Sunday, June 28, 2009

Toharah Haraki?


Ganjil sekali bunyi tajuk ini ketika saya berbincang mengenainya bersama saudara Zaki. Ketika itu, kami sedang duduk santai di birai Balai Islam sambil berbual mengenai permasalahan fiqh. Maklumlah, duduk bersama saudara Zaki memang tidak akan lari dari perbincangan ilmiah, saya kagum dengan betapa luasnya pembacaan beliau. Ke’obses’an beliau dengan buku, menyebabkan dia mudah memberi respon dalam permasalahan semasa.


Biasa dengar Fiqh Sirah bukan? Bagaimana adaptasi peristiwa-peristiwa sirah Nabawiyyah dihadam ke dalam perjuangan menegakkan Islam masa kini. Istinbat hukum, strategi perjuangan, akhlak muslim dan lain-lain faktor pembangunan ummah ketika zaman Nabi s.a.w akan dikaji untuk diaplikasi pada dunia Islam dewasa ini. Sirah Nabawiyyah merupakan suatu bukti yang menunjukkan kepada kita betapa logiknya perlantikan nabi daripada kalangan manusia sendiri, dan bukannya dari kalangan binatang, jin dan sebagainya. Kehidupan manusiawi yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w memberikan ajaran secara praktikal kepada liku-liku perjuangan haraki yang sewajibnya kita telan dalam menghadapi bias-bias mehnah dan tribulasi sebagai pejuang agama Allah.


Subjek haraki ini amat praktikal untuk dikaitkan dengan mana-mana cabang ilmu Islam. Ianya perlu selaras dengan realiti semasa umat Islam kini bagi membangkitkan sentimen Jihad dan membentuk fikrah perjuangan yang kental dalam jiwa para daie. Maka, sengaja saya bawakan dalam Tinta Al Murabbi, bagaimana agakanya jika dikaitkan subjek Toharah dengan Haraki? =)


“ Abe ingat lagi tak ceramah Ustaz Kamarulzaman pasal AIR MUSTA’MAL dan AIR MUTLAQ dan perkaitannya dengan jiwa daie terutamanya syabab macam kita ni?” soal Zaki sebagai set induksi perbincangan kami kali ini.


“Hmm…ingat lagi rasanya, dia ada sentuh mengenai:- Jadi lah daie yang berjiwa musleh dan bukan sekadar hanya berjiwa soleh kan?” saya menjawab sambil mengerah memori lalu.


“Ho la…dia suruh kita semua amik iktibar untuk bersifat seperti air Mutlaq dan bukan sekadar bersifat seperti air Musta’mal.” Zaki tersenyum.


“Yelah, Soleh itu ialah orang yang melakukan amal kebaikan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t ibaratnya air Musta’mal, manakala Musleh ialah Muslim yang mengajak orang lain untuk turut menjadi Soleh, ini ibarat air Mutlaq” Amin menyampuk memberi kesimpulan.


Jika dirujuk pada Manhaj Fiqh Asy Syafi’e, air Mutlaq bermaksud air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah s.w.t. Ia bukan sahaja suci namun berperanan untuk menyucikan yang lain (digunakan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis). Manakala air musta’mal bersifat dengan sifat suci tetapi TIDAK menyucikan. Contohnya, air teh, bersifat suci (boleh diminum) tetapi tidak menyucikan (tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis).


Sifat Air Mutlaq iaitu suci dan menyucikan perlu diterapkan dalam jiwa setiap Muslim, bukan sahaja mempunyai sifat-sifat mahmudah yang tinggi tetapi juga mampu untuk membentuk jiwa mahmudah yang sama kepada orang lain/sekitarnya. Bukan sahaja mampu membentuk keperibadian Muslim yang menjadi cermin kepada diri, tetapi mampu membina ‘cermin’ bagi diri Muslim yang lain. Umpama, seorang Muslim yang bukan sahaja SOLEH tetapi juga MUSLEH.


