Sunday, March 28, 2010

Keyakinan Kita...Keimanan Sahabat...

Tubuh terasa amat letih,seminggu berpraktikum di S.K Pagar Besi memerlukan kepada pengerahan tenaga mental dan fizikal lebih banyak daripada biasa. Barulah saya tahu betapa penatnya insan bernama GURU. Bertugas sebagai guru “DUA ALAM” ini serba sedikit memberikan kelebihan kepada saya, mula bertugas jam 10 pagi dan selesai jam 3.30 petang membolehkan saya mengenali lebih ramai guru dari kedua-dua sesi pengajaran, pagi dan petang walaupun bergelar AMPHIBIA =)


Namun kerana kesibukan dan keletihan inilah, saya mengabaikan banyak kuliah Maghrib sepanjang minggu. Leka menyiapkan buku rekod PRAKTIKUM, pembinaan Bahan Bantu Mengajar dan menanda kertas/buku latihan. Terbit penyesalan kerana GAGAL menyusun jadual hidup dengan baik. =( Kekesalan inilah yang memberikan tekad untuk tetap menghadirkan diri ke kuliah Maghrib hari ini biarpun kalau diikutkan, saya lebih senang berehat di rumah.


Sengaja saya menyandarkan diri di tiang surau, biar mudah mengimbang tubuh yang lesu ini. Hari ini Ustaz Shaharuddin akan mengisi jadual Kuliah Maghrib di Surau Gong Pak Jin ini. Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi seringkali menjadi pilihan ramai penceramah di sekitar Kuala Terengganu untuk mengisi ruangan kuliah/ceramah termasuklah di sini.


Saya tertarik dengan syarah ustaz mengenai hadis ke-41 dibawah bab Sabar. Makanya, Tinta Al-Murabbi menjadi medan untuk saya menyampaikan ilmu ini kepada yang lain:-


Dari Abu Abdullah, iaitu Khabbab Bin ‘Aratt r.a, katanya:-


“Kita mengadu kepada Rasulullah s.a.w dan beliau ketika itu meletakkan burdahnya di bawah kepala baginda sebagai bantal dan berada di bawah naungan Ka’bah, aku bertanya: Mengapa Tuan (baginda) tidak memohonkan pertolongan (kepada Allah s.w.t) untuk kita, sehingga kita menang? Mengapa Tuan tidak berdoa sedemikian itu untuk kita?”


Lalu baginda bersabda:-


“Pernah terjadi terhadap orang-orang sebelummu (zaman Nabi yang lalu) ada seorang yang ditangkap oleh musuhnya kerana ia beriman, kemudian digalikanlah tanah lalu diletakkan dia di dalam tanah (ditanam hidup-hidup), ada juga yang diletakkan gergaji di atas kepalanya lalu dibelah terputus dua. Selain itu, ada yang di sisir dengan sisir yang dibuat daripada besi lalu disisir di bawah daging dan tulangnya, kesemua seksaan itu tidak memalingkan ia dari agamanya (tetap beriman kepada Allah s.w.t). Demi Allah s.w.t, nescaya Allah s.w.t akan menyempurnakan agama ini (kemenangan Islam), sehingga seseorang yang berkenderaan/berjalan dari San’a ke Hadhramaut tidak ada yang ditakuti melainkan kepada Allah s.w.t atau kerana takut pada srigala membaham kambingnya. Tetapi engkau semua itu hendak bercepat-cepat sahaja (gopoh).


Riwayat Bukhari.


Syarah Ringkas


Khabbab Bin ‘Aratt adalah salah seorang sahabat yang mula-mula memeluk agama Islam. Beliau di antara sahabat yang sering menelan mehnah dan tribulasi dalam mempertahankan aqidahnya. Jika Rasulullah s.a.w diberi perlindungan oleh bapa saudara baginda (Abu Talib), Saidina Abu Bakar punyai suku Bani Taim yang mempertahankannya, Saidina Ali juga dijamin keselamatannya oleh suku kaumnya sendiri, namun Khabbab adalah seseorang yang tidak punyai siapa-siapa untuk melindungi beliau dari seksaan kaum kafir Musyrik. Dicaci, dihina, diherdik, dipukul menyebabkan Khabbab tidak dapat bertahan lagi lalu berkeputusan untuk mengadu kepada Rasulullah s.a.w.


Datangnya Khabbab r.a kepada Rasulullah s.a.w dengan harapan besar kerana mengetahui doa Baginda itu tiada hijabnya dengan Allah s.w.t. Memohon agar biarlah Islam MENANG. Agar reda penderaan tersebut…sakitnya, pedihnya di seksa oleh musyrikin Makkah ini tidak tertanggung lagi rasanya.



Baginda tenang menjawab soalan Khabbab…sengaja Rasulullah s.a.w sisipkan perjuangan Nabi-nabi terdahulu sebagai pengiktibaran. Pesan nabi s.a.w, yakinlah bahawa Islam itu PASTI akan MENANG. Tertegaknya Islam itu nanti membawa keamanan yang sangat LUAS sehinggakan seseorang yang bermusafir dalam jarak yang jauh pun tidak punyai apa-apa untuk ditakuti melainkan Allah s.w.t dan ancaman binatang buas. Tiada lagi ancaman rompakan, samun dan peperangan.


