Tuesday, December 30, 2008

Reunion 10th Generation Of Tahfiz (ITQAN) 27 & 28 Disember 2008

Terasa sengal seluruh tulang temulang badan, mahu saja rasanya melelapkan mata di dalam Bas SKS KL ini, tapi andai saya tidur, tentu hanyut terlepas ke Puduraya!. Dan jika itu berlaku, tentu terlepas peluang saya untuk berdoa Akhir Tahun Hijrah bersama umi yang sedang menunggu di rumah. Biarpun LETIH yang ‘mengurut’ lenguh di bahu, namun hati terasa puas yang amat sangat. Puas bergurau senda, puas bergelak ketawa, puas berendam di kolam, puas melepas rindu yang terbungkam pada sahabat yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Reunion kami di Port Dickson baru-baru ini bagaikan UBAT yang melegakan kesakitan ‘rindu’ pada diri masing-masing. Mana tidaknya, sejak berpisah tahun 2005, hanya ‘Aidilfitri’ yang menyatukan kami, selepas itu, komitmen lain pula yang sering mendampingi diri masing-masing.

Biarpun hanya 9 orang sahaja yang dapat menyertai kami dari jumlah keseluruhan 13 orang, namun Reunion ini tetap meriah. Meriah dengan perkongsian gelak tawa dan cerita-cerita lucu. Tentu tidak terlepas jika ada modal humor yang diketengahkan, jawabnya berderailah ketawa kami. Senak perut dibuatnya! Masih terngiang lagi hilai tawa itu di telinga ini.

Letih main bola sepak pantai rupanya!

Sesungguhnya, ikatan ukhwah yang terbina tujuh tahun lamanya itu, menyimpan seribu satu memori yang tidak pernah luput dari ingatan kami. Bila dikenang kembali zaman itu, pasti sebuah senyuman yang terukir dibibir. Ada yang manis, gembira dan ada juga pahit, sedih, tapi andai digumpal pasti mengimbau sejarah lampau yang terpahat di hati. Saat didenda bersama oleh ustaz kerana tidak tasmi’, saat lari mencanak ketika ‘FLY’ kami terkantoi, saat disebat secara ‘berjemaah’, saat meng’amah’ junior dengan istiqamahnya, saat berkongsi makanan pabila lapar, kenangan itu, andai disenarai tentu menjela panjangnya. 13 ‘budak’ lelaki ini, masing-masing membawa pelbagai ragam tersendiri, cerita dan latar belakang yang tersendiri. Perbezaan itulah yang melengkapkan kami sebagai generasi ke 10 ITQAN.

Sunset view!

Sahabat, air yang dicincang takkan putus. Hari ini kita berukhwah, kita akan terus berukhwah. Bak kata Hafiz a.k.a Sheng, ‘Kita kawan sampai mati rip!’. Harapnya ia kekal begitu. Cuma pesan saya, kita kelak pergi merantau mencari haluan masing-masing, ke Mesir, ke Jordan, ke Maghribi, ke UKM, ke USIM. Tatkala itu, masa dan jarak jadi alasan, jangan dilupa sahabat yang pernah digenggam erat tangannya ini. Masa bakal berlalu tanpa kita sedari, hari ini bergelar Bujang, esok Tunangan orang, mungkin lusa Suami orang. Ketika itu, perkataan ‘sibuk’ mudah sahaja disebut menggantikan ukhwah kita. Tolong ya akh..jangan biar itu berlaku!

Sementara menunggu..

Sahabat, percayalah bahawa bukti kasih dan sayang seorang rakan bukan hanya pada keperihatinan kebajikan, pada kenangan pahit manis yang dikongsi bersama, pada pengorbanan fizikal yang dihulurkan sahaja namun bukti kasih dan sayang juga dinilai pada betapa ringan mulut dan tangan bertindak menegur kemaksiatan @ kejahilan yang dilakukan oleh sahabatnya! Kita telalu menyayangi sahabat, sehingga tidak sanggup meninggalkan mereka terkapai di Neraka Jahanam kelak. Terlalu menyayangi sahabat hinggakan ketakutan kita pada azab Allah diterjemahkan dengan teguran pada teman yang amat kita sayangi! Biarpun, kita tahu, kalau-kalau teguran itu mampu mengeruhkan persahabatan kita dengannya. Sungguh! Saya menilai seorang sahabat bukan dengan pujian namun dengan teguran yang mampu diberikannya.

BBQ Time!

Sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:“Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya”. Jika benar kita bersahabat atas dasar iman, maka adakah DIAM menjadi pilihan tatkala melihat sahabat melakukan maksiat? Sudah tentu tidak! Maka, lahirkanlah kasih sayang mu dengan teguran berhemah dengan apa cara sekalipun.

P/S: This entri dedicated to all my fellow friends too!

Sunday, December 21, 2008

Coret si Anak Rantau : Masjidil Haram - Makkah al Mukarramah (5-16 Mac 2008)

Saya mengetap bibir tanda geram. Mana tidaknya, sudah tiga hari saya duduk ‘mematung’ dihadapan seorang syeikh yang sedang menyampaikan syarahan nya dengan penuh semangat. Hampir ‘lenguh ‘ telinga saya cuba untuk menangkap satu persatu kalimah Arab yang dituturkan oleh syeikh ini, namun masih tidak berjaya memahaminya. Terlalu laju! Tambahan pula, bukan Bahasa Arab Fushah yang diucapkan beliau sebaliknya Bahasa Arab ‘Ami yang jarang sekali saya mendengarnya apatah lagi untuk mempelajarinya. Sakitnya hati! Hajat dihati, andai diberi kesempatan, ingin juga menimba ilmu dibumi penuh Barakah ini. Masjidil Haram..titisan peluh dakwah Nabi dan sahabat pernah menitik disini. Tanah Haram ini pernah menjadi saksi peritnya perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Tanah Haram ini juga pernah menjadi bukti betapa Sulh Hudaibiyyah mencerna kedamaian dalam Fathul Makkah. Derita dan Damai sering bertukar ganti ketika itu. Namun Insan Tauladan itu tidak pernah berhenti, mengeluh, putus asa dengan menitipkan risalah Tauhid pada hati batu bernama Quraisy.

Saya menarik nafas panjang, kesal menyelubungi hati ini, tersentak dek kerana kejahilan lughah ‘arabiyyah yang dimiliki. Sedih melingkari ruang emosi diri kerana hajat menadah ilmu di bumi Makkah ini tidak kesampaian. Babul ‘Umrah tentunya acap kali mentertawakan saya yang hanya mampu ternganga tatkala syeikh itu padat melontar ilmu pada pelajar yang mendongak kehausan ilmu!



