Wednesday, September 23, 2009

Aidilfitri 2009



Aidilfitri 2009

Allahuakbar…Allahuakbar…Allahuakbar…

Laungan takbir itu saya alunkan dengan penuh kekhusyukan. Bercampur baur bersamanya sebuah kesyahduan dan penghayatan yang membawa seribu makna. Jiwa ini diulit rasa tenang, sungguh…ianya damai sekali. Pagi raya pada diri saya, tidak ubah seumpama sebuah majlis zikir. Saya rindu kepada keasyikan ini. Lazatnya menuturkan kalimah zikir sehingga tidak sedar air mata ini mengalir dengan sendirinya. Mohon dihidupkan hati ini dengan getaran penuh makna, apabila nama Allah s.w.t disebutkan, tiap kali ayat-ayat Allah s.w.t dialunkan, agar bisa bertambah imanku dan agar kental tawakalku padaNYA.

Surau Al-Islah semakin diisi dengan para jemaah yang berhajat untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Tubuh mereka bergerak-gerak ke kiri dan ke kanan sambil berzikir, bagaikan pohon-pohon yang ditiup angin pada musim berangin. Lidah mereka menyebut dan memuji Allah s.w.t, sedang hati mereka mengingatiNYA dengan penuh rindu.

Sudah dua kali sejak 2007, kami merayakan hari pertama Idulfitri di Kuala Lumpur, tidak seperti sebelumnya, kami akan terus ke Johor Bharu, ‘kampung halaman’ Umi. Sejak arwah abah pergi meninggalkan kami, salah satu acara wajib seusai solat sunat Aidilfitri ialah menziarahi kubur abah. Kawasan perumahan Taman Sri Keramat ini tetap ceria biarpun sebahagian penduduknya telah pulang ke kampung mereka.

Buat para pembaca sekalian, tiada nasihat atau tazkirah khusus yang ingin saya sampaikan dalam entri kali ini. Sekadar sebuah pesanan yang ingin sampaikan, biarpun sedikit terlewat namun ia masih segar dan tidak basi. =)

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI~

Makanya, saya ingin memohon ampun dan maaf andai berlaku sebarang kekhilafan antara kita. Mungkin, dalam lancang tangan ini menaip bait demi bait di alam kanvas maya, saya tersinggung mana-mana pihak tanpa sedar. Buat sesiapa yang mengenali diri ini secara ‘live’, saya hulurkan sepuluh jari tanda pohonan kemaafan jika masih ber’baki’ dosa antara kita. 0-0 ye~

dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."
(Surah An-Nuur:22)


Thursday, September 10, 2009

Al Fatihah...

17 Ramadhan 1430H / 7 September 2009 (Cuti Nuzul Quran)

6.20 pagi

Mata terasa berat seusai solat subuh tadi, seawal 4.30 pagi lagi saya sudah bangun. Ada program Qiamullail di Balai Islam, sengaja saya memilih untuk beriktikaf di balai memandangkan di sini lebih banyak tenaga penggerak untuk bangun malam.

“Pukul 6.45 pagi jap lagi ada meeting MPPI, tidur sekejap lah...” bisik hati saya. Saudara Amin sudah pun terbaring merehatkan mata, beliau sangat setia menemani saya =).

Saya meraba-raba mencari telefon bimbit di bawah bantal, hajatnya, mahu bertanya khabar Umi, rindu pula rasa hati setelah lebih kurang 3 minggu tidak bertemu. Namun, apabila ditatap skrin telefon bimbit, terdapat 15 ‘miss call’ dari Along (Kakak). Banyaknya!

Saya menghubungi semula nombor tersebut. Terdengar di hujung talian suara Abang Zairil (Abang Ipar):-

“ Assalamualaikum...haa..Abg Zairil, kenapa call banyak-banyak kali ni?”

“Walaikumsalam...Kamu pergi mana tak angkat telefon ni? Tidur lagi ke?” soalan saya tidak dijawab, sebaliknya persoalan lain pula yang di ajukan.

“ Angah ada program Qiam tadi, telefon tinggal dalam pejabat, silent...memang tak dengar lah..kenapa?” saya benar-benar ingin tahu apa yang menyebabkan belasan miss call itu dibuat.

“Ohh..ingatkan kamu tidur lagi...” satu helaan nafas diambil, seakan ayat yang seterusnya teramat berat untuk dituturkan,lalu... “ Tok Abah dah tiada...meninggal dunia pagi tadi”.