Benar kata-kata Asy Syahid Hasan Al Banna ketika menasihati anak muridnya. Dua konsep penting yang perlu tegar dalam sanubari seorang pejuang sebelum turun ke medan dakwah, yang pertama IKHLAS dan yang kedua KITA PERLU YAKIN BAHAWA ISLAM PASTI MENANG. Jika cukup kedua perkara ini, campaklah ke mana sekalipun, tentu ISLAM yang menjadi agenda utama untuk dirinya.


Ke Mana Pergi ROH perjuangan itu?


Para du’at sekalian, hari ini musuh kita bukan sahaja datang daripada golongan KUFFAR sahaja, namun wujud juga mereka yang terdiri dari sekolompok manusia yang hanya bertopengkan ISLAM, hakikatnya mereka menghadam fahaman SEKULARISME dalam segala tingkah laku mereka. Memisahkan segala bentuk aspek kehidupan dengan agama. Bagi mereka, agama itu hanya perkara ritual semata-mata


Hari ini kita diserang dari pelbagai sudut…hilang jati diri anak muda MUSLIM, runtuh dan ranap institusi bait MUSLIM, hancur berkecai akhlak masyarakat MUSLIM. Sampai bila kita mahu bersifat DEFENSIVE dengan menunding jari ke arah MUSUH? Baru di uji dengan herdikan manusia yang celupar mulutnya kita sudah merungut mahu ‘BERSARA’ dari perjuangan ini. Bayangkanlah, Khabbab r.a. yang masih timbul birat merah dek kerana sebatan kafir musyrik di badannya itupun dikatakan GOPOH oleh Rasulullah s.a.w, apatah lagi kita yang hanya diuji dengan mulut manusia?


Tanamkan di hati, Islam itu…Allah s.w.t telah takdirkan untuk MENANG, pasti TERTEGAK di Muka Bumi ini, lembayungnya akan dinikmati seluruh penduduk bumi. Keyakinan yang jitu ini akan memudahkan kita untuk BANGKIT andai jatuh berguling ditiup kencang oleh badai bernama MEHNAH…


Marilah kita sama-sama segarkan semula roh perjuangan itu…Kental diuji walau ombak yang melanda…Saya tahu, tulisan saya ini bakal diuji kelak akan kesahihannya melalui reaksi diri apabila Allah s.w.t meletakkan diri saya dalam realiti perjuangan yang sebenarnya. Maka dengan itu, saya pohon kepada Allah s.w.t, agar DIA menguji saya setara dengan KEIMANAN yang saya MILIKI. Jangan dilebihkan ya Allah kerana aku takut menghadapinya…ALLAHUAKBAR!!

Tuesday, March 23, 2010

Motif???

Sengaja saya pilih untuk berada di rumah sahaja memandangkan tempoh cuti tidaklah terlalu panjang. Hanya seminggu sahaja. Lebih senang ‘melekat’ di atas kerusi malas sambil menghabiskan Bacaan Wajib yang telah ditetapkan di dalam borang Mutaba’ah Amal. Menghirup teh sambil membelek-belek buku genre Haraki karangan Dr. Ali Sharbaji yang bertajuk ‘Suri Teladan di dalam Kehidupan Para Sahabat’, bagi saya buku ini punyai metod tersendiri dalam mengimbau kembali jerit payah para sahabat nabi s.a.w untuk mendaulatkan Islam di muka bumi Allah suatu masa dahulu. Buah tangan ulama’ besar yang juga antara pengarang kitab Fiqh Minhaji As-Syafie.

Sedang asyik meneliti buku tersebut, kedengaran hon posmen di laman rumah, menghulurkan bungkusan yang memerlukan tandatangan si penerima. Sempat juga saya menarik risalah yang terselit di celah pagar sebelum masuk semula ke rumah. Seperti biasa, taman perumahan ini seringkali menjadi sasaran para peniaga bagi mempromosikan perniagaan mereka melalui tebaran risalah serupa ini. Saya kembali melabuhkan punggung kembali ke kerusi malas tersebut. Kerusi ini punyai nostalgia panjang bersama arwah abah, sekali duduk pasti ketagihan dengan keempukannya! =)

Alangkah terkejutnya saya apabila melihat kandungan risalah tersebut! Memaparkan gambar seorang sami Siam yang sedang duduk bersila di dalam sebuah kuil (wat). Nah ini gambarnya:-

Helaian kertas A4 putih bercetak depan dan belakang itu menceritakan bagaimana seorang ‘Tok Guru’ berkebolehan membantu menyelesaikan masalah kewangan dengan hanya memberi nombor ramalan (nombor ekor) kepada mereka yang memerlukan bantuannya. Sambil menggaru kepala yang tidak gatal ini, saya sangat tertanya-tanya, apakah tujuannya risalah serupa ini disebarkan di kawasan perumahan saya yang hampir 98% nya berbangsa Melayu, beragama Islam?? Tidak cukup sekadar itu, disertakan juga ‘testimoni’ mereka yang telah berjaya sebagai bahan bukti penguat keyakinan mereka yang membacanya. Hairan…siapa sebenarnya golongan sasaran mereka?