Bukan sekadar bersifat AIR MUSTA’MAL, iaitu hanya mampu memperbaiki diri (suci tapi tidak menyucikan)sendiri. Tetapi nasib orang-orang sekeliling kita yang mengharapkan calitan kebaikan yang kita lakukan, hanya mampu terus mengharap, tanpa sedar bahawa tangan kitalah yang mampu membantu mereka. Tidak salah bersifat SOLEH, tetapi adakah salah menuju MUSLEH?


Hakikat hidup bermasyarakat, kita akan wajib menjalinkan hubungan dengan sesama manusia. Seorang Mu’min bukan sahaja menjalinkan perhubungan demi tanggungjawab sosial atau demi memenuhi keperluan diri namun seorang Mu’min akan menjalinkan perhubungan dengan matlamat yang lebih besar dan suci iaitu mencapai Mardhatillah. Persoalannya, bagaimana untuk mencapai keredhaan Allah dalam pe rhubungan? Ya..melalui konsep “Islahkan Diri, Berdakwah kepada yang lain”.

Prihal hidup di dunia bukan mengenai ruku’, sujud, puasa dan zakat sahaja, namun ianya melibatkan prihal bagaimana kebijaksanaan kita bagi mengaplikasikan hubungan sesama manusia untuk mencapai ganjaran pahala. Bagaimana kita membina sebuah jalinan keakraban yang bukan sahaja mempunyai ciri-ciri normal dalam hubungan sosial duniawi, namun, lebih dari itu, hubungan itu sewajibnya dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan hubungan sosial ukhrawi!



Mungkin wujud tohmahan:- ‘ Huh! Aku sudah cukup payah menjaga diriku sendiri, apatah lagi mahu menggalas tanggungjawab dibahu bagi mengislah yang lain? Sudah tentunya aku tidak mampu!’ Kepada golongan ini, ingin saya tujukan sepotong ayat Allah dalam surah at Tahrim ayat 6 yang bcermaksud:-


‘Hai orang-orang beriman, peliharakanlah dirimu dan keluargamu dari pada neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu-batu…”


Nah…ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa, seWAJIBnya kita memelihara DIRI dan KELUARGAmu daripada api neraka. Jikalau Allah s.w.t hanya memerintahkan kepada kita supaya HANYA CAKNA kepada diri sendiri sahaja, selamatkan hanya diri kita sahaja dari api neraka, maka, mengapa timbul ayat ini? Ayat yang jelas memberitahu bahawa DIRI KITA dan KELUARGA perlu dipelihara daripada azab api neraka!


Sidang pembaca yang dirahmati Allah s.w.t, percayalah kita sekali-kali TIDAK akan dapat menghayati dan menjiwai peranan AIR MUTLAQ itu seandainya kita masih beralasan:-


'Orang lain jelah bagi tazkirah tu..ana tak retilah’


‘Alahai..ana ni ilmu sikit je..manalah layak’


‘Ish..diri saya sendiri pun tak betul lagi, camne la saya nak nasihat orang lain?’


Satu persoalan yang ingin saya keutarakan kepada alasan-alasan ini ialah ‘SAMPAI BILA?’. Merasakan bahawa ilmu di dada masih tidak mencukupi, maka sampai bila ilmu itu hendak cukup?2010? 2011? 2013? Mati? Tidak sedarkah bahawa ilmu Allah s.w.t itu cukup luas..sehingga tidak terhitung? Sampai bila kamu mahu merasakan dirimu sudah sempurna serba serbi AKHLAKnya, ILMUnya? Bukankah manusia sempurna itu hanyalah sifat nabi yang Ma’sum? Sampai SEDIA? Ukuran apa yang kamu katakan kamu sudah bersedia? Segulung ijazah? MASTER? PHD? Fokusnya disini bukan mengenai SEDIA atau TIDAK, tapi langkah menuju kearah SEDIA itupun masih lumpuh! Hakikatnya, jiwa dan fikiran kita masih dihuni oleh anasir-anasir luar yang meletakkan keutamaan lain selain ISLAM. Dimana ketetapan TAJARRUD yang sering kita laungkan?


