Thursday, November 27, 2008

Sangat-sangat sibuk??

Kinokuniya KLCC 12.20 tengah hari

Dek kerana terkejut melihat kelibat seseorang di sebalik rak buku di hadapan saya, hampir terjatuh buku ‘Trevelog Haji’ yang sedang saya belek, mujur tangan cekap menggenggam kemas kembali buku itu. Masih dalam percaya atau tidak, saya melihat beliau buat kali kedua kali ini dengan mengelap kaca mata. ‘ Betulkah apa yang aku lihat ni? ‘. Bagi mendapatkan kepastian, saya capai sebuah buku bertajuk ‘Aku Terima Nikahnya’. Terus ke bahagian belakang kulit buku untuk melihat gambar pengarangnya. ‘ Ha…sebijik! Betullah Ustaz Hasrizal tu!’

Rasa teruja yang amat sangat kerana dapat bertemu ikon besar yang mempunyai peranan penting dalam dunia dakwah di Malaysia. Sudah tentu, saya tidak melepaskan peluang menegur beliau. Berbual dalam jangka masa yang agak suntuk, saya betul-betul rasa tidak puas dan ingin bertemu lagi kelak. Namun, saya faham situasi ustaz yang agak sibuk dan katanya dia akan bertolak ke Ipoh pada pukul 2 nanti. Sebelum berpisah, saya sempat bergambar bersama beliau untuk dijadikan kenangan. Bukan senang nak bergambar dengan ikon ini. Terima kasih ustaz, kerana sudi melayan kerenah peminat mu ini.


Buku ustaz Hasrizal yang bertajuk ‘Aku Terima Nikahnya’ telah pun saya khatam kira-kira 3 bulan yang lalu. Melihatkan ‘kesibukan’ ustaz dalam buku tersebut menyebabkan saya terasa ‘kecil’ kerana seringkali mengeluh letih dengan kesibukan aktiviti-aktiviti di IPKT. Ustaz sudah pun berumah tangga, sudah mempunyai anak-anak, tentunya tanggungjawab ustaz bertambah berlipat-lipat kali ganda berbanding diri ini.

Seusai buku itu saya baca, satu pertanyaan menyergah kotak pemikiran, hari ini, dalam keadaan ini, saya sudah pun mengeluh kerana terasa bebanan tugas yang amat sangat. Tugas yang pada anggapan saya amat ‘besar’ ini, sudah pun mampu menterbalikkan waktu tidur saya, soal pemakanan tidak sempat dijaga dengan baik, dan tahap kekemasan bilik sudah mencapai piawaian ‘bilik bujang’ versi bersepah. Soal remeh begini pun saya tidak dapat jaga dengan baik, apatah lagi jika saya sudah mempunyai tanggungjawab lain kelak? Saya khuatir, andai tiba saat itu, saya tertekan sehingga membuat keputusan untuk menamatkan ‘riwayat’ aktiviti dakwah saya demi menjaga kestabilan rumah tangga.

Terasa jauh sangat diri ini dengan gambaran perjuangan ketika zaman Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w juga seperti insan lain yang mempunyai isteri dan anak-anak, malah tanggungjawab Rasulullah s.a.w bukan sekadar ketua keluarga, segala urusan pentadbiran negara dibawah jagaan baginda, namun semuanya digalas baik oleh manusia sempurna ciptaan Allah itu. Jangan dikatakan Rasulullah, malah peranan ulama’-ulama’ silam juga tidak layak jika dibandingkan dengan diri yang kerdil ini. Mereka mampu meninggalkan kepada kita ratusan kitab meskipun ditakdirkan Allah untuk meninggal dunia dalam usia yang muda! Diri ini? Sebutir kitab pun tidak termampu~

(Al Ashr:1-3)

Ya Allah, janganlah golongkan kami dari hamba-hamba yang rugi dan menyesal di akhirat kelak. Kerana, di hari akhirat kelak, penghuni neraka berasa amat-amat menyesal dengan sedikitnya amalan mereka semasa di dunia sehingga memohon untuk dihidupkan semula, biarpun sesaat untuk menebus waktu itu dengan amal kebajikan. Penyesalan yang mereka rasakan amatlah dahsyat sehinggakan mampu memutuskan tangkai jantung mereka. Na’uzubillah.

4 comments:

Anonymous said...

kau telah brjaya mngetuk pntu hatiku,
mngapa aku xbisa jadi sprtimu,
mngapa?!
mgkinkah aku sorg yg pemalas?
buta hati?
x pernh fkr ttg org lain?
atau mgkin...
aku sorg hambaMu yg lalai dlm megerjakan urusanMu,
pimpinlah aku Ya Allah spy aku bisa jdi sprtinya,
syukran Ya Rabbi,
kau hdirkan insan sprtinya buatku..

Anonymous said...

ust hasrizal = saifulislam..wow!

Abu Saif said...

wah wah... assalamualaikum ya akhi :)

Tinta Al-Murabbi said...

walaikumsalam..syukran sudi jenguk blog ini...~ =)