With my ummi n my sis

Tiba-tiba, suatu perbualan berbahasa Melayu menyinggah telinga saya. Sambil menoleh kebelakang saya dapati Pak Cik Aziz (ahli rombongan Umrah saya) sedang berbual bersama seorang lelaki berkulit hitam manis. Tutur lelaki itu berbaur Melayu Indonesia, lalu saya hampiri mereka. Pemuda itu rupanya salah seorang pelajar Indonesia di Ummul Qura’. Ahmad namanya. Setelah berta’aruf, saya bertanyakan, kalau-kalau ada di antara syeikh yang mengajar ini menggunakan Lughah Arab yang lebih mudah difahami. Pemuda ini menjawab ‘Enta pergi ke Bab Abdul Aziz, disana enta akan nampak segerombolan orang Melayu yang sedang mendengar kuliah daripada Syeikh Abdul Kadir Al Mandili, beliau Ulama’ dari Malaysia dan sering menyampaikan kuliah disini dalam Bahasa Melayu!’ Nah..terasa kecil amat pengetahuan diri ini, hinggakan ulama’ bangsa sendiri memberi kuliah di Masjidil Haram pun saya tidak pernah mengetahuinya!

Saya tersenyum keriangan! Lantas terus menuju ke tempat yang dimaksudkan oleh pemuda tersebut. Saya lihat seorang lelaki yang mungkin separuh abad umurnya sedang duduk bersila di atas kerusi sambil menyampaikan kuliahnya dalam bahasa Melayu! Saya duduk bersebelahan dengan seorang pemuda dan bersalaman dengannya, pemuda itu bertanya kepada saya ‘Enta Min Malayzi?’, ‘Na’am’ saya mengangguk. ‘Ohh..ana ingatkan enta dari Vietnam atau China, wajah enta seiras Pan Asian Chinese Look!’, saya tersenyum lantas membalas ‘Saya dengan Jackie Chan tu adik beradik tau! Cuma saya ni Muslim je..’ Kami tertawa kecil, lalu pemuda bernama Afiq itu menyerongkan sedikit Kitab Shahih Bukhari itu untuk tatapan saya. Saya senang dengan gurauan serupa ini dan seringkali juga menggunakan modal yang sama sebagai bahan humor, terutamanya bersama rakan yang baru dikenali. Dengan humor ini, tentunya First Empression seseorang terhadap kita lebih menyenangkan.


Syeikh Abdul Kadir Al Mandili

Syeikh Abdul Kadir Al Mandili sedang mensyarahkan sebuah hadis dari Shahih Bukhari yang berbunyi:-

Pada hari Kiamat kematian akan didatangkan lalu disembelih seperti yang telah dikhabarkan Nabi saw: “Jika penghuni Syurga telah masuk Surga dan penghuni Neraka telah masuk Neraka, akan didatangkan kematian itu disembelih, lalu ada orang yang menyeru, ‘Hai penghuni Surga, tidak ada kematian (setelah ini)! Hai penghuni Neraka, tidak ada kematian (setelah ini)!’maka penghuni Surga bertambah gembira. Sedang penghuni Nereka bertambah sedih.” (HR. Al-Bukhari no. 6548 dan Muslim no. 2850 (43) dari Sahabat Ibnu ‘Umar).

Kata Syeikh Abdul Kadir Mandili:- Kesedihan penghuni Neraka itu adalah kerana azab yang sedang mereka tanggung itu tidak akan tamat sebaliknya akan berkekalan kerana tiada lagi istilah MATI di Akhirat kelak. Sedang kulit dibakar hingga hangus, manusia meraung kepedihan dan kesakitan, kulit itu kemudiannya diganti yang baru, kemudian mereka dibakar lagi, begitulah berulangnya azab neraka terhadap penghuninya, hingga titisan air mata tidak mampu lagi menterjemahkan kesakitan yang mereka alami.

Hadis yang sama pernah saya dengar syarahnya dalam sebuah ceramah Audio oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebulan sebelum berlepas ke Tanah Suci ini. Dua kali diperdengarkan hadis yang menggerunkan ini oleh dua tokoh yang berbeza, seolah sebuah amaran kepada diri, jika berani menggerakkan anggota badan menuju kecelakaan dan kemaksiatan maka beranilah menanggung risiko azab pedih di neraka kelak! Tindakan mu adalah pilihanmu wahai manusia!

Jangan dicabar Ayat Allah yang berbunyi:-

إِنَّهُ مَن يَأْتِ رَبَّهُ مُجْرِماً فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيى

Sesungguhnya barang siapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan berdosa, maka baginya neraka Jahanam. Dia tidak mati didalamnya dan tidak pula hidup (Tahaa: 74)

Maksud tidak mati di sini ialah mereka berulangan merasakan azab dan maksud tidak hidup pula ialah hidup yang dapat digunakan untuk bertaubat.

‘Sesungguhnya aku tidak layak masuk syurgamu, namun tidak pula sanggup ke neraka mu’

Saturday, December 6, 2008

Lihatlah dengan Mata Hatimu...

Pulang sahaja dari surau pagi ini, Buletin Pagi TV3 menjadi hidangan mata saya sementara menunggu masa untuk sarapan. Namun, pagi ini terasa agak berbeza banding pagi sebelumnya. Tidak sunyi seperti biasa, tapi ummi dan saya ditemani dengan bunyi helikopter. Bukan sekali, malah seperti punyai lalu lintas helikopter pula di udara. ‘Buat apa pula helikopter ni merayap pagi-pagi buta sebegini?’

Sedang persoalan itu bermain di kepala, saya tersentak apabila Buletin Pagi itu menceritakan mengenai kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ampang! Hampir tersedak air teh yang sedang dihirup, baru minggu lepas saya berulang dari sana, menghadiri kelas B.Arab di Madrasah Ad Diniyyah. Menurut Ustaz Yazid, kawasan kejadian hanya 300 meter sahaja dengan madrasah itu.

Terus, menguatkan lagi ‘volume’ bagi mendengar berita lanjut. Lebih 14 banglo tertimbus dek tanah runtuh kira-kira pukul 4 pagi tadi. Sehingga kini, dianggarkan 6 orang lagi yang masih terperangkap dan angka korban yang ditemui mencecah 4 orang! Terkini, 4 orang daripada yang terperangkap itu telah dikenalpasti lokasinya.

Cepat-cepat keluar menuju ke balkoni untuk melihat, mungkin boleh dilihat kawasan kejadian ini dari balkoni rumah saya. Mengecewakan, tidak nampak..kawasan kejadian jauh ke dalam barangkali. Tidak seperti peristiwa Highland Tower tahun 1993 dahulu. Boleh dilihat jelas, blok itu yang asalnya 3 berkurang menjadi 2! Runtuh…Mengikut perkiraan, hanya 5 hari lagi, tanggal tragedi ini akan mencukupkan usia 15 tahun peristiwa Highland Tower.



Bergetar hati ini membayangkan perasaan ahli keluarga yang baru kehilangan ahlinya secara tiba-tiba. Mungkin semalam baru mereka makan malam bersama, mungkin semalam mereka melakukan solat Isya’ berjemaah, mungkin semalam mereka mengerjakan Qiyamulaill bersama! Sudah tentunya berkecai hati ini kerana tidak menyangka makan malam itulah, makan malam yang terakhir, solat Isya’ itulah solat yang terakhir dan Qiyamulaill itu, Qiyamulaill yang terakhir secara bersama.