Jauh sekali dalam entri ini untuk saya menafikan peranan-peranan kecil dan sampingan dalam berdakwah. Kecil atau besar sesuatu tugasan dalam berdakwah hanya Allah s.w.t yang tentukan. Tapi apa yang ingin saya sampaikan ialah betapa kroniknya semangat/niat berdakwah di kalangan Muslim hari ini!


Ingatlah wahai DAIE, jadilah Muslim yang berjiwa MUTLAQ dan bukan sekadar MUSTA’MAL! Koreksi diri
agar yang SOLEH itu dikekalkan, yang MUSLEH itu dicapai!


P/S:- Asif lama tidak meng’update’kan ‘Rumah’ saya ini. Umur 21 ini menggarap lebih banyak daya usaha kearah gerak kerja berbentuk fizikal, ke hulu dan ke hilir. Mujur, kaki yang bengkak ini semakin surut dengan kehendakNYA..Alhamdulillah (^_^). Rabbi yaseer wala tu’aseer ya kareem.

Wednesday, June 10, 2009

Sisters In Malaysia??


'Usul Pas mahu SIS diharam tak demokratik'

KUALA LUMPUR: Sisters In Islam (SIS) menyifatkan usul Pas untuk mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat dan mengharamkan pertubuhan itu sebagai satu tindakan mundur dan tidak demokratik.


Pengurus Kanannya, Marina Chin Abdullah dalam satu kenyataannya berkata, usul dibuat pada Muktamar Pas, kelmarin, adalah tanggapan prejudis terhadap SIS dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan bersuara.


"Usul itu hanya membuktikan keangkuhan dan sifat tidak demokratik Pas yang mencanangkan prinsip demokrasi dan tidak akan mendiskriminasi mana-mana pihak dalam pilihan raya lalu.


"Kita percaya ramai rakyat memilih Pas pada pilihan raya umum lalu kerana prinsip demokrasinya, namun kini parti terbabit mula mengabaikan apa dikehendaki rakyat. Ia juga menunjukkan Pas tidak boleh bertolak ansur dengan kepelbagaian pendapat di negara ini," katanya.


Muktamar Pas menerima usul untuk mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat SIS dan mengharamkan pertubuhan itu jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam.
Usul agama itu yang dikemukakan Pas Shah Alam dibuat selepas menyedari aliran dan pandangan SIS boleh mengelirukan rakyat dan mengancam akidah umat Islam terutama golongan muda serta mereka yang berfikiran sekular. Marina menegaskan, pertubuhan yang sudah wujud 20 tahun itu sentiasa berpegang kepada ajaran Islam sebagai agama yang membawa keadilan kepada seluruh umatnya. Sumber: Berita Harian (8 jun 2009)

Ulasan:

Tersenyum saya melihat ruangan berita ini, mana tidaknya, jika diteliti dengan lebih mendalam kata-kata Marina Chin Abdullah:-

"Kita percaya ramai rakyat memilih Pas pada pilihan raya umum lalu kerana prinsip demokrasinya, namun kini parti terbabit mula mengabaikan apa dikehendaki rakyat. Ia juga menunjukkan Pas tidak boleh bertolak ansur dengan kepelbagaian pendapat di negara ini,"

Ia ibarat memakan diri! Sedarkah dia bahawa, atas dasar DEMOKRASI itulah, perwakilan PAS kawasan SHAH ALAM dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-55, mengusulkan menggesa kerajaan mengharamkan SIS JIKA TERBUKTI BERTENTANGAN DENGAN SYARIAT ISLAM dan membuat pemulihan ke atas ahlinya. Muktamar tanpa bahas menerima usul itu dan mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan MENYIASAT SIS dan mengharamkan JIKA terbukti mereka menyeleweng!

