Monday, July 21, 2014

Review: Yusuf al Qaradawi dan pengaruhnya dalam masyarakat Islam di Malaysia.


Buku ini dibeli semasa Pesta Buku UKM sekitar Februari 2014 yang lalu. Pesta ini menghidangkan ratusan buku-buku terbitan universiti tempatan. Langkah saya terhenti lama di ‘booth’ Universiti  Sains Islam Malaysia.  

Buku ini menarik perhatian saya kerana tiga perkara, pertama, penulisnya. Dr. Rumaizuddin Ghazali seorang aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang tidak asing lagi. Sementelah pula, arwah abah saya semasa hidupnya juga bergiat aktif ABIM, maka 1-2 buku hasil karangan beliau sudahpun dimiliki. Beliau kini merupakan pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Berkelulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Al Azhar, sarjana dan Ph.D dari Universiti Malaya, antara buku lain beliau ialah Membangun Pemikiran Islam dalam menghadapi cabaran zaman dan Pemikiran Muhammad al-Ghazali dalam Bidang al-Quran dan al-Sunnah.

Keduanya, buku ini telah memenangi Anugerah Buku Terbaik (Kemanusiaan dan Sains Sosial) 2012 dari Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). Ia merupakan anugerah tahunan berprestij yang bertujuan untuk meraikan mereka yang terbaik dalam penerbitan buku. Sudah tentunya, buku ini menjanjikan sesuatu yang menarik dan hebat sehingga melayakkan ia untuk memenangi anugerah ini.

Ketiganya, perihal tokoh yang menjadi tumpuan kepada penulisan buku ini. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi (SDYQ) merupakan tokoh ulama’ kontemporari masakini. Peranan serta sumbangan beliau dalam dunia Islam tidak dapat dinafikan lagi. Fatwa dan buah fikiran beliau sentiasa dinanti dalam mengulas isu semasa sekitar dunia Islam. Beberapa karya beliau telah pun saya ambil manfaat darinya, namun saya masih ingin terus mengenali beliau dari pelbagai aspek.




Latar Belakang
Buku setebal 273 muka surat ini dimulakan dengan latar belakang kehidupan al Qaradawi yang menceritakan biografi al-Qaradawi, guru-guru, ilmu-ilmu yang diminati serta individu yang mempengaruhi kehidupannya. Pengaruh besar dari penglibatan beliau dalam gerakan dakwah Ikhwan al Muslimun di Mesir dimuatkan di dalam buku ini. Corak pemikiran Wasatiyyah yang digarap terus tanpa label ketika itu, adalah melalui aplikasi daripada didikan Ikhwan al Muslimun. 

Malahan, individu yang banyak memberi kesan kepada kehidupannya dalam pemikiran dan spiritual ialah Hasan Al Banna. Al Qaradawi juga cukup mengagumi tokoh-tokoh seperti Ustaz al Bahi al Khuli dan Muhammad al Ghazali. Kedua-dua tokoh ini turut mendapat didikan daripada gerakan Ikhwan. Menurut al Qaradawi, didikan gerakan Ikhwan lebih memberi kesan kepada jiwanya daripada pendidikan formal yang dipelajarinya di al Azhar dan guru-gurunya dengan tidak menafikan sumbangan mereka dalam membentuk peribadi dan keilmuannya. (Muhammad Majdhub, 1986:476)

Maqasid Syariah
Dalam bab seterusnya, penulis buku ini membawakan secara ringkas mengenai apa yang dimaksudkan dengan Maqasid Syariah, sejarah serta kepentingannya. Al Qaradawi merupakan antara tokoh terkemudian yang menulis mengenai Maqasid Syariah selain ‘Ilal al Fasi dan Muhammad Tahir bin ‘Ashur. Demi menjelaskan kefahaman tentang Maqasid Syariah ini, al Qaradawi melakukan beberapa hal seperti meneliti sebab-sebab (ta’lilat) dalam al Quran, meneliti setiap hukum Syariah yang mengandungi nilai-nilai yang tinggi, membaca karya-karya ulama tentang Maqasid Syariah dan bersetuju dengan para ulama yang menerima pakai kaedah Maqasid Syariah ini.

