Saturday, January 29, 2011

HammatusSyabab HikmatusSyuyukh

“Semangat Orang Muda, Hikmah Orang Tua” (terjemahan tajuk)


Benar sekali. Kudrat yang ada batang tubuh perkasa sang pemuda mana mungkin boleh dibandingkan dengan sekujur tubuh milik si tua. Sudah tentunya hayunan langkah orang muda lebih laju dan cepat berbanding orang tua yang lambat, itupun dengan bantuan kaki ketiga bernama tongkat.


Ya, zaman kita adalah sebuah zaman keemasan yang cukup lengkap pakejnya. Fizikal badan yang cergas, suara yang lantang, paras rupa yang menawan dan segala macam kelebihan yang dikurniakan Allah s.w.t di waktu ini.


Zaman remaja/belia adalah suatu zaman yang ingin dikembalikan nostalgianya. Tanyalah pada siapa-siapa sahaja dari kalangan mereka yang sudah berumur, bilakah saat paling manis dalam detik hidup mereka, maka jawapannya sudah tentu berada di lingkungan ketika zaman muda itu.


Era ini juga merupakan sebuah era kemuncak dalam sejarah hayat seseorang. Dengan segala macam kurniaan itu, tindak balas kita adalah lebih laju dan bertenaga. Potensi! Itulah perkataan paling tepat untuk menggambarkan nikmat zaman muda.


Potensi itu akan mati seandainya ia tidak disubur dengan SEMANGAT. Apabila jiwa anak muda disirami dengan semangat maka segala potensi itu akan digunakan untuk mencapai matlamatnya. Semangat yang paling berbaloi bagi jiwa anak muda adalah semangat JIHAD. Kerahan usaha dituntut dan pertukarannya adalah syurga.


Lihatlah sendiri bagaimana Allah s.w.t memberikan pengiktirafan kepada pemuda!


“Sesungguhnya mereka itu anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk”

(al-Kahfi ayat 13)


Hikmah dalam Melangkah


Bakal menjengah umur 23 tahun bulan Jun nanti, tempoh perjalanan saya penuh dengan kekhilafan. Saya adalah salah seorang dari ribuan da’ie muda yang seringkali tersilap dalam bertindak. Walaupun sudah bergelar pelajar tahun akhir di IPGKDRI ini, namun itu bukan suatu jaminan bahawa saya sudah cukup berpengalaman.


Tergopoh gapah pabila bertindak...


Terlalu emosi apabila memberi resposif...


Tidak berfikir panjang membuat keputusan...


Kuat mendesak tidak bertempat, tidak kena masa...


Seringkali tertanya-tanya, dalam potensi yang cukup sempurna itu, dimanakah kekurangannya? Dimanakah silapnya?


Ya...kita kekurangan hikmah (bijaksana). Ia bukan soal kecacatan, tapi ia soal umur yang baru setahun jagung. Kita kekurangan PENGALAMAN. Ini perlu diakui. Hakikat bahawa MASA itu mencambah kebijaksanaan seseorang dalam bertindak tidak boleh dinafikan.


Jika pada jasad segar sang pemuda ada potensi yang perlu dimaksimakan..


Maka pada otak cerdik warga tua ada pengetahuan dan pengalaman yang perlu dimanfaatkan..


Harmonikan antara kedua-duanya. Marilah, kita sama-sama duduk berdampingan dengan kumpulan senior itu, untuk menadah taujihat dan pesanan. Meskipun jasad mereka tidak segagah kita lagi, namun pada mereka ada sesuatu yang tidak tertanding walau badan seperkasa Badang sekalipun. Itulah kuasa PENGALAMAN.


Membazir


“La...nak minta pendapat diorang ke? Mesti leceh jadinya nanti!”


“Buat tak peduli je...kita teruskan juga!”


“Asyik mereka jela yang betul!”


Jangan Sombong! Jangan Buta! Jangan Degil!


Pesan Nabi s.a.w:-


“Gopah gapah itu daripada Syaitan”


Perjuangan Islam menegah pembaziran yang sia-sia. Tindakan kita yang cuai dan tergopoh gapah ditambah pula dengan pendeknya akal dalam membuat keputusan merupakan suatu peluang untuk dimanfaatkan oleh musuh Islam. Mereka sering mencari-cari ruang untuk menjatuhkan para pemuda yang berjiwa JIHAD ini.


Nasihat, taujihat dan pesanan mereka bukan kerana dengki atas potensi kita, namun kerana ikhlasnya mereka untuk melihat Islam terus diperjuangkan oleh jiwa-jiwa muda ini.


