Sunday, November 30, 2008

Belasungkawa Allahyarham Dato' Razali Ismail


Marilah kita sama-sama menyedekahkan surah Al-Fatihah kepada Allahyarham Dato' Razali Ismail (Timbalan Menteri Pelajaran) yang telah kembali ke rahmatullah pada 28 November 2008 di IAB (Institut Aminudin Baki). Semoga Allah meletakkan rohnya bersama mereka yang beriman.

Sepanjang hayatnya, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengetua di Maktab Peguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu (nama kini IPKT). Meskipun tidak berkesempatan berada di bawah naungannya, namun saya banyak mendengar pembaharuan Islamik yang Allahyarham bawa ketika berada di MPKT. Antaranya, mewajibkan kesemua guru pelatih solat zohor secara berjemaah seusai kuliah pada pukul 1.30 tengah hari. Selepas solat Zohor, diadakan pula KULTUM (kuliah tujuh minit).

Kunjungan Allahyarham ke IPKT sekitar 2006-2008 membolehkan saya mendengar 'talk' secara 'live' di hadapan mata. Apa yang saya kagumi ialah penggunaan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan ucapan. Sungguh unik dan kreatif. Ucapan Allahyarham banyak mengandungi ungkapan bahasa yang menyebabkan kita perlu berfikir secara lebih terbuka.

Semoga ahli keluarga beliau tabah menghadapi ujian ini. Allah yussaheel 'alaik.

Saturday, November 29, 2008

Kisah Seorang Guru Atheis

Maka tersebutlah kisah seorang guru sekolah rendah yang telah memegang fahaman Atheis (tidak mempercayai wujudnya tuhan). Suatu hari, sebelum memasuki kelas dia dilihat duduk termenung di balkoni sebelum memasuki kelas tahun 1 Aktif. Dia sedang berfikir cara dan pendekatan yang paling sesuai untuk menyedarkan murid-muridnya mengenai ketidak wujudan tuhan di muka bumi ini. Dia mahu meletakkan anasir buruk dalam pemikiran muridnya meragui kewujudan tuhan. Perah punya perah keringat otaknya itu, maka muncullah suatu idea yang agak rasional dan mudah pendekatannya. Dia tersenyum kambing lantas terus menuju masuk ke kelas tahun 1 Aktif itu.

Seusai ucap selamat diberikan oleh seluruh isi kelas. Guru itu memulakan pengajaran dengan membawa set induksi yang telah difikirkan sebentar tadi. Dikeluarkan sebatang pen dan ditunjukkan kepada murid-muridnya. Diangkatnya dengan agak tinggi agar semua murid dapat melihatnya.

Guru : Murid-murid, cikgu nak bertanya, apakah benda ini?

Murid : Sebatang pen!

Guru : Bagus! Dia wujud kan dihadapan kamu?

Murid : Wujud!

Guru : Ha…ianya wujud kerana kamu nampak ia.

Terukir sekuntum senyuman penuh makna. Lalu disorokkan pen itu ke dalam poketnya.

Guru : Ha…sekarang kamu nampak tak pen tu?

Murid : Tak!

Guru : Maknanya pen tak….?

Murid : Tak Wujud cikgu! Pen tidak ada!

Guru : Pandai kamu semua! Baiklah..sekarang cikgu mahu kamu semua cari di sekeliling nampak di mana-mana adanya Tuhan?

Murid-murid pun mulalah mencari-cari disekeliling mereka untuk mencari ‘objek’ tuhan!

Guru : Kamu semua percaya tuhan kan? Carilah dimana-mana, bawah meja ke? Diluar tingkap ke? Tak pun didalam tong sampah barangkali?

Sudah puas murid-murid mencari namun tidak jumpa juga ‘Tuhan’ yang dimaksudkan.

Murid : Penatlah cikgu! Tak nampak pun tuhan?

