Friday, May 15, 2009

Jangan Pakai Baju LABUH!

Susur galur gerakan dakwah ini bukan sesuatu yang mudah. Dari titian sirah Rasulullah s.a.w sehinggalah perjuangan Ulama’ dewasa kini, semuanya membuktikan bahawa jalan ini adalah jalan yang berduri, sama ada terluka ataupun dilukai, sama ada terguris ataupun diguris. Namun, pada jiwa seorang mujahid, luka itu bukannya penghalang malah ianya adalah pemberangsang untuk terus mara kehadapan. Luka itu bakal sembuh andai kita menjadikan Allah s.w.t sebagai DOKTORnya.

Alhamdulillah, melangkah ke alam IPG ini membentangkan kepada saya betapa luas medan perjuangan seorang Muslim. Setiap daripada kita merupakan aset kepada Islam. Dengan kata lain, setiap Muslim itu, sama ada berlatar belakangkan ‘Ustaz’ ataupun ‘Cikgu’ punyai peluang berjasa kepada Islam. Besar atau kecil jasa itu biar Allah s.w.t yang tentukan. Persoalan utama bukan besar atau kecil namun ianya adalah buat atau tidak? Rabun itu adalah lebih bagus daripada buta bukan? Kita sama-sama pohon pada Allah s.w.t agar bibir ini tidak gagap untuk menjawab persoalan Allah s.w.t di akhirat kelak apabila ditanya “Kemana usia mudamu dihabiskan?”

Saya melihat skop dakwah yang luas ini memerlukan penggerak-penggerak yang istiqamah. Masing-masing memainkan peranan tersendiri dalam usaha memastikan syiar Islam terus dihayati dan diamalkan dalam hidup setiap muslim. Kerjasama dan gabungan antara skop dakwah ini serta penggeraknya akan menghasilkan sebuah jemaah Islamiyyah yang lengkap serta saling tampung menampung antara satu sama lain bagi menutup lubang kecacatan.

Sebagai contoh, seorang muslim yang bijak berpidato akan menggunakan kepetahannya untuk menyampaikan ceramah atau syarahan, seorang muslim yang pandai melukis akan menjadikan medan kartun untuk menyampaikan dakwahnya, seorang muslim yang mempunyai suara yang merdu akan mendendangkan orang dengan alunan tarannum al-Quran dan nasyid. Pendek kata, dakwah itu boleh disampaikan dengan apa yang kita miliki. Maka, jika ini berlaku, dakwah itu akan tersebar dengan pelbagai wasilah yang akan disuapkan kepada masyarakat mengikut citarasa masing-masing.

Namun, apa yang perlu diingat, gerak kerja ini memerlukan kayu ukur bagi menghadkan batas seseorang itu untuk mengatakan CUKUP. Lumrah insan biasa, pasti punyai had tenaga, had tumpuan dan had fokus yang tertentu. Saya pernah melihat peristiwa seorang sahabat, memegang pelbagai jenis jawatan, bermula dari peringkat akar umbi hinggalah pimpinan. Sibuk, sibuk, sibuk…sungguh sibuk. Pagi ini program A, tengah hari usrah B, petang pula Program C, kemudian malam pula program D! Sehinggakan tiada masa untuk dia berehat, saya yang melihat sahaja pun sudah terbit rasa kasihan, apatah lagi tubuh yang menanggung. Apa yang termampu saya bantu beliau sebaik mungkin.


Tapi perkara yang paling disesali ialah, yang dikejar terlepas, yang dikendong berciciran. Kepelbagaian jawatan itu menyebabkan sedikit demi sedikit ianya terabai. Persatuan yang dahulunya aktif akhirnya bertukar pasif akibat komitmen diri yang tidak dibahagikan dengan baik. Kepenatan membelenggui dirinya, kebingungan sering menjamah ruang pemikiran. Akhirnya, terlontar pelbagai fitnah dari mulut-mulut jahat yang tidak diketahui puncanya. Masakan tidak, apabila kesibukan itu benar-benar menjadi pengganti kepada ‘kesihatan’ hubungan sosial bersama manusia lain, maka terabailah ukhwah, tersingkirlah kemesraan. Pertimbangkanlah otak-otak asing yang tidak pernah mengenal erti fikrah dan perjuangan kita. Andai benar jika kau katakan ingin menjadikan dirimu ibarat IKON Muslim yang baik, mengapa dibiar barah fitnah itu bermaharajalela? Benarlah apa yang dinasihatkan oleh seorang sahabat baik saya, “Terima jawatan itu selagi mana awak rasa awak mampu, jangan sampai jawatan itu menjadi fitnah kepada diri awak”.

