Monday, October 31, 2011

Sisi Syukur Mu’min dalam Surah An Nasr


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا (٢) فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا (٣)


Ertinya:

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); (1)

Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; (2)

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.(3)

Pinggir kota Makkah, tahun ke 8 Hijrah



Tidak terbayang oleh sesiapa pun ketika itu, tatkala Nabi Muhammad s.a.w dan Saidina Abu Bakar keluar meninggalkan Makkah berhijrah ke Yathrib, bahawa pada suatu hari mereka akan pulang semula membuka kota dengan membawa hampir 12 ribu orang-orang Islam. Kekuatan umat Islam ketika itu telah menggetarkan puak kafir Quraisy yang berkubu di bandar Makkah.

Derapan kaki menggegarkan pinggir kota Makkah, menandakan kemaraan umat Islam untuk membuka semula kota Makkah...

Friday, July 8, 2011

Undangan Majlis Akad Nikah & Kesyukuran.




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang.

Alhamdulillah, berkat kurniaan dariNYA, dengan segala hormat, kami menjemput semua rakan dan kenalan kami ke majlis akad nikah dan kenduri kesyukuran kami; Ariffudin bin Dzulkhefli & Izyan Izzati binti mahzan .

InsyaAllah akan berlangsung seperti yang berikut:-

Majlis pihak lelaki -









Wednesday, June 8, 2011

Musim Kenduri Kahwin

Musim cuti sekolah kali ini, ada yang dilalui dengan biasa-biasa sahaja bagi sesetengah orang. Namun, bagi beberapa orang kenalan rapat saya, mereka telah melangkah suatu fasa kehidupan yang baru. Fasa Perkahwinan! (^_^)

Daripada duduk bersendirian, kini berdua-duaan…

Daripada jalan berseorangan, kini beriringan tangan…

Daripada merasakan sesak/gembira berseorangan, kini sudah ada yang setia untuk sesak/gembira bersama…

Apa yang penting, kalian telah memilih jalan untuk berkongsi semuanya itu dengan jalan yang halal. Sungguh, saya kagum dengan kalian kerana saya sendiri belum mampu untuk melaksanakannya. Doakan saya juga ya! =P

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah, saya mendoakan dengan sepenuh hati agar kalian mendapat kerahmatan dan keberkatan diatas pembinaan Beit Muslim ini. Semoga penyatuan kalian ini diselubungi SAKINAH, MAWADDAH DAN RAHMAH. Allahumma Ameen.

Mabruk ‘alaikum kepada semua rakan-rakan saya.

1. Siti Nur Jannah bt. Abu Bakar dan pasangannya.

2. Amyruddin b. Ab. Karim

3. Nur ‘Amirah bt. Mohamad A’arif.

4. Nur Syuhada bt.Mat Ti dan pasangannya.

5. Azraai Bin Baharudin dan Pasangannya.

Mohon ribuan kemaafan kerana tidak dapat menghadiri kenduri kahwin kalian atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Asif Jiddan.

Antara Adat dan Agama

Saya yakin, apabila tiba saat-saat menghampiri hari bersejarah itu, ada beberapa persoalan dan kehendak yang bertembung antara agama dan adat. Ada diantara mereka yang bertanyakan kepada saya bagaimana untuk menyelesaikannya. Sungguh…terkadang saya buntu untuk memberikan pendapat. Jika diberitahu ini, disini terluka, jika diberitahu itu, disana pula terasa. Menyesakkan dada, tersepit, terdesak…

Monday, May 30, 2011

Masih dan Terus untuk Mencuba...

Maafkan saya…

Jika perkara yang membuatkan kamu rasa sensitif , tidak membuatkan saya sentitif…

Jika perkara yang membuatkan kamu marah, tidak pun membuatkan saya marah…

Jika perkara yang membuatkan kamu rasa segan, tidak langsung membuatkan saya rasa segan…

Maafkan saya...

Jika apa yang syadid pada kamu, hanyalah harus bagi saya…

Jika apa yang keras pada kamu, hanyalah lembut pada saya…

Jika apa yang emosi bagi kamu, hanyalah tenang bagi saya…

Hakikatnya, semuanya ini kerana kita berbeza.

Kenapa?