Saya petik kata-kata Dato’ Shaharudin Adnan (Bapa kepada salah seorang mangsa, Shaiful Khas) dalam usaha mengesan anaknya:-

"Saya menggunakan telefon bimbit untuk mengesan anak saya yang tertimbus. Shaiful kemudiannya ditemui dengan tangannya yang sejuk dan masih memegang telefon bimbit, dan dia disahkan telah meninggal dunia,"

Allah…tidak termampu rasanya hati ini meletakkan rasa empati andai saya berada di tempat ayahnya! Tentu, longlai kaki yang melangkah, terkulai tangan yang digenggam. Sedihnya saya hanya dapat diterjemahkan dengan untaian doa untuk arwah dan juga keluarga, agar tabah mengharungi ujian yang meniup kencang.

Wahai hamba Allah, kamu sentiasa layak diuji! Kerana itulah hakikat hamba kepada Allah, diuji agar ditambah maqam darjatmu di Akhirat kelak. Jangan dipersoalkan mengapa kamu yang diuji, mengapa bukan insan lain? Sesungguhnya, inilah hakikat kita sebagai manusia, hanya dapat melihat dan mempelajari hikmah setiap ujian, bukan dipersoalkan Allah atas dasar jahilnya kita si ‘Insan Lupa’, seolah kita lupa Allah itu Maha Mengetahui, Maha Bijaksana. Buruknya ‘ujian’ itu atas pandangan mata kasar kita yang melihat apa yang zahir, gunalah mata hatimu untuk ‘melihat’, nescaya tersingkaplah hikmah, terbentanglah apa batin. Tabahkan hati, kuatkan dirimu..

Moga ayat ini sedikit sebanyak dapat menenangkan hati yang berdukacita itu, biar lega dengan musabab, inilah Qada’ dan Qadar Allah:-

Ertinya: Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Al Ankabut: 2

Wednesday, December 3, 2008

Sufi - Mujahid Agama

Dewasa ini, perkataan ‘Sufi/Tariqat Tasawuf’ seringkali dihujani dengan pelbagai fitnah yang amat sempit. Seolah-olah golongan ini sudah di’tampal’ status mereka dengan perkataan-perkataan seperti karamah, kasyaf, ilham, firasat, mimpi, wali-wali ghaib, tok syeikh sahaja. Malah, sangat menyedihkan, apabila ada mengatakan bahawa mereka ini hanyala golongan pelik pak-pak zikir yang tidak peduli perkembangan semasa, hanya reti beruzlah sehingga meninggalkan permasalahan ummah! Alangkah sempitnya pemikiran ini!

Baiklah, dalam entri kali ini, saya akan cuba sedaya upaya membentangkan beberapa fakta mengenai peranan golongan sufi ini dalam perjuangan jihad.

1. Syeikh Abu Yazid Al Bistami, bukan sahaja seorang guru Mursyid dan pemimpin kerohanian, bahkan merupakan seorang pejuang yang berani dalam menyertai apa jua medan peperangan sehingga beliau pernah berkata: ‘Aku telah ditetapkan untuk bersama-sama dengan para Mujahideen (di medan perang). Aku menetakkan pedang di muka musuh-musuh Allah itu bersam mereka didalam masa yang lama’. Dalam hal ini, Dr. Abd. Halim Mahmud di dalam sebuah karangannya menegaskan Syeikh Abu Yazid ketika berada di barisan hadapan, bukan hanya semalaman bersandar di tembok-tembok kubu Islam, malah beliau juga terus berzikirullah tanpa putus-putus.

2. Dalam peperangan Salib, para ulama’ Tasawuf telah memainkan peranan yang cukup penting seperti yang dinukilkan di dalam Haqaiq’an al-Tasawuf: ‘Dan di Mesir, di waktu tentera Salib tiba di Dimyat, golongan Sufiyyah seperti Syeikh Abu Hasan Asy Syazili, ‘Izuddin Bin Abd Salam dan Abu Fath Bin Daqaq al-‘Iyd dan ulama-ulama lain telah memberikan khidmat yang sebaik-baiknya untuk menentang tentera Salib’.

3. Di Benua India pula, kita menemui tokoh-tokoh perjalanan kerohanian seperti Syeikh Ahmad Al-Sirhandi, Syah Waliyullah al Dihlawi dan lain-lain yang sangat berjasa kepada Islam kerana jidah mereka dalam politik dan agama sehingga Syeikh Abu Hasan An Nadwi menyebutkan pentingnya peranan mereka itu dengan katanya: ‘Sesungguhnya saya sentiasa menyatakan bahawa jika tidak kerana wujudnya mereka itu dan jihad mereka, nescaya Islam telah lenyap ditelan oleh agama Hindu, tamadun dan falsafahnya’.

4. Di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu, kita akan temui tokoh-tokh Tasawuf yang memainkan peranan penting di dalam politik dan pentadbiran negara. Pada zaman kegemilangan empayar Islam Acheh pada abad ke 16 -17. Kita dapat melihat bagaimana peranan yang dimainkan oleh Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abd. Rauf Singkel dan lain-lain lagi.

5. Di samping itu, yang sudah termasyhur ialah seperti Imam Al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir Jailani, Imam Hasan Al Banna lain-lain. Dalam hal ini, Al Maududi berkata: ‘Sesungguhnya mereka (ahli tasawuf) mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam di daerah-daerah yang jauh terpencil yang belum ditakluki oleh tentera-tentera Islam atau yang belum dapat ditundukkan di bawah hukum Islam. Di tangan mereka itulah, Islam tersebar di Afrika, Indonesia, pulau-pulau di Lautan Hindi, China dan India.

6. Abu Hasan Ali An Nadwi pula menukilkan mengenai dakwah Syeikh Abdul Qadir Al Jailani dengan katanya: ‘Kira-kira 70 000 orang telah menghadiri majlis (ta’limnya). Lebih 5 000 orang Yahudi dan Nasrani telah memeluk Islam menerusi usahanya. Lebih 100 000 orang-orang jahat dan perompak atau pencuri bersenjata yang telah bertaubat menerusi usahanya. Beliau telah membuka pintu taubat dan bai’ah seluas-luasnya , maka orang ramai yang tidak diketahui bilangan mereka itu kecuali Allah sahaja, telah masuk ke dalamnya. Sehingga akhlak mereka menjadi baik dan demikian juga keIslaman mereka itu’



Demikianlah, beberapa fakta yang saya kutip daripada sebuah buku yang bertajuk ‘Sufi Mujahid’ sebagai rujukan. Ianya merupakan karangan Ibrahim Mohamad. Saya melihat bahawa fakta ini mampu membuktikan kepada kita bahawa golongan sufi bukanlah golongan yang hanya duduk beruzlah, tidak produktif dan tidak berjihad.

