Tuesday, April 28, 2009

Insan yang dirindui~ (Part 3)

Baiklah..hari ini pengajian kita mengenai Adab Ulama' menghormati guru sudah sampai ke penghujungnya. Maka, dalam entri kali ini saya akan mendedahkan siapakah sebenarnya insan yang DIRINDUI itu (^_^) jeng3x!. Para pembaca sekalian, meskipun artikel ini menekankan adab ULAMA' kepada GURU mereka, mungkin kita merasakan bahawa kita tiada kaitan langsung pun dengan kita, "Aku Bukan Seorang Ulama'?", "Aku Bukan Guru?"..apa kaitannya dengan aku?. Sesungguhnya, GURU membawa konsep yang cukup luas, seorang IBU dan seorang BAPA adalah guru kepada anak mereka, seorang DOKTOR adalah guru kepada pesakitnya, seorang ABANG adalah guru kepada adiknya, seorang RAKAN adalah guru kepada RAKANNYA yang lain. Boleh jelaskan kepada saya, mana bahagian dalam kehidupan anda, menunjukkan anda bukan seorang GURU?? Baiklah..mari kita teruskan:-

ADAB GURU MENGHORMATI GURU 3

14. Mereka tidak malu untuk bertanya jika ada kemusykilan mengenai sesuatu yang diajarkan oleh guru dan apabila bertanya mereka akan menjelaskan persoalan mereka itu dengan terang dan jelas.

Imam Abu Hanifah sering menyerukan untuk menuntut ilmu tanpa rasa segan dan malu, dan dalam hal ini hendaklah dia mengajukan pertanyaan-pertanyaannya dengan cara yang baik. Beliau berkata: Bertanya dengan baik adalah separuh dari ilmu.

Jika ditanyakan oleh guru "adakah kamu faham"?, maka mereka tidak sekali-kali akan berkata "ya" kecuali jika benar-benar jelas maksud apa yang diajarkannya itu supaya mereka dapat memahami dengan lebih jelas dan sempurna dan tidak dikira berdusta kepada guru.

Mereka tidak sekali-kali malu untuk berkata "aku belum faham" kerana dengan perkataan ini dia akan beroleh berbagai bentuk kebaikan yang akan diperolehi sama ada pada waktu tersebut mahupun untuk masa depannya.


15. Jika guru mereka berlaku kasar ataupun marah, maka merekalah yang akan terlebih dahulu meminta maaf dengan menunjukkan bahawa merekalah yang patut dipersalahkan. Ini akan memberikan manfaat yang lebih bagi mereka sebagai pelajar di dunia dan akhirat serta ini akan lebih membersih dan menyenangkan hati guru.


16. Mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah matinya atas jasa serta segala pengorbanan yang telah dicurahkannya kerana jasa-jasa pewaris para nabi yang tidak ternilai ini tidak akan dapat dibalas.

Pengarang kitab Al-Fawaid Al-Makiyyah iaitu As-Sayyid ‘Alawi berkata: Antara adab pelajar itu ialah tidak lupa mendoakannya setiap masa sepertimana dia tidak lupa untuk mendoakan ibu bapanya dan berbuat baik kepadanya sepertimana dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Aku tidak pernah lupa mendoakan Imam Asy-Syafi‘e ketika bersembahyang semenjak empat puluh tahun lalu. Kerana banyaknya doa Imam Ahmad bin Hanbal untuk Imam Asy-Syafi‘e ini, anaknya bertanya kepadanya: Siapakah dia Asy-Syafi‘e ini sehingga engkau pohonkan segala doa-doa ini untuknya!? Imam Ahmad pun menjawab: Anakku, Imam Asy-Syafi‘e umpama matahari bagi dunia ini dan merupakan kesejahteraan bagi seluruh umat manusia.



Penutup

Guru adalah ibu, bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, pendek kata guru adalah segalanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Sewajarnyalah setiap pelajar mencontohi para ulama salaf dalam menjaga tingkah laku, sopan santun serta akhlak terhadap guru, tidak kira siapapun gurunya itu, sungguhpun lebih muda ataupun lebih rendah darjat daripadanya. Ini kerana dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi, semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi.


