Wednesday, March 30, 2011

Awan Nano

Selepas solat Maghrib, di kedai ‘Pak Cik’ bersama Din dan Amir…


“Kau dah tengok video clip dia?” soal Din.


“Belum la..cecite, cecite..” saya membalas.


“Cerita pasal seorang anak yang tak menghargai, tak dengar cakap ayah dia, last2 ayah dia mati kena tikam ” hurai Din ringkas.


“ Ooo…”


Pulang ke rumah, saya terus search dalam youtube, ‘Awan Nano’.


Ini lah hasilnya:-



Begitulah awan nano
Setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi ...
Dan bibirmu


Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai.. jejarimu


Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua


Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu..

4 tahun


Sekilas masa, sudah 4 tahun arwah Abah pergi meninggalkan kami. 2 Mac 2007. Namun, pabila memori itu bertandang kembali, sebaknya seakan-akan semalam baru terjadi.


Kehilangan nasihat berharga…


Kehilangan motivasi membina…


Kehilangan pujukan bermakna…


Saya kehilangan semua itu sejak 4 tahun lalu dari jiwa seorang abah. Menafikan keperluan nasihat, motivasi dan pujukan itu, ibarat menafikan sebahagian tanggungjawab abah pada masa lalu. Sungguh, saat-saat diri ini sesekali lemah, saya sering tertanya-tanya apakah nasihat yang diberikan abah andai beliau masih disisi.


Apa pujuk abah jika saya merungut sedih dan letih?


Apa pendapat abah jika situasi itu dan ini berlaku?


Apa kata abah tentang jalan dakwah yang saya pilih kini?


Sungguh…saya ingin tahu semua itu dari beliau.


Cita-cita


Pada masa lalu, arwah Abah merupakan tenaga aktivis ABIM yang giat. Saya sendiri sewaktu kecil dahulu pernah ikut bersama-sama abah dan sahabat-sahabat beliau berusrah dari rumah ke rumah. Waktu itu, saya tidak kenal lagi erti usrah, haraki, dakwah dan perjuangan.


“Angah nanti dah besar, jadi ustaz ye..” terngiang-ngiang lagi pesanan arwah Abah di telinga saya.


Insya Allah abah, Insya Allah...


Saya pegang utuh cita-cita ini. Cita-cita yang bukan sekadar memenuhi permintaan seorang ayah, namun juga menampung ketandusan masyarakat kini. Cita-cita yang bukan menghidu nilai duniawi semata-mata, namun matlamat akhirnya adalah Ukhrawi. Jika ditanya apakah motivasi lain yang mendorong untuk menjadi Ustaz, selain Allah s.w.t dan Rasul sebagai asbab utama, maka jawapannya ialah ABAH. Beliau menyemai kuat doktrin keUSTAZan, sejak saya dibangku sekolah lagi.


Masih Ada


Namun, pemergian itu bukan beerti saya hilang punca. Umi, Along, Ika dan Yah masih setia berada menyokong kuat. Kami saling menampung antara satu sama lain. Ditambah pula dengan kehadiran Abang Zairil yang menjadi pengukuh kami sekeluarga.


Meskipun saya kehilangan nasihat, motivasi dan pujukan dari seorang ayah. Tetapi Allah s.w.t caturkan supaya saya masih lagi boleh memiliki semua itu dari 5 insan yang lain. Dari seorang ibu, kakak, adik-adik dan juga abang. Terima kasih…terima kasih sangat-sangat kepada kalian semua.


Allah s.w.t masih lagi melimpahkan RahimNYA kepada kami, biarpun kasih sayang seorang Ayah telah tiada. Namun, kasih sayang Allah s.w.t itu Maha Luas, Maha Mencukupi. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.


TERIMA KASIH AWAN NANOku (ABAH)!


P/S:- Terima kasih kepada sahabat-sahabat/jiran yang sudi meluangkan masa hadir ke rumah sewa bagi majlis tahlil tempoh hari. Maaflah sekiranya hidangan yang dijamukan tidak seberapa, maklumlah orang bujang =P

Thursday, March 24, 2011

Mu tarik…aku pun tarik, pahtu??

1…2…Tarik!!! Tarik lagi!!! Tarik!!!