Atas nama KEBEBASAN bersuaralah, Muktamar meminta SIS disiasat terlebih dahulu! Bukan terus ditangkap dan didakwa. Reaksi negatif terus dibalas oleh Marina tanpa sedar bahawa reaksi pesimis serupa itu mengundang kenyataan bahawa dialah yang sebenarnya tidak demokrasi dalam menerima pendapat untuk SIS disiasat kesahihan ajarannya. Jika yakin benar, mengapa perlu cepat melenting? Ibarat seorang pencuri yang gelabah dan cuak ketika disoal siasat polis mengenai kes jenayahnya maka seperti itu jugalah Marina ketika ‘dijentik’ dengan usul dari muktamar tersebut.

Isu SIS ini amat sinonim jika kita kaitkan dengan ajaran Islam Liberal yang merupakan sebuah wasilah oleh para orientalis dalam membawa dogma-dogma pemikiran negatif ke dalam minda umat Islam hari ini. Saya kira ianya antara salah satu ‘kejayaan’ besar yang berjaya dicapai oleh pihak orientalis barat masa kini. Masakan tidak, jika kita lihat Indonesia sebagai contoh, merupakan sebuah Negara yang terjejas teruk dengan serangan pemikiran serupa ini. Ketika menghadiri Muktamar ABIM tahun lepas yang diadakan di SMAKL, Kepong, salah seorang pembentang kertas kerja yang merupakan tenaga pengajar di sebuah universitas di Jawa Barat, memberitahu bahawa:- ‘Malaysia dikira bertuah kerana pejuang kemerdekaan terdahulu telah meletakkan batu asas dalam perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Rasmi, hal ini jauh berbeda berbanding Indonesia yang masih lagi berada dalam tanda tanya apakah agama rasmi negara itu. Atas dasar inilah, Jaringan Islam Liberal dapat mengambil peluang untuk memperkembangkan sayapnya dengan luas dan banyak mempengaruhi pemikiran umat Islam disana.” Sambil memaparkan sebuah gambar pernikahan, beliau berkata:- “ Inilah buktinya betapa konkritnya permasalahan Islam Liberal di Indonesia, pasangan yang berlainan agama dapat bernikah, dan kadi yang menikahkan mereka terdiri daripada bukan calang-calang orang, mempunyai PHD dalam bidang Usuluddin! Masing-masing juga dibenarkan mengamalkan agama mereka walaupun selepas berkahwin.” saya menggeleng kepala.

Gerakan sesat seperti ini sudah membiak di Malaysia, dan ianya perlu kajian dan perbahasan yang lebih menyeluruh untuk memberikan pemahaman yang sebenarnya kepada masyarakat. Jika dibiarkan, maka tunggu sajalah saatnya tatkala ke’liberal’an itu mampu membobrok pemikiran umat lalu mewujudkan jenis mazhab yang mampu memecahbelahkan perpaduan di kalangan Muslim hari ini. Sebagai orang Islam mereka sepatutnya mempelajari Islam melalui ulama Islam bukan daripada musuh Islam seperti golongan orientalis. Gerakan sesat SIS ini adalah gerakan sesat yang amat-amat berani dan lantang dalam menyuarakan kesesatan mereka ke tengah kelompok masyarakat hari ini. Berapa banyak gerakan sesat di Malaysia yang berani menggunakan Media Massa SECARA TERBUKA mempertahankan fahaman sesat mereka?

