Tuesday, March 24, 2015

Jika Muhammad s.a.w itu memilih untuk menjadi Raja.

Mengapa mesti Nabi Muhammad s.a.w hidup dalam keadaan serba sederhana? Bukankah ada Rasul sebelum ini yang menjadi raja seperti Nabi Sulaiman?

Al Jawab:-

Telah berkata Sultanul Ulama’ Syeikh Al Izz Abdul Salam di dalam Bidayatul Sul Fi Tafdhil Ar Rasul:-

“Diantara kelebihan Rasulullah s.a.w ialah Allah s.w.t telah membentangkan kunci khazanah perbendaharaan bumi kepada Nabi s.a.w serta diberi pilihan kepada Nabi s.a.w sama ada mahu menjadi raja yang menjadi Nabi atau hamba yang menjadi Nabi?”

“Jibril a.s telah mengisyaratkan Nabi s.a.w agar bersifat tawaduk. Lalu Nabi s.a.w berkata kepada Jibril: Aku memilih menjadi Nabi dan juga hamba”

Hal ini selari dengan sebuah hadis Nabi s.a.w, Abu Hurairah r.a telah berkata:-

جلس جبريل إلى النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ فنظر إلى السماء ، فإذا ملَك ينزل ، فقال له جبريل : هذا الملك ما نزل منذ خُلِق قبل الساعة ، فلما نزل قال : يا محمد أرسلني إليك ربك : أملِكا أجعلك أمْ عبدا رسولا ؟ ، قال له جبريل : تواضع لربك يا محمد ، فقال رسول الله ـ صلى الله عليه وسلم ـ : بل عبدا رسولا



Maksudnya: Jibril duduk bersama Nabi s.a.w maka ia memandang ke langit, lalu turun seorang malaikat, Jibril berkata kepada baginda:  “Malaikat ini tidak pernah turun semenjak diciptakan sebelum saat ini” . Apa ia turun ia berkata; “Wahai Muhammad Tuhanmu telah mengutuskanku kepadamu bertanyakan: Rajakah yang kamu mahu aku jadikan kamu atau seorang hamba yang menjadi rasul?” Jibril berkata; “Rendahkanlah dirimu bagi tuhanmu wahai Muhammad.” Kata Rasulullah s.a.w: “Tidak! Bahkan hamba yang menjadi rasul”

(Diriwayatkan oleh Ahmad 2/231)

Jika ditelusuri Sirah Nabawiyyah Muhammad s.a.w, kita akan dapati bahawa terdapat satu peristiwa dimana Rasulullah s.a.w ditawarkan oleh golongan Kafir Quraisy dengan tawaran yang hebat dan menggiurkan. Jika tujuan Nabi s.a.w membawakan dakwah ini demi harta, maka mereka (Para Pemuka Kafir Quraisy) akan mengumpulkan harta-harta mereka dan jika tujuan Nabi s.a.w menjalankan dakwah ini demi kekuasaan, maka akan mereka tabalkan baginda s.a.w menjadi raja/pemimpin. 

Pernah juga para pembesar Quraisy menemui Abu Talib bagi meminta beliau supaya menasihatkan Nabi Muhammad s.a.w untuk menghentikan seruannya itu:-

Lalu jawab baginda s.a.w:-

يا عم ! و الله لو وضعوا الشمس في يميني ، و القمر في يساري ، على أن أترك هذا الأمر حتى يظهره الله أو أهلك فيه ما تركته

Maksudnya: Wahai pak cik! Sekalipun jika diletakkan bulan di tangan kiri ku dan matahari di tangan kanan ku, namun untuk aku memberhentikan usaha dakwah ini tidak sama sekali. Aku akan teruskan sama ada aku berjaya atau mati dalam usaha ku ini 

(Diriwayatkan Al oleh Baihaqi 522)

Sesungguhnya, Nabi s.a.w sendiri memilih untuk berada dalam keadaan yang sederhana. Bahkan, peluang untuk memiliki harta kekayaan dan pangkat sudahpun dikemukakan. Namun, baginda nabi s.a.w sendiri memilih untuk terus menjalankan dakwah ini bukan dibawah pengaruh kekayaan dan pangkat. Seperti 

Hal ini juga memberitahu kepada kita, antara sunnah perjuangan dalam berdakwah ialah menempuh kesusahan dan kesulitan akibat kurangnya harta dan kekayaan. Musuh-musuh Islam yang amat membenci peranan dakwah ini akan sentiasa mencucuk halus tawaran kekayaan dan pangkat demi memastikan perjuangan ini tidak lagi diteruskan.


No comments: