Monday, February 27, 2012

Cinta jarak ribuan batu

“ Isteri duk mana? Kenapa tak bawa isteri sekali datang?”

“Ish..jauhnyaa, takpelah, bawa bersabar banyak-banyak ya..”

“Hidup pisah-pisah ni memang perit sikit, tapi tula dugaan ye tak?”

Inilah antara ungkapan yang sering terpacul dari mulut mereka yang bertanya. Apatah lagi, musim-musim kenduri kahwin sekarang ini, ramai mak cik dan pak cik yang bertanya mengenai pasangan saya.

Menghadapi dialog-dialog seperti ini untuk lebih 2 tahun akan datang, usahlah dibayangkan perasaan saya. Berjauhan dengan isteri itu sendiri sangat terseksa, terpaksa pula berhadapan dengan soalan-soalan umum seperti itu yang kebanyakannya saya akhiri dengan senyuman kambing sahaja. Bukanlah menyalahkan si penanya, namun sekadar menceritakan perasaan sendiri.

Jika diikutkan hati, sekarang juga saya mahu terbang ke sana berjumpa puan isteri, namun komitmen kewangan dan tugasan menjadi penghalang. Manalah dapat ditahan perasaan hati ini, jika setiap kali rindu itu hanya diluah pada angin lalu. Sekadar mahu berpuitis itu, bolehlah..tapi untuk melalui hari-harinya? Allah s.w.t sahaja yang tahu.

Semakin kreatif

Percintaan merentasi benua ini, menjadikan kami lebih kreatif untuk saling berhubung. Segala wadah yang ada kami optimumkan bagi menggantikan maujud diri yang sepatutnya sentiasa di sisi.

Mujurlah, Allah s.w.t mengilhamkan kepada manusia untuk mencipta pelbagai perisian canggih seperti Skype, Yahoo Mesengger, Facebook, Fring, Whatsapp dan sebagainya. Hikmahnya, jurang komunikasi antara kami terbuka luas dan secara tidak langsung kami telah terokai lubang-lubang baru untuk berborak panjang dan ‘video call’ tanpa bayaran.

Namun, secanggih manapun teknologi tersebut, tetap tidak dapat menandingi kenikmatan bertemu secara bersemuka dengan pasangan. Maka, kerinduan yang ditanggung oleh kami kini adalah kerinduan untuk bertemu dan bersemuka. Bermula dari bulan kami berpisah, hinggalah kini, sudah 4 bulan lebih. (saat artikel ini mula ditulis)

Pergantungan pada Allah s.w.t.

Antara kerisauan besar yang kami hadapi adalah mengenai keupayaan kita untuk berada di sisi pasangan ketika sakit datang menjengah. Baru sebentar tadi, isteri saya mengadu mengenai kepalanya yang sering sakit atau pening. Apa yang mampu saya lakukan melainkan meminta dia makan ubat dan tidur berehat hanya melalui skype dan whatsapp? Sayu rasa hati ini.

Sepatutnya…saya berada disisinya untuk menjaga makan minumnya…

Sewajarnya…saya berada disisinya untuk mengurus soal ubatnya…

Namun, dalam kejauhan yang ribuan kilometer ini, apakah yang mampu saya lakukan?

Terkadang, timbul rasa gusar bertandang di hati, tatkala sang isteri memohon keluar seorang diri bagi menghadiri program-program tertentu atau usrah. Fikiran saya mula diterjah dengan permasalahan yang bukan-bukan. Kalau itu terjadi, bagaimana? Waliyazubillah…

Fikir saya, kalau yang tersayang itu sakit, maka saya di sisinya ada untuk menjaga, tentulah dia sihat dengan jagaan yang rapi itu..

Fikir saya, kalau yang tersayang itu dapat saya temani, tentulah keselamatannya lebih terlindung dari ancaman luar itu..