Saya tidak menafikan bahawa ajaran tasawuf ini merupakan suatu disiplin ilmu yang agak rumit kerana ianya berkaitan dengan hati. Ianya banyak diselewengkan masa kini hingga ada yang terjerumus ke dalam kesesatan. Namun, ia bukanlah suatu ‘tiket’ untuk melebelkan bahawa kesemua mereka ini sesat! Kita seharusnya meniliti dan merujuk pada mereka yang ‘ahli’ dalam bidang ini sebelum membuat sesuatu rumusan/keputusan.
Ingatlah ayat Allah dalam surah An Nahl ayat 43:-

Ertinya: Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, Yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu Bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

Monday, December 1, 2008

Lapangkanlah HATImu seluas TASIK!!

Ariff sedang termenung di tepian tasik seorang diri, sendiri dan menyepi. Raut wajahnya mentafsirkan seribu kecelaruan yang sedang bermain di dalam hatinya. Ribuan timpaan masalah tidak berhenti-henti menjergah kotak pemikirannya.

‘Wang belanja tidak mencukupi’
‘Ibu tidak berapa sihat kebelakangan ini’
‘Abah jarang pulang ke rumah kerana sibuk’
‘Adik-adik perlukan belaian kasih sayang’
‘Rakan-rakan yang menjengkelkan’
‘Pelajaran semakin merosot’

Masalah itu seakan-akan berpakat untuk menambahkan keserabutan dan kekusutan di hatinya. Dalam tidak sedar, matanya berair, menjirus pipi lalu tumpah ke tanah. Tidak tertampung rasanya lagi untuk menahan sebak. Memikirkannya sahaja sudah tidak mampu, apatah lagi untuk menyelesaikannya!

Ustaz Azizullah mendekati muridnya yang duduk keseorangan itu. Dari tadi dia asyik memerhatikan tingkah laku anak muridnya itu. Masakan tidak, seusai kelas tasmi’ pagi tadi, dia perasan bahawa anak murid itu tidak ceria seperti biasa. Dua tiga minggu kebelakangan ini pula, muraja’ah Ariff seringkali tersangkut dan bercelaru. Sudah tidak masyi seperti dulu. Malah, dia kini sedang keciciran berbanding rakan-rakannya yang lain.

Dibelai bahagian belakang tubuh Ariff dengan lembut. Ariff berpaling dan cepat-cepat mengesat air mata apabila mendapati gurunya itu duduk bersebelahan dengannya.

‘Ustaz? Assalamualaikum’ salam sambil mencium tangan gurunya itu. Tanda hormat si penuntut ilmu.

‘Walaikumsalam, duduk sorang-sorang lepas Asar ni? Tak pergi main bola?’ Soal ustaz.

‘Tak ustaz, tiada mood pula rasanya petang ini’ jawabnya jujur.

‘Kenapa? Ustaz perhati kamu 2-3 minggu ini, lain benar fe’elnya? Ada problem?’

‘Asif ya Ustaz, bukan sengaja dibuat-buat perangai itu, banyak benda yang berselirat di otak saya sebenarnya, makin bertambah umur, makin bertambah pula masalahnya’ air mata yang cuba ditahan, tetap mengalir sedikit demi sedikit.


Ustaz Azizullah tersenyum. Jarang benar melihat anak didiknya itu bermuram durja. Ariff yang dia kenal seringkali beraut ceria bersama rakannya. Tidak sangka, raut itu sekadar tempelan untuk menyenangkan hati yang lain. Mulia sungguh jiwa anak muda ini.

‘Dah, tak macholah lelaki meleleh, nah ambil botol ni kemudian isikan dengan dua genggam garam. Pergi minta pada cik kafe, kemudian datang ke sini semula. Bersama segelas cawan ya?’ kata ustaz sambil menghulur botol yang dikutipnya dibawah kerusi.

Ariff taat menurut arahan. Selang 7 minit, dia kembali bersama bersama garam dan cawan yang diminta.



‘Ha..sekarang, ambil segenggam garam letakkan ke dalam cawan, kemudian isi dengan air hingga penuh dan kacaukan hingga larut’

Ariff melakukan seperti yang dipinta ustaz. Sambil hatinya tertanya-tanya, ‘apalah yang ustaz nak suruh aku buat ni?’

‘Ok..sekarang kamu minum air garam tu sampai habis!’ arah ustaz.

‘Ha?Ustaz ni?Betul ke?’ dalam percaya atau tidak Ariff mempersoalkannya.

‘Minum jelah..’

Adat penuntut, mesti patuh arahan guru selagi tidak bertentangan dengan syara’. Maka, minumlah si Ariff sehingga habis. Mujur cawan kecil yang dibawa, jadi kuantitinya agak sedikit kalau nak dibandingkan dengan sebuah gelas!

Kelat mukanya menahan masin. Selesai, air diminum, ustaz pinta…

‘Kamu ambil baki garam yang lagi segenggam itu, dan lemparkannya ke dalam tasik!’

Ariff melakukannya seperti yang di pinta.

‘Ok..kamu minum air tasik itu sampai hilang masin kamu itu!’

Ariff cepat-cepat menuju ke tepian tasik, minum sepuas-puasnya, rasa masin tadi tentunya telah men’cekik’ nilai deria rasanya. Mujur pula air tasik disitu jernih dan memang boleh diminum. Kalau airnya seperti sungai Kelang??

Sambil mengelap saki baki air yang masih menitik di sisir bibir. Barulah terpacul soalan kepada sang ustaz, ‘Kenapa ustaz suruh saya buat begini?’

Tenang sambil tersenyum raut wajah Ustaz Azizullah. Cukup sejuk hati melihat wajah seorang guru yang tidak ternilai kejujurannya mencurah ilmu kepada yang memerlukan.

‘Ariff…MASALAH adalah corak hidup setiap insan. Mahu atau tidak ianya tetap akan menjengah bertanya khabar setiap masa. Ketabahan kita menghadapinya merupakan kayu pengukur nilai ketaqwaan kita kepada Allah Azza Wa Jalla. Lari daripadanya bukan sikap seorang mukmin yang baik. Malah boleh memburukkan keadaan. Jadi, apa yang penting ialah bagaimana kita menghadapinya!’

Ariff terpaku diam, Ustaz Azizullah memandang anak muridnya dengan pandangan yang redup. Sambil menghela nafas yang panjang, beliau menyambung…

‘Kalaulah, masalah yang menimpa, kita sambut dengan HATI yang sempit seperti sempitnya gelas itu tadi. Maka, sudah tentu terasa kemasinan yang amat sangat bukan? Namun, jika kita terima masalah itu dengan HATI seluas tasik ini, masih terasakah kemasinannya? Itulah caranya kita menghadapi setiap masalah yang mendatang!’

Maka anakku…luaskan lah hatimu seluas tasik ini! Ingat ayat Allah ayat 216 Al Baqarah:-
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Ertinya: Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

‘Jangan biarkan emosi membaluti rasional akal fikiran awak!’ =) Hope still keep this word!

