Thursday, December 3, 2009

Hidupkan Jiwa Ubudiyyah Itu...

Entah untuk keberapa kalinya saya tersengguk, saya sendiri pun tidak tahu. Barangkali, inilah akibatnya mencuri waktu tidur yang sepatutnya diperuntukkan sepenuhnya untuk berehat. Jam 3 pagi baru dapat melelapkan mata. Jarang sekali saya mengantuk sebegini rupa. Apatah lagi, apabila yang menyampaikan kuliah subuh tersebut adalah al-Fadhil Ustaz Md. Jais Kamos (Adik kepada Ustaza Ismail Kamos). Cara penyampaian beliau kepada masyarakat banyak menggunakan analogi yang dekat dengan kita. Beliau akan mengaitkan hadis yang dipelajari dengan isu semasa sebagai salah satu cara memberi lebih kefahaman kepada umum.

Saya gagahkan jua telinga untuk mendengar biarpun mata makin layu kerdipnya. Biarlah...mungkin tidak semua isi pengajaran pagi itu terlekat di kepala, namun, jika ada satu atau dua isi penting yang sempat tersangkut di hati pun dikira sudah cukup baik. Alhamdulillah...ada cerita yang sangat baik untuk dikongsi dalam Tinta al-Murabbi hasil kuliah subuh pagi itu. =)

Suatu hari, seorang syeikh yang alim lagi wara’ telah di datangi oleh seorang Raja yang bongkak. Datangnya Raja ini adalah untuk menguji kebenaran aqidah (Islam) yang dianuti oleh syeikh itu.

Kata sang Raja, “ Wahai syeikh , tentu doa mu selalu dimakbul tuhan bukan? Jika benar tuhan (Allah) itu haq dan berkuasa, aku mahu kau doakan untukku agar mati dan hidup semula selepas lima minit, buktikan kekuasaanNYA kepadaku, INGAT! Dimatikan hanya selama lima minit sahaja, bukan dimatikan terus!”. (Tahu pun takut..)

Maka, syeikh itu pun berdoa seperti yang dipinta. Selang beberapa minit, sang Raja tetap gah berdiri, bernafas seperti sedia kala. Mulalah, raja yang bongkak itu mengungkit, “ Haha..Mana? Adakah tuhanmu itu tidak berdaya mematikan kemudian menghidupkan ku semula? Mungkin tuhanmu itu hanya khayalan semata? ”

Dengan tenang syeikh itu menjawab, “Wahai raja, inilah bukti kekuasaan Allah s.w.t, mengkabulkan mengikut kehendakNYA (Iradat) bukan mengikut kehendak hambaNYA, lemah lah DIA jika dia menuruti sahaja kesemua kehendak hambanya! Allahu Yaf’alu Ma Yasya..” (Allah s.w.t Mengerjakan Sesuatu Atas Apa yang DIA kehendaki)

Bisu sang Raja, terkelu dengan hujah syeikh itu...

Realiti disebalik ‘HAMBA’.

Ibarat sebatang pen yang kita miliki. Kita berhak untuk menggunakannya untuk menulis, disimpan sebagai simpanan masa depan, atau dibuang akibat tidak berdakwat lagi. Hak kita bukan? Maka, apa pun yang terjadi keatas pen tersebut adalah mengikut kehendak kita.

Begitulah jua keadaannya andai dibandingkan hidup seorang Muslim dengan analogi ini. Kita ibarat pen, dan Allah s.w.t adalah tuan punya pen. Kita perlu meredhai andai yang cacat itu, datangnya dari Allah s.w.t dan seharusnya kita mensyukuri andai yang nikmat itu, juga kurniaanNYA. Meredhai kerana Allah s.w.t dan mensyukuri juga kerana Allah s.w.t. Maka, mana nilainya diri kita untuk berbongkak di atas apa yang dipinjamkan sementara kala hidup di dunia yang fana ini?

Bukan itu sahaja, berdasarkan kisah di atas, hatta doa yang saban hari kita alunkan, pohon untuk dikabulkan, yang pada pandangan kita adalah untuk kebaikan kita sekalipun, adalah milik Allah s.w.t untuk ditunaikan atau tidak.

Hakikatnya, kita tetap hamba. Bertimbun mana pun harta kita, setinggi mana pun pangkat kita, sebijak mana pun otak kita, sedarlah bahawa ia adalah milik Allah s.w.t jua. Asal engkau, aku dan dia semuanya dari air mani yang hina!

Aku penat berdoa!

Sungguh, setengah orang mudah putus asa, apabila merasakan doa yang tidak putus-putus itu tidak dimakbulkan Allah s.w.t. Lupa bahawa, nikmat kekuatan menadah tangan itu pun, Allah s.w.t yang kurniakan.

“Kalau semua benda Allah dah tentukan untuk kita, buat apa susah payah nak berdoa?”

“Alah...bukannya makbul pun, aku ni dah la banyak buat maksiat”

Ya...benar, apabila dikatakan bahawa segala untung nasib kita di dunia ini telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Jahatkah kita, baikkah kita...segalanya dalam pengetahuan Allah s.w.t. Namun, perlu diingat bahawa kuasa memilih itu (ikhtiar) di letak atas tangan kita, pilihan yang dibuat berdasarkan fatwa hati dan aqal dengan dipandu oleh Al-Quran dan Sunnah. Membuat amal kebajikan ataupun melakukan dosa kemungkaran adalah persimpangan yang kita sendiri tentukan. Itu pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Adapun berdoa itu adalah syarat HAMBA. Berdoa perkara yang baik-baik pada pandang sisi manusia adalah fitrah. Tapi kita perlu tahu bahawa sesuatu yang baik tidak semestinya di sisi Allah s.w.t, maka adakalanya doa kita itu ditangguhkan atau ditolak. Kata sebuah 'SMS foward' dari seorang teman:- " Allah answers Prayers in three ways; HE says YES & GIVES you what you want, HE says NO & GIVES you something BETTER, HE says WAIT & GIVES you the BEST in HIS own TIME."

Hamba itu fitrahnya MEMINTA, namun pintanya kita hanya pada yang PALING BERKUASA iaitu ALLAH S.W.T. Bukan pada manusia yang alpa. Firman Allah s.w.t:-

Maksudnya:- "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina. (Mu'min:60)


Hidupkan jiwa UBUDIYYAH itu, nescaya engkau tidak akan pernah BERPUTUS ASA pada Allah s.w.t.