Insan Yang Dirindui:-

- Al Fadhil Ustaz Abdul Azizullah Bin Jamal Rashid.

- Guru kepada 13 orang budak lelaki nakal yang mempunyai pelbagai ragam.

- Mula menerima amanah bagi mendidik kami bermula Januari 2001.

- Alfu Mabruk atas kehadiran 'Orang Baru' dalam keluarga, Muhammad Al-Haasyir Bin Abd. Azizullah pada 16 April 2009. =)

- Kata2 yang masih melekat dalam hati saya:-

"Kalau perangai kamu macam ni...Ustaz kecewa. Ingat, kalau cemerlang mana pun keputusan akademik kamu, ustaz letak bawah kaki je, AKHLAK kamu, ustaz junjung atas kepala."

"Buatlah apa-apa yang kamu rasakan dapat berikan manfaat"

"Hati yang mati ibarat mayat yang tidak bernyawa, andai diguris dengan pisau jasad itu, mayat tetap kaku seperti biasa, tiada lagi respon kesakitan darinya, tapi hati yang hidup itu ibarat tubuh yang bernyawa, andai dilukai pasti mengaduh sakit, mengerang diminta diubati."

-
Ustaz, saya bukanlah seseorang yang layak untuk disamakan adabnya dengan barisan ulama' diatas. Saya mencuba sebaik mungkin untuk menjadi murid yang terbaik untuk ustaz. Ya..KAMI akui, tempoh 6-8 tahun itu banyak mengguris perasaan dan mencabar kesabaran ustaz dalam bergelar seorang Muaddib. Namun, andai disingkap hati 13 orang budak lelaki nakal itu, pasti setiap satunya masih terkesan dengan hasil tarbiyyah ustaz. Gamitan memori kami ketika di ITQAN adalah sesuatu yang amat sukar dilupakan dan ianya pasti tidak lengkap jika nama Ustaz Azizullah dibiar sepi tanpa disebut. Dulu, kini, dan selamanya, Ustaz adalah ustaz kami =) Doakan anak muridmu ini berjaya dunia akhirat~~


Haruslah ada nota kaki:-

-Ditujukan untuk semua yang bergelar guru, cikgu n esp. USTAZ.
-Agak emosi sikit entri kali ini...terkenang sebuah memori lalu~~ haha


Thursday, April 23, 2009

Insan yang dirindui~ (Part 2)



Ketika ini, saya sedang berada di kelas bersama-sama senior PAI 2, kelihatan saudara Salman sedang mengajar anak muridnya bacaan al-Quran secara bertarannum..nahwand, hijjaz, dan lain-lain silih berganti menggemakan ruang kelas ini..maklumlah, murid ini akan mewakili daerah Kuala Terengganu dalam pertandingan Tilawah al-Quran (peringkat sekolah rendah)~ maka berkobar-kobarlah sang guru yang melatih! Pesan saya pada murid ini:- Jangan dilupa jasa Ustaz Salman dalam mendidik, jasa tetap sebuah jasa, budi tetap sebuah budi, kenang ia pabila diri meningkat dewasa kelak~ Cukup sekadar itu set induksi entri kali ini..izinkan saya menyambung pengajian lapan muka kita ye~ =)

ADAB ULAMA MENGHORMATI GURU 2

8. Mereka tidak mendatangi guru di luar daripada majlis ilmu yang umum (di luar dari jadual waktunya untuk mengajar dan sebagainya) kecuali dengan izinnya, sama ada guru mereka itu sedang bersendirian mahupun sedang bersama dengan orang lain.

Jika tidak ada izin daripada guru itu sedangkan guru itu mengetahui bahawa mereka sedang meminta izin untuk mendatanginya, maka mereka akan beredar dan tidak mengulangi isti’zan (permohonan izin) mereka.

