Sunday, April 18, 2010

Sindrom Normalisasi...

‘ Rilek la bro…menyanyi je pun..ape ada hal? ‘ ujar Zainal kepada Hasan.


‘ Hish…memanglah menyanyi je…tapi yang menyanyi tu siapa? Perempuan tahu! Suara mereka ni aurat!’ bantah Hasan.


‘ Kenapalah kau pandang dari sisi begitu? Cuba pandang secara positif sikit! Kita nak mengembangkan bakat yang ada di kolej kita ni!’ balas Zainal, ada sedikit berbaur kemarahan .


‘ Iya nal...boleh sangat nak mencari bakat, tapi biarlah ikut syariat. Apa salahnya kita asingkan pertandingan lelaki dan perempuan? Perempuan biar sesama meraka sahaja yang menyanyi dan menonton. Kan lebih bagus begitu?’ Hasan mengusulkan alternatif lain.


‘ Sudahlah san! Kalau kita buat macam tu, kita akan rugi penonton! Mereka kena dibahagikan kepada dua tempat. Kuranglah mereka yang nak menyorak! Tak ‘Havoc’ lah begitu! Kolot betul kau ni..” Zainal menempelak Hasan lalu beredar pergi.


Hasan hanya mampu menggeleng kepala. Cadangannya ditolak mentah-mentah oleh Zainal, si Pengarah Program.


Maka, pada tarikh yang ditetapkan, berlakulah Pertandingan Nyanyian Solo di Dewan Al Biruni. Berduyun-duyun manusia datang berkunjung. Berpestalah mereka sehingga ke tengah malam. Satu lagi maksiat melata, terang lagi bersuluh terjadi di Kolej Seri Wangsa.




Kebiasaan yang membunuh

Dialog diatas menunjukkan bagaimana generasi muda hari ini sedang mengalami proses ‘Normalisasi’ saban hari. Suatu proses yang menghilangkan sensitiviti terhadap perkara-perkara mungkar. Dianggapnya semua itu NORMAL dan dilihatnya segalanya itu sebagai POSITIF biarpun ia sebenarnya bertentangan dengan nilai keISLAMan yang sebenarnya. Islam itu hanya dibuktikan pada kertas-kertas peperiksaan subjek Pengajian Islam dan TITAS, itupun kerana ianya subjek teras dan wajib.


Luput Islam pada Tindak-Tanduknya.


Jauh Islam dari Hatinya.


Anda boleh lihat sendiri di tempat pengajian anda, bagaimana kuliah Maghrib di surau atau balai Islam semakin kurang orang datang mendengarnya, manakala sambutan hangat diberikan terhadap pesta-pesta maksiat yang tiada batasnya itu. Sudahlah begitu, pihak pentadbiran pula mengambil langkah ‘pejam mata’ terhadap perkara-perkara sebegini. Kata mereka, tiada salahnya selagi tidak mengundang kerosakan harta benda dan tidak menjejaskan aktiviti pembelajaran!


Semakin saya memikirkan tentangnya, semakin ngeri saya membayangkan masa depan kita semua, para belia masakini. Islam itu bukan jenama, Islam itu cara hidup! Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Islam itu agamaku, cara hidupku…ENJOY! Muda…bukankah hanya sekali?


Ya…muda hanya sekali, namun memilih untuk ENJOY di masa muda itu adalah pilihan yang mengundang kepada azab Allah s.w.t. Dibiasakan dengan aktiviti yang merangsang ‘hormon’ Hedonisme itu telah menenggelamkan ketakutan terhadap Neraka Allah s.w.t, hanya kerana Neraka itu sifatnya GHAIB! Hanyut dengan gigs, pesta, dan lain-lain perkara lagho!


Ustaz Neutral

Saya hairan…dimana perginya para ustaz dan ustazah yang menuntut di Fakulti Pengajian Islam? Apakah tindakan mereka dalam membenteras dalam hal-hal ini? Saya bukan cuba menunding jari dan menyalahkan mana-mana pihak, saya cuma BERTANYA, dimana peranan mereka? Tiada niat langsung di hati saya untuk memburukkan golongan ini, apatah lagi, saya sendiri adalah sebahagian daripada mereka. Menjadikan ISLAM sebagai lapangan pengajian.


Setelah dikaji, dengan suasana sendiri dan beberapa suasana lain. Saya mendapati sokongan yang diberikan oleh para ustaz dan ustazah ini bagi mengekang perkara ini, TIDAK datang secara bersepadu dan menyeluruh dari segenap individu. Wujud golongan (minoriti atau majoriti, Wallahua’lam) dalam kelompok ustaz dan ustazah ini yang mengamalkan sikap atas pagar. Dengan kata lain, NEUTRAL! Lebih senang berpeluk tubuh apabila melihat kemaksiatan berleluasan di depan mata. Telaah kitab setebal dan setinggi gunung EVEREST sekalipun, nipis jadinya apabila bertembung dengan kehendak suasana BIASA di kolej walaupun sebenarnya ia bertentangan dengan isi Al-Quran dan Sunnah.