Merah padam muka saya dibuatnya.


Segala kudrat otot saya kerahkan.


Sehabis daya saya henjut tali itu.


Ketika itu, hanya kerana seorang penarik tidak pandai bernafas pada waktu dan saat yang betul, maka boleh memungkinkan keseluruhan pasukannya tumpas. Mana tidaknya, saat menghembuskn nafas untuk diganti dengan nafas baru itu merupakan titik kelemahan yang ditunggu-tunggu oleh sang lawan.


Lagi!!! Tarik!!!


Perlawanan sudah mencecah 180 saat lamanya. Bukan mudah, seluruh tenaga ditumpukan pada kedua belah tangan untuk menarik . Badan sudah 90 darjah dicondongkan ke bumi bagi melawan semula beban tarik dari pihak lawan. Kaki-kaki sang badang yang sudah dipasakkan ke bumi sekukuhnya itu pun, seringkali tersadung, lalu dipasak semula agar tegar imbangan badan.


Lagii!!! Sikit lagi!!! Haaa!!! Menang!!!


Akhirnya…


Saya mencungap-cungap mencari udara, tidak sempat diraikan pun kemenangan tersebut. Jelas kedengaran sorakan dari murid sekolah dan orang kampung.


Ustaz menang!! Ustaz menang!! Beberapa orang anak murid mengerumuni saya.


Nun di sebelah sana, kelihatan pasukan lawan, JKKK Padang Tebakang yang kelihatan agak kecewa dengan kekalahan itu. Terpancar keletihan di wajah masing-masing, macam baru balik perang!


Hehe..ingat senang ke lawan JKKK Beladau Kolam? =P


Hasil perlawanan tarik tali itu?


Sehelai tuala (hadiah pemenang), jari yang luka, dan sengal badan yang berlanjutan selama 3-4 hari. Padan muka! (+_+)


Itulah ceritera saya disebalik Kejohanan Olahraga Tahunan S.K Beladau Kolam…



Betul sangatlah tu…


Pernah berada dalam situasi ini kan?


Bertelagah mengenai sesuatu perkara, tiada resolusi yang dapat dicapai, perbincangan bertukar menjadi pergaduhan. Masing-masing menggenggam kemas pendapat mereka.


“Aku betul, kau yang salah!”


“Pendapat kau betul, tapi hujah aku lagi kukuh!”


“Ahh…pendapat kau tak cukup rasionalnya!”


Menyesakkan dada...


Ibarat perlawanan tarik tali tadi, kedua-duanya berusaha untuk memenangkan pasukan masing-masing. Tali tersebut tegang, setegang-tegangnya. Terserlah kejantanan sang lelaki. Urat dawai tulang besi lah katakan~


Kadang-kadang, bukan kalah menang yang ingin dicapai, tetapi keseronokan mencabar itu yang utama.


Namun, realiti sebenar jauh dari ini.


Kerana bertegang, berapa ramai pemimpin yang difitnah?


Kerana bertegang, berapa banyak pelamin hancur dan musnah?


Kerana bertegang, berapa banyak jemaah punah dan goyah?


Hanya kerana bertegang kan?


Benar sekali, perselisihan antara kita tidak dapat dielakkan, apatah lagi Allah s.w.t menjadikan kita pelbagai rupa, bermacam ragam. “Lita’arafu..” kata Allah s.w.t dalam kitabNYA.


Lapang Dada


Mudah untuk menuturkannya, tapi, bila dah kena batang hidung sendiri…


“Senang la kau cakap, bukan kau yang kena!”


Namun, itulah penyelesaiannya bagi sebuah ketegangan, berlapang dada adalah menifestasi dari REDHA. Redha pula berkait rapat dengan taqarrub hamba dengan Tuhannya. Taqarrub itu pula kayu ukurnya adalah IMAN dan TAQWA. Mahu tahu sejauh mana kita dengan DIA, lihatlah sejauh mana pula kita berlapang dada keranaNYA.


Bukan mudah untuk berlapang dada dalam perkara yang tidak kita sukai,


Bukan mudah untuk bersabar untuk perkara yang telah lama dipendam,


Bukan mudah untuk bersetuju dalam perkara rendah nilai rasionalnya,


Bukan mudah untuk tersenyum dalam kesakitan,


Tetapi, kita nilailah sendiri, andai semuanya terpaksa. Terpaksa setuju, terpaksa redha, terpaksa tempuhi, terpaksa senyum. Maka alangkah ruginya pengorbanan kita itu!


