Friday, August 1, 2014

Review: Islam dan Melayu, Martabat Umat dan Daulat Rakyat

Buku ini merupakan sebuah gabungan daripada himpunan makalah, kata pengantar, nota ceramah dan teks ucapan. Bahan-bahan yang berserakan itulah yang dikumpul, dipilih dan ditapis dan dipersembahkan kepada khalayak dengan kemasan sebuah buku. 

Maka, terdapat beberapa pengulangan fakta dalam beberapa judul kerana setiap judul dalam buku ini sebenarnya adalah sebuah makalah yang berdiri sendiri. Bagaimanapun, ia bukanlah pengulangan melulu. Meskipun berulang tetapi masih punya kelainannya dari sudut pandang dan gaya pengungkapannya. 

Buku setebal 209 muka surat ini diulang cetak sebanyak tiga kali pada tahun 2012. Menandakan kepada kita bahawa terdapat keunikan idea dan fakta serta gaya persembahan sehingga ianya mendapat sambutan yang menggalakkan. Mungkin juga disokong oleh populariti penulisnya iaitu seorang tokoh akademik yang bukan sebarang sumbangannya pada corak perkembangan Islam di Malaysia.

Sila pedulikan kuih raya disekelilingnya itu.

Monday, July 21, 2014

Review: Yusuf al Qaradawi dan pengaruhnya dalam masyarakat Islam di Malaysia.


Buku ini dibeli semasa Pesta Buku UKM sekitar Februari 2014 yang lalu. Pesta ini menghidangkan ratusan buku-buku terbitan universiti tempatan. Langkah saya terhenti lama di ‘booth’ Universiti  Sains Islam Malaysia.  

Buku ini menarik perhatian saya kerana tiga perkara, pertama, penulisnya. Dr. Rumaizuddin Ghazali seorang aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang tidak asing lagi. Sementelah pula, arwah abah saya semasa hidupnya juga bergiat aktif ABIM, maka 1-2 buku hasil karangan beliau sudahpun dimiliki. Beliau kini merupakan pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Berkelulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Al Azhar, sarjana dan Ph.D dari Universiti Malaya, antara buku lain beliau ialah Membangun Pemikiran Islam dalam menghadapi cabaran zaman dan Pemikiran Muhammad al-Ghazali dalam Bidang al-Quran dan al-Sunnah.

Keduanya, buku ini telah memenangi Anugerah Buku Terbaik (Kemanusiaan dan Sains Sosial) 2012 dari Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). Ia merupakan anugerah tahunan berprestij yang bertujuan untuk meraikan mereka yang terbaik dalam penerbitan buku. Sudah tentunya, buku ini menjanjikan sesuatu yang menarik dan hebat sehingga melayakkan ia untuk memenangi anugerah ini.

Ketiganya, perihal tokoh yang menjadi tumpuan kepada penulisan buku ini. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi (SDYQ) merupakan tokoh ulama’ kontemporari masakini. Peranan serta sumbangan beliau dalam dunia Islam tidak dapat dinafikan lagi. Fatwa dan buah fikiran beliau sentiasa dinanti dalam mengulas isu semasa sekitar dunia Islam. Beberapa karya beliau telah pun saya ambil manfaat darinya, namun saya masih ingin terus mengenali beliau dari pelbagai aspek.