Friday, January 7, 2011

Memasyarakatkan Ilmu

“Kamu dah sedia untuk jadi ustaz?”


“Boleh mengajar kitab untuk orang kampung?”


“Dah bersedia untuk turun pada masyarakat?”


Itu antara soalan yang diajukan oleh Prof. Madya Dr. Ezani kepada saya dan beberapa orang rakan yang lain. Pegawai MQA (Malaysian Qualification Agency) itu telah ditugaskan untuk menemuramah sebahagian pelajar IPG sebagai penilaian kepada kualiti silibus PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan). Kelayakan Ijazah kami perlu disahkan oleh panel MQA yang terdiri daripada pensyarah berpengalaman, antaranya Prof. Madya Dr. Ezani ini.


Lima orang wakil pelajar disoal dengan penuh provokasi oleh dua orang pensyarah berpengalaman bukanlah suatu situasi yang menyenangkan. Mereka mahu menguji tahap pengetahuan dan ilmu kami. Tempoh sejam itu seakan-akan 5 jam pabila otak masing-masing dipaksa berkerja keras menyelesaikan konflik yang sengaja ditujukan.


Bermula dari persoalan mengenai firqah Aqidah, perkara-perkara furu’ dalam Fiqh hinggalah hitungan ilmu Falak. Terjahan soalan demi soalan, ada yang dapat dijawab dan ada juga yang hanya dijawab dengan gelengan kepala. Bukan calang-calang soalan bagi kami yang masih mentah ini~ (+_+)


“Ke..kamu ingat kamu sekadar ustaz, ustazah sekolah rendah je? Tak perlu campur dengan masyarakat?” Sekali lagi pertanyaan berbaur provokasi dilontarkan.


“Tak!” kami menafikannya denga tegas.


“Nanti kalau masyarakat tanya persoalan agama tapi kamu tak dapat jawap sebab ilmu kamu tak mencukupi. Macam mana?” soal pensyarah itu lagi.


“Pembelajaran adalah berkonsepkan sepanjang hayat. Sampai bila-bila pun ilmu kita takkan cukup. Yang penting adalah inisiatif kita untuk mencari jawapan/kebenaran kepada persoalan-persoalan masyarakat. Usaha kepada pengembangan ilmu adalah WAJIB selagi kita bergelar MUSLIM” jawab rakan saya dengan nada penuh keyakinan.


Dr. Ezani tersenyum mendengar jawapan itu.


Ilmu untuk apa?


Menuntut ilmu pada tujuan peringkat pertama adalah untuk ‘ALIM (mengetahui). Kemudian diikuti dengan AMAL dan seterusnya MENGAJAR ilmu. Sudah tentu, ilmu bukan sama sekali untuk disembunyikkan kebenarannya. Selari dengan hadis nabi yang berbunyi:-


Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu, kemudian ia menyembunyikannya maka Allah akan rantai di Hari Kiamat nanti dengan rantai daripada api neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud)


Keciciran salah satu daripada peringkat di atas akan mencacatkan sebuah proses keilmuan yang diberkati oleh Allah s.w.t.


Ada yang rajin beramal namun dilakukannya tanpa ilmu, maka sia-sia jualah amalannya...


Ada juga yang punya ilmu tetapi sangat malas beramal dengan ilmunya, sungguh...hilanglah manfaat ilmunya itu...

Tidak kurang juga mereka yang ‘ALIM dan kuat berAMAL, namun sengaja menyisihkan diri dari masyarakat setempat...


Biarlah ketiga-tiga peringkat tersebut menjadi sasaran kita. Tidak mahu bergelar si BODOH yang BERAMAL BUTA, si BIJAK yang tidak serupa bikin cakapnya, dan si SOMBONG yang mengelak untuk berkhidmat.


Dari KITA kepada UMAT


Ini bukan sahaja bicara seorang ustaz/ah semata-mata, tapi ia bicara semua mereka yang bergelar penuntut ILMU.


Seorang KONTRAKTOR membina pusat kebajikan masyarakat...


Seorang GURU menabur bakti mendidik generasi muda masa hadapan...


Seorang PEGUAM berjuang mempertahankan hak mereka yang dizalimi...


Seorang DOKTOR memberi khidmat kepada si miskin yang sakit dan memerlukan...


Jika HARTA milik kita itu ada HAKnya pada UMAT dengan ZAKAT, maka ILMU kita itu juga punya haknya pada MASYARAKAT dengan KHIDMAT.


