mekasnisme tersendiri untuk menangkis segala kejahatan nafsu demi membentuk sifat TAKWA selari dengan firman Allah s.w.t:-

“Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu berTAQWA” (Surah al-Baqarah: 83)

+ Tarbiyyah Syaitan yang kukuh

Saya berdiri bagi menjawab persoalan yang dilontarkan oleh En. Mazlan itu.

“Nafsu kita ni..dah ibarat kader bagi syaitan. Mana tidaknya, 11 bulan syaitan memberi latihan intensif dan agresif kepada nafsu kita untuk terus selesa bersama kemaksiatan. Tup tap..datang Ramadhan, dapat pula untuk orang yang tak pernah sedia untuk menyambut Ramadhan, sokmo leka je.. Kalau nak dibandingkan latihan syaitan selama 11 bulan dengan sebulan je latihan mengawal nafsu..mana nak cukup kan?” sengaja saya simpulkan jawapan dengan persoalan agar ia menjadi sebuah hujah yang boleh dicambah lagi.

+ Nafsu tetap jua dibela nasibnya

Sesetengah riwayat menyatakan bahawa syaitan ‘dirantai’ pada bulan Ramadhan. Pada masa yang sama kita dilarang makan dan minum dalam tempoh beberapa jam. Berdasarkan logiknya, nafsu sepatutunya sudah lemah. Sumber ‘tenaganya’ (makanan) disekat dan ‘mentor’nya telah dirantai.

Ini disebabkan proses ‘menyempitkan’ saluran darah (yang merupakan ‘highway’ syaitan) tidak tercapai sepenuhnya. Nafsu yang diempang pada siang hari bulan puasa telah ‘mengamuk’ sebaik sahaja masuk waktu berbuka. Dengan berbuka secara membazir, gelojoh dan banyak, nafsu bukanlah ditahan, sebaliknya cuma diempang buat seketika dan diledakkan semula semahu-mahunya semasa berbuka. Jadi, tidak hairanlah kalau nafsu bukan semakin lemah tetapi semakin kuat pada bulan puasa.

Perutusan

Maka dengan ini, perutusan Tinta Al Murabbi sempena Ramadhan al-Mubarak ini ingin mengajak seluruh siding pembaca sekalian untuk kembali bermuhasabah diri. Refleksi kembali sejauh manakah misi kita dalam menunaikan ibadah berpuasa ini tercapai. Bulan Tarbiyyah ini menjanjikan segulung ijazah yang bertemakan kesaksamaan “HabluminAllah” dan “Habluminannas” bagi seluruh umat Islam. Kerjakanlah ia dengan penuh rasa tawadhu’ kepada Allah s.w.t.

Akhir entri:-

Ramadhan al-Kareem!


Tuesday, August 18, 2009

Satu Azan: Allah di DAHULUkan, Solat di UTAMAkan.


Seusai solat Jama’ Taqdim di Masjid Al Huda, kami mengambil keputusan untuk berehat sebentar di sini, melepaskan lelah dan menghilangkan mengantuk setelah seharian meronda di sekitar Kelantan. Batu Rakit - Machang – Rantau Panjang – Pengkalan Kubur, di jumlahkan semuanya hampir 6 jam kami ‘merayap’. Semester ini saya telah memilih Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubur, Salor, Kelantan sebagai destinasi untuk ber ‘PBS’ (Pengalaman Berasaskan Sekolah). Alhamdulillah, ada yang sudi menerima kunjungan kami sekaligus menjamin tempat penginapan kami selama seminggu , rumah Saudara Fazimi di Kampung Kubang Rawa, Salor. Sengaja saya ‘lari’ sejauh ini, memandangkan 3 kali ber ‘PBS’ sebelum ini saya memilih untuk melakukannya di sekolah sekitar bandar.

“ Rip..bangun weh..nak masuk asar dah ni, syoknya hang tidur..” ujar Naim. Dia menjadi rakan se’PBS’ saya kali ini.

Saya menggosok-gosok mata bagi menghilangkan baki kemengantukan yang ada. “Pukul berapa dah ni? Nak terus gi rumah Fazimi ke?”