P/S : A story dedicated for Ummi, Along, Ika dan Iyah! Not to forget to my MURABBI Ustaz Azizullah Bin Jamal Rashid

Sunday, November 30, 2008

Belasungkawa Allahyarham Dato' Razali Ismail


Marilah kita sama-sama menyedekahkan surah Al-Fatihah kepada Allahyarham Dato' Razali Ismail (Timbalan Menteri Pelajaran) yang telah kembali ke rahmatullah pada 28 November 2008 di IAB (Institut Aminudin Baki). Semoga Allah meletakkan rohnya bersama mereka yang beriman.

Sepanjang hayatnya, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengetua di Maktab Peguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu (nama kini IPKT). Meskipun tidak berkesempatan berada di bawah naungannya, namun saya banyak mendengar pembaharuan Islamik yang Allahyarham bawa ketika berada di MPKT. Antaranya, mewajibkan kesemua guru pelatih solat zohor secara berjemaah seusai kuliah pada pukul 1.30 tengah hari. Selepas solat Zohor, diadakan pula KULTUM (kuliah tujuh minit).

Kunjungan Allahyarham ke IPKT sekitar 2006-2008 membolehkan saya mendengar 'talk' secara 'live' di hadapan mata. Apa yang saya kagumi ialah penggunaan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan ucapan. Sungguh unik dan kreatif. Ucapan Allahyarham banyak mengandungi ungkapan bahasa yang menyebabkan kita perlu berfikir secara lebih terbuka.

Semoga ahli keluarga beliau tabah menghadapi ujian ini. Allah yussaheel 'alaik.

Saturday, November 29, 2008

Kisah Seorang Guru Atheis

Maka tersebutlah kisah seorang guru sekolah rendah yang telah memegang fahaman Atheis (tidak mempercayai wujudnya tuhan). Suatu hari, sebelum memasuki kelas dia dilihat duduk termenung di balkoni sebelum memasuki kelas tahun 1 Aktif. Dia sedang berfikir cara dan pendekatan yang paling sesuai untuk menyedarkan murid-muridnya mengenai ketidak wujudan tuhan di muka bumi ini. Dia mahu meletakkan anasir buruk dalam pemikiran muridnya meragui kewujudan tuhan. Perah punya perah keringat otaknya itu, maka muncullah suatu idea yang agak rasional dan mudah pendekatannya. Dia tersenyum kambing lantas terus menuju masuk ke kelas tahun 1 Aktif itu.

Seusai ucap selamat diberikan oleh seluruh isi kelas. Guru itu memulakan pengajaran dengan membawa set induksi yang telah difikirkan sebentar tadi. Dikeluarkan sebatang pen dan ditunjukkan kepada murid-muridnya. Diangkatnya dengan agak tinggi agar semua murid dapat melihatnya.

Guru : Murid-murid, cikgu nak bertanya, apakah benda ini?

Murid : Sebatang pen!

Guru : Bagus! Dia wujud kan dihadapan kamu?

Murid : Wujud!

Guru : Ha…ianya wujud kerana kamu nampak ia.

Terukir sekuntum senyuman penuh makna. Lalu disorokkan pen itu ke dalam poketnya.

Guru : Ha…sekarang kamu nampak tak pen tu?

Murid : Tak!

Guru : Maknanya pen tak….?

Murid : Tak Wujud cikgu! Pen tidak ada!

Guru : Pandai kamu semua! Baiklah..sekarang cikgu mahu kamu semua cari di sekeliling nampak di mana-mana adanya Tuhan?

Murid-murid pun mulalah mencari-cari disekeliling mereka untuk mencari ‘objek’ tuhan!

Guru : Kamu semua percaya tuhan kan? Carilah dimana-mana, bawah meja ke? Diluar tingkap ke? Tak pun didalam tong sampah barangkali?

Sudah puas murid-murid mencari namun tidak jumpa juga ‘Tuhan’ yang dimaksudkan.

Murid : Penatlah cikgu! Tak nampak pun tuhan?

Cikgu : Tak jumpa ke? Ha…kamu tidak nampak pun kan tuhan tu dimana-mana? Maknanya….tuhan itu tidak….?

Murid : Tuhan tidak wujud cikgu! Tuhan tidak ada cikgu!

Guru tersenyum puas, akhirnya dia berjaya memasukkan keraguan biarpun dalam keadaan yang sedikit dan simple.

Tiba-tiba, seorang murid angkat tangan, Ariff namanya.

Guru : Kenapa kamu angkat tangan Ariff?

Ariff : Saya nak tunjukkan sesuatu pada semua.

Guru : Baiklah, kamu boleh ke hadapan.

Dia berdiri betul-betul bersebelahan dengan cikgunya.

Ariff : Kawan-kawan nampak tak cikgu di sebelah saya?

Murid : Nampak!

Ariff : Baiklah…sekarang saya nak kawan-kawan cari dimana letaknya otak cikgu?

Murid : Mana nampak lah ariff!

Ariff : Haaa…kamu tak nampak ya? Saya pun tak nampak! Maknanya…cikgu tidak ada…?

Murid : Cikgu tidak ada otak! Otak cikgu tidak wujud!

Ariff : Pandai kawan-kawan saya! =)

Guru tersebut merah padam mukanya menahan malu, terus keluar dari kelas. Aii..cikgu! ingatlah Allah Laisa Kamislihi Syaiun!

Thanx to Bro Shah Kirit for this story! FCR @ MMU.





Thursday, November 27, 2008

Sangat-sangat sibuk??

Kinokuniya KLCC 12.20 tengah hari

Dek kerana terkejut melihat kelibat seseorang di sebalik rak buku di hadapan saya, hampir terjatuh buku ‘Trevelog Haji’ yang sedang saya belek, mujur tangan cekap menggenggam kemas kembali buku itu. Masih dalam percaya atau tidak, saya melihat beliau buat kali kedua kali ini dengan mengelap kaca mata. ‘ Betulkah apa yang aku lihat ni? ‘. Bagi mendapatkan kepastian, saya capai sebuah buku bertajuk ‘Aku Terima Nikahnya’. Terus ke bahagian belakang kulit buku untuk melihat gambar pengarangnya. ‘ Ha…sebijik! Betullah Ustaz Hasrizal tu!’

Rasa teruja yang amat sangat kerana dapat bertemu ikon besar yang mempunyai peranan penting dalam dunia dakwah di Malaysia. Sudah tentu, saya tidak melepaskan peluang menegur beliau. Berbual dalam jangka masa yang agak suntuk, saya betul-betul rasa tidak puas dan ingin bertemu lagi kelak. Namun, saya faham situasi ustaz yang agak sibuk dan katanya dia akan bertolak ke Ipoh pada pukul 2 nanti. Sebelum berpisah, saya sempat bergambar bersama beliau untuk dijadikan kenangan. Bukan senang nak bergambar dengan ikon ini. Terima kasih ustaz, kerana sudi melayan kerenah peminat mu ini.