Ilmu yang kita miliki bukan hanya berkitar dalam lingkungan hidup sendiri dan untuk manfaat sendiri. Sebaliknya, ilmu itu perlu mengalir keluar untuk berbakti pada masyarakat. Kita tidak mulia dengan apa yang kita ada, sebaliknya, kita mulia dengan apa yang kita beri.


Jikalau anda menyangka dengan adanya SEGULUNG IJAZAH itu sudah cukup. Maka perbetulkan kembali persepsi itu, lebih penting dari itu ialah bagaimana anda memanfaatkan IJAZAH itu kepada ummah!


Namun persoalannya, cukupkah hanya dengan ilmu yang kita perolehi di IPT/IPG itu untuk memenuhi kantung ketandusan jutaan umat diluar sana? Buang anak, zina, mat rempit, pelacur dan sebagainya adalah petanda betapa geringnya kondisi sosial di Malaysia.


Maka, atas sebab itulah, majlis graduasi penerimaan IJAZAH bukan titik noktah bagi kita untuk berhenti daripada terus menuntut ilmu, sebaliknya,proses pembelajaran sepanjang hayat perlu diteruskan biarpun usia kita telah luput dimamah masa. Usahakanlah untuk terus mencari pengajian lain biarpun diluar waktu kuliah.



TIDAK PEDULISME


“Biarlah...bukan hal aku”


“Lecehla...aku banyak lagi kerja lain”


“Nak susah-susah buat apa?”


Dengan dialog sebegini yang memaparkan betapa rosaknya kesedaran kita para mahasiswa/guru pelatih terhadap isu masyarakat, mana mungkin timbulnya peluang kepada masyarakat untuk menuai hasil dari ilmu kita. Barangkali mereka lupa hadis nabi yang berbunyi:-


Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.


(Hadis bertaraf hasan daripada Hudzaifah r.a, diriwayatkan oleh al-Thabarani dan al-Hakim)


Cukup-cukuplah leka dengan permainan siber seperti DOTA, Winning Eleven dan sebagainya itu...


Kurang-kurangkanlah menonton drama/movie secara maraton itu...


Hentikanlah tabiat suka berhibur, bersosial secara berlebihan itu...


Mari kembali kepada zaman syabab pada zaman NABI s.a.w. Zaman dimana para fatayat merupakan tulang belakang penggerak UMMAH. Khidmat orang muda yang tidak pernah kenal erti jemu dan letih serta agresif dalam segala aspek pembentukan mujtama’ muslim (masyarakat islam).


Buka Al-Quran hayati intipatinya, kemudian selak suratkhabar caknakan isunya. Nescaya, akan kalian lihat kaitan jawapan bagi persoalan segala isu tersebut adalah kembali pada Al-Quran.


Dari tidak ambil peduli kepada ambil tahu, mari kita ambil tahu. Dari ambil tahu, mari kita turun, menolong apa yang mampu.


‘Life is not only about DURATION, But it is about DONATION’ (^_^)

7 comments:

Boo said...

mklmat sgt mmbina rip,syukran ye.... blik nih ngaji ngn zaki kat balai, dgr kuliah ko....:p

Tinta Al-Murabbi said...

Alhamdulillah~ moh le sesame memanfaatkn ilmu si zaki tu..bkn calang2 tu =)

محمد حذوان بن حميدان said...

wah.entry yg mntop!
jom pulun ilmu&amal..(^_^)

Tinta Al-Murabbi said...

to hazwan:-

mai pulun~ neway akh..nice speech! (^_^) manfaat ilmu & pedulisme~

Anonymous said...

carilah ilmu...sebanyak yang boleh.. semakin dicari ilmu itu.. semakin banyak rasa kurangnya... n jgn lupe... amalkannye setelah perolehnya... ~satu mujahadah~
slamat beramal... :)

SheqienRoslan said...

Menuntut ilmu pada tujuan peringkat pertama adalah untuk ‘ALIM (mengetahui). Kemudian diikuti dengan AMAL dan seterusnya MENGAJAR ilmu. Sudah tentu, ilmu bukan sama sekali untuk disembunyikkan kebenarannya

bagus la ayat ni..ermm btw..thankz..blog ni banyak ciri2 memotivasikan diri la hehe bgus2~~

Tinta Al-Murabbi said...

to sheqienroslan:-

ana sekadar wasilah yg menyampaikan shj..segala pujian kita kembalikn pd Allah s.w.t jua ^_^