Kerana kita dibesarkan dalam persekitaran (biah) yang berbeza…

Kerana kita lahir dari latar belakang keluarga/jemaah yang berbeza…

Kerana kita mempelajari kehidupan dari kacamata berbeza…

Kerana kita menempuh pengalaman yang berbeza…

Salahkah perbezaan ini?

Tidak, inilah keunikan yang Allah s.w.t turunkan kepada kita. Mempunyai sisi kuat dan lemah masing-masing. Apo ghoman eh kalau sumo manusio ni sepesen (sejenis) yo? =P

Namun, apa yang salah, apabila kita menjadikan perbezaan ini titik untuk menimbulkan perbalahan, bukan titik membentuk kebersamaan.

Sepatutnya perbezaan ini saling bertindan menutup lubang kelemahan. Kita memang takkan pernah menjadi insan sempurna, namun dengan adanya saya dan kamu, kita perlu menjadi jemaah yang sempurna demi menongkah pancaroba dunia yang menggila. Namun, adakah kita sedang begitu?

Faham dan Mengerti

Membina keserasian pada kesemua perbezaan ini bukan senang, melainkan kita sanggup memahami antara satu sama lain. Memahami dan mengerti, bukan mudah, tetapi perlu!

Saturday, May 14, 2011

Empuknya Kerusi Di atas…

“Tuan-tuan dan puan-puan tahu tak, antara semua yang duduk di bawah ni dengan saya yang duduk di atas kerusi penceramah yang empuk ni, bahaya lagi orang yang duduk di atas ni (kerusi penceramah)” ujar guru saya, Ustaz Tarmizi Taha.

(Sumber: Mr. Google)

“Nak tahu kenapa? Sebabnya, tuan-tuan yang duduk dibawah ni sentiasa ada saya yang mengajar ni untuk menegur salah silap tuan-tuan. Bila ada perkara yang melanggar syariat, dalam kuliah sebegini lah saya akan sampaikan nasihat dan teguran. Alhamdulillah, setakat kudrat yang ada ini, Insya Allah saya konsisten menegurnya.”

“Tapi, apa yang merungsingkan, saya yang duduk atas kerusi penceramah ni, kalau salah silap saya, khilaf saya, siapa yang mahu tegur? Lebih-lebih lagi, takut untuk tegur, maklumlah, kononnya saya ni tahap USTAZ dah. Bukan macam tu!”

“Saya juga perlukan tuan-tuan untuk tegur saya, marilah sama-sama kita saling tegur menegur atas kesilapan masing-masing”. Ustaz mengakhiri kuliah beliau.

Allah, Allah, Allah…bergetar hati saya mendengarnya, bergenang air mata…Sungguh, kuliah beliau banyak menyentuh hati saya. Terima kasih ustaz!

Wednesday, May 4, 2011

Review: Bumi Cinta

Saya kurang gemar membaca novel. Sebabnya? Novel pada pandangan saya mempunyai aura tarikan yang tinggi. Sangat tinggi sehinggakan seseorang itu boleh leka dan ‘ghalit’ hanya kerana membaca novel. Berguling-guling dengan novel, makan dengan novel, tidur dengan novel, melepak dengan novel, mandi dengan novel (???). Pendek kata, sekali tersangkut…segala-galanya bersama novel. Apabila mula membuka lembaran pertama, penangannya akan menyebabkan kita tidak mahu berhenti membacanya, ratusan muka surat bukanlah masalah bagi ‘kaki novel’ untuk mengkhatamkannya.

Akhirnya, saya berkeputusan untuk meninggalkan dunia pembacaan novel semenjak tingkatan 5 lagi di ITQAN. Seingat saya, novel terakhir yang saya habiskan ialah ‘Mandatori’ karangan Ramlee Awang Murshid. Itupun akibat terkesan dengan ‘Novel Maniac’ yang melanda sahabat-sahabat ketika itu. Kemudiannya, saya lebih cenderung kepada buku-buku berbentuk ilmiah yang disampaikan dalam laras bahasa yang lebih rasmi dan akademik.

Namun, 2 tahun lepas, salah seorang Murabbi saya, Al Fadhil Ustaz Ismail, pernah mencadangkan agar membaca novel karya Habiburrahman El Shirazy. Sangat bagus dan memberikan impak yang baik katanya. Ayat-Ayat Cinta dan Dalam Mihrab Cinta. Begitu juga adik saya, Amirah Khairiah yang beria-ria menyuruh saya membaca karya-karya Novel Islami seperti itu, samaada yang dikarang oleh Habiburrahman El Shirazy dan juga Fatimah Syarha.

