Thursday, October 29, 2009

Selamat Ulang Tahun Tinta Al Murabbi!

Alhamdulillah…Syukur ke hadrat Ilahi, sedar ataupun tidak, sudah pun setahun usia Tinta Al Murabbi ini. Bermula 27 Oktober 2008 sehinggalah kini 29 Oktober 2009, Allah s.w.t dengan kudrat dan inayahnya masih mengurniakan ilham kepada saya untuk terus istiqamah menggemburkan tulisan di alam maya ini. Sungguh, tidak sedikit pun saya niatkan setiap daripada tulisan saya itu melainkan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Saya memilih genre dakwah Islamiyyah sebagai tunjang utama penulisan saya berdasarkan rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim, serta bersandarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w iaitu “Balligh ‘anni walau ayah” (Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat). Ya…saya bercita-cita mahu menjadi Murabbi yang tidak jemu MEMBERI. =)

Meskipun ianya tidaklah sehebat dan seindah penulisan di Zaharuddin.net, Saifulislam.Com, episodperjuangan.blogspot, rijal82.blogspot, genta-rasa.com dan lain-lain, namun sekurang-kurangnya saya punyai mesej untuk dinilai oleh sidang pembaca. Saya mahu susur galur pemikiran saya ini terbina dengan kritikan serta hujah dan bukan hanya ‘syok sendiri’. Atas sebab itu saya sangat menghargai mana-mana komen yang hadirnya bukan sekadar untuk memuji tetapi juga untuk mengkritik secara beradab dan sopan.

Inspirasi ini bermula dengan bacaan secara kurang komited terhadap Saifulislam.Com, kadang-kadang baca, kadang-kadang tinggal dan ianya mula meletus apabila menghadiri sebuah pertemuan antara HAMIP di IPIS bersama Ustaz Syaari Bin Abdul Rahman. Beliau banyak menggalakkan kami sebagai bakal guru untuk menjana minda melalui penulisan di blog.

Sidang pembaca…doakan saya agar terus tegar di jalan ini. Jalan yang menuntut hanya gerakan jari untuk menaip demi sebuah keredhaan Allah s.w.t, kerana saya tahu saya masih lagi tidak mampu menghunus senjata segagah Salahuddin Al-Ayubi dan Muhammad Al-Fateh di medan peperangan.

Wednesday, October 28, 2009

K.Lumpur + K.Terengganu = 7 jam

19 Oktober 2009

Menyambung pelajaran di bumi penyu bertelur ini menuntut pengorbanan masa dan wang. Apatah lagi bagi kami yang berasal agak jauh dari negeri Pesisir air ini, Kuala Lumpur misalnya, tempoh 7 jam itu kami tempuhi dengan pelbagai pengalaman dan dugaan. Mujur sudah wujud lebuhraya pantai timur yang serba sedikit mengurangkan beban kepenatan yang kami hadapi biarpun hanya sampai ke Jabor sahaja. Selebihnya? Kami merentasi jalan kampung dan ladang kelapa sawit yang 'line' celcom nya pun bagai malu-malu kucing mahu keluar.

Selama 3 tahun setengah berada di sini, entah berapa kali saya berulang alik pulang ke 'kampung halaman', saya sendiri pun tidak pasti. Adakalanya menaiki bas, dan selalunya dengan memandu Barqiya. Oh, lupa untuk di'highlight'kan disini, Mrs. barqiya adalah yang paling setia menemani saya sejak tahun 2008 lagi. Sangat menyayanginya! Ia berjaya memenangi pertandingan ratu paling cantik dihati saya, lantas dilamar Umi sekitar bulan Januari 2008. Alhamdulillah, hingga kini ia masih gagah ke hulu dan ke hilir bersama saya, daripada jauhnya program tamrin, daurah serta jaulah hinggalah hulunya pengajian pondok. =)

Tempoh 2 tahun itu punyai puluhan pengalaman yang terlalu panjang untuk dicoretkan disini. Pernah dengan tidak sengajanya terlanggar beruk dan babi hutan disekitar Bukit Besi dan Cheneh. Pernah Hampir-hampir menjadi mangsa rempuhan lori balak. Pernah Barqiya hilang kawalan akibat terlanggar lopak air. Syukur pada Ilahi, sehingga kini masih tiada lagi nyawa yang melayang dilaporkan. Speedtrap? Darah anak muda yang taksubkan kelajuan ini pernah mengundang 'surat cinta' itu ke rumah! =P

Pada entri kali, sengaja saya bawakan penghargaan berbentuk gambar terhadap 'pengalaman' saya itu agar ia terus segar menjadi saksi jiwa penuntut ini:-


Ini ‘Jai’ – Co Pilot saya~


Ini R&R Gambang


Ini Lebuhraya Pantai Timur


Ini pula jalan kampung Jabor – Jerangau


Ini Cermin Sisi Barqiya =)