Pesan ulama’:- Tajdid semula niat kita.


Aku bersabar, berlapang, mengalah ni untuk siapa? dia atau DIA?


Perkara Harus


Lihatlah, betapa Allah s.w.t bentangkan kita jutaan pilihan halal dan harus. Berbanding perkara makruh dan haram. Bukankah itu petanda kepada keluasan pilihan untuk kita bagi berlapang dada?


Maka, dalam banyak-banyak perkara pilihan harus dan halal, mengapa perlu kita memilih jalan yang mencederakan orang lain?


Selagi ianya bukan perkara yang bertembung antara halal dan haram secara syar’ie, mengapa kita pilih untuk berbalah?


‘Asyik mengalah je…habis perasaan aku, hati aku, siapa nak jaga?’


Biarlah Allah s.w.t yang jaga. Jangan kita biarkan urusan hidup kita diuruskan oleh diri sendiri walau sekelip mata sekalipun, melainkan Allah s.w.t sebagai walinya.


Pengorbanan kita hari ini sesama manusia, hitungannya bukan di dunia. Namun, di hadapan Allah s.w.t kelak, dek kerana rendahnya hati ini menolak kekerasan kerana DIA. Allahumma Ameen.


Dengan penuh kesedaran saya adalah manusia yang tidak layak berbicara mengenai hal pengorbanan ini, kerana hakikatnya, saya masih lagi menghidap penyakit hati bernama pentingkan diri (ananiyyah). Berdoa, dan terus berdoa agar penyakit mazmumah itu tidak membelenggu, biarpun dalam keadaan tidak sedar.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


"Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barang siapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya."

(Hadis riwayat Muslim)

Thursday, March 3, 2011

Bila kita diuji Tuhan...(ft. Dr. MAZA)





Bila kita diuji Tuhan,

Tak terperi rasanya menanggung perit derita,

Penat dan lelah sungguh tak terkira,

Terkadang keluar keluhan tak bermakna,

Entah sampai bila kita mampu bertahan.


Bila kita diuji Tuhan,

Yang nipis imannya menyumpah seranah,

Tak kurang juga yang pendek akalnya,

Mencari lorong penyelesaian sehingga lupa daratan,

Habis dilanggar batas dan fitrah kemanusiaan,

Seperti dunia sudah tidak punya jalan.


Bila kita diuji Tuhan,

Apakah semuanya telah berakhir?

Tiada lagi jalan untuk menghirup nafas ketenangan?

Putus asa dari rahmat Tuhan?


TIDAK!!!


Cuba renung semula titian sejarah hidup kita,

Berapa kali sudah sebenarnya,

Kita jatuh dan bangun semula,

Kekuatan itulah sebenar-benar rahmat dariNYA.


Bersabarlah,

Kerana dengan sabar itulah,

Kita melihat cubaan demi cubaan,

Dengan sisi ketaqwaan.


Bersabarlah,

Kerana dengan sabar itulah,

Menyuluh terang jalan keluar,

Berhikmah melangkah meneruskan perjalanan.


Tetapi jangan kita lupa,

Rakan sabar adalah syukur,

Kerana tanpa syukur,

Sebenarnya,

Kita melenyapkan jalan pengharapan,

Untuk terus hidup dalam kebahagiaan.


Kerana tanpa syukur juga,

Membabi tula kita menyalahkan orang dan Tuhan,

Hingga lupa bukti nikmat yang masih melata kurniaanNYA,

Buta dan tuli menilai Pemberian dari Maha Memberi.


Marilah…

Teman saya untuk berjalan,

Menongkah arus permasalahan,

Dengan jambatan sabar dan syukur,

Membina erti Pengorbanan berpaksikan IMAN!



Nota di Kaki:-

:- Terima Kasih Dr. Maza! La Tahzan, InnAllaha Ma’ana!

:- Sudah agak lama tidak mengarang puisi/sajak. Sila baca dengan berlatakan Lagu Caravansary by Kitaro. ;P