Ketika ini, saya sedang berada di kelas bersama-sama senior PAI 2, kelihatan saudara Salman sedang mengajar anak muridnya bacaan al-Quran secara bertarannum..nahwand, hijjaz, dan lain-lain silih berganti menggemakan ruang kelas ini..maklumlah, murid ini akan mewakili daerah Kuala Terengganu dalam pertandingan Tilawah al-Quran (peringkat sekolah rendah)~ maka berkobar-kobarlah sang guru yang melatih! Pesan saya pada murid ini:- Jangan dilupa jasa Ustaz Salman dalam mendidik, jasa tetap sebuah jasa, budi tetap sebuah budi, kenang ia pabila diri meningkat dewasa kelak~ Cukup sekadar itu set induksi entri kali ini..izinkan saya menyambung pengajian lapan muka kita ye~ =)
ADAB ULAMA MENGHORMATI GURU 2
8. Mereka tidak mendatangi guru di luar daripada majlis ilmu yang umum (di luar dari jadual waktunya untuk mengajar dan sebagainya) kecuali dengan izinnya, sama ada guru mereka itu sedang bersendirian mahupun sedang bersama dengan orang lain.
Jika tidak ada izin daripada guru itu sedangkan guru itu mengetahui bahawa mereka sedang meminta izin untuk mendatanginya, maka mereka akan beredar dan tidak mengulangi isti’zan (permohonan izin) mereka.
Jika mereka ragu-ragu adakah guru tersebut terdengar ataupun tahu akan isti’zan mereka untuk mendatangi guru tersebut ataupun tidak, maka dalam hal ini mereka akan mengulang isti’zan tersebut tidak melebihi dari tiga kali ketukan di pintu. Mereka mengetuk dengan penuh adab dan perlahan-lahan dengan menggunakan kuku jari.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan dalam kitabnya Al-Adab Al-Mufrad bahawa Anas bin Malik telah berkata:-
“Pintu-pintu Nabi diketuk dengan menggunakan kuku-kuku jari.”
(Hadits riwayat Al-Bukhari)
Jika guru mereka itu jauh daripada pintu, maka tidaklah menjadi kesalahan daripada segi adab mereka untuk menguatkan sedikit ketukan dalam kadar kira-kira dapat didengar oleh guru tersebut dan jangan sampai melebihi daripada kadar ini.
Jika guru tersebut bertanya siapakah yang berada di luar pintu itu, maka mereka tidak hanya mengatakan "aku" tanpa menyebutkan nama kerana ini tidak disukai oleh Rasulullah .
Dalam shahih Imam Al-Bukhari diriwayatkan bahawa Jabir telah berkata:
“Aku mendatangi Nabi untuk membayar hutang bapaku lalu aku mengetuk pintu. Lalu Baginda bertanya "Siapa ini?” Kemudian aku menjawab "aku" . Baginda pun bersabda: "Aku! Aku! Seolah-olah Baginda tidak menyukainya.”
(Hadits riwayat Al-Bukhari)
Seandainya pintu bilik guru itu terbuka, maka mereka tidak akan mengintip atau menghadapkan muka mereka ke muka pintu, tapi mereka menjadikan muka pintu itu berada di sisi kanan atau kiri mereka atau dalam bahasa Brunei disebutkan menyiring, kemudian barulah mereka memberi salam.
Ini kerana antara adab isti’zan itu ialah meminta izin untuk melihat. Sahl bin Sa‘ad meriwayatkan:
“Seorang lelaki mengintip dari lubang kamar Nabi , dan bersama Nabi sebuah sisir yang digunakannya untuk menyisir rambutnya. Lalu Rasulullah bersabda: Jika aku tahu yang engkau mengintip nescaya akan aku tusukkan sisir ini ke matamu! Sesungguhnya isti’zan (permohonan izin) itu disyariatkan untuk keperluan melihat. ”
(Hadits riwayat Al-Bukhari)
9. Apabila mereka hendak berjumpa dengan guru, mereka akan memastikan diri mereka dalam keadaan yang sempurna dengan tubuh badan dan pakaian yang bersih, memotong kuku serta menghilangkan bau-bauan yang kurang enak sama ada ketika menemuinya secara persendirian apatah lagi ketika hendak menghadiri majlis ilmu yang umum seperti kelas dan sebagainya yang merupakan sejenis perkumpulan ibadah kerana dikhuatiri akan mengganggu kesejahteraan guru mahupun rakan-rakan pelajar yang lain.