Mereka lebih memahami, zaman kita adalah suatu zaman yang pernah ditempuhi juga oleh mereka. Mungkin, pada zaman yang sama juga mereka pernah dilemma dalam membuat keputusan seperti kita, kesilapan kita juga pernah menjadi kesilapan mereka. Hanya satu harapan mereka, agar KESILAPAN itu tidak diulangi. Ambillah Ibrah~


Pesanan yang terpahat


Teringat saya kepada pesanan Ustaz Ismail, seorang Murabbi yang disegani, dalam sebuah mesyuarat bersama kami, ahli Majlis Perwakilan Pelajar Islam (kini BADAM):-


“Bayangkan jika dunia ini dipenuhi oleh orang muda sahaja, nescaya segala-galanya akan bergerak dengan pantas dan laju, sebaliknya jika dunia ini dipenuhi oleh orang tua, maka dunia akan bergerak perlahan dan lambat”


“Namun laju dan pantas itu tidak bermakna tanpa tindakan yang bijak dan tepat. Manfaatkanlah ia dari orang tua yang punya pengalaman dan kebijaksanaan”


Terima kasih ustaz...


Nota di kaki?


- Tahniah para senior yang sudah dimaklumkan posting mereka, dimana jua anda berkhidmat, bawalah hati yang ikhlas. ^_^


- Bakal memulakan PRAKTIKUM 30hb Jan ini, mohon doa dari kalian dipermudahkan segala urusan. Allahumma Ameen.

Friday, January 7, 2011

Memasyarakatkan Ilmu

“Kamu dah sedia untuk jadi ustaz?”


“Boleh mengajar kitab untuk orang kampung?”


“Dah bersedia untuk turun pada masyarakat?”


Itu antara soalan yang diajukan oleh Prof. Madya Dr. Ezani kepada saya dan beberapa orang rakan yang lain. Pegawai MQA (Malaysian Qualification Agency) itu telah ditugaskan untuk menemuramah sebahagian pelajar IPG sebagai penilaian kepada kualiti silibus PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan). Kelayakan Ijazah kami perlu disahkan oleh panel MQA yang terdiri daripada pensyarah berpengalaman, antaranya Prof. Madya Dr. Ezani ini.


Lima orang wakil pelajar disoal dengan penuh provokasi oleh dua orang pensyarah berpengalaman bukanlah suatu situasi yang menyenangkan. Mereka mahu menguji tahap pengetahuan dan ilmu kami. Tempoh sejam itu seakan-akan 5 jam pabila otak masing-masing dipaksa berkerja keras menyelesaikan konflik yang sengaja ditujukan.


Bermula dari persoalan mengenai firqah Aqidah, perkara-perkara furu’ dalam Fiqh hinggalah hitungan ilmu Falak. Terjahan soalan demi soalan, ada yang dapat dijawab dan ada juga yang hanya dijawab dengan gelengan kepala. Bukan calang-calang soalan bagi kami yang masih mentah ini~ (+_+)


“Ke..kamu ingat kamu sekadar ustaz, ustazah sekolah rendah je? Tak perlu campur dengan masyarakat?” Sekali lagi pertanyaan berbaur provokasi dilontarkan.


“Tak!” kami menafikannya denga tegas.


“Nanti kalau masyarakat tanya persoalan agama tapi kamu tak dapat jawap sebab ilmu kamu tak mencukupi. Macam mana?” soal pensyarah itu lagi.


“Pembelajaran adalah berkonsepkan sepanjang hayat. Sampai bila-bila pun ilmu kita takkan cukup. Yang penting adalah inisiatif kita untuk mencari jawapan/kebenaran kepada persoalan-persoalan masyarakat. Usaha kepada pengembangan ilmu adalah WAJIB selagi kita bergelar MUSLIM” jawab rakan saya dengan nada penuh keyakinan.


Dr. Ezani tersenyum mendengar jawapan itu.


Ilmu untuk apa?


Menuntut ilmu pada tujuan peringkat pertama adalah untuk ‘ALIM (mengetahui). Kemudian diikuti dengan AMAL dan seterusnya MENGAJAR ilmu. Sudah tentu, ilmu bukan sama sekali untuk disembunyikkan kebenarannya. Selari dengan hadis nabi yang berbunyi:-


Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu, kemudian ia menyembunyikannya maka Allah akan rantai di Hari Kiamat nanti dengan rantai daripada api neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud)


Keciciran salah satu daripada peringkat di atas akan mencacatkan sebuah proses keilmuan yang diberkati oleh Allah s.w.t.