“A’ah..jom la, nak masuk asar ni, kita dah jama’ taqdim tadi, nanti kang..orang duk solat jemaah Asar saf depan, kita berkeruh tidur saf belakang.” Katanya sambil tersengih-sengih. Ketika itu, alunan ayat Quran sudah pun berkumandangkan sebagai muqaddimah sebelum berkumandangnya waktu Asar.

Wira Maroon milik Naim, KBR 3415 bergerak meninggalkan perkarangan masjid. Namun, baru separuh badan kereta keluar dari pintu gerbang masjid, Naim brek mengejut.

Berkerut dahi saya yang masih lagi ber’status’ MAMAI itu, “Awat hang ni?!”

“Tuu...” ujar Naim sambil memuncungkan hujung bibirnya ke arah seberang jalan.

Kelihatan seorang lelaki berumur lingkungan 50 an, berkopiah putih, berbaju Melayu, dan berkain pelekat. Dari gaya pakaiannya itu, saya jangka dia hendak menunaikan solat Asar secara berjemaah di Masjid. Apa yang menarik perhatian kami, pak cik itu kudung kaki kanannya! Dibantu dengan tongkat kaki (leg crutch) yang di apit dengan kedua-dua belah tangan kanan dan kirinya. Setelah di toleh kiri dan kanan bagi memastikan tiada kereta yang lalu lalang, maka dia memulakan langkah melintasi jalan yang jaraknya hampir 10 meter sahaja itu. Sampai di seberang jalan, dia memasuki pintu utama masjid dan berselisih dengan kami yang sedang berada dalam kereta, dia tersenyum lalu mengucapkan ‘Assalamualaikum..’


Tabah Si Tempang.

Sayu hati ini melihatkan situasi itu, ketabahan pak cik itu telah menimbang kembali kekerdilan diri ini yang terkadang acuh tidak acuh dalam menyahut seruan azan. Saya yang sempurna kedua belah kaki ini pun adakalanya tewas dalam memenuhi kehendak solat berjemaah di rumah Allah s.w.t. Ya..dengan kaki yang ada ini saya kerap bergerak ke sana ke mari menunaikan urusan dunia sehingga terlupa ia juga kaki yang dikurnia Allah s.w.t untuk bergerak ke Masjid bagi membereskan urusan akhirat!

Mungkin, kita tidak tempang di SINI, tapi jika kita sering leka dan alpa, mungkin kita akan tempang di SANA! Azan itu, bukan sekadar seruan dari Muazzin bagi memanggil makmum bagi menunaikan solat secara berjemaah tetapi kalimah suci dalam laungan itu adalah wasilah Allah s.w.t memanggil hambanya untuk sujud padaNYA. Nah..jika itu panggilan dari penciptamu wahai Manusia, mana mungkin kau terus menerus melakukan amal duniawi dan mengabaikan azan? Ibarat seorang Raja memanggil salah seorang dari kalangan rakyatnya untuk menerima darjah kebesaran, tiada langsung kemungkinan untuk si penerima itu untuk menolaknya.

Teringat suatu fakta yang saya sampaikan dalam sebuah Usrah Umum untuk adik-adik baru dalam minggu pengurusan baru-baru ini:-

“ Masjidil Aqsa kini telah disekat kemasukannya oleh pihak Zionis Israel. Yang dibenarkan untuk masuk bagi menunaikan solat berjemaah di sana hanya warga tua yang berumur 50 tahun ke atas. Namun, dalam keadaan dikepung oleh AK-47 dan M-16 serta kereta kebal ‘Abraham’ yang beratnya mencecah puluhan tan itupun, masih ada golongan muda yang tegar menyusup masuk bagi menunaikan solat berjemaah! Mereka rela bagadai nyawa demi menyahut sebuah laungan AZAN!”

Kita? Hanya berujiankan JARAK dan MASA~ Sudah tercipta ratusan alasan darinya yang naik lenguh telinga mendengarnya!

Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan salat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk." [At-Taubah: 18]

Dalam surah yang sama di ayat yang ke 108, Firman Allah: "... Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih." [At-Taubah: 108]