Buku ustaz Hasrizal yang bertajuk ‘Aku Terima Nikahnya’ telah pun saya khatam kira-kira 3 bulan yang lalu. Melihatkan ‘kesibukan’ ustaz dalam buku tersebut menyebabkan saya terasa ‘kecil’ kerana seringkali mengeluh letih dengan kesibukan aktiviti-aktiviti di IPKT. Ustaz sudah pun berumah tangga, sudah mempunyai anak-anak, tentunya tanggungjawab ustaz bertambah berlipat-lipat kali ganda berbanding diri ini.

Seusai buku itu saya baca, satu pertanyaan menyergah kotak pemikiran, hari ini, dalam keadaan ini, saya sudah pun mengeluh kerana terasa bebanan tugas yang amat sangat. Tugas yang pada anggapan saya amat ‘besar’ ini, sudah pun mampu menterbalikkan waktu tidur saya, soal pemakanan tidak sempat dijaga dengan baik, dan tahap kekemasan bilik sudah mencapai piawaian ‘bilik bujang’ versi bersepah. Soal remeh begini pun saya tidak dapat jaga dengan baik, apatah lagi jika saya sudah mempunyai tanggungjawab lain kelak? Saya khuatir, andai tiba saat itu, saya tertekan sehingga membuat keputusan untuk menamatkan ‘riwayat’ aktiviti dakwah saya demi menjaga kestabilan rumah tangga.

Terasa jauh sangat diri ini dengan gambaran perjuangan ketika zaman Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w juga seperti insan lain yang mempunyai isteri dan anak-anak, malah tanggungjawab Rasulullah s.a.w bukan sekadar ketua keluarga, segala urusan pentadbiran negara dibawah jagaan baginda, namun semuanya digalas baik oleh manusia sempurna ciptaan Allah itu. Jangan dikatakan Rasulullah, malah peranan ulama’-ulama’ silam juga tidak layak jika dibandingkan dengan diri yang kerdil ini. Mereka mampu meninggalkan kepada kita ratusan kitab meskipun ditakdirkan Allah untuk meninggal dunia dalam usia yang muda! Diri ini? Sebutir kitab pun tidak termampu~

(Al Ashr:1-3)

Ya Allah, janganlah golongkan kami dari hamba-hamba yang rugi dan menyesal di akhirat kelak. Kerana, di hari akhirat kelak, penghuni neraka berasa amat-amat menyesal dengan sedikitnya amalan mereka semasa di dunia sehingga memohon untuk dihidupkan semula, biarpun sesaat untuk menebus waktu itu dengan amal kebajikan. Penyesalan yang mereka rasakan amatlah dahsyat sehinggakan mampu memutuskan tangkai jantung mereka. Na’uzubillah.

Sunday, November 2, 2008

Ibarat Bermain Ragbi...

Hampir 7 bulan saya ditaklifkan sebagai Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Islam @ Ketua Exco Kerohanian dan Moral. Bermakna hampir 7 bulan jugalah saya ditindan oleh batu besar yang bernama tanggungjawab. Ke hulu ke hilir dengan ‘batu’ tersebut mengurniakan kelelahan yang amat sangat. Suatu tanggungjawab yang datang dengan amanah itu tidak disambut gembira oleh hati ini. Menyedari yang datang itu suatu ‘bala’ tidak dipinta, apatah pula untuk diharapkan.

Tatkala, diri ini keluar mengerjakan umrah di tanah suci Makkah, nama diusul oleh rakan seunit untuk bertanding dalam pilihan raya. Sedikit kesal, terasa seolah dipermainkan. Sekurang-kurangnya, maklumkanlah pada tuan empunya diri mengenai perkara sepenting ini. Namun, biarlah…perkara telah berlalu dan telah pun dilabel ‘sejarah’. Seusai watikah perlantikan jawatan, method dakwah mula mencatur strategi kerana bak kata pepatah arab “Waktu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotongmu”. Bermula dengan apa? Sudah tentu dengan menyusun sebuah organisasi. Mana mungkin, mampu dilakukan segala kerja dengan kudrat yang sekeping ini? Bermula dari pensyarah penasihat, diteruskan kesinambungan dengan melantik 6 orang ahli majlis tertinggi dan menubuhkan 7 buah lajnah. Nah, sebuah Tanzim telah terbentuk. 20 orang kesemuanya. Terbina untuk memikul bersama sebuah ‘batu’, tuntutan dari yang ESA.

Tempoh 7 bulan bersamaan 210 hari bukan suatu tempoh masa yang pendek, penuh jam kredit untuk melengkapkan sebuah semester bukan? Banyak pengalaman dan penderitaan yang terkutip sepanjang perjalanan. Pahit, manis, masam dan masin semuanya ditelan sebagai syarat pencukup rasa bagi menghasilkan ‘resepi’ kenangan perjuangan yang hebat. Diri yang hina ini, mohon agar api dakwah terus membara dan menyala sepanjang hayat. Kata Imam Al-Ghazali:- “ Jika kamu tidak disibukkan dengan urusan agama Allah, maka kamu akan berada dalam kemaksiatan”

Maka, diri ini bimbang jikalau kemaksiatan mula mendominasi usia muda yang sepatutnya diabdikan kepada Rabbul ‘Izzati. Sengaja ‘menyibukkan diri’ dengan segala macam program di dalam atau luar IPKT. Sama ada meng ‘program’ kan muslim lain, ataupun meng ‘reprogram’ diri sendiri. Kedua-duanya sama penting, perlu ada keseimbangan antara satu sama lain. Namun, sangat merisaukan saya, dalam keadaan aktif bergerak itu, saya terabai dan terlepas pandang mana-mana pendapat atau teringkar mana-mana arahan dari pensyarah penasihat. Tidak terlepas juga kebimbangan saya andai terkasar bahasa atau terlepas kata dalam menuturkan arahan kepada rakan seperjuangan.

Apa yang termampu dari insan cuai dan leka ini, hanyalah pohonan maaf dan kesalan yang amat sangat. Tertuju khas kepada Ustaz Ismail Yusof (KJ JAPIM), Ustaz Mohd. Nor Jusoh, Ustaz Syed Hasan, Ustaz Sabawi, Tn. Haji Ahmad Zahari Omar dan untuk kesemua pensyarah penasihat MPPI. Anak muda yang berkhidmat ini tahu, PASTI ada yang terkecil hati. Keasyikan berpersatuan ini kadang kala melupakan adab dan tata susila si pejuangnya. Harapannya, pohanan maaf ini diterima dengan hati yang terbuka. Anggaplah diri ini ibarat insan buta yang masih ‘teraba-raba’ mencari tongkat panduan. Bantulah si buta ini menyeberangi sebuah jalan yang teramat sibuknya.

Buat rakan seperjuangan, maafkan diri ini andai ‘suis’ komunikasi yang baik antara kita gagal dipetik. Terkadang arahan terpancul pada waktu dan tempat yang tidak sesuai. Mungkin lagakku seperti bos mengarah perkerja, walhal, pekerja dibayar gaji, kalian semua kerja secara free. Namun, kerjamu itu bukan untuk saya, ianya untuk Allah dan RasulNYA, agar dapat dibawa bekal menghadap si Tuhan yang bakal bertanya di Yaumul Qiamah kelak.

