Monday, February 27, 2012

Cinta jarak ribuan batu

“ Isteri duk mana? Kenapa tak bawa isteri sekali datang?”

“Ish..jauhnyaa, takpelah, bawa bersabar banyak-banyak ya..”

“Hidup pisah-pisah ni memang perit sikit, tapi tula dugaan ye tak?”

Inilah antara ungkapan yang sering terpacul dari mulut mereka yang bertanya. Apatah lagi, musim-musim kenduri kahwin sekarang ini, ramai mak cik dan pak cik yang bertanya mengenai pasangan saya.

Menghadapi dialog-dialog seperti ini untuk lebih 2 tahun akan datang, usahlah dibayangkan perasaan saya. Berjauhan dengan isteri itu sendiri sangat terseksa, terpaksa pula berhadapan dengan soalan-soalan umum seperti itu yang kebanyakannya saya akhiri dengan senyuman kambing sahaja. Bukanlah menyalahkan si penanya, namun sekadar menceritakan perasaan sendiri.

Jika diikutkan hati, sekarang juga saya mahu terbang ke sana berjumpa puan isteri, namun komitmen kewangan dan tugasan menjadi penghalang. Manalah dapat ditahan perasaan hati ini, jika setiap kali rindu itu hanya diluah pada angin lalu. Sekadar mahu berpuitis itu, bolehlah..tapi untuk melalui hari-harinya? Allah s.w.t sahaja yang tahu.

Semakin kreatif

Percintaan merentasi benua ini, menjadikan kami lebih kreatif untuk saling berhubung. Segala wadah yang ada kami optimumkan bagi menggantikan maujud diri yang sepatutnya sentiasa di sisi.

Mujurlah, Allah s.w.t mengilhamkan kepada manusia untuk mencipta pelbagai perisian canggih seperti Skype, Yahoo Mesengger, Facebook, Fring, Whatsapp dan sebagainya. Hikmahnya, jurang komunikasi antara kami terbuka luas dan secara tidak langsung kami telah terokai lubang-lubang baru untuk berborak panjang dan ‘video call’ tanpa bayaran.