Saya kira, isu SIS ini BUKAN lagi gimik parti politik untuk meningkatkan kepopularitian mereka. Hal ini kerana, samada dari pihak UMNO mahupun PAS kedua-duanya lantang membicarakan mengenai isu SIS ini. Ahli Umno dalam perhimpunan Agungnya pada 2006 pernah mengungkit tentang kumpulan ini yang dikatakan mencabar dan menghina undang-undang Syariah. Malah, bekas MB Selangor, Dr. Mohammad Khir menyebut bahawa "Kadang kala SIS bertindak di luar dogma dan pemikiran umat Islam di negara ini dan pandangan jumhur ulama. Inilah yang menimbulkan persoalan, ketidakpuasan hati dan kemarahan sesetengah umat Islam di negara ini,". Begitu juga dengan Mufti Perak, Harussani Zakaria dalam satu ceramahnya pernah menyifatkan mereka ini (SIS) telah terkeluar Islam kerana mempertahankan Islam liberal yang mengatakan al-Quran sudah ketinggalan zaman.

Tidak sekali-kali saya katakan bahawa peluang untuk perbahasan mengenai kesahihan Islam Liberal ini ditutup serta merta. Silakan, jika ada ruang dan peluang untuk perbahasan lebih lanjut dan luas mengenai perkara ini. Namun, jika telah jelas sesebuah pertubuhan yang ber’label’kan Islam sendiri menentang syariat Islam secara terang dan tanpa segan silu mengubah ajaran yang dibawa oleh Allah s.w.t dan RasulNYA, maka adakah itu masih dikira ISLAM? Jika difikir secara teliti, apakah tujuan ditubuhkan sebuah persatuan yang menggunakan nama agama mereka, namun mereka bertindak memburukkan dan mencari kesalahan dalam agama mereka sendiri?

FIKIR-FIKIRKAN, RENUNG-RENUNGKAN dan SELAMAT BERTINDAK!

Sunday, June 7, 2009

Formula Berkat?

Otak semakin bercelaru, barangkali sudah mampat dengan teori-teori pedagogi, teori intervensi disiplin dan pelbagai lagi teori yang hampir-hampir membuatkan saya termuntah menghafalnya. Satu habit yang melanda saya ketika tiba musim ‘memerah’ kepala ini ialah apabila otak saya sudah mencapai tahap ‘JEM’, saya akan meninggalkan meja belajar dan pergi merayau ke bilik rakan-rakan yang lain serta mengganggu ketenteraman mereka. Agak pelik, tapi itulah hakikatnya! =)

Kali ini saudara Naim menjadi mangsa, sengaja saya ketuk pintu agak kuat biar teralih tumpuannya kepada ‘tetamu tidak diundang’ ini.

“Wah~! Rajin ‘best student’ sem ni! Hang habih dah baca semua?” saya memulakan ‘operasi’.

“Tak dak la..baru 5 bab je ni..baca saja jela, tak dan ingat apa pun” jawab Naim. Naim yang saya kenali memang seorang yang sangat merendah diri, tidak cepat ‘kembang’ dengan pujian.

“Ark…hang sampai bab 5 dah? Lajunya, 1 bab lagi nak habih! Rajin betoi la~”

Naim sekadar tersenyum, lalu menukar topik perbualan.

“Rip..aku ada pi kuliah Ustaz Azhar Idrus kelmarin dulu, dia ada cakap pasai berkat.”

Saya menggangguk-angguk, “Dia cakap apa?”

“Dia kata, kalau kita nak tahu sama ada sesuatu perbuatan/ pekerjaan kita tu berkat atau tak, kita tengok kesannya pada hubungan kita dengan Allah s.w.t.”

“Maksud hang?” sah! Melekat juga loghat Kedah ni!

“Kalau dengan perbuatan/ pekerjaan kita tu, kita makin dekat dengan Allah s.w.t, maka insya Allah s.w.t perbuatan itu berkat. Tapi kalau makin kita buat perkara/perbuatan tu, makin kita jauh dari Allah s.w.t, baik kita muhasabah balik mana salah silapnya, kalau mampu betoikan, maka betoikanlah, tapi kalau tak mampu, baik tinggaikan ja”.

“Contohnya, kalau dengan berniaga, kita makin jauh dari Balai Islam (Surau), malas nak pi balai, mesti ada yang tak kena dengan perniagaan kita tu!” Hurai Naim panjang lebar.

Sebuah formula yang amat mudah difahami dan sangat praktikal untuk diamalkan! Teramat mudah sehinggakan saya termanggu sebentar seorang diri memikirkan adakah segala amal perbuatan saya masih lagi dalam keberkatan Allah s.w.t?

Formula berkat ini bersifat kesan jangka pendek yang dapat dilihat secara terus dalam kehidupan seharian. Kalau pagi ini kita mula membina langkah ke arah suatu pekerjaan yang baru, maka pada tengah harinya kita akan dapat melihat samaada perkerjaan itu berkat atau tidak dengan menilai diri bahawa dapatkah kita mengerjakan solat berjemaah Zohor seperti semalamnya?

Jika hari ini kita mempelajari sesuatu ilmu yang baru dari untaian kuliah agama yang didengari dari mulut para ustaz dan ustazah, maka berkat ilmu itu dapat dilihat melalui sejauh manakah ia memberi kesan peransang kepada perhubungan kita pada Allah s.w.t? Dengan bahasa yang lebih mudah, hari ini dapat ilmu/tazkirah baru, adakah esok sudah boleh mempraktikkannya? Meskipun tidak secara keseluruhan, mungkin boleh dibajai sedikit demi sedikit?

Saya mengimbau kembali kenangan sekitar tahun 2003 di bumi tarbiyyah ITQAN, tahun itu merupakan tahun peperiksaan PMR bagi kami. Seringkali saya serta beberapa orang rakan berjaga lewat malam meskipun waktu prep itu sudah tamat. Kadang-kadang, kelas itu menjadi tempat tidur kami dek kerana tidak larat mahu pulang ke hostel akibat kemengantukan yang amat sangat. Al kisahnya, suatu hari kami ‘ter’bangkit lambat dengan kata lain kami terlepas solat Subuh secara berjemaah! Mengikut akta ITQAN 2003, barangsiapa yang terlepas solat Subuh secara berjemaah ataupun masbuq, maka bersedialah untuk menerima sebarang hukuman.

Seusai mata digosok, kami melangkah kaki menuju ke surau. Sedikit malang pagi itu, apabila terserempak dengan Ustaz Rahim (ketika itu GPK ITQAN). Masing-masing tunduk, takut untuk menatap wajah ustaz. Berlegar di pemikiran kami, hukuman yang bakal menanti atas keterlewatan ini! Ustaz merenung tajam ke arah kami, selepas beberapa soal siasat diajukan, dengan nada yang agak lembut tetapi tegas, beliau berkata:-

“Apa hukumnya kamu semua study sampai lewat-lewat malam, lepas tu tinggal subuh? Kamu tidak akan berjaya kalau macam ni! Hilang keberkatannya! Bejayalah setara mana pun, tapi kalau dalam kejayaan kamu itu hubungan kamu dengan Allah s.w.t makin jauh, baik tak payah berjaya!”

Terngiang-ngiang dan saya kira masih beralun skrip ustaz itu dalam minda saya, keberkatan bukan perkara main-main, keberkatan ini membezakan kerja dan amal kita (muslim) dengan dengan kerja/amal orang bukan islam. Kalau diikutkan, kita bersedekah, orang bukan islam juga bersedekah, dan kadang-kadang mereka bersedekah lebih banyak dari yang muslim, tapi apa yang membezakan sedekah kita dan sedekah mereka? Ya..ikhlasnya hati si Muslim bersedekah demi menimba keberkatan dari Ilahi, berbanding Non Muslim yang hanya mengharap moral duniawi.

Ya Allah…pohon keberkatan dalam setiap amalku~

P/S : Thanx to Naim, to my ClaSsmates --> sori eh..kacau korang ketika tengah rajin menelaah dan menelan fakta buku!