Lalu, Allah s.w.t mengajar saya sesuatu…

Allah s.w.t beri peringatan, bahawa segala-galanya itu, DIA yang tentukan, DIA yang tetapkan, DIA yang beri perlindungan. Kau, manusia yang lemah, usaha itu sahaja yang termampu kau lakukan. Allah s.w.t menyuruh saya meletakkan pergantungan yang tinggi kepadaNYA. Mendidik rasa Tawakkal atas penjagaan keselamatan dan kesihatan isteri saya.

Saya akur dan segera insaf, saya, hamba hina yang berdiri atas ego kudrat seorang manusia. Saya titipkan segala kerisauan itu dalam doa, saya adukan segala kegelisahan dalam sujud. Maqam tawakal, bukan maqam mainan. Andai kita tidak bisa menghayati erti hikmah, semakin hanyut kita ditipu kudrat yang tidak seberapa ini.

Membayangkan, bagaimana kerisauan sahabat-sahabat Nabi s.a.w, yang bertekad berhijrah ke Madinah, sedangkan masih ada sanak saudara yang tetap tinggal di Makkah yang saban hari dizalimi….

Membayangkan, bagaimana beratnya hati Nabi Ibrahim a.s meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail yang masih bayi di tanah tandus atas suruhan Allah s.w.t…

Kata Nabi Ibrahim a.s;

"Aku tinggalkan kamu Hajar dan Ismail di sini... bukan untuk dibiarkan tetapi untuk dipelihara Allah s.w.t. yang maha kuasa" .

Ibrah mereka, bukan sembarangan. Ianya ibrah orang-orang yang dekat dengan Allah s.w.t. Diceritakan khas untuk saya membandingkan diri, betapa kerdilnya ujian yang sedang saya hadapi. Betapa lemahnya tingkatan tawakal saya kepadaNYA. Allahu Rabbi…

Ya Allah,

Aku memohon kepadamu,

agar KAU uruskan segala urusan orang-orang yang kusayangi,

agar KAU perliharakan keselamatan mereka,

agar KAU sihatkan tubuh badan mereka,

agar KAU lindungi iman mereka,

agar KAU tetapkan hati mereka bersamaMU

KAU lah tempat aku meletakkan segala pengharapan.

Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.

P/S : Entri yang ditujukan khas kepada Puan. Isteri. Serta adik-adik ku yang nun jauh di bumi Mesir dan Ireland. Serta rakan-rakan di perantauan (wah! Mcm wish raya dalam skoba Metro je?) hehe

: Maaf, atas kesibukan yang membelenggu, hamper tiga bulan blog ini bersawang, tidak berpenghuni, doakan kelapangan masa untuk saya, bagi meneruskan penulisan.

Monday, October 31, 2011

Sisi Syukur Mu’min dalam Surah An Nasr


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا (٢) فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا (٣)


Ertinya:

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); (1)

Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; (2)

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.(3)

Pinggir kota Makkah, tahun ke 8 Hijrah



Tidak terbayang oleh sesiapa pun ketika itu, tatkala Nabi Muhammad s.a.w dan Saidina Abu Bakar keluar meninggalkan Makkah berhijrah ke Yathrib, bahawa pada suatu hari mereka akan pulang semula membuka kota dengan membawa hampir 12 ribu orang-orang Islam. Kekuatan umat Islam ketika itu telah menggetarkan puak kafir Quraisy yang berkubu di bandar Makkah.

Derapan kaki menggegarkan pinggir kota Makkah, menandakan kemaraan umat Islam untuk membuka semula kota Makkah...

Friday, July 8, 2011

Undangan Majlis Akad Nikah & Kesyukuran.




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang.

Alhamdulillah, berkat kurniaan dariNYA, dengan segala hormat, kami menjemput semua rakan dan kenalan kami ke majlis akad nikah dan kenduri kesyukuran kami; Ariffudin bin Dzulkhefli & Izyan Izzati binti mahzan .