Pesanan saya, jangan dipakai baju yang labuh, sudah tahu diri bersaiz M, mengapa dipakai baju bersaiz XL? Ukurlah diri agar mudah bermuhasabah nanti. Berjuang itu bukan dengan semangat kerana ia datang dari nafsu tapi berjuanglah dengan penuh hikmah dan daya kemampuan serta kebijaksanaan kerana ia datang dari sifat tulus seorang hamba. Ingatlah, jika kita mengharapkan pahala sebagai balasan untuk perjuangan, berhati-hatilah, khuatir ianya telah pun BUSUK diracun DOSA.

Percaya ataupun tidak, biarpun tarbiyyah terhadap dirimu telah memakan masa belasan tahun, namun perasaan ego, ta’jub dan takabbur pasti terbit walaupun sekelumit tatkala ditawar untuk memegang sebarang jawatan. Saat itu, mohonlah pada Allah s.w.t akan keputusannya, jangan diterima sesuka hati dek kerana rabun dikaburi perasaan ego itu. Firman Allah s.w.t dalam Surah- al Haj ayat 46:-

“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”

Andai dibuat keputusan, pastikan hati itu sedang bersih dari sebarang sifat mazmumah kerana jika ia sedang kotor maka keputusan itu juga bersifat kotor, luaskan pandanganmu mengenai akibat di masa hadapan, tanyalah pandangan para sahabat yang sedia memberikan realiti sebenar akan dirimu. Ingat! Jika labuh maka sentengkan, jika senteng maka labuhkan, kaji dahulu saiz apa yang padan dipakai, semak dulu kemampuan diri!

Nota Kaki??
- Saya bakal menghadapi imtihan/peperiksaan sepanjang dua minggu yang akan datang, mohon keberkatan doa para pembaca untuk kecemerlangan kali ini. (^_^) Hilangkan rasa darah gemuruh ketika menjawab, kukuhkan ingatan ketika diperlukan.~

Friday, May 8, 2009

Bila Hudud Diketepikan...


Warga emas, ibu hamil mati dalam dua kejadian

KOTA BHARU: Seorang wanita mengandung tiga bulan terkorban di jalan raya, manakala nenek berusia 86 tahun maut di rumahnya, masing-masing angkara peragut bermotosikal, dalam dua kejadian di sini dan Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Ini adalah kes ketiga membabitkan kematian selepas seorang ibu, Jamilah Selamat, 31, yang juga mengandung dua bulan, meninggal dunia kelmarin setelah koma tiga hari akibat terjatuh dari motosikal dalam kejadian ragut di Air Hitam, Johor, Ahad lalu.

Dalam kejadian di Padang Raja, Melor di sini kira-kira jam 10.50 pagi semalam, Saripah Mohd Noor, 33, yang hamil, tercampak dari motosikal apabila beg tangannya diragut dua lelaki bermotosikal sebelum dirempuh sebuah kereta.

Ibu lima anak itu, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kuala Jel, Repek dekat Bachok, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.


Sumber:- Berita Harian ( 7 Mei 2009)

“Hish..Peragut-peragut ni! Depa tak kira apa dah..mat-mat dadah..depa ni selagi tak dapat hisap, selagi tu la duduk tak senang, untuk dadah, biaq orang lain mati, asaikan gian depa hilang” ujar Naim.

“Perempuan ni, kena tukar jenis beg, tak payah pakai beg tangan,tukar pakai beg galas je!” aju Izzuddin pula.

“Kambing lagi bagus daripada mereka tu, kalau kambing setakat ragut rumput je dan tak menyusahkan orang lain, ni dah la meragut duit orang, mati pula dikerjakannya!” bentak Wafiy.

Saya sendiri geram dan marah apabila melihat web Berita Harian pagi tadi, berita tentang ini membuatkan diri merasa simpati kepada keluarga Allahyarham. Kemudian, ulasan yang sama dibuat oleh Deejay radio IKIM.fm, sebaik sahaja radio ‘Barqiya’ dibuka.


Jalan Penyelesaian

“Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”

(al-Maidah:33)

“ dan orang lelaki Yang mencuri dan orang perempuan Yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan Dengan sebab apa Yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Maidah:38)

Ayat ini menunjukkan jalan penyelesaian bagi aktiviti kecurian, rompakan, ragut dan lain-lain yang sama waktu dengannya. Perbincangan mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Malaysia telah sekian lama diperbahaskan. Samaada dari pentas akademik dari kalangan cerdik pandai mahupan dari pentas parlimen dari kalangan ahli politik.

Jikalau seorang Muslim itu mengatakan bahawa memotong tangan itu merupakan SEBAHAGIAN daripada cara dan langkah menyelesaikan permasalahan ini. Saya mengatakan bahawa penyataan itu adalah SALAH, dan memungkinkan si pengucap terjerumus kedalam syirik khafi (tersembunyi). Mengapa? Kerana, hukuman memotong tangan itu bukanlah SEBAHAGIAN daripada cara penyelesaian sebaliknya hukuman itu ADALAH cara penyelesaian. Mengcadangkan alternatif lain seperti penjara dan denda, seolah-olah mereka mengiktiraf pilihan lain selain jalan penyelesaian yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. Lebih menakutkan, apabila hukuman yang dilaksanakan itu selain daripada hukuman memotong tangan maka mereka sedang menCABAR kebijaksanaan Allah s.w.t dalam menjatuhkan hukuman terhadap sang penjenayah. Nah..status mana ISLAM mu sekarang??

Mengakui bahawa al-Quran dan Sunnah merupakan panduan dan pedoman hidup seseorang Muslim, namun dalam pada masa yang sama mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengannya. Hukum yang Qat’ie datang daripada al-Quran adalah sesuatu yang tidak harus diperbahaskan daripada peringkat otak manusia kerana ia datang dari Allah s.w.t yang menciptakan otak itu! Adapun yang layak bagi manusia hanya melaksanakannya selari dengan syari’at dan mungkin yang layak diperbahaskan ialah cara pendekatannya bukan autoriti hukuman itu.

Mari saya tempelkan di Tinta al-Murabbi sebuah kisah yang disampaikan oleh seorang Mutawif sewaktu saya mengerjakan umrah tahun lepas. Beliau juga merupakan salah seorang pelajar Maahad Solatia yang menuntut disitu selama hampir 3 tahun. Terdapat sebuah pengalaman dimana beliau menyaksikan secara ‘live’ seorang pesalah dihukum pancung di khalayak ramai! Penjenayah itu didapati bersalah kerana cubaan menyeludup dadah di lapangan terbang Jeddah.

Hari itu hari Jumaat…Pesalah ditutup kepalanya dengan kain hitam di atas sebuah pentas dibawah sinaran matahari yang terik. Kelihatan orang ramai berkerumun mengelilingi pentas itu, mendengar seorang lelaki Afrika berkulit gelap, berbadan sasa membaca kesalahan si penjenayah, berdiri betul-betul bersebelahan si penjenayah. Terdengar esakan datang dari pesalah itu, menggigil tubuhnya ketakutan. Seusai, pembacaan hukuman, lelaki Afrika tadi mengeluarkan pedangnya. Sinar matahari yang terpantul dari pedang itu menyilaukan mata yang memandang. Diangkat tinggi pedang berukuran satu 1/2 meter itu, dengan kalimah Bismillahirahmanirahim..Lalu…

Zass!

Darah bersemburan membasahi lantai pentas, lelaki Afrika itu tenang wajahnya meskipun batang tubuhnya sendiri sedang bermandikan darah hasil pancungan itu, barangkali dia sendiri sudah lali dengan adegan seperti ini. Suatu tindakbalas yang tidak disangka, ‘mayat’ tidak berkepala itu, berdiri tegak secara sepontan, dalam keadaan itu, darah masih lagi memancut! Saya bayangkan ianya seperti salah satu daripada paip air pancut, namun yang dipancutkan bukannya air tetapi darah.

Nampaknya, mutawif yang menceritakan keadaan ini juga lemah semangat orangnya. Masakan tidak, longgar kepala lututnya apabila menyaksikan secara langsung siaran perdana ‘Pemancungan Kepala’ dengan mata kepalanya sendiri. Seminggu berkeadaan demam serta terpaksa mengambil M.C.

Kesannya?

Apabila berlaku perbalahan sesama mereka, tahap pergaduhan mereka tidaklah sampai kepada memukul, namun hanya sekadar bertengkar dengan nada suara yang amat kuat. Masing-masing tahu akibat yang bakal menimpa andai yang dipukul meminta hukuman Qisas sebagai ganti. Memandangkan hukuman ini dipertontonkan di khalayak ramai, maka pengiktibaran yang amat jelas, menakutkan dan mengerikan kepada mata yang melihat. Inilah hikmah yang terapkan dalam hati manusia, perasaan takut kepada berlakunya hukuman hudud terhadap diri mereka menjadi kayu ukur dalam menghadkan tingkah laku individu daripada melakukan sebarang jenayah.