Walaupun begitu, sengaja saya tidak mengendahkan sangat galakan berkenaan kerana saya bimbang akan ‘ketagihan’ yang bakal melanda sekiranya saya memulakan balik pembacaan novel.

“Daripada aku habis masa baca novel, baik aku baca buku lain” bisik hati kecil saya yang sangat skeptikal ketika itu.

Jendela Ilmu

Entah mengapa, ketika singgah ke toko buku kegemaran saya, Jendela Ilmu baru-baru ini, Allah s.w.t melorongkan hati saya untuk membeli sebuah novel. Berlatarbelakang keunikan bangunan klasik Moscow, novel bertajuk Bumi Cinta itu merupakan karya tahun 2010 oleh Habiburrahman Shirazy.

Pulang sahaja ke rumah, saya memilih untuk membaca novel tersebut dahulu, berbanding dua buku lain yang dibeli iaitu Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawiyyah karangan Muhammad Munir Ghatban. Nampaknya, keterujaan untuk menamatkan novel tersebut telah berjaya memesongkan perhatian saya daripada subjek kegemaran saya, Sirah Nabawiyyah. Lihat? Dahsyat bukan penangan novel? ^_^

Akhirnya, guling punya guling, baca punya baca, selepas 3 hari, novel setebal 722 muka surat itu berjaya saya habiskan. 722 muka surat? Lebih tebal dari Al-Quran!

Monday, April 25, 2011

M . A . R . A . H

Ada 4 jenis orang di dunia ini apabila marah:-


1. Cepat Marah, Lambat Reda.


2. Cepat Marah, Cepat Reda.


3. Lambat Marah, Lambat Reda.


4. Lambat Marah, Cepat Reda.



Saya percaya, kita pasti tergolong dalam salah satu daripada jenis ini. Kerana hakikatnya, kita sebagai manusia pasti memiliki sifat ini, iaitu Sifat Marah. Ianya fitrah...nabi s.a.w juga pernah marah. Namun, marahnya baginda punyai pertimbangan yang haq dan benar. Maka, agak sukar dipercayai apabila dikatakan kepada kita, si polan itu tidak pernah marah sepanjang hayatnya.


Baiklah, apabila kita dapat menerima kenyataan bahawa kesemua manusia itu ada rasa marahnya masing-masing. Timbul pula persoalan lain, bagaimana seseorang itu mengawal rasa marahnya? Pengurusan Marah (Anger Management) ini jika tidak ditadbir dengan baik, merupakan jarum halus yang menjadi manfaat kepada Syaitan untuk merosakkan kita. Sabda Nabi s.a.w:-


Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk (mengambil air sembahyang).”

(Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad)


Saya kira, jenis yang pertama merupakan jenis yang paling patut dihindari. Cepat benar marahnya, ditambah lagi lambat pula redanya. Sejujurnya, manusia seperti ini agak sukar untuk diajak berurusan dan berunding. Pantang silap sedikit, berhamburlah kemarahan bagai kesalahan itu maha dahsyat besarnya dan tidak boleh diperbetulkan.


Jenis pertama sangat bertentangan dengan jenis yang keempat. Lambat marahnya, dan andaikata dia marah maka cepat pula redanya. Orang sebegini memerlukan sebab-sebab yang kukuh untuk marah. Dia tahu kemarahan itu bukan boleh diluah sebarang-sebarang. Sekiranya, kemarahan itu tidak boleh dielak lagi, maka MAAF merupakan polisi utama bagi menjadikan dirinya cepat reda.


Anda? Saya? Berada di golongan mana? Jawablah sendiri… =)


Mengawal Kemarahan


Jika anda taip di ruangan Mr. Google, Cara Mengawal Kemarahan, anda akan temui pelbagai artikel yang menceritakan mengenainya. Daripada pendekatan Islami hinggalah nasihat kaunseling. Maka, tidak perlulah saya mengulanginya lagi. Saya hanya berhajat untuk menceritakan sedikit tips untuk mengatasi rasa marah ini apabila ianya bertandang. Boleh jadi anda sudah pun mempraktikannya, dan boleh jadi juga ianya sesuatu yang baru untuk anda.