Cikgu : Tak jumpa ke? Ha…kamu tidak nampak pun kan tuhan tu dimana-mana? Maknanya….tuhan itu tidak….?

Murid : Tuhan tidak wujud cikgu! Tuhan tidak ada cikgu!

Guru tersenyum puas, akhirnya dia berjaya memasukkan keraguan biarpun dalam keadaan yang sedikit dan simple.

Tiba-tiba, seorang murid angkat tangan, Ariff namanya.

Guru : Kenapa kamu angkat tangan Ariff?

Ariff : Saya nak tunjukkan sesuatu pada semua.

Guru : Baiklah, kamu boleh ke hadapan.

Dia berdiri betul-betul bersebelahan dengan cikgunya.

Ariff : Kawan-kawan nampak tak cikgu di sebelah saya?

Murid : Nampak!

Ariff : Baiklah…sekarang saya nak kawan-kawan cari dimana letaknya otak cikgu?

Murid : Mana nampak lah ariff!

Ariff : Haaa…kamu tak nampak ya? Saya pun tak nampak! Maknanya…cikgu tidak ada…?

Murid : Cikgu tidak ada otak! Otak cikgu tidak wujud!

Ariff : Pandai kawan-kawan saya! =)

Guru tersebut merah padam mukanya menahan malu, terus keluar dari kelas. Aii..cikgu! ingatlah Allah Laisa Kamislihi Syaiun!

Thanx to Bro Shah Kirit for this story! FCR @ MMU.





Thursday, November 27, 2008

Sangat-sangat sibuk??

Kinokuniya KLCC 12.20 tengah hari

Dek kerana terkejut melihat kelibat seseorang di sebalik rak buku di hadapan saya, hampir terjatuh buku ‘Trevelog Haji’ yang sedang saya belek, mujur tangan cekap menggenggam kemas kembali buku itu. Masih dalam percaya atau tidak, saya melihat beliau buat kali kedua kali ini dengan mengelap kaca mata. ‘ Betulkah apa yang aku lihat ni? ‘. Bagi mendapatkan kepastian, saya capai sebuah buku bertajuk ‘Aku Terima Nikahnya’. Terus ke bahagian belakang kulit buku untuk melihat gambar pengarangnya. ‘ Ha…sebijik! Betullah Ustaz Hasrizal tu!’

Rasa teruja yang amat sangat kerana dapat bertemu ikon besar yang mempunyai peranan penting dalam dunia dakwah di Malaysia. Sudah tentu, saya tidak melepaskan peluang menegur beliau. Berbual dalam jangka masa yang agak suntuk, saya betul-betul rasa tidak puas dan ingin bertemu lagi kelak. Namun, saya faham situasi ustaz yang agak sibuk dan katanya dia akan bertolak ke Ipoh pada pukul 2 nanti. Sebelum berpisah, saya sempat bergambar bersama beliau untuk dijadikan kenangan. Bukan senang nak bergambar dengan ikon ini. Terima kasih ustaz, kerana sudi melayan kerenah peminat mu ini.


Buku ustaz Hasrizal yang bertajuk ‘Aku Terima Nikahnya’ telah pun saya khatam kira-kira 3 bulan yang lalu. Melihatkan ‘kesibukan’ ustaz dalam buku tersebut menyebabkan saya terasa ‘kecil’ kerana seringkali mengeluh letih dengan kesibukan aktiviti-aktiviti di IPKT. Ustaz sudah pun berumah tangga, sudah mempunyai anak-anak, tentunya tanggungjawab ustaz bertambah berlipat-lipat kali ganda berbanding diri ini.