InsyaAllah akan berlangsung seperti yang berikut:-

Majlis pihak lelaki -









Wednesday, June 8, 2011

Musim Kenduri Kahwin

Musim cuti sekolah kali ini, ada yang dilalui dengan biasa-biasa sahaja bagi sesetengah orang. Namun, bagi beberapa orang kenalan rapat saya, mereka telah melangkah suatu fasa kehidupan yang baru. Fasa Perkahwinan! (^_^)

Daripada duduk bersendirian, kini berdua-duaan…

Daripada jalan berseorangan, kini beriringan tangan…

Daripada merasakan sesak/gembira berseorangan, kini sudah ada yang setia untuk sesak/gembira bersama…

Apa yang penting, kalian telah memilih jalan untuk berkongsi semuanya itu dengan jalan yang halal. Sungguh, saya kagum dengan kalian kerana saya sendiri belum mampu untuk melaksanakannya. Doakan saya juga ya! =P

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah, saya mendoakan dengan sepenuh hati agar kalian mendapat kerahmatan dan keberkatan diatas pembinaan Beit Muslim ini. Semoga penyatuan kalian ini diselubungi SAKINAH, MAWADDAH DAN RAHMAH. Allahumma Ameen.

Mabruk ‘alaikum kepada semua rakan-rakan saya.

1. Siti Nur Jannah bt. Abu Bakar dan pasangannya.

2. Amyruddin b. Ab. Karim

3. Nur ‘Amirah bt. Mohamad A’arif.

4. Nur Syuhada bt.Mat Ti dan pasangannya.

5. Azraai Bin Baharudin dan Pasangannya.

Mohon ribuan kemaafan kerana tidak dapat menghadiri kenduri kahwin kalian atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Asif Jiddan.

Antara Adat dan Agama

Saya yakin, apabila tiba saat-saat menghampiri hari bersejarah itu, ada beberapa persoalan dan kehendak yang bertembung antara agama dan adat. Ada diantara mereka yang bertanyakan kepada saya bagaimana untuk menyelesaikannya. Sungguh…terkadang saya buntu untuk memberikan pendapat. Jika diberitahu ini, disini terluka, jika diberitahu itu, disana pula terasa. Menyesakkan dada, tersepit, terdesak…

Monday, May 30, 2011

Masih dan Terus untuk Mencuba...

Maafkan saya…

Jika perkara yang membuatkan kamu rasa sensitif , tidak membuatkan saya sentitif…

Jika perkara yang membuatkan kamu marah, tidak pun membuatkan saya marah…

Jika perkara yang membuatkan kamu rasa segan, tidak langsung membuatkan saya rasa segan…

Maafkan saya...

Jika apa yang syadid pada kamu, hanyalah harus bagi saya…

Jika apa yang keras pada kamu, hanyalah lembut pada saya…

Jika apa yang emosi bagi kamu, hanyalah tenang bagi saya…

Hakikatnya, semuanya ini kerana kita berbeza.

Kenapa?

Kerana kita dibesarkan dalam persekitaran (biah) yang berbeza…

Kerana kita lahir dari latar belakang keluarga/jemaah yang berbeza…

Kerana kita mempelajari kehidupan dari kacamata berbeza…

Kerana kita menempuh pengalaman yang berbeza…

Salahkah perbezaan ini?

Tidak, inilah keunikan yang Allah s.w.t turunkan kepada kita. Mempunyai sisi kuat dan lemah masing-masing. Apo ghoman eh kalau sumo manusio ni sepesen (sejenis) yo? =P

Namun, apa yang salah, apabila kita menjadikan perbezaan ini titik untuk menimbulkan perbalahan, bukan titik membentuk kebersamaan.

Sepatutnya perbezaan ini saling bertindan menutup lubang kelemahan. Kita memang takkan pernah menjadi insan sempurna, namun dengan adanya saya dan kamu, kita perlu menjadi jemaah yang sempurna demi menongkah pancaroba dunia yang menggila. Namun, adakah kita sedang begitu?

Faham dan Mengerti

Membina keserasian pada kesemua perbezaan ini bukan senang, melainkan kita sanggup memahami antara satu sama lain. Memahami dan mengerti, bukan mudah, tetapi perlu!