Sebelum itu, terima kasih saya ucapkan kepada 2 orang yang berjaya membuat saya marah atas kesilapan mereka, sehinggakan saya berjaya menemukan cara yang agak praktikal ini untuk diri saya bagi mengawal rasa marah ini. Ikuti langkah-langkah berikut:-


1. Apabila makhluk berkenaan secara rasminya telah membuat anda berasa marah, maka sudah tentunya kemendidihan darah anda mencapai tahap dimana suhunya boleh membuatkan kuman-kuman mati.


2. Maka ketika itu, sila tekan butang PAUSE dengan membaca Ta’awuz (Aku Berlindung dengan Allah daripada Syaitan yang direjam). Banyak kali! Langkah ini merupakan langkah yang sukar, kerana ibaratnya seperti menahan gunung berapi yang ratusan tahun tidak meletus daripada memuntahkan lavanya. Namun, adakah ia praktikal? Ya…sangat praktikal, jikalau tidak, masakan Nabi s.a.w bersabada:-


“Sesungguhnya aku akan ajarkan satu kalimah yang kalau diucapkan, akan hilang apa yang ada padanya (marah). Iaitu sekiranya dia mengucapkan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


3. Baiklah, langkah seterusnya, carilah apa-apa perkara yang dapat membuatkan anda sejuk seperti air. Gauli air tersebut dengan tubuh anda. Cara yang paling afdhal adalah seperti yang dinyatakan pada hadis sebelum ini iaitu dengan berwuduk.


Disebabkan 2 orang yang membuat saya marah itu, benar-benar cemerlang dalam menjalankan misi mereka. Maka, saya berkeputusan untuk menggauli air bukan sekadar wuduk, malah saya terus mandi! Hehe~ Oh ya..jika anda mahu mandi juga, pastikan sebelum melangkah masuk ke bilik air, bacalah Doa Masuk Tandas. Hal ini bagi memastikan tiada syaitan-syaitan ‘tandas’ yang mengambil alih tugasan syaitan terdahulu selepas anda menghambat mereka menggunakan Ta’wuz. Ok?


4. Kemudian, semasa diri anda sedang menurun suhunya digauli air itu, (melalui berwuduk @ mandi). ‘Refresh’ memori anda, imbaulah kembali 2 perkara:-


i. Kebaikan makhluk yang membuat anda marah itu. Renungi kembali setiap kebaikan yang pernah dilakukan oleh makhluk itu, pengorbanan yang pernah dibuat oleh makhluk itu. Detik-detik kesanggupan makhluk berkenaan bersusah payah demi anda. Penat lelah yang dilalui kerana anda.


ii. Kesalahan yang pernah anda terlanjur lakukan kepada makhluk tersebut. Kita bukan manusia yang sempurna, maka tentunya ada kesilapan yang pernah kita lakukan. Tidak terlepas kesalahan yang dilakukan kepada makhluk tersebut. Kenang kembali betapa besarnya kesalahan anda, namun tetap jua dimaafkan oleh makhluk tersebut. Kalau tidak pun kepadanya, ingatlah kembali betapa banyaknya kesalahan anda kepada makhluk-makhluk lain, lebih-lebih lagi kesalahan anda kepadaNYA. Barulah anda sedar bahawa fitrah manusia ini ‘berputar’. Adakala kita melakukan kesalahan pada yang lain, dan adakala orang lain melakukan kesalahan kepada kita.


5. Selesai? Sekarang, barulah anda menetapkan apakah tindakan selanjutnya yang anda akan lakukan kepada makhluk tersebut. Fikirkan dan pertimbangkanlah dengan baik. Gunakan prinsip ‘Sharpen The Saw’ (7 habit highly effective people – Stephen Covey) sebaiknya. Pastikan langkah yang anda pilih membawa kesan positif kepada makhluk tersebut, bimbang..jika tersalah langkah bukan sahaja boleh membawa kesan yang negatif terhadap jatidiri makhluk itu, malah memberi kesan yang buruk kepada perhubungan kalian.


‘Marah kerana Sayang’. Disebabkan kita menyayanginya, maka kita marahi dia supaya tidak mengulangi perkara yang sama. Fikirkan kaedah marah yang terbaik untuk memperbetulkan kesilapannya. Rasionalkan tindakan kita, jangan biarkan amarah menguasai keputusan. Syaitan bertepuk tangan pabila melihat kita berbalah dengan menggunakan wazan (timbangan) nafsu, sudahlah hati sakit, kebenaran pula tidak dapat dicapai.


Adalah lebih baik, sebelum membuat keputusan bagi memberi ‘didikan’ kepada makhluk itu, anda dahului dengan solat sunat dua rakaat, memohon petunjuk Ilahi. Kita menilai atas pertimbangan kita, si manusia Jahil, tapi Allah s.w.t lebih mengetahui segala-galanya.


Alhamdulillah, inilah antara Ibrah yang dapat saya ambil, apabila kedua-dua orang itu membuat saya marah tempoh hari. Selamat Mencuba! ^_^


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)


P/S;


: Masih berbaki hanya beberapa hari sebelum saya menamatkan PRAKTIKUM 3 di S.K Beladau Kolam. Ustaz Ariff yang garang sudah bertukar menjadi Ustaz yang lemah lembut. Hehe~ Anak-anakku, ustaz mohon maaf atas segala ketelanjuran ustaz ye.


: Menjelang beberapa minggu selepas ini, kami akan menempuh peperiksaan, doakan kami semua supaya NAJAH insya Allah. ^_^


: “Orang” yang saya sebutkan tu anda ke? Hehe~ Jangan risau…kalaupun anda, saya telah memaafkannya. Peace No War! =P

Thursday, April 7, 2011

[ 2 : 186 ]

Imam Suyuti merekodkan di dalam kitab karangannya, Asbab Nuzul mengenai kisah di sebalik penurunan ayat 186 surah Al Baqarah ini:-


Seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah s.a.w, lalu bertanya;


“Adakah Tuhan itu dekat? Sehingga (cukup sekadar) boleh kami bermunajat (berbisik) sahaja denganNYA, ataupun Tuhan itu jauh? Sehingga (memerlukan kami) seru (laung)?”


Nabi s.a.w terdiam, sehingga turunlah ayat ini, bagi menjawab persoalan Arab Badwi itu.

(Hadis Riwayat Ibnu Jarir)


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ‌ۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ‌ۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ (١٨٦)


Ertinya:- Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.


Mungkir Janji


“Dol, kau tunggu aku di stesen bas petang ni, pukul 4.30, jangan lambat tau!” pinta Karim kepada rakan baiknya,


“Ok…kau jangan risau, nanti aku sampai lah” ujar Zaidol menamatkan talian.


5.00 petang.


“ Lerr…kenapa tak sampai-sampai lagi budak ni? Pagi tadi beria-ria ingatkan aku” bebel Zaidol seorang diri.


Akhirnya, muncul juga batang hidung si Karim!


“ Sori lah…aku sakit perut lah tadi, sambal nasi lemak sarapan pedasnya tuhan jela yang tahu!” Karim menerangkan keadaan sebenarnya.


“Hmm..yelah tu, jom lah..” ada nada kesal di hujung suara Zaidol.


Soalan ikhlas untuk para pembaca dan khasnya untuk diri sendiri juga, sepanjang hidup ini kita pernah memungkiri janji tak?


“Mestilah pernah rep oi! Kita ni manusia, bukan malaikat ~”


Ok, kalau begitulah keadaannya, maka ini bermakna manusia punya kelemahannya masing-masing sehingga membuatkan dirinya terpaksa memungkiri janjinya dalam keadaan terpaksa mahupun sengaja. Kata Nabi s.a.w:- Insan tidak lari dari salah dan terlupa. Saya yakin kita semua ada sebab-sebab untuk memungkiri sesebuah janji. Contohnya, sakit, terlupa, tertidur, malas (???) dan sebagainya. Kan?


Hakikatnya, kita seringkali terlalu mengharap kepada manusia, meminta itu dan ini. Sehingga terlupa bahawa dia yang kita pinta itu sebenarnya juga manusia seperti kita. Adakalanya tersinggung dek kelemahan diri sendiri.


Bertambah aneh, apabila kita juga tanpa segan silu bergantung harap sepenuhnya pada manusia untuk memenuhi permintaan kita. Walhal, kita tahu bahawa dia yang dipinta itu juga ber’status’ hamba seperti kita. Tapi alangkah butanya dan bodohnya kita apabila, terus menerus ber’tuhan’kan manusia untuk meminta-minta.