Suasana sepi seketika...saya benar-benar tersentak dengan berita itu, terasa suasana gelap seketika, empangan air mata, saya tahan agar ia tidak merembes keluar, biar disimpan dahulu, cari masa dan tempat yang sesuai.

“Innalillahiwa Inna Ilaihi Raji’un...” itu sahaja yang terpancul dari bibir saya. Longlai terasa di setiap sendi tubuh ini.

*************************************************************************************

Kami tiba di tanah perkuburan jalan Mahmoudiah, Johor Bahru tepat jam 11.30 pagi, hari yang sama. Jenazah telah selamat dikebumikan, terdengar suara imam membaca talqin. Umi berpelukan erat dengan adik-adiknya, deraian air mata dan esak tangis menambahkan seusana pilu di kawasan itu. Umi sangat terkilan, kerana baru sahaja semalam dia pulang dari Johor Bahru menjaga Tok Abah, kerana pada hari ini Umi bertugas seperti biasa di sekolah.

Terkumat-kamit mulut saya menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada arwah. Inilah sahaja yang termampu dapat saya sumbangkan. Saya benar-benar berhajat untuk mengimamkan sendiri jenazah Tok Abah, namun, atas kemaslahatan tertentu, ada baiknya jenazah itu terus dikebumikan dengan segera. Terasa segar di ingatan, sebulan yang lepas, di Hospital Ampang, saya mengimamkan jenazah Mak Long Midah. Dua insan yang banyak memberi makna kepada diri ini telah pun Allah s.w.t cabut nyawanya dalam masa dua bulan sahaja. Sayu...hati ini sangat terkesan dengan pemergian mereka.


Masih berbaki lagi sendu tangis Umi, saat ini, pelukan seorang anak sudah tentunya sangat diperlukan oleh sang Ibu. Maka, Along mengambil peranan ini sambil manyapu bahagia belakang Umi. Saya hampiri Umi...

“ Kesian Tok Abah...dia pergi sorang-sorang je..tiada siapa teman dia...” tersangkut-sangkut tutur kata Umi diselangi dengan air mata yang mengalir laju.

“ Tak apa Umi...sekurang-kurangnya, kita sempat jaga dia kan? Angah yakin Atok redho dengan Umi, doa anak yang soleh, boleh buat bekal untuk dia menghadap Allah s.w.t. Dah..Umi jangan nangis lagi? Nanti, balik rumah kita buat solat jenazah ghaib untuk Atok ye..” pujuk saya, tatkala ini, saya sendiri masih belum kuat sepenuhnya untuk menampung air mata ini. Namun, tangisan umi mesti ditenangkan, biar lega hati yang gundah itu. Tambahan pula, penyakit darah tinggi Umi akan terkesan akibat tekanan perasaan yang di alami secara berlebihan.

“ Atok pun tak nak Umi sedih-sedih macam ni..dia harapkan doa Umi, biar permudah segala urusan di alam kubur” ujar saya lagi.

*************************************************************************************


Terasa berat ujian yang menimpa, tempoh 3 minggu pertama Ramadhan dilalui dengan pelbagai dugaan yang datang tanpa disangka. Sehari sebelum Tok Abah meninggalkan kami, saya sempat menyampaikan sebuah tazkirah ringkas sewaktu menjadi imam solat Terawikh di Surau Bukit Depu, Kuala Ibai, Terengganu. Apa yang menarik perhatian saya, isi tazkirah tersebut saya petik idea utamanya dari salah sebuah cerita dalam Tinta al Murabbi ini:- Wahai insan! Lapangkankan hatimu seluas tasik…

Seakan-akan, setiap butir kata yang saya sampaikan kepada jemaah surau ketika itu, telah pun Allah s.w.t rancangkan untuk dijadikan perisai penguat diri bagi menghadapi dugaanNYA pada keesokan harinya!

Moga ayat ini sedikit sebanyak dapat menenangkan hati yang berdukacita itu, biar lega dengan musabab, inilah Qada’ dan Qadar Allah

"Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"

Sidang pembaca sekalian, saya pohon jasa baik kalian, dapat kiranya disedekahkan sekalung al-Fatihah kepada Allahyarham Raja Rahmat Bin Raja Abdullah. Syukran Kathir...

P/S:- Selepas Sahur pagi tadi,saya hubungi Umi...hari ini, hari lahir beliau,10 Sept 2009. Lega rasa hati setelah mendengar suara ceria Umi di hujung talian. Ya Allah...kau teguhkanah hati ibuku ini..biar tenang hatinya dengan zikir kepadaMU..Ameen Ya Rabbal 'Alamin..