Jika mereka ragu-ragu adakah guru tersebut terdengar ataupun tahu akan isti’zan mereka untuk mendatangi guru tersebut ataupun tidak, maka dalam hal ini mereka akan mengulang isti’zan tersebut tidak melebihi dari tiga kali ketukan di pintu. Mereka mengetuk dengan penuh adab dan perlahan-lahan dengan menggunakan kuku jari.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan dalam kitabnya Al-Adab Al-Mufrad bahawa Anas bin Malik  telah berkata:-
“Pintu-pintu Nabi  diketuk dengan menggunakan kuku-kuku jari.”
(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Jika guru mereka itu jauh daripada pintu, maka tidaklah menjadi kesalahan daripada segi adab mereka untuk menguatkan sedikit ketukan dalam kadar kira-kira dapat didengar oleh guru tersebut dan jangan sampai melebihi daripada kadar ini.

Jika guru tersebut bertanya siapakah yang berada di luar pintu itu, maka mereka tidak hanya mengatakan "aku" tanpa menyebutkan nama kerana ini tidak disukai oleh Rasulullah .
Dalam shahih Imam Al-Bukhari diriwayatkan bahawa Jabir  telah berkata:
“Aku mendatangi Nabi  untuk membayar hutang bapaku lalu aku mengetuk pintu. Lalu Baginda bertanya "Siapa ini?” Kemudian aku menjawab "aku" . Baginda pun bersabda: "Aku! Aku! Seolah-olah Baginda tidak menyukainya.”
(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Seandainya pintu bilik guru itu terbuka, maka mereka tidak akan mengintip atau menghadapkan muka mereka ke muka pintu, tapi mereka menjadikan muka pintu itu berada di sisi kanan atau kiri mereka atau dalam bahasa Brunei disebutkan menyiring, kemudian barulah mereka memberi salam.

Ini kerana antara adab isti’zan itu ialah meminta izin untuk melihat. Sahl bin Sa‘ad meriwayatkan:

“Seorang lelaki mengintip dari lubang kamar Nabi , dan bersama Nabi  sebuah sisir yang digunakannya untuk menyisir rambutnya. Lalu Rasulullah  bersabda: Jika aku tahu yang engkau mengintip nescaya akan aku tusukkan sisir ini ke matamu! Sesungguhnya isti’zan (permohonan izin) itu disyariatkan untuk keperluan melihat. ”
(Hadits riwayat Al-Bukhari)

9. Apabila mereka hendak berjumpa dengan guru, mereka akan memastikan diri mereka dalam keadaan yang sempurna dengan tubuh badan dan pakaian yang bersih, memotong kuku serta menghilangkan bau-bauan yang kurang enak sama ada ketika menemuinya secara persendirian apatah lagi ketika hendak menghadiri majlis ilmu yang umum seperti kelas dan sebagainya yang merupakan sejenis perkumpulan ibadah kerana dikhuatiri akan mengganggu kesejahteraan guru mahupun rakan-rakan pelajar yang lain.
Imam Malik sepanjang hidupnya, membiasakan mandi dengan baik dan teratur, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian terbaik setiap kali ia menghadiri halaqah untuk belajar ataupun mengajar.

Mereka juga pada ketika itu akan mengosongkan hati daripada segala urusan di samping mensucikan minda serta fikiran, pendek kata sempurna jiwa dan raga untuk menerima pengajaran guru. Bukannya dalam keadaan mengantuk atau marah atau lapar yang bersangatan ataupun dalam keadaan dahaga dan sebagainya supaya dada mereka dilapangkan untuk menerima pengajaran yang diberikan dan mampu mengingati apa yang telah guru perdengarkan kepada mereka.

Ketika sedang belajar, mereka sentiasa menunjukkan adab terhadap kawan-kawan sekelas dan sesiapa sahaja yang menghadiri majlis ilmu atau kelas guru mereka itu. Hal ini merupakan sikap sopan terhadap guru dan pemeliharaan terhadap majlis ilmu ataupun kelasnya.


10. Jika mereka ingin menjumpai guru di luar daripada waktunya mengajar sedangkan di waktu itu guru tersebut sedang bersembahyang, berzikir, menulis atau membaca lalu dia terhenti (terganggu) ketika terlihat mereka atau tidak menegur mereka, maka mereka akan memberi salam kemudian cepat-cepat pergi dari sana kecuali jika disuruh oleh guru itu untuk menunggu di sana.