Sedangkan kita sebagai MUSLIM, punya tempat meminta segalanya dari MAHA SEMPURNA. Ya…maha SEMPURNA! Suci dari sebarang cacat, lemah mahupun cela padaNYA. Adalah mustahil bagiNYA untuk memungkiri sebarang janji kerana padanya ada Qudrat dan punya Iradat. Juga ada padaNYA, segala kebaikan, kekuatan dan keistimewaan.


Apa pun yang kita pinta, andai cukup syarat doanya, maka telah menjadi HARUS pada Allah s.w.t untuk mengabulkannya. Janji Allah s.w.t adalah WAJIB bagi kita untuk beriman denganNYA:-


...ٱدۡعُونِىٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ...



Ertinya:- Berdoalah kepadaKU, nescaya akan KU perkenankan bagimu. ( Al Mu’min:60)


Sidang Pembaca! Al-Quran bukan macam media massa Malaysia seperti Berita Hairan, Utusan Meloya, TV3 suku, yang ada keberangkalian ada padanya penipuan dan ketirisan. Tapi Al-Quran ini kalam Allah s.w.t! Kalam dari tuhan yang MAHA SUCI. Setiap huruf yang tertulis didalamnya adalah dijamin keaslian dan keselamatannya hingga ke akhirat kelak.


MAHA SUCI ALLAH daripada MEMUNGKIRI JANJI!


Dekat dengan berdoa


Ayat 186 Surah Al Baqarah diatas memberitahu kita bahawa betapa dekatnya Allah s.w.t kepada hambaNYA yang meminta hanya kepadaNYA.


Bagaimana untuk merasakan kebersamaan Allah s.w.t (Ma’iyatullah) itu?


Dengan meletakkankan pengharapan yang sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Melalui jalan Tawakal yang tinggi dan ampuh. Merasakan bahawa Allah s.w.t adalah tempat segala-galanya untuk disandarkan, dirayukan, diharapkan, dipohonkan, diberikan sepenuh kepercayaan.


Umpama tawakal Nabi Ibrahim a.s saat diletak di dalam manjanik (alat melempar) ke arah semarak api yang menjulang tingginya…


Umpama tawakal Nabi Muhammad s.a.w tatkala dikeliling ribuan tentera Ahzab yang berpakat untuk menyembelih pemeluk agamaNYA…


Jika tidak mampu sekalipun tawakal setinggi itu, cukuplah sekadar mengambil ibrah tawakal seekor burung yang keluar paginya, tanpa tahu arah tuju rezekinya, namun pulang petangnya bersama makanan untuk anak-anaknya.


Takkanlah kita kalah dengan tawakal seekor Burung? (^_^)


Penat Berdoa


“Bilo nak dapek ni, naik berbuih mulut den doa dah ha..”


“Alahai…doa banyak-banyak bukan pernah dapat pun…”


“Allah s.w.t ni dengar ke apa yang aku doakan ni? Kenapa tak pernah dikabulkan pun?”


Jika kita terasa lelah berdoa…


Jika kita terasa putus asa meminta padaNYA…


Jika kita terasa Allah s.w.t seperti tidak mendengar…


Maka, saya cadangkan kita muhasabah semula diri kita. Tentu terselit kekhilafan kita si hamba memenuhi syarat berdoa. Sehingga tidak pula dikabulkanNYA.


(Err..dalam entri lain pula ya saya bawakan syarat berdoa, ada orang bising, entri saya panjang sangat! =P)


Maka, sesudah dihisab diri ini, diperbetulkan apa yang cela, namun masih jua tidak kesampaian hajat itu, marilah kita motivasikan diri dengan hadis ini:-


“Tidaklah seorang Muslim itu meminta sebuah permintaan keada Allah s.w.t, yang di dalamnya tidak berisi dosa dan memutus tali (silaturrahim), kecuali Allah s.w.t pasti akan memberika kepadanya salah satu dari tiga hal: Doanya segera dipenuhi, atau menjadikannya sebagai simpanan di akhirat, atau Alah akan melindunginya dari keburukan (yang akan menimpa)”. Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, kalau begitu kami akan perbanyakkan doa”. Jawab baginda, “Allah maha lebih”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)


Lihatlah, betapa tidak sia-sianya kita berdoa! Apa lagi kurniaan yang lebih utama daripada ini? Masih adakah kemurahan lain selain ini? AllahuAkbar!!


P/S: Untuk semua dan khasnya untuk diri ini, jangan putus asa, teruskan berdoa! Kerana disitulah punca segala harapan! (^_^)