Seusai buku itu saya baca, satu pertanyaan menyergah kotak pemikiran, hari ini, dalam keadaan ini, saya sudah pun mengeluh kerana terasa bebanan tugas yang amat sangat. Tugas yang pada anggapan saya amat ‘besar’ ini, sudah pun mampu menterbalikkan waktu tidur saya, soal pemakanan tidak sempat dijaga dengan baik, dan tahap kekemasan bilik sudah mencapai piawaian ‘bilik bujang’ versi bersepah. Soal remeh begini pun saya tidak dapat jaga dengan baik, apatah lagi jika saya sudah mempunyai tanggungjawab lain kelak? Saya khuatir, andai tiba saat itu, saya tertekan sehingga membuat keputusan untuk menamatkan ‘riwayat’ aktiviti dakwah saya demi menjaga kestabilan rumah tangga.

Terasa jauh sangat diri ini dengan gambaran perjuangan ketika zaman Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w juga seperti insan lain yang mempunyai isteri dan anak-anak, malah tanggungjawab Rasulullah s.a.w bukan sekadar ketua keluarga, segala urusan pentadbiran negara dibawah jagaan baginda, namun semuanya digalas baik oleh manusia sempurna ciptaan Allah itu. Jangan dikatakan Rasulullah, malah peranan ulama’-ulama’ silam juga tidak layak jika dibandingkan dengan diri yang kerdil ini. Mereka mampu meninggalkan kepada kita ratusan kitab meskipun ditakdirkan Allah untuk meninggal dunia dalam usia yang muda! Diri ini? Sebutir kitab pun tidak termampu~

(Al Ashr:1-3)

Ya Allah, janganlah golongkan kami dari hamba-hamba yang rugi dan menyesal di akhirat kelak. Kerana, di hari akhirat kelak, penghuni neraka berasa amat-amat menyesal dengan sedikitnya amalan mereka semasa di dunia sehingga memohon untuk dihidupkan semula, biarpun sesaat untuk menebus waktu itu dengan amal kebajikan. Penyesalan yang mereka rasakan amatlah dahsyat sehinggakan mampu memutuskan tangkai jantung mereka. Na’uzubillah.

Sunday, November 2, 2008

Ibarat Bermain Ragbi...

Hampir 7 bulan saya ditaklifkan sebagai Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Islam @ Ketua Exco Kerohanian dan Moral. Bermakna hampir 7 bulan jugalah saya ditindan oleh batu besar yang bernama tanggungjawab. Ke hulu ke hilir dengan ‘batu’ tersebut mengurniakan kelelahan yang amat sangat. Suatu tanggungjawab yang datang dengan amanah itu tidak disambut gembira oleh hati ini. Menyedari yang datang itu suatu ‘bala’ tidak dipinta, apatah pula untuk diharapkan.

Tatkala, diri ini keluar mengerjakan umrah di tanah suci Makkah, nama diusul oleh rakan seunit untuk bertanding dalam pilihan raya. Sedikit kesal, terasa seolah dipermainkan. Sekurang-kurangnya, maklumkanlah pada tuan empunya diri mengenai perkara sepenting ini. Namun, biarlah…perkara telah berlalu dan telah pun dilabel ‘sejarah’. Seusai watikah perlantikan jawatan, method dakwah mula mencatur strategi kerana bak kata pepatah arab “Waktu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotongmu”. Bermula dengan apa? Sudah tentu dengan menyusun sebuah organisasi. Mana mungkin, mampu dilakukan segala kerja dengan kudrat yang sekeping ini? Bermula dari pensyarah penasihat, diteruskan kesinambungan dengan melantik 6 orang ahli majlis tertinggi dan menubuhkan 7 buah lajnah. Nah, sebuah Tanzim telah terbentuk. 20 orang kesemuanya. Terbina untuk memikul bersama sebuah ‘batu’, tuntutan dari yang ESA.