Ini Meter Barqiya =P


Ha..inilah Barqiya bersama tuannya~


Mujahadah Sang Penuntut

Dalam kejauhan ini pun, terkadang saya terasa lelah dan hampir putus asa. Rasa rindu pada umi sering kali dilepaskan hanya dihujung talian. Saya bukanlah seorang anak yang manja a.k.a bersindrom “home sick”. Malah saya telah merasai kehidupan berasrama sejak menuntut di ITQAN lagi. Namun, saya sering kali dapat merasai kesepian Umi sejak arwah Abah pergi meninggalkan kami. Semenjak itu, saya berazam untuk balik menjenguk, sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan. Apakan daya, adakalanya jadual kehidupan saya benar-benar mampat dan padat. Maka, azam hanya tinggal azam. Bonda…ampunkan anakmu ini andai kata, terguris hatimu akibat jarangnya anakanda ini menemanimu di rumah.

Mungkin atas dasar ini, saya sangat mengagumi rakan-rakan seperjuangan saya yang menuntut di perantauan. Mesir, Jordan, Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya. Ribuan kilometer jaraknya itu tentunya menghadkan mereka untuk pulang. Ada dikalangan mereka setahun sekali, 3 tahun sekali, baru berpeluang untuk pulang ke Malaysia. Malah, ada juga yang hanya pulang setelah tamat pengajian. 4 tahun! Saya percaya, tanpa jiwa mujahadah yang kuat, tentunya perit menanggung rindu di dada. Mujahadah jauhnya pengembaraan ini merupakan jalan yang pernah dilalui oleh deretan ulama’-ulama’ terdahulu. Lihat sahaja betapa istiqamahnya mereka semata-mata untuk menuntut ilmu dalam titian sejarah. Perit dan payahnya mengharungi lautan padang pasir berbulan lamanya dengan menaiki unta bukan seperti kita yang hanya menempuh puluhan jam dengan manaiki kapal terbang @ myvi. =)

Imam Bukhari contohnya, minat yang tinggi terhadap ilmu hadis telah membawa beliau bermusafir ke dunia Islam selama 16 tahun. Dalam perjalanannya ke berbagai negeri, hampir semua negeri Islam telah beliau kunjungi di seluruh Asia Barat. Diceritakan bahawa dia pernah berkata: “Saya telah mengunjungi Syam, Mesir, dan Jazirah masing-masing dua kali, ke Basrah empat kali, menetap di Hijaz (Mekah dan Madinah) selama enam tahun dan tak dapat dihitung lagi berapa kali saya mengunjungi Kufah dan Baghdad untuk menemui ulama-ulama ahli hadith.”

Wahai penuntut ilmu Allah s.w.t, marilah kita bersama-sama mencontohi mujahadah ulama’ terdahulu. Mungkin tidak sepenuhnya, cukup sekadar setitis kesabaran mereka kita jadikan benteng apabila hati meronta-ronta untuk pulang. Mungkin, titisan air mata kalian yang jatuh akibat terlalu merindui keluarga dan kampung halaman adalah saksi yang membantu di akhirat kelak. Insya Allah~ Kepada teman seperjuangan di bumi perantauan, Salam Mujahadah saya ucapakan. Daripada bakal DOKTOR hinggalah bakal USTAZ, semoga kalian pulang ke tanah air dengan membawa khazanah ilmu yang berharga bagi melengkapi organisasi masyarakat Islam di sini.


Nota Kaki: Anda DILARANG sama sekali untuk meniru aksi menangkap gambar seperti diatas. Memandu sambil memegang kamera + menangkap gambar. Mujur bukan SLR =)

: Buat pertama kalinya, menaip entri menggunakan SE G900~ sangat praktikal bagi mereka yang sibuk. (Nampak sangat buta IT kan? huhu)

Sunday, October 18, 2009

Kembara Sekeping Hati...

Alhamdulillah..pada 3 dan 4 oktober yang lalu, saya bersama ibunda tercinta telah menjalani kursus haji perdana bertempat di Masjid Putra,Putrajaya. Program anjuran tabung haji ini merupakan suatu inisiatif ke arah melatih bakal haji 1430H yang mempunyai persediaan mantap sebelum melaksanakan ibadah haji. Hampir 3000 peserta hadir dari seluruh pelusuk negeri bagi mempraktikkan ilmu manasik haji yang dipelajari secara teori dalam kursus haji bersiri dan intensif sebelum ini. 5 bintang saya 'rate' kan terhadap 'kerealitian' suasana yang bukan sahaja meliputi keseronakan malah jerit payah melakukan ibadah tersebut.