Buku ini membawa perbincangan yang menarik mengenai pandangan al Qaradawi  terhadap aliran Zahiriyyah baru, aliran menggugurkan teks atas nama maslahat dan Maqasid Syariah dan aliran Wasatiyyah dalam Maqasid Syariah.

Isu-Isu Fiqh
Dalam bab ini, penulis buku ini membicarakan pemikiran al Qaradawi mengenai isu-isu Fiqh, keistimewaan fiqhnya dan sumber-sumber yang digunakan dalam mengeluarkan fatwa. Bab ini membahaskan maslahat menurut pandangan al Qaradawi, pandangannya mengenai fatwa, pengaruhnya kepada fiqh semasa dan pembaharuan fiqh. Juga dihuraikan di dalam buku ini mengenai pandangan al Qaradawi mengenai fatwa yang janggal (al Fatawa al Syadz).

Al Qaradawi menegaskan bahawa umat Islam kini amat memerlukan kepada kemudahan dalam fiqh kerana syariat dibina atas asas kemudahan dan orang rami kini memerlukan kaedah pembelajaran dan buku-buku yang lebih mudah (al Qaradawi, Julai 1996:36).

Ekonomi
Al Qaradawi juga menulis dalam lapangan Ekonomi Islam. Malah tajuk yang diusahakan oleh al Qaradawi untuk menyelesaikan Ph.D nya juga berkaitan dengan Az-Zakah fi Hal al-Mushlikat al-Ijtima'iyya (Zakat dan Pengaruhnya dalam Penyelesaian Masalah Sosial). Di dalam buku ini, dibentangkan empat nilai penting dalam sistem ekonomi menurut al Qaradawi iaitu:-

1) Ekonomi bersifat Ketuhanan
2) Sistem Ekonomi Berakhlak
3) Sistem Ekonomi Manusiawi
4) Sistem Ekonomi yang Seimbang

Panduan Kebangkitan Islam dan Ciri-ciri Pendakwah
Menurut al Qaradawi kebangkitan Islam perlu mempunyai kematangan dan anjakan paradigma ke arah yang lebih baik. Disamping itu, beliau juga menggariskan adab perbezaan pendapat dan ciri-ciri pendakwah. Al Qaradawi menekankan agar umat Islam sentiasa memelihara persaudaraan walaupun berbeza pendapat kerana perbezaan itu merupakan lumrah kehidupan. Dibentangkan juga bagaimana perbezaan itu terbahagi kepada dua aspek terpenting iaitu perbezaan yang dibenarkan oleh syarak dan perbezaan tercela yang menyebabkan permusuhan dan pertengkaran.

Gerakan Islam
Bab yang terakhir merupakan pandangan al Qaradawi mengenai gerakan Islam dan Pengaruhnya kepada gerakan Islam di Malaysia. Antara pengaruh al Qaradawi terhadap orientasi gerakan Islam di Malaysia ialah Wastiyyah. Pendekatan secara wasatiyyah ini ternyata menjadi amalan yang digunapakai oleh beberapa pertubuhan dakwah di Malaysia.

Buku ini telah ditulis berdasarkan kepada 107 rujukan termasuk buku, majalah, ceramah dan ceramah dalam pelbagai bahasa. Memberitahu kepada kita bahawa ketelusan dan kesahihan merupakan tunjang dalam menyampaikan fakta bagi penulis. Pada saya, buku ini bersifat agak berat kerana terdapat banyak frasa atau perkataan yang memerlukan rujukan lanjut. Ianya sarat dengan fakta dan ini menjadikan ia sebuah buku yang sangat tinggi nilai ilmiahnya.

Bagi mereka yang sedang mencari apakah idea besar dan pengaruh al Qardawi dalam segenap lapangan, anda boleh mendapatkan gambaran awal (tasawur) melalui buku ini. Percayalah, anda tidak akan menyesal memilikinya!

P/S: Menurut pemerhatian saya, terdapat beberapa orang asatizat di Malaysia yang sering mengenengahkan pemikiran al Qaradawi ini. Antaranya Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan Ustaz Fawwaz Fadzil. Wallahu’alam.







No comments: