Friday, August 1, 2014

Review: Islam dan Melayu, Martabat Umat dan Daulat Rakyat

Buku ini merupakan sebuah gabungan daripada himpunan makalah, kata pengantar, nota ceramah dan teks ucapan. Bahan-bahan yang berserakan itulah yang dikumpul, dipilih dan ditapis dan dipersembahkan kepada khalayak dengan kemasan sebuah buku. 

Maka, terdapat beberapa pengulangan fakta dalam beberapa judul kerana setiap judul dalam buku ini sebenarnya adalah sebuah makalah yang berdiri sendiri. Bagaimanapun, ia bukanlah pengulangan melulu. Meskipun berulang tetapi masih punya kelainannya dari sudut pandang dan gaya pengungkapannya. 

Buku setebal 209 muka surat ini diulang cetak sebanyak tiga kali pada tahun 2012. Menandakan kepada kita bahawa terdapat keunikan idea dan fakta serta gaya persembahan sehingga ianya mendapat sambutan yang menggalakkan. Mungkin juga disokong oleh populariti penulisnya iaitu seorang tokoh akademik yang bukan sebarang sumbangannya pada corak perkembangan Islam di Malaysia.

Sila pedulikan kuih raya disekelilingnya itu.


Dr. Siddiq Fadzil (penulis) adalah Presiden Kolej Dar al Hikmah (KDH) dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Beliau dilahirkan di Bagan Datoh, Perak, pada tahun 1947 dan mendapat pendidikan di Universiti Malaya dan Universitit Kebangsaan Malaysia. Ijazah Doktor Falsafahnya (bidang Falsafah Islam dan Kebudayaan Melayu) diperoleh dari Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (UKM). Di samping kerjayanya sebagai ahli akademik di Jabatan Persuratan Melayu UKM yang mengajar dan menekuni bidang pemikiran Islam dan tamadun Melayu, beliau juga aktif dalam gerakan Islam dan pernah menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dari tahun 1983 hingga 1991.

Buku ini saya beli melalui seorang mahasiswa perubatan Universiti Mansurah, Saudara Ashraf Shahbadin. Ianya dicadangkan oleh isteri kesayangan saya. Ketika mula-mula dibelek, tajuknya sahaja telah membuatkan saya sinis. Hati saya melontarkan suatu persoalan, beruntungkah Melayu mendapat Islam? Atau beruntungkah Islam mendapat Melayu?

Namun setelah membaca pengantar daripada Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, saya akhirnya bersetuju untuk membuat komitmen pembelian. Oh ya, komitmen membeli itu satu, manakala komitmen membaca suatu hal yang lain pula. =)

Kekuatan

Melihat kepada latar belakang pendidikan penulis, ianya merupakan kekuatan utama yang menarik perhatian saya mengenai buku ini. Tambahan pula, penulis merupakan Presiden ABIM era arwah abah saya adalah aktivis tegar gerakan Islam tersebut. Fakta dan idea pembaharuan (tajdid) Islami disampaikan kepada pembaca dengan elemen keMelayuan yang tinggi. Sebagai pembaca berbangsa Melayu, saya terasa dekat dengan contoh dan ungkapan Melayu yang dibawa oleh penulis. Keunikan kebudayaan Melayu yang diketengahkan di dalam buku ini merupakan sesuatu yang jarang-jarang ada dalam penulisan ahli gerakan Islam di Malaysia. 

Melalui pembacaan saya yang kurang ini, rata-rata buku harakah Islam di Malaysia gemar membawakan contoh dan kalam tokoh-tokoh dari Timur Tengah. Hal ini kerana gerakan Islam moden lahir dari bumi Mesir (Ikhwan Muslimin). Sementelah pula, tokoh-tokoh yang menjadi rujukan juga kebanyakkannya berasal dari sana seperti Asy Syahid Hasan Al Banna, Syed Qutb dan lain-lain.

Buku ini berjaya membuka mata saya bagaimana eratnya Melayu dengan Islam. Bagaimana sebenarnya jati diri melayu itu hanyalah tin kosong jika tidak terisi dengannya Islam yang sebenar. Penulis berjaya menyerlahkan peranan Islam dalam membentuk jati diri, pandangan sarwa dan etos Melayu. Jesteru, jika kita berbangga dengan sejarah Melayu yang cemerlang itu, ketahuilah bahawa ianya cemerlang dengan Islam. Dan jika kita mahu membangkitkan Melayu dari dilemmanya itu, ia perlu digegar dengan Islam! Islam penjamin keinsanan Melayu pada masa kini dan akan datang. Selaras dengan kata-kata Saidina Umar r.a:-

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله


Ertinya: Kita adalah satu kaum yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan islam, maka seandainya kita mencari kemuliaan selain dari Islam, nescaya kita akan dihina oleh Allah S.W.T (Bidayah wa Nihayah, jilid 4, m/s 55)

Penulis menyentuh pelbagai lapangan dalam buku ini, antaranya ialah Citra Melayu dalam Sejarah, Pemikiran Politik Islam, Tradisi Keilmuan Melayu, Bahasa dan Sastera Melayu, Bangsa Bermaruah serta Aplikasi Moderasi Islam (al Wasatiyyah). Pada setiap judul disertakan pada penghujungnya rujukan yang tidak kurang 5 rujukan.

Saranan


Buku ini saya cadangkan untuk dibaca oleh setiap aktivis gerakan Islam. Contohnya dekat dengan kita selaku Abnaul Harakah berbangsa Melayu. Ianya melebarkan teknik dakwah kita dalam mengislahkan masyarakat Islam berbangsa Melayu. Pastinya, perbandingan jati diri Melayu asli yang tertanam nilai Islami dengan jati diri Melayu jadi-jadian yang lebih barat dari barat itu merupakan suatu muhasabah yang baik buat kita. Semoga permata yang baik ini tidak disia-siakan. Wallahu’alam.



No comments: