Monday, February 23, 2009

BijakSANA atau BijakSINI?

Teriknya! Terasa sinar matahari pagi ini seakan memancarkan cahayanya lebih daripada biasa. Duduk di atas pentas berhadapan Tok Guru dalam keadaan matahari yang memancar terik di belakang badan, membuatkan tubuh gempal saya ini mula mengalirkan titisan peluh. “Takpelah..nak salam dengan Tok Guru punye pasal..panas pun panaslah..” bisik hati saya.



Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang tokoh Menteri Besar yang mentadbir sebuah negeri bernama Darul Naim ini banyak menyentuh hati ini mengenai hakikat kepimpinan Islam yang sebenarnya. Perwatakannya, tutur katanya, penampilannya mampu membuatkan diri ini terkesima dan terkeliru pemimpin negara atau rakyat biasakah beliau ini? Serba serbi sederhana, malah..jika ditanya pada saya bahagian manakah dalam penampilannya yang boleh menunjukkan bahawa beliau seorang Menteri Besar, maka saya hanya mampu menggeleng memberi jawapan tidak tahu!

Kezuhudan beliau terhadap dunia meskipun bergelar seorang Menteri Besar, lantas membuatkan diri ini terasa jauh benar dari beliau, saya? Seorang manusia alpa, yang telah menghidap penyakit ‘Al-Wahnu’ sekian lamanya. Terkadang lupa bahawa Allah dan RasulNYA perlu dicintai lebih dari segalanya. Membelek-belek gadget sekitar diri; telefon bimbit, jam, kasut, baju, wallet, laptop..hmm..nampaknya..seolah-olah perkataan ‘Zuhud’ susah benar hendak melekat pada diri ini. Ya Allah..aku perlukan penyucian hati!



Kata Tok Guru “Ambo kalau ikutkan bulih jah, tuntut elaun rumah, elaun itu, elaun ini tapi ambo runsing kalau-kalau elaun itu sok Allah tanya di Padang Mahsyar kelak. Itu hok mu ko, hok rakyat? Manusia loni, keno bijakSANA jangan bijakSINI! Ore hok bijaksana, dio bijok blako tapi kalu ore bijaksini dio bijaksini jah.”

Sungguh, otak bahagian bahasa saya berkerja keras untuk ‘menterjemahkan’ setiap butir perkataan yang tok guru syarahkan. Namun bahagian ini yang paling saya jelas dan punya keberanian untuk disampaikan dalam Tinta Al-Murabbi. Loghat Kelantan ini membunuhku! Mujur, ada rakan berdarah Kelantan di sebelah yang sudi menjadi ‘DUTA’ penterjemah kepada saya. Terima Kasih Din! =)

Orang yang bijaksana, segala-galanya bijak, bijak merancang, bijak mentadbir, bijak mengurus, bijak bertindak, bijak itu, bijak ini. Namun, apa yang lebih penting daripada itu ialah orang yang bijaksana itu akan bijak sehingga ke SANA! Merancang untuk ke SANA, Mentadbir hingga ke SANA, Mengurus untuk ke SANA, Bertindak untuk ke SANA. Pendek kata, segala-gala yang dibuat untuk hari ini adalah bekalan untuk ke SANA! SANA? = Akhirat kelak wahai sang pembaca!

Berbeza dengan orang yang bijaksini. Hanya bijak merancang untuk di SINI, mengurus untuk di SINI, bertindak untuk di SINI, mentadbir untuk di SINI, segala-galanya adalah untuk di SINI! Sini tu adalah di Dunia yang fana’ ini sahaja! Oleh kerana itu, mereka dari golongan ini amat pendek akal fikiran mereka. Dan disebabkan ‘Mind Set’ seperti inilah manusia hari ini tidak segan silu melakukan kemungkaran dan maksiat! Mengambil rasuah, Berzina, serta pelbagai lagi amalan Ahli Neraka. Mereka menyangka dengan aqal licik mereka berjaya terlepas di dunia, hal yang sama boleh di aplikasikan di Yaumul Mahsyar kelak! Alangkahnya bodohnya pemikiran serupa ini!
Barangkali mereka lupa ayat Allah:-

"Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" (al Zalzalah: 6-8)

Arwah abah pernah pesan “Rip, manusia ni ada yang CERDIK dan PANDAI tahu?”

“Bukan sama je ke abah?” Soal saya.

“Lain..Pandai bila kita dapat ‘SCORE’ dalam akademik, tapi cerdik bila kita dapat 'SCORE' dalam hidup di dunia dan di akhirat! Sebab tu orang guna perkataan CERDIK PANDAI!”ujar Abah dalam menterjemahkan dua perkataan itu mengikut ‘Kamus DBP’ versi pengalaman abah.

Nah, si Pembaca sekalian..anda bijakSANA atau bijakSINI? CERDIK ke PANDAI?

Thursday, February 12, 2009

Chelsea FC VS Hull City (7 Feb)

Minggu lepas, berbicara soal Aqidah bersama-sama anak-anak usrah telah menimbulkan sebuah analogi yang agak menarik untuk dikongsi bersama dalam entri kali ini. Sengaja saya bawakan perumpamaan bola sepak kerana sudah tentunya ia agak dekat dengan remaja masa kini. Dan tentunya saya adalah salah seorang peminat bagi sukan berkenaan! Melihat Chelsea di tangga keempat liga ketika ini membuatkan harapan pasukan berkenaan untuk bergelar Juara agak kabur. Namun, tidak mengapalah, unjur strategi Luiz Felippe Scolari tentunya punyai rancangan tersembunyi di saat genting ini. Jurulatih Portugal itu kini barangkali sedang memotivasikan semangat anak buahnya untuk menampilkan persembahan yang terbaik dalam perlawanan seterusnya.



Bagi saya, bola sepak merupakan salah satu topik perbahasan yang agak hangat di kalangan muda mudi kini, maka seharusnya kita selaku Du’at mengaplikasi topik ini sebagai ‘pencucuk jarum’ dahulu, kemudian pandai-pandailah kita ‘menjahitnya’ dengan rapi dan kemas. Tidak perlu terlalu TAKSUB dengan bola sepak, cukup sekadar MENGETAHUINYA, nescaya perbualan anda bersama Mad’u tentunya rancak dan panas.

“Abang, ana ada sedikit kemusykilan, Allah telah pun menetapkan kita samada berbahagia di Syurga atau di humban kedalam Neraka sejak azali bukan? Malah nama kita telah pun tercatit di Luh Mahfuz sebagai penghuni Syurga atau Neraka!” soal anak Usrah saya.

Saya sekadar mengangguk-angguk, menunggu ‘apa yang dimusykilkan’ sebenarnya.

“Maka, mengapa kita disuruh bersungguh-sungguh untuk mengamalkan Islam, beria-ia mengamalkan kebajikan, berbuat baik dan sebagainya sedangkan awal-awal lagi Allah dah tetapkan kita sebagai penghuni Syurga. Sama juga sebaliknya, beria-ia kita mengawal diri dari melakukan perkara yang dimurkai Allah, sedangkan nama kita telah pun tercatat sebagai penghuni Neraka, tidakkah ini sia-sia?” ujarnya lagi.

“Kalau dah begitu keadaannya, lebih baik kita hidup BEBAS sahaja tanpa terikat dengan apa-apa peraturan Islam, tidak begitu?”

Saya berdiam diri sambil menyapu janggut saya yang agak malu untuk tumbuh itu. Diam tanda berfikir, bak kata Ustaz Hasrizal dalam membahaskan The 7 Habit of Highly Effective People, “tekan butang pause bila perlu, untuk memilih reaksi terbaik”.
Selaku pelajar Pengajian Agama Islam, Insya Allah, saya berupaya untuk menjawab dari segi hujah, nas dan dalil Al-Quran dan Sunnah. Namun, untuk membahaskan perkara ini, saya perlukan rujukan semula ke kitab-kitab Aqidah, tambahan pula saya ini jenis ‘ilmu tidak sempat lekat di dada’, dengan kata lain hujah dan nas itu tidak sempat pun untuk dihafaz. Malah, jika ingin menjawab perkara ini, mungkin di pertemuan akan datang dapat dijawab sepenuhnya, tambahan pula jarum jam menghampiri pukul 11 malam.

Saya menggaru kepala yang tidak gatal, memerah bahagian otak kiri saya untuk mencari penyelesaian umum untuk memberi tasawwur awal kepada anak usrah mengenai permasalahan ini. Bagaimana ya? Menjawab permasalahan yang panjang lebar dalam tempoh lima minit? Tidak mahu terlalu banyak mengambil masa anak-anak usrah kerana tentunya banyak hal lain yang mereka ingin selesaikan.

“Enta, ada tengok match Chelsea VS Hull City minggu lepas?”

Sambil tersengih, dia menjawab “Tengok juga, seri! 0-0”



“Ana tak sempat pun untuk mengikuti sepenuhnya match tu, hanya tengok highlights saja, walaupun sudah tahu keputusannya, tapi untuk puas hati, nak juga tengok!”

“Tulah..lawan di Stamford Bridge pun boleh kalah ke?Hadoi la..”keluh anak usrah saya yang lain.

Tersimpul sebuah senyuman di bibir saya. Situasi ini, serupa di kedai kopi gamaknya!

“Haa…anta rasa, kalau lah player Chelsea dan Hull City tu dah tahu awal-awal keputusan di penghujung perlawanan adalah seri..agak-agak mereka akan berusaha keras ke untuk berlawan antara satu sama lain?”saya cuba membuat provokasi.

“Hish..abang oi! Kalau mereka dah tahu keputusan perlawanan sebelum bermain, tentulah mereka bermain sambil lewa sahaja. Tapi, masalahnya, mana ada orang boleh tahu keputusan perlawanan sebelum perlawanan! Ilmu apa dia pakai ye??” cepat sungguh anak Usrah saya ni membetah.

“Pandai pun..dah tu..enta dah tahu ke samada enta ke syurga atau ke neraka? Player Chelsea dan Hull City tu berusaha separuh mati sebab mereka mahu menang! Walaupun pada hakikatnya, pada pengakhiran perlawanan mereka hanya Seri! Mereka menentang satu sama lain bermati-matian kerana mereka tidak tahu apa yang bakal berlaku.” Ujar saya.

“Cuba bawa perumpamaan itu dalam kehidupan kita, ibaratkan diri kita selaku player yang sedang berusaha keras untuk menang, dan 90 minit itu adalah jangka hayat kita! Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku samaada kita ahli neraka atau ahli syurga, namun kita wajib berusaha untuk menjadi ahli syurga bukan? Ke enta nak jadi ahli neraka?”

Sambil tersenyum, mereka menggeleng.

“Ahli Sunnah Wal Jamaah meletakkan usaha manusia itu berdasarkan pilihan mereka. Jika mereka memilih untuk menjadi ahli Syurga maka sepatutnya mereka memilih untuk melakukan kebaikan dan begitu juga sebaliknya”.

Prihal Allah sudah menentukan samaada kita ke Syurga atau ke Neraka serupalah seperti kita menonton perlawanan highlights, melihat player (manusia) berusaha keras, namun kita sudah pun tahu keputusannya!

Mereka termanggu sebentar untuk memproses anologi yang saya keutarakan. Lalu saya menyambung..

“Baiklah, cukup sekadar sedikit analogi untuk permasalahan ini, dah lewat ni..entum semua boleh balik bilik, kalau masih tidak faham, ana boleh jelaskan ikut Dalil dan Nas yang sohih, tapi dalam pertemuan minggu depan lah..kalau sempat sebelum tidur tu..renung-renungkanlah amalan kita sekarang ini, amalan menuju menjadi ahli syurga atau ahli neraka?”

“Ingat pesanan Nabi s.a.w mafhumnya:- Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat. Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu jalan ke syurga. Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu jalan ke neraka”

P/S: Kisah ini dikarang sebelum Luiz Felippe Scolari dipecat sbg coach Chelsea.
: Mohon kemaafan kerana entri ini banyak bercampur aduk bahasa. Sekadar mahu menghidupkan suasana.