Sunday, November 15, 2009

Nota Cintaku kepada MU...

Air mata keinsafan
(klik sini untuk lagu)

Air mata keinsafan
Yang mengalir di malam sepi
Inilah dia pelembut jiwa
Bagi mendapat kasih Ilahi

Rintihan di pertiga malam
Dari seorang hamba yang dhoif
Kerna mengenang segala dosa
Moga mendapat keampunan dari Ilahi

Setiap kekasih Allah
Menempuhi jalan ini
Untuk mereka memiliki kejayaan
Ayuh bersama kita susuli
Perjalanan kekasih Allah
Agar kita tiada rugi
Dalam meniti hidup ini

Deraian air mata ini
Titisan yang paling berharga
Buat menyimbah api neraka
Moga selamat di titian Sirat
Bahagia menuju syurga abadi

(By: Nazrey Johani ft. Salleh Brothers)

Sekian lama saya tidak menghadiri kursus motivasi yang menyentuh jiwa SENDIRI. Sebaliknya, saya sering kali menyampaikan motivasi yang menyentuh jiwa ORANG LAIN. Sehinggakan, hati yang TAWAR ini, berterusan tawar tanpa dijumpai dimanakah kemanisannya. Ribuan ucapan terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Mizan dari TQHM Consultant & Training kerana sudi menjentik kembali diri yang sering alpa dengan kemegahan diri, kononnya sudah cukup hebat berpidato dan berceramah ke sana ke mari, mentadbir usrah orang lain sedangkan tarbiyyah hati sendiri kian malap. Realitinya, saya adalah manusia hina yang sering kali LUPA!



Sungguh, ketika lagu ini berlatarkan sesi muhasabah serta ketika diminta untuk menulis surat cinta kepada Allah s.w.t. Kaku tangan ini untuk menulisnya, saya sudah tidak termampu untuk menterjemahkan betapa bersimpang siurnya hati apabila mengenangkan dosa-dosa lalu. Saya sentiasa mendambakan untuk menjadi KEKASIH ALLAH s.w.t, namun saya seringkali mengabaikan JALAN yang menjadi amalan para kekasih Allah ini, iaitu JALAN MUHASABAH~

Monday, November 2, 2009

Ku bertandang lagi Ya Allah!



Labbaik Allahumma Labaik,
Hambamu datang menyahut panggilanmu, Ya Allah, Hambamu datang menyahut panggilanmu

Labbaikala Syarikala Kalabaik,
Hambamu datang menyahut panggilanmu, Tidak ada sekutu bagimu, Hambamu datang menyahut panggilanmu

Innal Hamda,
Sesungguhnya segala pujian


Wanni’mata,
Dan nikmat

Laka Wal Mulk,
Dan pemerintahan adalah kepunyaanmu

La Syarikalak.
Tidak ada sekutu bagimu

Menghayati makna Talbiah ini membuatkan hati ini sering tenang. Jiwa ini seringkali merindui panggilan menghadap Baitullah. Alhamdulillah…tahun ini sekali lagi saya dikurniakan Allh s.w.t menjadi tetamuNYA. Insya Allah saya bersama ibunda akan berangkat menunaikan haji pada 7hb November 2009. Bertolak jam 10.35 pagi dari Kuala Lumpur International Airport dan akan terus Jeddah. Dijangkakan kami akan mengerjakan Haji Tamattu’. Ya Allah…hati ini benar-benar merindui MU. Terharu benar rasanya hati, tatkala menerima panggilan dari Tabung Haji mengenai makluman jadual penerbangan.

Saya memohon dengan penuh rasa rendah diri, kepada pembaca sekalian untuk mendoakan keselamatan saya dan umi serta dipermudahkan urusan kami disana. Dikurniakan oleh Allah s.w.t haji yang Mabrur. Membawa bertemuNYA hati yang sudahpun tercemar akibat diisi dengan sifat Mazmumah, sejujurnya, saya rasa amat malu bertandang dengan keadaan begini. Namun, saya tahu, malu itu tidak sepatutnya menghalang diri saya untuk MEMBERSIHKANNYA, kerana hakikat manusia memang begitu, tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Saya cuba sedaya upaya dengan izinNYA untuk melakukan pembantaian besar besaran terhadap titik hitam yang masih mengulit hati ini.

Ramai yang mengirimkan doa kepada saya untuk dibawa ke sana. Insya Allah…saya akan berusaha untuk mendoakan kalian kelak. Seorang teman baik berbicara “ Doa yang biasa-biasa, dari seorang yang luar biasa, di tempat yang luar biasa” (walaupun kita sama-sama tahu bahawa saya adalah biasa-biasa sahaja =). Kalau tiada aral yang melintang, saya tidak akan hampakan kiriman doa-doa itu. Segalanya dengan izin Allah s.w.t.

Sesungguhnya Rumah Ibadat Yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah Yang di Makkah Yang BERKAT dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. (Ali Imran:96)