Wednesday, May 6, 2009

Jangan Berhenti, Jalan Terus!

Agak beku dan kaku jari jemari ini tatkala menyentuh ‘keyboard’ bagi memulakan usaha menaip entri baru. SIBUK? Sudahlah..saya tidak larat lagi menjadikan perkataan ‘SIBUK’ itu sebagai alasan untuk mempertahankan diri, mengelak daripada meneruskan usaha dakwah di kanvas maya ini. Biarlah, saya memang seorang PEMALAS! Namun, saya pohon pada ILAHI agar KEMALASAN ini tidak berterusan, tidak menjadi RACUN yang subur dalam jiwa hamba ini. Benar! Bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba. Saya tidak mahu talam perjuangan yang bakal saya persembahkan kepada Allah s.w.t di Yaumul Mahsyar kelak di hidang bersama-sama RACUN bernama CULAS dan MALAS. Ya Allah…aku mohon pohon agar jangan KAU persiakan usaha hambaMU ini! ~~

Saya terkenang satu peristiwa yang berlaku kira-kira sebulan yang lalu, bertempat di sebuah lokasi bernama Pulau Sah Besar, Tasik Kenyir. Program tutorial kelas Pengajian Agama Islam (SEM3) bersama tutor kami Puan Yuslaini dan Cik Hijrah dirancang bagi memantopkan lagi ukhwah antara kami. Terima kasih kepada pimpinan kelas semester ini! (^_^).



Antara aktiviti yang kami jalankan disana ialah melawat Taman Herba yang jaraknya kira-kira 500 meter dari Rumah Persekutuan Kerajaan kami yang selesa itu! Terima kasih sekali lagi untuk penginapan yang hebat itu (^_^). Maka, segala kekuatan fizikal dan mental kami persiapkan untuk menuju ke Taman Herba itu, kasut sukan jenama Nike itu diikat kemas moga tidak tertanggal dalam perjalanan menuju ke sana (bunyi macam jauh sangat pula kan?).


Perjalanan kami dihiasi kicauan burung dan pemandangan flora fauna yang hijau melata. Persekitaran serupa ini, amat susah dan jarang sekali untuk dilihat di ‘Kampung’ halaman saya, yang ada hanyalah bangunan-bangunan batu tinggi yang berukuran ratusan meter. Haruman segar kayu kayan yang bertiup melapangkan jiwa yang sesak di dada, berbanding kepulan asap dari ekzos-ekzos lori, kereta dan motorsikal yang telah mula saya hirup sejak dari kecil. Namun, laluan penjalan kaki yang berlopak dan berlubang di sana sini itu, agak mencacatkan keriangan perjalanan ini, saya sendiri agak kesal mengapa pihak pengurusan tidak menjaga tempat ini dengan baik.


Sekitar lima belas minit berjalan, hayunan langkah kaki saya terhenti seketika, mata tertancap pada jalan. Ada satu garisan hitam yang agak halus tapi jelas kelihatan melintangi jalan itu, saya duduk mencangkung bagi melihat dengan lebih teliti apakah ia. Rupanya, barisan semut hitam sedang melintasi jalan itu, mujur…jikalau saya tidak perasan lantas memijak dengan selambanya barisan semut hitam itu sudah tentu berlaku pembunuhan beramai-ramai dari kalangan bangsa semut. Langsung tidak terputus walau sedikit pun barisan itu. Melihat pergerakan mereka sama ada sehala ataupun dari arah yang bertentangan, membuatkan diri ini benar-benar ghalit dan kagum. Bukan tidak pernah melihat barisan gerakan semut sebelum ini, namun untuk pergerakan semut yang sepanjang ini? Inilah kali pertama saya melihatnya~.