Daripada syahdunya hati menghadap baitullah hinggalah barannya jiwa menunggu bas berjam lamanya dibawah terik sinar mentari. Saya kira ia merupakan suatu pendekatan yang istimewa dan amat relevan kerana hakikat perjalanan haji ialah sesuatu yang amat mencabar. Sesaknya, teriknya, lelahnya merupakan antara elemen utama pancaroba itu. Apalah gunanya jika kita mempamerkan hanya yang manis-manis sahaja sedangkan ujian sebenar yang bakal ditelan itu adalah pahit? Sesungguhnya, kesabaran merupakan aset utama yang perlu teguh dalam jiwa para tetamu Allah s.w.t ini.

Menghadapi pemikiran yang silap mengenai menjadi ‘tetamu’ Allah s.w.t boleh mengundang akibat yang buruk. Jika rumah kita diziarahi tetamu, seharusnya mereka dilayan sebaiknya, penuh hemah dan pekerti, disendukkan segala lauk pauk tatkala dijemput makan, dipersiapkan dengan bantal dan tilam yang empuk jika ingin bermalam, maka lain halnya jika kita bergelar tetamu Allah s.w.t. Berasak-asak bersama 3 juta manusia lain yang datang dari seluruh pelusuk dunia di suatu tempat yang sama, masa yang sama sudah tentunya akan menimbulkan kesulitan dalam apa jua bentuk. Bukan niat saya untuk mengatakan bahawa ibadah haji ini adalah sesuatu yang menyusahkan, namun kita perlu berpijak pada realiti bahawa ibadah ini merupakan ibadah yang menuntut pengorbanan dan kesabaran sebagai galang gantinya.


Apa yang perlu kita sedar ialah jika tetamu itu dilayan sebaiknya, segala layanan itu datang dalam bentuk luaran yang bersifat fizikal, enaknya makanan yang dihidangkan dan selesanya tidur pada bantal yang empuk itu membuatkan tetamu berasa senang dan gembira dengan layanan sedemikian rupa. Sedarkah kita bahawa, tetamu Allah s.w.t itu, selesanya, gembiranya, bukan datang dari aspek-aspek fizikal itu, namun ia dilayan pada tenang sebuah hati menghadap Ilahi. Ketenangan itu, bukan boleh dibuat-buat atau dijual beli, sebaliknya ia adalah sepenuhnya milik Allah s.w.t. Kepada siapa ia diturunkan, hanya Allah s.w.t sahaja yang layak mengurniakannya. Ramai orang cukup sifatnya, sempurna kejadiannya, bertimbun hartanya, bahagia keluarganya, namun, adakah tenang hatinya?


Hakikatnya, perjalanan haji ini adalah kembara sekeping hati seorang hamba. Dahulunya ia kudus dan mulus, namun apabila dilumur najis duniawi, ia makin nyenyak dan selesa dengannya. Kita berjalan dalam keadaan berihram yang tanpa seutas benang pun dibenarkan merentasinya untuk disambungkan. Apatah lagi pakaian-pakaian mewah yang selalunya kita jadikan sandaran untuk berbangga. Apa lagi yang tinggal pada kita selain dua helai kain itu sebagai penutup kemaluan itu? Tiada lagi haruman-haruman wangi yang menutup bau hapak badan kita, sebaliknya yang menyinggah hidung hanyalah hamis yang datangnya tetap dari BADAN kita!

Ya…apa yang tinggal ialah hati, kita membawa hati menemuiNYA kerana itulah tempat jatuh pandangan Allah s.w.t. Maka, ingin saya bertanya kepada para bakal haji sekalian (termasuk diri saya), apakah persiapan yang selayaknya mendapat sepenuh perhatian kita? Adakah beg-beg pakaian? Duit yang secukupnya untuk membeli belah? Itu semua persoalan kedua! Persiapan meng ‘hidup’ kan hati itu dengan amal ibadah merupakan tunjang utama yang sangat memerlukan 200% perhatian. Ini persoalan utama! Hayati, singkapi segala peranan hati itu, agar ia menjadi pemandu berkaliber dan berkualiti yang bakal mengenderai sebuah kenderaan bernama TUBUH!

Membawa hati yang ikhlas dengan menjadi tetamu Allah s.w.t, semoga kita memperolehi ketenangan itu!! Hajj Mabrur~


P/S:- Maafkan saya setelah sekian lama menyepikan diri, 3 minggu kebelakangan ini, adalah musim assignment + projek yang sangat dahsyat. Bertukus lumus menyiapkannya sehinggakan terabai teratak kedua saya ini. Masakan tidak! Barqiya pun saya tinggalkan sahaja dirumah. Lebih menjimatkan masa menaiki bas pada waktu malam berbanding memandu kereta pada siang hari~ =) Doakan kelapangan masa untuk kami~