11. Mereka tidak meminta daripada guru untuk mengajar di waktu yang menyukarkan baginya atau jika difikirkan akan menyusahkannya ataupun bukan waktu yang biasa bagi guru tersebut untuk mengajar. Begitu juga pada ketika guru itu sedang letih, bosan, dukacita, mengantuk dan sebagainya kerana ini akan menyusahkannya dan menjadi penghalang kepadanya daripada melaksanakan pengajarannya dengan sempurna.

12. Apabila mereka duduk di hadapan guru ketika belajar, mereka duduk dengan penuh tawadhu‘, khusyu‘ dan tenang. Memandang guru ketika dia bercakap dengan penuh perhatian dan memikirkan secara mendalam akan kata-katanya dan tidak memandang ke arah lain tanpa keperluan, begitu juga tidak bermain-main dengan tangan, kaki atau anggota-anggota yang lain ataupun bermain-main dengan pen, pakaian serta lain-lain perbuatan yang boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap guru.

Sesungguhnya ulama-ulama salaf sangat memuliakan majlis-majlis ilmu. Mereka duduk diam dengan penuh rasa hormat dan takzim terhadap guru mereka dan tidak akan bercakap kecuali ketika menjawab soalan guru mereka sehingga diumpamakan duduk mereka ketika belajar itu seolah-olah ada burung di atas kepala mereka. Perumpamaan ini bermaksud mereka duduk diam tanpa bergerak-gerak kerana burung pada kebiasaannya tidak akan hinggap kecuali di atas sesuatu yang tidak bergerak-gerak.

Mereka juga tidak menyandarkan tangan mahupun badan pada dinding dan seumpamanya ketika kehadiran guru dan tidak sekali-kali membelakanginya. Mereka juga mengurangkan percakapan tanpa keperluan dan tidak ketawa terbahak-bahak ketika kehadiran guru.

13. Mereka sentiasa menjaga sopan santun ketika bercakap dengan guru dan tidak menggunakan bahasa-bahasa yang boleh menyinggung perasaannya dan tidak memutus percakapannya apatah lagi di waktu ketikanya sedang mengajar kecuali jika disuruh atau diizinkan untuk bercakap oleh guru tersebut.

Thursday, April 16, 2009

Insan yang dirindui~

Hati ini terasa berbunga-bunga apabila muncul kotak "Instant Message" dari seseorang yang saya amat rindui! Selama ini, saya agak segan untuk bertegur dengan beliau kerana sering ber'status' bz-kelas~. Tetapi semalam dalam sejarah beliau menghantar sebuah fail microsoft office word bertajuk "ADAB ULAMA' MENGHORMATI GURU". Mempunyai 8 muka surat, saya terasa ingin berkongsi ilmu ini dengan pembaca sekalian, selamat membaca:)

ADAB ULAMA MENGHORMATI GURU

Sesuai dengan ketinggian darjat dan martabat guru itu, maka tidak hairanlah bahawa para ulama sangat menghormati guru mereka. Di antara cara mereka memperlihatkan penghormatan mereka terhadap guru ialah:

1. Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan guru dalam setiap urusan mereka.

Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir.

Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah dengan khidmat tersebut.

2. Mereka memandang guru dengan perasaan penuh hormat dan takzim serta mempercayai kesempurnaan keahlian dan kepakarannya dalam bidang perguruannya. Ini lebih membantu mereka sebagai pelajar untuk memperolehi manfaat daripada guru mereka dan akan mengukuhkan lagi apa yang didengar dan diajarkan oleh guru.

Ulama-ulama salaf sangat memuliakan dan mengagungkan guru-guru mereka. Ini jelas termaktub dalam kisah-kisah tentang akhlak mereka dalam majlis-majlis ilmu dan kesopanan mereka terhadap guru-guru mereka. Sebagai contoh:

- Mughirah berkata: Kami menghormati Ibrahim an-Nakha‘ie sepertimana kami menghormati raja.