Kaya Ilmunya, Miskin Amalnya.


Malah, lebih menyedihkan ada diantara mereka menjadi penyokong dengan menghadirkan diri ke program seumpama ini. Berteriak, bertepuk tangan, dan bergelak tawa bersama-sama rakan dari opsyen lain. Labelnya USTAZ, tapi tindak tanduknya lebih didominasi oleh SINDROM NORMALISASI ini. Bukan sekadar omongan kosong, namun saya sendiri mengalaminya! Apabila ditanya hendak kemana? Jawabnya sambil tersenyum kambing, ‘Nak pergi buat DOSA, kau jangan ikut’, mahu saja saya menghadiahkan sebuah lempangan kepadanya, namun…saya tahu, itu bukan respon yang terbaik. Berdiamlah saya menahan amarah…Gurauan apatah lagi jika serius, ayat itu sepatutnya bukan terpacul dari mulut seorang USTAZ!


Makanya, proses Normalisasi ini mudah dianuti oleh mana-mana individu tidak kira lapangan pengajian!


Kepada mereka yang sebegini, ini nasihatnya…


Islam itu bukan sekadar ‘AMAR MA’RUF semata-mata, menjaja kopiah putih di kepala merata-rata, menampakkan muka sekali sekala berjemaah di surau, menjadi khalifah ketika majlis bacaan Yassin dan Tahlil, Islam itu bersamanya adalah ‘NAHI MUNGKAR’! Membenteras kemaksiatan dengan segala daya yang ada!


Tanzim (Organisasi) perlu dihidupkan semula IZZAHNYA.

MPP Islam, BADAM, BADAR atau apa sahaja nama bagi pertubuhan Islam di kolej atau universiti perlu bergerak seiring dengan kehendak pelajar tanpa melanggar perintah Allah s.w.t. Biarlah organisasi itu ‘HIDUP’ dan menonjol sebagai alternatif pilihan pelajar untuk dijadikan ikutan.


Ikut dan teliti keperluan dan kehendak pelajar setempat, laksanakan program dan isikan ia dengan pesanan Al-Quran dan Sunnah yang bermanfaat. Jangan sekali-kali mengongkong pelajar dari fitrah mereka tanpa menyediakan alternatif dari pihak kita. Hal ini ibarat ibu bapa yang memarahi bayinya dari memanjat tangga, gusar bayi itu jatuh berguling, tetapi tidak menyediakan ‘WALK CHAIR’ untuknya bagi menyempurnakan fitrah berjalan.


Pernah sekali saya berpesan kepada saudara Hazwan (Pengerusi BADAM) mengenai perkara ini dalam sebuah pertemuan:-


“ Wan, kita sebagai tanzim Islami kena ada Izzah. Sebab tenaga adik-adik kita di luar tu sedang mencari-cari tempat untuk dicurahkan segala daya, masa, dan wang mereka. Ini fitrah orang Muda, dengan semangat berkobar dan kapasiti tenaga yang banyak, mereka mencari komitmen untuk diperjuangkan. Kalau kita lambat salurkan mereka kepada komitmen Islam, nanti mereka meraba-raba perkara lain...couple, bisnes dan sebagainya!”


“ Tapi kalau kita lemau dan perlahan, mereka ini akan mudah teralih perhatian, lama kelamaan, mereka hanyut dan pergi.."


Pesan Ustaz Azizullah

Suatu masa dahulu, saya bingung memikirkan, mengapalah Ustaz Azizullah (guru tasmi’ semasa di ITQAN) asyik dan gemar memberi pesanan mengenai hati. Gelap, terang, malap dan cerah…semuanya mengenai hati. Boleh dikatakan hampir setiap hari, beliau tidak pernah lupa memberi pesanan mengenai kepentingan menjaga hati.


Hari ini, kata-kata beliau terbukti peri pentingnya. Mengharungi dunia luar bukan semudah A..B..C. Dunia hari ini sudah lali dengan aktiviti kemaksiatan, sampaikan manusia menganggap remeh perkara ini. Maksiat ibarat makan dan minum mereka. Segala-galanya NORMAL dan BIASA. Hanyut tamadun kemanusiaan ditelan arus kemodenan.


Hanya hati yang bersih menjadi takut azab akan Allah s.w.t dan akan segera lari apabila dihadapkan dengan aneka macam ujian kemaksiatan. Hanya hati yang suci dapat memberikan pilihan TIDAK kepada nafsu yang saban hari semakin menggila. Hanya hati yang cerah dapat melihat DUNIAWI ini dari sisi kepentingan UKHRAWI.