Imam Malik sepanjang hidupnya, membiasakan mandi dengan baik dan teratur, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian terbaik setiap kali ia menghadiri halaqah untuk belajar ataupun mengajar.
Mereka juga pada ketika itu akan mengosongkan hati daripada segala urusan di samping mensucikan minda serta fikiran, pendek kata sempurna jiwa dan raga untuk menerima pengajaran guru. Bukannya dalam keadaan mengantuk atau marah atau lapar yang bersangatan ataupun dalam keadaan dahaga dan sebagainya supaya dada mereka dilapangkan untuk menerima pengajaran yang diberikan dan mampu mengingati apa yang telah guru perdengarkan kepada mereka.
Ketika sedang belajar, mereka sentiasa menunjukkan adab terhadap kawan-kawan sekelas dan sesiapa sahaja yang menghadiri majlis ilmu atau kelas guru mereka itu. Hal ini merupakan sikap sopan terhadap guru dan pemeliharaan terhadap majlis ilmu ataupun kelasnya.
10. Jika mereka ingin menjumpai guru di luar daripada waktunya mengajar sedangkan di waktu itu guru tersebut sedang bersembahyang, berzikir, menulis atau membaca lalu dia terhenti (terganggu) ketika terlihat mereka atau tidak menegur mereka, maka mereka akan memberi salam kemudian cepat-cepat pergi dari sana kecuali jika disuruh oleh guru itu untuk menunggu di sana.
11. Mereka tidak meminta daripada guru untuk mengajar di waktu yang menyukarkan baginya atau jika difikirkan akan menyusahkannya ataupun bukan waktu yang biasa bagi guru tersebut untuk mengajar. Begitu juga pada ketika guru itu sedang letih, bosan, dukacita, mengantuk dan sebagainya kerana ini akan menyusahkannya dan menjadi penghalang kepadanya daripada melaksanakan pengajarannya dengan sempurna.
12. Apabila mereka duduk di hadapan guru ketika belajar, mereka duduk dengan penuh tawadhu‘, khusyu‘ dan tenang. Memandang guru ketika dia bercakap dengan penuh perhatian dan memikirkan secara mendalam akan kata-katanya dan tidak memandang ke arah lain tanpa keperluan, begitu juga tidak bermain-main dengan tangan, kaki atau anggota-anggota yang lain ataupun bermain-main dengan pen, pakaian serta lain-lain perbuatan yang boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap guru.
Sesungguhnya ulama-ulama salaf sangat memuliakan majlis-majlis ilmu. Mereka duduk diam dengan penuh rasa hormat dan takzim terhadap guru mereka dan tidak akan bercakap kecuali ketika menjawab soalan guru mereka sehingga diumpamakan duduk mereka ketika belajar itu seolah-olah ada burung di atas kepala mereka. Perumpamaan ini bermaksud mereka duduk diam tanpa bergerak-gerak kerana burung pada kebiasaannya tidak akan hinggap kecuali di atas sesuatu yang tidak bergerak-gerak.
Mereka juga tidak menyandarkan tangan mahupun badan pada dinding dan seumpamanya ketika kehadiran guru dan tidak sekali-kali membelakanginya. Mereka juga mengurangkan percakapan tanpa keperluan dan tidak ketawa terbahak-bahak ketika kehadiran guru.
13. Mereka sentiasa menjaga sopan santun ketika bercakap dengan guru dan tidak menggunakan bahasa-bahasa yang boleh menyinggung perasaannya dan tidak memutus percakapannya apatah lagi di waktu ketikanya sedang mengajar kecuali jika disuruh atau diizinkan untuk bercakap oleh guru tersebut.
No comments:
Post a Comment