Kalau ada khilaf pendapat antara kita, jangan di ‘kurap’ kan dendam di dalam hati. Ketahuilah, dalam mana-mana persatuan@gerakan sekalipun, setiap kali ‘persidangan’ atau ‘muktamar’, pasti ada yang menghentam, bukan menjatuhkan, namun untuk teguran dan kritik demi kematangan masa hadapan.

Ibarat bermain ragbi, kita sepasukan, sedang hebat menggempur kubu lawan, mencari ‘touchdown’ dalam ‘hut’ demi ‘hut’. Secara tidak sedar kita ter ‘siku’ perut dan ter ‘terjah’ kaki rakan sepasukan. Sengaja atau tidak, pulangkan pada niat empunya diri. Namun, perlu diketahui itulah lumrah permainan, antara tersiku atau disiku, sama ada diterjah atau menerjah. Apa yang penting, itu wajib ditelan sebagai pejuang. Bak kata Ustaz Hasrizal Abd. Jamil, ujian itu bukan sahaja dari musuh taghut yang dihadapi, namun, ia juga datang dalam keadaan yang tidak disangka. Mengapa? Kerana medan perjuangan kita amatlah luas, sama juga luasnya dengan ujian yang bakal kita hadapi.


'KAMI' dalam lawatan ke IPTKL

ibnu_dzulhefli / 2 Zulkaedah 1429 /9.35 mlm

Wednesday, October 29, 2008

‘KEBEBASAN’ satu perspektif yang disalah erti?

Suatu ‘Miss Concept’ yang semakin menular di kalangan mahasiswa era kini makin merisaukan saya. Malahan, kesalahan dalam pemikiran ini juga banyak mempengaruhi kotak kognitif para dai’e pejuang agama Allah. Terkadang, hairan memikirkan sejauh mana keberkesanan tamrin dan latihan yang diterima oleh para pejuang ini sehingga sanggup ‘lari’ dari medan dakwah sebaik sahaja menjejakkan kaki ke bumi IPT@IPG.

Silap tamrin? Atau silap fikrah sang pejuang? Atau silap waqi’ dan mad’u yang terlalu membeban? Pemerhatian selaku insan kerdil di bumi IPKT ini banyak memicit bahagian otak saya untuk berkerja keras bagi menyelesaikan persoalan-persoalan ini. Tambahan pula, teramat bimbang jikalau istilah ‘mandul’ mengisi corak aktiviti dakwah di IPKT pada masa hadapan. Nah, andai ini terjadi, pasti kemaksiatan dan kemungkaran menanti untuk mengambil alih menjadi ‘tajuk’ utama. Lantas, jangan disalahkan takdir jika turunnya bala’ dan bencana menimpa kita.

“Aku ingin bebas!”

“Jemu dan membosankan! Aku juga punya hak untuk bebas seperti orang lain!”

“Sudahlah! Aku penat bersifat hipokrit!”

Antara luahan rasa golongan yang ‘memurtadkan’ diri mereka dari arena perjuangan Islam. Dahulu, sewaktu era persekolahan, mereka pernah dinobatkan sebagai Ketua Pelajar, Ketua BADAR, Ketua Exco Kerohanian dan Moral, Ketua Pengawas, Ketua Biro Dakwah dan Sahsiah, Ketua Nuqaba’. Istilah ‘Amar Ma’ruf Nahi Mungkar menjadi rencana utama hidup mereka di sepanjang sesi persekolahan. Pendek kata, strategi da’wah Islamiyyah menjadi perkara kedua terpenting dalam pemikiran mereka selepas pelajaran. Tentu lebih hebat lagi jika mereka itu antara pemegang tampuk kepimpinan di sekolah-sekolah agama sekitar Malaysia.

Namun, wujud kekesalan dalam diri, apabila ‘future leader’ yang diharap dapat menjadi penyambung waris perjuangan Allah di IPT@IPG ini, ‘layu’ sebaik sahaja melangkah ke alam yang lebih kuat pancarobanya ini. Malah, apa yang menyedihkan mereka ini pula yang tertarik ke kancah keasyikan duniawi versi IPT@IPG. Pantang yang amat-amat terlarang ketika berada di era kegemilangan persekolahan dek kerana imej kepimpinan mereka, disilih ganti ketika ini. Apa tidaknya, dahulu, kalau ingin ber ‘couple’ sudah tentu ada kata-kata sinis yang menyinggah telinga, kerana dia seorang pemimpin! Kini, di IPT@IPG tiada siapa yang mengenalinya dan kalau adapun hanya segelintir. Imej yang ‘menghantuinya’ selama ini berjaya dibuang jauh-jauh. Kali ini, dia mahu merasa apa nikmatnya ‘couple’. Mungkin, ini yang dikatakan ‘anjakan paradigma’ barangkali? Alahai…mana perginya istilah ‘ikhtilat’ yang kau sering bicarakan selama ini ya akh??!!

Mungkin saya boleh bertoleransi jika alasan yang diberi untuk ‘bersara’ ialah tidak dapat menyesuaikan diri, belum ada kekuatan, tidak sampai seru dan lain-lain alasan stereotaip yang sering menjadi ‘perisai’ mengelak diri. Saya juga faham jikalau apa yang menghalang, terdiri dari ‘ujian’ yang menjadikan masa sebagai penentu utama. Namun, amat menyakitkan hati jika alasan berbau ‘kebebasan’ diutarakan. Malah, dengan ‘kebebasan’ yang diidamkannya itu, komitmennya bersama dakwah Islam berkurangan, lebih menyedihkan tidak mahu terlibat langsung secara rasmi! Wahai saudaraku! Sedarkah anda, kami memerlukan khidmatmu lebih dari sekadar menjadi ‘follower’. Kami tagihkan khidmatmu, pengalamanmu dan hasil ‘tangan’mu itu.

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلآئِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمْ قَالُواْ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الأَرْضِ قَالْوَاْ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُواْ فِيهَا فَأُوْلَـئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءتْ مَصِيراً97


Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang Yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat Dengan berkata: "Apakah Yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang Yang tertindas di bumi". malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, Yang membolehkan kamu berhijrah Dengan bebas padanya?" maka orang-orang Yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (An Nisa:97)


Ayat ini mengisahkan bagaimana orang Muslim yang tidak berhijrah lalu diseksa oleh orang Musyrikin Makkah sehingga meninggal dunia, dihumban oleh Malaikat ke neraka jahanam. Mengapa? Kerana, apabila ditanyakan apa yang telah kamu lakukan untuk agamamu? Mereka beralasan bahawa mereka dahulu sering ditindas sehingga tiada masa untuk berjasa kepada Islam. Lalu Malaikat menjawab, bukankah bumi ini luas sehingga membolehkan kamu berhijrah padanya?


Nah, ini dalilnya, sedangkan alasan berada dalam keadaan ditindas sekalipun dihumban Allah kedalam neraka, apatah lagi hanya beralasankan ‘kebebasan’ semata-mata? Wahai ‘pesara’ pejuang Allah, sedarlah ‘kebebasan’ yang anda cari itu bukanlah sebenar-benar kebebasan, kerana kebebasan yang sebenar itu hanya dinaungi oleh syari’at Allah.


Saya memetik anologi mudah dari Ustaz Pahrol Mohd. Juoi, apabila disediakan lampu trafik sebagai pengawal lalu lintas dalam mana-mana simpang empat, adakah merah itu menandakan kita selamanya tidak boleh bergerak langsung? Tidak! Sebaliknya, kita perlu menunggu ianya bertukar kepada hijau untuk melintas. Begitulah juga setiap apa yang Allah larang, bukannya tidak diberi langsung peluang melakukannya cuma perlu ditelusuri syariat supaya menjadi manusia yang sebenar-benar ‘manusia’.

Ibnu_dzulkhefli / 4.23 ptg / 29 Syawal 1429 H

Monday, October 27, 2008

Cerpen: Realiti Subuh Masa Kini..

Subuh.. Sayup-sayup kedengaran laungan azan tatkala hening pagi, laungan mengajak manusia untuk menunaikan solat itu sungguh merdu sekali. Namun, kemerduan suara itu seolah-olah mendodoikan aku yang sedang lena diulit mimpi. Aku sedar, aku dengar, aku tahu itu azan, laungan memanggilku menunaikan solat. Tapi, Dwi gabungan pakatan kejahatan, syaitan dan nafsu terlebih dahulu memekakkan telingaku, disumbatnya rongga telinga itu dengan bisikan-bisikan jijik, "Alangkah enaknya kalau kau teruskan tidurmu itu wahai manusia.. Tidurlah.. Kau penat bekerja disiang hari, berhempas pulas berusaha untuk mencari sesuap nasi.. Apa salahnya kau berehat sedikit?"

Biasa dengar alasan ini? Bukankah ini alasan kalian juga wahai saudaraku? Usah tipulah. Aku manusia. Kau juga manusia. Punyai kawan bernama syaitan.. Punyai hati bersalut nafsu. Tewas muslim itu pagi ini. Syaitan bukan setakat bertepuk tangan, bersorak, menari, berguling, ketawa meraikan kecemerlangan mereka. Usaha mereka membuahkan hasil. Muslim tadi kembali menarik kulit babi yang tadinya terselak sedikit. "Biarlah.. Aku penatlah hari ini.."

Disatu tempat yang lain, sayup-sayup kedengaran laungan azan tatkala hening pagi, laungan mengajak manusia untuk menunaikan solat itu sungguh merdu sekali. Kemerduan itu bagaikan hembusan yang amat kuat menerpa telingaku. Aku sedar, aku dengar, aku tahu itu azan, laungan memanggilku menunaikan solat. Lalu, aku bingkas bangkit. Digosok-gosok mata ini. Terkebil-kebil ke kiri. Terkebil-kebil ke kanan. Alhamdulillah. Syukur. Allah tiupkan roh ku kembali pada tubuhku. Lenguh rasanya badan ini. Sengal di sini. Sengal di sana. Penatnya seharian berkerja semalam masih tak hilang lagi. Pakatan tanpa senjata itu muncul lagi, Syaitan memulakan rutinnya seperti biasa. "Dah tahu penat tu tidur jelah. Rehatkan dirimu dulu wahai manusia. Badanmu lenguh, penatmu masih belum hilang lagi. Tidurlah dulu. Kemudian bangunlah semula." Arggghh! Nafsu tidurku membuas lagi. Mengantuknyaa. Biarlah. Aku impikan ganjaran 27 kali ganda itu. Aku impikan melalui titian sirat sepantas kilat. Telapak kaki ini mencecah ke lantai simen yang sejuk. Burrr. Dinginnya. Ahh. Pedulikan! Menujulah aku kerumah Allah yang satu.

Yang mana satu dikau wahai manusia? Pilihlah. Kita serupa. Punyai nafsu. Punyai kawan bernama syaitan. Tapi iman yang membezakan kita. Tinggi ke rendah?? Laratkah kita menjadi singa Allah yang mengaum sedangkan menghalang menguap pun tak mampu?? Sahabat2 seperjuangan, berapa byk nikmat Allah yg kita kecapi hari ini?? Demi Allah! Semuanya tidak terhitung! Apalah salahnya dkorbankan saat kelazatan tidur di kala subuh utk berjemaah?Ingat! Selangkah kita rapat padaNya seribu langkah Allah rapat pada kita. Allahu rabbi. la usyriku bihi ahada!

There's no success without 1st step right?

Assalamualaikum…
1st of all, seinfiniti kesyukuran ke hadrat Allah 'Azza Wa Jalla. Diri ini mengorak langkah untuk membina sebuah 'lagi' blog. Sebelum ini, mungkin dah ditakdirkan friendster blog ku 'mati' di pertengahan jalan. Jadinya, harap ditiupkan spirit kekuatan untuk serius dalam pembikinan blog ini. Allahumma Ameen..

Nothing much about this blog. Sekadar mahu dijadikan salah satu medium dakwah n islah untuk seluruh umat Islam n bukan Islam. Berpegang dengan sebuah hadis nabi: "Sampaikan daripadaku walau sepotong ayat", blog ini diharap dapat memberi peluang insan lain untuk menerobos pemikiran, pendapat dan ilmu saya yang kerdil dan hina ini.

Mungkin ini menjadi salah satu gerak kerja saya dalam menegakkan Kalimah Allah di muka bumi. Tidak diharap HASIL dakwah yang menimbun dan sempurna kerana bukan itu yang dinilai Allah dan bukan itu ketentuan saya. Tetapi, apa yang menjadi wazan di Padang Mahsyar kelak ialah istiqamahkah kita dalam meniti perjalanan dakwah itu sendiri.

Lantas, hadis nabi berbunyi:

الأنسان لايخلو عن الخطئ ونسيا

(Manusia tidak lari dari kesalahan dan lupa)

Memberitahu diri agar dibuang jauh sifat ego dan sombong bahawa diri ini sentiasa betul. Ikhlas saya katakan sekiranya terdapat sebarang kesalahan dlm apa jua artikel selepas ini, saya dengan hati yg terbuka akan menerima kesalahan itu. diri ini bukan tok syeikh, ulama’, dan bukan ustaz sekali pun..Namun sedikit ilmu didlm dada ini andai dapat dikongsi bersama2 tentu bermanfaat n boleh diambil iktibar.

Ilmu ini datangnya juga dari Allah dan saya rasa kalian juga berhak mencedoknya. Sekali lagi saya tegaskan jika sebarang kesilapan didalam artikel selepas ini mohon kritikan positif. No hal punye.Sampai disini sajalah. Kelopak mata terasa dah berat. Penat barangkali memandu sejauh 315 km dari Johor Bharu pulang ke 'desa' tercinta siang tadi.Wassalam.