Terima Kasih Ustaz =)


Wahai syabab…wujudkan proses NORMALISASI pada diri anda berteraskan Al-Quran dan Sunnah melalui Tarbiyyah Hati. Tafsirlah perkara yang mendatang dengan IMAN, dan bukan dengan NAFSU.


" Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya (jiwanya)" al Ahzab: 4

Wednesday, April 14, 2010

Saya cinta DIA! =)

Enjin dihidupkan, ‘Barqiya’ sudah siap dipanaskan enjinnya, bersedia untuk ke Sekolah Kebangsaan Pagar Besi. Jam di tangan menunjukkan pukul 9.55 pagi. Masih berbaki 5 minit sebelum saya dan Amir menandatangani buku rekod kehadiran guru yang sepatutnya diisi setiap hari tepat jam 10.00 pagi. Selalunya 5 minit itu tidak menjadi masalah untuk sampai selagi mana bukan Polis dan JPJ yang cuba menghalang saya. =P


Seperti biasa, punat ON radio ditekan, berkumandanglah slot ‘Hayya Bil ‘Arabiah’ di radio IKIM. Dikelolakan oleh Ust Hj Majdi dan Pn. Mona Jasman, saya gemar mendengar rancangan ini memandangkan penyampaiannya yang terus kepada bahasa perbualan harian menggunakan bahasa Arab. Ianya sangat bermanfaat terutamanya untuk mereka yang tidak menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa utama (Ghair Natiq) seperti saya.


Usai slot itu, deejay radio memutarkan pula sebuah lagu yang sudah lama tidak menyinggah di halwa telinga. Terus saya kuatkan Volume’ radio, dan…


Saya menyanyi dengan sekuat-kuatnya! Amir mempamerkan mimik muka penuh kehairanan, akhirnya dia tersenyum sahaja melihat telatah saya. Maaflah sahabat, ini hobi saya di dalam kereta! =)


Mari! Kita sama-sama hayati lagu ini…. (^_^)


Cintailah Ilahi – Inteam

(klik disini untuk lagu)


Rasa cinta

Adalah satu anugerah tuhan pada hambaNya

Dan kerananya manusia sanggup apa saja

Asalkan dia memiliki apa yang dicita

Kerna cinta

Sanggup berkorban apa saja, harta dan nyawa

Setiap detik hanya memikirkan tentang si dia yang tercinta

Ingin bersama sepanjang masa

Tetapi pastikah cintamu dihargai

Mungkinkah si diakan tetap setia
Setelah kau serahkan jiwa dan ragamu

Mungkinkah kau pastikan tidakkan dihancurkan

Jika kau mencintai bunga

Sedarlah engkau bunga itu akan layu

Jika kau cintakan manusia

Sedarlah suatu hari dia akan pergi

Jika kau mencintai harta

Harta itu nanti kau akan tinggalkan

Jika kau mencintai Ilahi

Hanya Dia yang akan kekal abadi

Cintailah Ilahi


Saya sangat menyukai lagu-lagu yang sangat santai dan simple tetapi membawa mesej yang jelas seperti ini. Mudah dinyanyikan dan mudah dihayati. Unsur lagu ini tanpa sedar telah menghuraikan konsep cinta yang begitu ABSTRAK. Mengembalikan cinta kepada Tuan Empunya Segala Cinta.


Hairan juga saya melihat ramai orang hari ini meletakkan CINTA ini bukan pada tempatnya. Zalim! Bekas untuk diisikan cinta itu sepatutnya BERSIH, SUCI dan MULUS bukannya disalut DOSA dan NODA. Apabila manusia bertuhankan CINTA NAFSU itu, maka terjadilah seperti apa yang kita lihat hari ini. Penzinaan merata-rata, sumbang mahram, pembuangan anak dan sebagainya. Itu baru ceritera CINTA NAFSU, belum lagi dikembang biakkan menjadi CINTA HARTA dan CINTA PANGKAT. Pelbagai sudah bukti ditunjukkan terpapar jelas dalam media massa. Sungguh..hina bukan manusia tanpa cinta yang terbimbing?




Sekadar berkongsi rasa mengenai erti sebenar sebuah CINTA yang ALLAH s.w.t turunkan kepada manusia sebagai sebahagian daripada rahimNYA. Semoga saya dan anda semua, terus bangkit menyegarkan CINTA ALLAH s.w.t yang semakin layu dari siraman ibadahnya.


P/S:- Selamat sampai di S.K Pagar Besi…120 km/h itu bukankah kelajuan biasa di jalan kampung? =P