- Imam Asy-Syafi‘e pula berkata: Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak terdengar (bunyi belekan kertas tersebut).

- Rabie‘ berkata: Demi Allah aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Asy-Syafi‘e memandang kepadaku.

- Sayyidina Ali Karramallahu wajhah berkata: Antara hak seorang alim ke atasmu ialah memberi salam ke atas orang ramai secara umum dan mengkhususkan gurumu dengan penghormatan yang khusus dan istimewa.



3. Mereka sentiasa mendampingi guru supaya mendapat berkat serta beroleh ilmu yang akan tercurah daripadanya pada bila-bila masa serta menjadikannya qudwah (ikutan).

Imam Asy-Syafi‘e misalnya, sejak pertemuannya dengan gurunya iaitu Imam Malik pada tahun 170 Hijrah, hampir tidak pernah meninggalkan gurunya sehingga gurunya itu wafat pada tahun 179 Hijrah. Ini kerana Imam Asy-Syafi‘e tidak pernah meninggalkannya kecuali ketika pergi ke Makkah untuk menjenguk ibunya ataupun pergi ke pusat ilmu dan feqh. Itu pun setelah beroleh keizinan serta restu daripada gurunya. Jika direstui, Imam Malik akan menyiapkan bekal dan memberikannya wang perbelanjaan sambil mendoakan keselamatannya.

4. Mereka tidak menggunakan ganti nama diri seperti "engkau" dan "awak" dan tidak memanggil atau meneriaki guru dari jauh.

Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.

Maksudnya di sini, mereka memanggil guru dengan gelaran yang penuh adab serta penghormatan. Jika nama guru tersebut Muhammad misalnya, maka mereka akan memanggilnya dengan nama ustaz, cikgu, guru kami dan sebagainya dan tidak menyebutkan namanya kecuali disertakan dengan gelaran yang penuh penghormatan seperti Ustaz Muhammad, Cikgu Muhammad dan sebagainya meskipun sewaktu ketiadaan guru itu.

5. Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah! Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.

Sesungguhnya, menuntut ilmu itu adalah satu bentuk ibadah dan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah , bukannya untuk bermegah-megah ataupun untuk berbantah-bantah dengan ilmu tersebut.

Dalam satu hadits riwayat Imam Al-Hakim, Ka‘ab bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa mencari ilmu untuk menyaingi para ulama atau untuk bertengkar dengan orang-orang bodoh atau supaya hati manusia menghadap kepadanya maka ia akan masuk neraka.”

(Hadits riwayat Al-Hakim)

6. Mereka berterima kasih kepada guru atas segala tunjuk ajar serta bimbingannya terhadap segala kebajikan dan tegahan serta tegurannya ke atas segala kekurangan atau kemalasan dan sebagainya bagi memperbaiki diri dan mengganggap teguran, asuhan, didikan serta keprihatinan guru itu sebagai rahmat dan kurniaan yang tak terhingga kepada mereka oleh Allah .

Jika bimbingan serta teguran yang diberikan oleh guru itu sudah diketahui, maka mereka tidak menunjukkan yang mereka sebenarnya sudah mengetahuinya, bahkan mereka menghargai dan berterima kasih atas bimbingan serta keprihatinan guru tersebut terhadap mereka.

7. Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat.

Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadits. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu ‘Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu ‘Abbas pun menjawab: Jangan.

Haruslah ada nota kaki:-
-Mahu tahu siapa insan istimewa ini?Kita tunggu sehingga habis kesemua 8 muka surat okeh?

Saturday, April 4, 2009

Kisah Mesin Basuh =(

Usai solat asar..mata saya terkilas pandang pada hujung ceruk meja belajar saya.
“Erk..baru perasan..baju dah penuh dalam baldi, nak kena basuh ni” bisik hati saya.

Lalu, dicari-cari syiling supaya cukup RM2.00, mesin basuh di aras bawah Kolej Kediaman Blok Umar Al Farouk ini merupakan ‘Dobi’ kami jikalau tahap kemalasan mengatasi kuasa wang. Lebih gemar memberi mesin tersebut ‘kerja’ untuk menggantikan tangan-tangan manusia yang sepatutnya dilatih mengenal erti kepayahan/keperitan membasuh baju.

Kebetulan stok duit syiling saya sudah kekeringan, maka terpaksalah berusaha keras untuk mencarinya di setiap celah. Setelah mencari di seluruh pelusuk laci, almari, bawah katil, Alhamdulillah cukup jua akhirnya syiling berjumlah RM2.00. Saya terus mencapai sabun basuh jenis ‘Kao Attack’ lantas menuruni tangga dari aras 2 ke aras bawah. Saya lihat mesin tersebut sedang digunakan dengan baki masa untuk selesai sebanyak 25 minit. “Hmm..tunggu sekejaplah, sementara tu boleh tengok tv kejap”, kebetulan bilik tv berhampiri dengan mesin basuh tersebut. Saya meletakkan baldi yang penuh dengan baju tersebut bersama sabun di sisi mesin tersebut.



Tepat jam 5.35 petang, saya lihat mesin basuh itu sudah kosong, dan giliran saya pula untuk memasukkan baju-baju saya. Tapi..apa yang memusykilkan saya ialah sabun saya telah hilang! Aik?? Mana pergi sabun ni?? Mana mungkin Ia punyai kaki untuk pergi bersiar-siar?? Atau terdapat tangan manusia yang tersilap ambil?? Puas saya mengelilingi mesin tersebut lalu saya melangkahkan kaki ke mesin basuh blok-blok lain. Mungkin ada sesiapa yang ‘pinjam’ tanpa sempat memberitahu saya. Keputusannya tetap sama, Tiada! Lalu, saya naik semula ke bilik, untuk mencari kalau-kalau saya sendiri yang sebenarnya terlupa membawa ia turun. Belegar-legar di dalam bilik sambil mencari sabun tersebut membuatkan Roommate, Azrai berasa pelik lalu bertanya, “Kau cari apa rip?” “Sabun basuh aku lah..ada nampak tak?” saya menjawab. “Entah..tak perasan pun..”. Saya turun semula ke tingkat bawah, meneruskan operasi mencari sabun basuh, kali ini di sekitar bilik tv..namun tidak jua ketemui sabun itu. Masih tidak berpuas hati, lalu saya naik semula ke tingkat atas, dengan harapan mungkin tadi saya terlepas pandang kerana terlalu kelam kabut. Ai..hasilnya tetap sama. Dengan sisa keredhaan yang ada, saya pergi ke bilik jiran untuk ‘meminjam’ sabun basuh, mujur ada..lalu saya turun semula ke bawah..kali ini dengan sedikit juraian peluh di dahi.



Tatkala saya sedang memasukkan syiling ke dalam peti duit mesin basuh, baru saya sedari masih tidak cukup sebanyak 50 sen! Mungkin tercicir sewaktu saya sibuk mencari sabun tadi! Aiii..penatnya nak naik atas semula, nak tak nak..kena naik juga, kalau tidak mesin ini tidak mahu menjalankan tugasnya. Sesampainya saya di bilik, sekali lagi kerahan tenaga diperlukan untuk mencari duit syiling sebanyak 50sen. Jumpa! Di balik timbunan buku, terselit beberapa butir duit syiling, 20sen, 20sen, 10sen. Cukup 50sen. Saya tersengih seorang diri dek kerana puas. Syiling tersebut dimasukkan, dan Alhamdulillah, mesin itu beroperasi seperti biasa. Saya naik ke atas untuk mandi dan bersiap pergi ke surau, saya jangka dalam perjalanan pergi ke surau nanti saya singgah untuk menyidai baju-baju tersebut.



Kisah malang saya tidak berhenti setakat itu. Pabila saya menuruni anak tangga, hati saya terasa panas kerana melihat mesin basuh tadi masih bertakung airnya! Dengan kata lain, mesin tersebut R.O.S.A.K! Sempat membasuh tapi tidak sempat untuk di SPIN. Ketika ini, terasa darah naik ke otak lalu menimbulkan urat yang tegang tertonjol di dahi. Dengan pakaian jubah yang sedang saya pakai itu, saya terpaksa memerah baju-baju tersebut secara manual menggunakan tangan, dibilas kemudian barulah dapat di sidai. Selesai aktiviti menyidai, saya berlari anak ke surau, dengan peluh yang tersisa di dahi serta ‘muscle biseps’ yang masih tegang kerana berkerja kuat memerah baju tadi, saya mengangkat takbir, menunaikan solat bersama imam namun bergelar si Masbuq.

Lebih ‘mengujakan’ saya, esoknya, bumi IPKT di basahi hujan dengan lebatnya! Baju-baju saya yang disidai semalam, kuyup! =( Tidak guna juga berlari pulang dari kelas ke kolej kediaman kerana pintu pagar di kunci! Redha??Sudah tentu~~ Hari ini dalam sejarah..saya merasakan diri saya di uji dengan perkara remeh. Bermula dengan sabun basuh, kemudian duit syiling, disusuli mesin basuh.

Perkara sekecil ini sekalipun, jika Allah kehendaki ianya sebagai asbab ujian maka tiada daya kita sebagai hamba untuk mengelakkannya bukan? Apatah lagi untuk mengawalnya. Saya duduk termenung sebentar memikirkan hikmah disebalik peristiwa ‘remeh’ yang menuntut kelelahan dan kesabaran saya sebagai medan ujian. Kifarah kepada dosa barangkali? Manusia seringkali menyangka bahawa segala perancangannya adalah dibawah kawalannya sendiri. Menyangka bahawa pucuk pangkal adalah dari diri sendiri sahaja sehingga terlupa Allah sebagai perancang tetap kitar kehidupan setiap manusia. Apalah daya kau wahai manusia jika Allah mengkehendaki sesuatu yang lain dari kehendakmu? Amaran! Tiada apa yang dalam kawalanmu!

Mahu tahu sesuatu yang lebih dahsyat? Mari kita renung ayat ini..

“…ketahuilah Bahawa Sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu Dengan (pekerjaan) hatinya, dan Sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan” (Al-Anfal:24)

Inilah gambaran Qudrat Allah yang amat berkuasa dan amat halus serta amat misteri. Allah dapat menghalangkan di antara seseorang dengan hatinya, iaitu Allah berhak memisahkan di antara manusia dengan hatinya, Allah menguasainya, menyekat dan membalik-balikkan hati dan menanganinya mengikut sebagaimana yang dikehendakiNYA, sedangkan pemilik hati itu tidak dapat berbuat apa-apa walaupun hatinya terletak dalam rongga di antara dua lambungnnya.

Hakikat yang menyatakan bahawa manusia merupakan makhluk yang tidak mempunyai apa-apa kuasa sekali pun, biarpun ianya melibatkan hati. Tidak berdaya mengubah dan menetapkan hati sendiri melainkan Allah jua berkuasa keatasnya. Hal ini menunjukkan bahawa andai manusia itu sekuat mana sekalipun, segagah mana sekalipun, sebijak mana sekalipun, tetap dia berada dibawah kekuasaan Allah. Allah berhak menjadikan hati seseorang itu gelap dan sebaliknya. Malah, jika dikehendakiNYA, Allah berhak menjadikan hati itu seseorang berada di dalam kekufuran dan sebaliknya. Sebaiknya, kita sebagai manusia seharusnya sentiasa menggerakkan diri ke arah menghidupkan hati melalui amal ibadah yang ikhlas kepada Allah.

Mengerikan bukan? Hati…suatu organ yang semamangnya secara zahir adalah milik kita sekali pun, tetap dalam kawalan Allah! Saban hari kita ke hulu ke hilir dengan hati tersebut, namun kita daya ke atasnya. Hari ini mendodoi sayang, esok menyumpah benci, hari ini sahabat karib, esok musuh ketat, hari ini janji ini, esok janji itu, namun yang paling ditakuti hari ini AKU BERIMAN, esok AKU KAFIR! Wal’iyazubillah~

“Ya Allah, Tuhan yang berkuasa mengubah-ubahkan hati, tetapkan hatiku di atas agama-MU”

P/S: Thanx ye besfren 4 ur advice 