Melihatkan kepada iklan ini, ianya bukan sahaja berpotensi untuk membuahkan kesyirikan (meminta bantuan kepada ‘Tok Sami’ tersebut, dengan membelakangkan Allah s.w.t), malahan ia boleh merangsang kemaksiatan dengan mempromosi NOMBOR EKOR! Aduhai…bukankah ini sangat jelas? Sebaran seperti ini bukan sahaja bisa menyuburkan kemaksiatan, tetapi juga boleh MEROSAKKAN AKIDAH umat Islam.

Pengiklanan berorientasikan SYAHWAT dan MAKSIAT

Tidak dapat dinafikan kuasa pengiklanan itu sangat besar dan berpengaruh. Jika tidak, masakan banyak syarikat-syarikat besar membelanjakan jutaan ringgit untuk melariskan perniagaan mereka melalui pengiklanan. Ringkas dan padat adalah unsur penting yang perlu ada pada setiap iklan untuk memastikan penonton/pendengar terkesan dengan perkara yang disampaikan.

Namun, kebelakangan ini, saya melihat banyak iklan di kaca TV khususnya,yang dihiasi unsur-unsur tidak elok untuk ditonton oleh kita (Muslim). Ada sebilangan iklan yang dengan beraninya menonjolkan ‘KESEKSIAN’ wanita untuk dijadikan bahan penarik iklan mereka. Sebagai contoh, iklan DEODORANT yang lebih senang menayangkan seorang WANITA meleretkan bahan tersebut di KETIAKnya yang putih melepak, pakej PENGURUSAN BADAN yang terang-terang memaparkan seorang wanita dengan hanya memakai pakaian dalam sahaja. Perkara yang OPTIONAL sebegini, mengapa perlu pendedahan yang melampau sebegitu?

Bayangkan, kadar pengulangan iklan yang kerap di kaca TV, ditatap oleh jutaan MUSLIM saban hari. Apatah lagi kanak-kanak yang masih mulus jiwanya, dicemari dengan tontonan lenggok giur wanita semata-mata mahu mempromosikan sabun mandi! Bagaimana ‘Tarbiyyah Islamiyyah’ mampu mekar dalam jiwa anak-anak Muslim jika begini keadaannya? Common View seperti ini dibimbangi mampu mematikan naluri seorang Muslim yang sepatutnya berteraskan Al-Quran dan Sunnah. Hati seorang Mukmin sepatutnya dibendung dengan titik Putih, tetapi kerana tontonan ‘rutin’ iklan-iklan ini, maka dengan mudah sekali, hujanan titik Hitam pula berkarat di dalamnya.

Saya kira SESETENGAH (bukan semua) konsep pengiklanan perniagaan di Malaysia sudah mencapai tahap yang amat merisaukan. Daripada media elektronik hinggalah media cetak, kesemuanya banyak di dominasi oleh syarikat-syarikat perniagaan yang ingin melariskan produk/servis mereka. Matlamat keuntungan yang ingin mereka capai telah membelakangkan moral, agama serta adat ketimuran yang kita miliki. Mereka meletakkan pelarisan produk sebagai objektif utama tanpa mengira apakah impaknya kepada pemikiran masyarakat. Serangan pemikiran kuning ke dalam minda bawah sedar Muslim, tentunya akan melesukan lagi kemantapan jati diri kita. Ditambah lagi dengan dunia yang semakin MENGGILA suasananya di luar sana. Selamatkah kita? Keluarga kita? Anak-anak kita?

Mempromosi tanpa menggadaikan aqidah dan akhlak bukankah jauh lebih praktikal? Contoh mudah saya petik dari laman ini: http://saifulislam.com/?p=6868. Kekreatifan yang Allah s.w.t kurniakan itu sepatutnya disalurkan ke arah menghasilkan sesuatu yang lebih BERMORAL! Jangan jadi seperti barat yang hendak mengiklankan makanan ringan tetapi dengan cara yang amat MENJIJIKKAN. (http://www.youtube.com/watch?v=6aXxbuqvESI&feature=PlayList&p=7B4B985429330BF3&playnext=1&playnext_from=PL&index=3) –lihat minit ke 4. Tiada langsung nilai yang membina! Semoga kita mengambil pengiktibaran daripadanya.

Sengaja saya mengaitkan isu pengiklanan ini dengan pengalaman sebenar saya menerima risalah promosi yang berunsur syirik di atas. Biar hidup realitinya bukan sekadar tohmahan kosong semata-mata. Wallahua’alam.


P/S:- Sedang bergelumang dengan dunia PRAKTIKUM, doakan saya tenang menghadapinya. Hidup dalam dua alam ini agak menyeronokkan! =)