Ada yang rajin beramal namun dilakukannya tanpa ilmu, maka sia-sia jualah amalannya...


Ada juga yang punya ilmu tetapi sangat malas beramal dengan ilmunya, sungguh...hilanglah manfaat ilmunya itu...

Tidak kurang juga mereka yang ‘ALIM dan kuat berAMAL, namun sengaja menyisihkan diri dari masyarakat setempat...


Biarlah ketiga-tiga peringkat tersebut menjadi sasaran kita. Tidak mahu bergelar si BODOH yang BERAMAL BUTA, si BIJAK yang tidak serupa bikin cakapnya, dan si SOMBONG yang mengelak untuk berkhidmat.


Dari KITA kepada UMAT


Ini bukan sahaja bicara seorang ustaz/ah semata-mata, tapi ia bicara semua mereka yang bergelar penuntut ILMU.


Seorang KONTRAKTOR membina pusat kebajikan masyarakat...


Seorang GURU menabur bakti mendidik generasi muda masa hadapan...


Seorang PEGUAM berjuang mempertahankan hak mereka yang dizalimi...


Seorang DOKTOR memberi khidmat kepada si miskin yang sakit dan memerlukan...


Jika HARTA milik kita itu ada HAKnya pada UMAT dengan ZAKAT, maka ILMU kita itu juga punya haknya pada MASYARAKAT dengan KHIDMAT.


Ilmu yang kita miliki bukan hanya berkitar dalam lingkungan hidup sendiri dan untuk manfaat sendiri. Sebaliknya, ilmu itu perlu mengalir keluar untuk berbakti pada masyarakat. Kita tidak mulia dengan apa yang kita ada, sebaliknya, kita mulia dengan apa yang kita beri.


Jikalau anda menyangka dengan adanya SEGULUNG IJAZAH itu sudah cukup. Maka perbetulkan kembali persepsi itu, lebih penting dari itu ialah bagaimana anda memanfaatkan IJAZAH itu kepada ummah!


Namun persoalannya, cukupkah hanya dengan ilmu yang kita perolehi di IPT/IPG itu untuk memenuhi kantung ketandusan jutaan umat diluar sana? Buang anak, zina, mat rempit, pelacur dan sebagainya adalah petanda betapa geringnya kondisi sosial di Malaysia.


Maka, atas sebab itulah, majlis graduasi penerimaan IJAZAH bukan titik noktah bagi kita untuk berhenti daripada terus menuntut ilmu, sebaliknya,proses pembelajaran sepanjang hayat perlu diteruskan biarpun usia kita telah luput dimamah masa. Usahakanlah untuk terus mencari pengajian lain biarpun diluar waktu kuliah.



TIDAK PEDULISME


“Biarlah...bukan hal aku”


“Lecehla...aku banyak lagi kerja lain”


“Nak susah-susah buat apa?”


Dengan dialog sebegini yang memaparkan betapa rosaknya kesedaran kita para mahasiswa/guru pelatih terhadap isu masyarakat, mana mungkin timbulnya peluang kepada masyarakat untuk menuai hasil dari ilmu kita. Barangkali mereka lupa hadis nabi yang berbunyi:-


Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.


(Hadis bertaraf hasan daripada Hudzaifah r.a, diriwayatkan oleh al-Thabarani dan al-Hakim)


Cukup-cukuplah leka dengan permainan siber seperti DOTA, Winning Eleven dan sebagainya itu...


Kurang-kurangkanlah menonton drama/movie secara maraton itu...


Hentikanlah tabiat suka berhibur, bersosial secara berlebihan itu...


Mari kembali kepada zaman syabab pada zaman NABI s.a.w. Zaman dimana para fatayat merupakan tulang belakang penggerak UMMAH. Khidmat orang muda yang tidak pernah kenal erti jemu dan letih serta agresif dalam segala aspek pembentukan mujtama’ muslim (masyarakat islam).


Buka Al-Quran hayati intipatinya, kemudian selak suratkhabar caknakan isunya. Nescaya, akan kalian lihat kaitan jawapan bagi persoalan segala isu tersebut adalah kembali pada Al-Quran.


Dari tidak ambil peduli kepada ambil tahu, mari kita ambil tahu. Dari ambil tahu, mari kita turun, menolong apa yang mampu.


‘Life is not only about DURATION, But it is about DONATION’ (^_^)