Sunday, February 27, 2011

Bolehkah?

Bolehkah?

Dia menjadi seperti Khadijah r.a sewaktu Rasulullah s.a.w pertama kali menerima wahyu, di saat baginda menerima perit berjuang menyebarkan Syiar ISLAM... Tenang dalam laku dan bukan memaksa yang menyesakkan setiap waktu?

Bolehkah?

Dia menjadi seperti Aisyah r.a yang tetap tabah tersenyum manja demi suami tercinta, di kala insan lain mencaci dan menghina baginda hanya kerana risalah Ilahi yang disebarnya?

Biarpun seluruh Makkah mencerca sang Suami, hadir sang Isteri melegakan segalanya. Menghurai kekusutan yang bersarang di jiwa baginda yang mulia.

Kegembiraan Suami adalah kegembiraannya jua, Keceriaan Suami adalah keceriaannya jua, Kesenangan Suami adalah kesenangannya jua, dan Keputusan Suami adalah keputusannya jua.

Begitulah juga sebaliknya...

Kesengsaraan Isteri adalah kesengsaraannya jua, Kesakitan Isteri adalah kesakitannya jua, Kesedihan Isteri adalah kesedihannya jua, dan Kepenatan Isteri adalah kepenatannya jua.

Bukan perasaan yang dibuat-buat~ Zahirnya hidup dari batin yang mengerti ~ Menghayati sebaiknya akan situasi sebenar yang mengundang. Barulah lahir hati yang rendang, memilih redha dalam apa jua ujianNYA.

Mencari jalan, ruang dan peluang untuk memudahkan segalanya, bukannya menambah ranjau, halangan, dan dugaan dalam meniti jalan menuju Ukhrawi.

Sungguh, saya sedar siapa diri saya, hanyalah seorang lelaki hina yang penuh palitan dosa pada tubuh. Sering sahaja tersalah dalam melangkah, tersasar dalam membuat keputusan. Saya si manusia KHILAF, terpelanting jauh dari MAKSUM.

Jauh...tersangat jauh, antara saya dan nabi...

Apatah lagi untuk dikurniakan isteri sebaik dan sehikmah Khadijah r.a dan Aisyah r.a? Bermimpi di siang hari barangkali...

Namun, Allah s.w.t tetap jua menunjuk jalannya...

Firman Allah:

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. [Maksud surah al-Nur 24:26]


Seringkali kita mengharap yang terbaik tetapi lupa merefleks diri...

Seringkali kita menginginkan yang sempurna tetapi lupa memuhasabah diri...

Insya Allah~ ketelusan mengkaji diri ini terus istiqamah dibuat.

Moga-moga doa ini akan dikabulNYA bagi membina Beit Muslim:-

“Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa.


P/S:- Terima kasih kepada yang berkenaan mengetuk pintu muhasabah ini (^_^)