Tempoh 7 bulan bersamaan 210 hari bukan suatu tempoh masa yang pendek, penuh jam kredit untuk melengkapkan sebuah semester bukan? Banyak pengalaman dan penderitaan yang terkutip sepanjang perjalanan. Pahit, manis, masam dan masin semuanya ditelan sebagai syarat pencukup rasa bagi menghasilkan ‘resepi’ kenangan perjuangan yang hebat. Diri yang hina ini, mohon agar api dakwah terus membara dan menyala sepanjang hayat. Kata Imam Al-Ghazali:- “ Jika kamu tidak disibukkan dengan urusan agama Allah, maka kamu akan berada dalam kemaksiatan”

Maka, diri ini bimbang jikalau kemaksiatan mula mendominasi usia muda yang sepatutnya diabdikan kepada Rabbul ‘Izzati. Sengaja ‘menyibukkan diri’ dengan segala macam program di dalam atau luar IPKT. Sama ada meng ‘program’ kan muslim lain, ataupun meng ‘reprogram’ diri sendiri. Kedua-duanya sama penting, perlu ada keseimbangan antara satu sama lain. Namun, sangat merisaukan saya, dalam keadaan aktif bergerak itu, saya terabai dan terlepas pandang mana-mana pendapat atau teringkar mana-mana arahan dari pensyarah penasihat. Tidak terlepas juga kebimbangan saya andai terkasar bahasa atau terlepas kata dalam menuturkan arahan kepada rakan seperjuangan.

Apa yang termampu dari insan cuai dan leka ini, hanyalah pohonan maaf dan kesalan yang amat sangat. Tertuju khas kepada Ustaz Ismail Yusof (KJ JAPIM), Ustaz Mohd. Nor Jusoh, Ustaz Syed Hasan, Ustaz Sabawi, Tn. Haji Ahmad Zahari Omar dan untuk kesemua pensyarah penasihat MPPI. Anak muda yang berkhidmat ini tahu, PASTI ada yang terkecil hati. Keasyikan berpersatuan ini kadang kala melupakan adab dan tata susila si pejuangnya. Harapannya, pohanan maaf ini diterima dengan hati yang terbuka. Anggaplah diri ini ibarat insan buta yang masih ‘teraba-raba’ mencari tongkat panduan. Bantulah si buta ini menyeberangi sebuah jalan yang teramat sibuknya.

Buat rakan seperjuangan, maafkan diri ini andai ‘suis’ komunikasi yang baik antara kita gagal dipetik. Terkadang arahan terpancul pada waktu dan tempat yang tidak sesuai. Mungkin lagakku seperti bos mengarah perkerja, walhal, pekerja dibayar gaji, kalian semua kerja secara free. Namun, kerjamu itu bukan untuk saya, ianya untuk Allah dan RasulNYA, agar dapat dibawa bekal menghadap si Tuhan yang bakal bertanya di Yaumul Qiamah kelak.

Kalau ada khilaf pendapat antara kita, jangan di ‘kurap’ kan dendam di dalam hati. Ketahuilah, dalam mana-mana persatuan@gerakan sekalipun, setiap kali ‘persidangan’ atau ‘muktamar’, pasti ada yang menghentam, bukan menjatuhkan, namun untuk teguran dan kritik demi kematangan masa hadapan.

Ibarat bermain ragbi, kita sepasukan, sedang hebat menggempur kubu lawan, mencari ‘touchdown’ dalam ‘hut’ demi ‘hut’. Secara tidak sedar kita ter ‘siku’ perut dan ter ‘terjah’ kaki rakan sepasukan. Sengaja atau tidak, pulangkan pada niat empunya diri. Namun, perlu diketahui itulah lumrah permainan, antara tersiku atau disiku, sama ada diterjah atau menerjah. Apa yang penting, itu wajib ditelan sebagai pejuang. Bak kata Ustaz Hasrizal Abd. Jamil, ujian itu bukan sahaja dari musuh taghut yang dihadapi, namun, ia juga datang dalam keadaan yang tidak disangka. Mengapa? Kerana medan perjuangan kita amatlah luas, sama juga luasnya dengan ujian yang bakal kita hadapi.


'KAMI' dalam lawatan ke IPTKL

ibnu_dzulhefli / 2 Zulkaedah 1429 /9.35 mlm