Timbul idea nakal untuk cuba mengganggu keharmonian rukun tetangga semut-semut itu. Sengaja saya ambil ranting kayu yang agak kecil, lalu dibentangkan dengan tujuan menghalang laluan semut-semut itu. Apa yang berlaku? Mereka hanya berhenti seketika, namun perjalanan tetap diteruskan dengan memanjat ranting kayu itu. Saya masih tidak berpuas hati, sekali lagi saya mengganggu ketenteraman hidup sang semut, kali ini dengan ranting yang lebih besar. Sangkaan saya moga kali ini, perjalanan mereka tehenti, TIDAK! Sebaliknya perjalanan terus seperti biasa, namun litar yang sepatutnya lurus membelok sedikit bagi mengelak kayu tersebut. Kali ini saya tersenyum seorang diri, menggeleng-geleng tanda terasa kebodohan diri kerana terlalu asyik memerhati dan mengganggu ketenteraman hidupan itu.


Seusai itu, aturan langkah diteruskan menuju ke Taman Herba. Tetapi, agak menghairankan apabila, visualisasi peristiwa semut itu kerap kali bermain di minda. Terus dan menerus, sehingga membuatkan diri ini terasa buntu. Seakan, peristiwa itu pohon sesuatu untuk diterjemahkan dalam realiti kehidupan. Selesai, wirid solat fardhu Maghrib, saya melabuhkan punggung di tangga surau. Sengaja dibiar jiwa ini duduk keseorangan mencari hikmah, sambil ditemani bunyi unggas dan cengkerik.


Mahu tahu apa kesimpulannya?


Ibarat semut yang diuji dengan rantingan kayu tadi, mereka tetap bergerak menuju ke destinasi, itulah dakwah Islamiyyah! Ia tetap perlu berjalan, biar salah seorang daripada kita tumbang dan rebah, namun janji Allah s.w.t tetap kan berjalan. Apa janjinya? Bahawa Islam tidak akan luput dibumi ini! Aliran dakwah tetapkan mengalir dan tidak pernah berhenti.


Bak kata saudara Amin Azli dalam perbualan ringkas kami dalam ‘Humaira’ DAX 3320, “Arip..dakwah dan perjuangan Islam itu tidak pernah MEMERLUKAN kita, sebaliknya kita yang memerlukan ia, biar kita berhenti lelah dan tenggelam, PASTI ada insan lain yang menyambung! Perjuangan ini adalah wasilah kita untuk ke Jannah. Maka, bersedialah untuk menelan segala pahit maungnya!” Benar katamu wahai akhi, Syurga itu MANIS namun jalan menujunya adalah PAHIT.




Wahai para Dai’e, perjuangan kita bukan perjuangan menggali harta karun, bukan perjuangan mencari kemerdekaan, bukan perjuangan merebut piala, sebaliknya perjuangan kita adalah perjuangan mendamba keredhaanNYA. Mehnah dan tribulasi adalah perkara wajib yang mesti ditempuhi. Kecil atau besar, kuat atau lemah ujian itu biar IMAN yang menjadi pengukurnya. Andai iman itu kukuh, LETAKLAH sebuah batu yang maha besar di atas badan, dijemur di tengah padang pasir yang panas terik, namun bibir tetap meledakkan kalimah AHAD! AHAD! AHAD! Umpama Bilal Bin Rabah di dera oleh Umaiyyah. Kata Umaiyyah:- “Aku tidak akan angkat ketulan ini kecuali setelah kau mati atau kau kufur dengan agama Muhammad ini dan kembali menyembah al-Lata dan al-Uzza”.


Namun, jika sebaliknya yang berlaku, yang diseksa ialah Ketua Munafiq, Abdullah bin Ubay bin Salul. Tentu mudah sahaja dia berpaling kepada al-Latta dan al-Uzza. Mengapa perlu mencari susah? Diseksa dan dizalimi batang tubuh itu sedangkan boleh sahaja meloloskan diri. Nah, apa yang membezakan mereka? Tidak lain dan tidak bukan..ianya soal keIMANan.


Wahai mujahid muda, titiplah pengalaman dari jerit payah perjuangan para sahabat nabi. Jadikan pedoman dan haluan, moga tidak mudah mengeluh panjang dalam perjuangan. Bukannya salah andai engkau merajuk, mengeluh dan meratap dengan mehnah, kerana itu hakikat insan yang tidak sempurna sifatnya, namun jangan dipanjangkan rajukan itu, jangan diberatkan keluhan itu, kerana yang menanti di akhirat kelak adalah Jannah yang tidak terjangkau dek pemikiran manusia akan imejnya. Ingatlah pesanan Asy Syahid Imam Hasan al-Banna:- “Kewajipan kita lebih banyak dari masa yang kita ada”.


Jadilah seperti barisan semut tadi! JANGAN BERHENTI, JALAN TERUS!!!