Wednesday, May 6, 2009

Jangan Berhenti, Jalan Terus!

Agak beku dan kaku jari jemari ini tatkala menyentuh ‘keyboard’ bagi memulakan usaha menaip entri baru. SIBUK? Sudahlah..saya tidak larat lagi menjadikan perkataan ‘SIBUK’ itu sebagai alasan untuk mempertahankan diri, mengelak daripada meneruskan usaha dakwah di kanvas maya ini. Biarlah, saya memang seorang PEMALAS! Namun, saya pohon pada ILAHI agar KEMALASAN ini tidak berterusan, tidak menjadi RACUN yang subur dalam jiwa hamba ini. Benar! Bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba. Saya tidak mahu talam perjuangan yang bakal saya persembahkan kepada Allah s.w.t di Yaumul Mahsyar kelak di hidang bersama-sama RACUN bernama CULAS dan MALAS. Ya Allah…aku mohon pohon agar jangan KAU persiakan usaha hambaMU ini! ~~

Saya terkenang satu peristiwa yang berlaku kira-kira sebulan yang lalu, bertempat di sebuah lokasi bernama Pulau Sah Besar, Tasik Kenyir. Program tutorial kelas Pengajian Agama Islam (SEM3) bersama tutor kami Puan Yuslaini dan Cik Hijrah dirancang bagi memantopkan lagi ukhwah antara kami. Terima kasih kepada pimpinan kelas semester ini! (^_^).



Antara aktiviti yang kami jalankan disana ialah melawat Taman Herba yang jaraknya kira-kira 500 meter dari Rumah Persekutuan Kerajaan kami yang selesa itu! Terima kasih sekali lagi untuk penginapan yang hebat itu (^_^). Maka, segala kekuatan fizikal dan mental kami persiapkan untuk menuju ke Taman Herba itu, kasut sukan jenama Nike itu diikat kemas moga tidak tertanggal dalam perjalanan menuju ke sana (bunyi macam jauh sangat pula kan?).


Perjalanan kami dihiasi kicauan burung dan pemandangan flora fauna yang hijau melata. Persekitaran serupa ini, amat susah dan jarang sekali untuk dilihat di ‘Kampung’ halaman saya, yang ada hanyalah bangunan-bangunan batu tinggi yang berukuran ratusan meter. Haruman segar kayu kayan yang bertiup melapangkan jiwa yang sesak di dada, berbanding kepulan asap dari ekzos-ekzos lori, kereta dan motorsikal yang telah mula saya hirup sejak dari kecil. Namun, laluan penjalan kaki yang berlopak dan berlubang di sana sini itu, agak mencacatkan keriangan perjalanan ini, saya sendiri agak kesal mengapa pihak pengurusan tidak menjaga tempat ini dengan baik.


Sekitar lima belas minit berjalan, hayunan langkah kaki saya terhenti seketika, mata tertancap pada jalan. Ada satu garisan hitam yang agak halus tapi jelas kelihatan melintangi jalan itu, saya duduk mencangkung bagi melihat dengan lebih teliti apakah ia. Rupanya, barisan semut hitam sedang melintasi jalan itu, mujur…jikalau saya tidak perasan lantas memijak dengan selambanya barisan semut hitam itu sudah tentu berlaku pembunuhan beramai-ramai dari kalangan bangsa semut. Langsung tidak terputus walau sedikit pun barisan itu. Melihat pergerakan mereka sama ada sehala ataupun dari arah yang bertentangan, membuatkan diri ini benar-benar ghalit dan kagum. Bukan tidak pernah melihat barisan gerakan semut sebelum ini, namun untuk pergerakan semut yang sepanjang ini? Inilah kali pertama saya melihatnya~.



Timbul idea nakal untuk cuba mengganggu keharmonian rukun tetangga semut-semut itu. Sengaja saya ambil ranting kayu yang agak kecil, lalu dibentangkan dengan tujuan menghalang laluan semut-semut itu. Apa yang berlaku? Mereka hanya berhenti seketika, namun perjalanan tetap diteruskan dengan memanjat ranting kayu itu. Saya masih tidak berpuas hati, sekali lagi saya mengganggu ketenteraman hidup sang semut, kali ini dengan ranting yang lebih besar. Sangkaan saya moga kali ini, perjalanan mereka tehenti, TIDAK! Sebaliknya perjalanan terus seperti biasa, namun litar yang sepatutnya lurus membelok sedikit bagi mengelak kayu tersebut. Kali ini saya tersenyum seorang diri, menggeleng-geleng tanda terasa kebodohan diri kerana terlalu asyik memerhati dan mengganggu ketenteraman hidupan itu.


Seusai itu, aturan langkah diteruskan menuju ke Taman Herba. Tetapi, agak menghairankan apabila, visualisasi peristiwa semut itu kerap kali bermain di minda. Terus dan menerus, sehingga membuatkan diri ini terasa buntu. Seakan, peristiwa itu pohon sesuatu untuk diterjemahkan dalam realiti kehidupan. Selesai, wirid solat fardhu Maghrib, saya melabuhkan punggung di tangga surau. Sengaja dibiar jiwa ini duduk keseorangan mencari hikmah, sambil ditemani bunyi unggas dan cengkerik.


Mahu tahu apa kesimpulannya?


Ibarat semut yang diuji dengan rantingan kayu tadi, mereka tetap bergerak menuju ke destinasi, itulah dakwah Islamiyyah! Ia tetap perlu berjalan, biar salah seorang daripada kita tumbang dan rebah, namun janji Allah s.w.t tetap kan berjalan. Apa janjinya? Bahawa Islam tidak akan luput dibumi ini! Aliran dakwah tetapkan mengalir dan tidak pernah berhenti.


Bak kata saudara Amin Azli dalam perbualan ringkas kami dalam ‘Humaira’ DAX 3320, “Arip..dakwah dan perjuangan Islam itu tidak pernah MEMERLUKAN kita, sebaliknya kita yang memerlukan ia, biar kita berhenti lelah dan tenggelam, PASTI ada insan lain yang menyambung! Perjuangan ini adalah wasilah kita untuk ke Jannah. Maka, bersedialah untuk menelan segala pahit maungnya!” Benar katamu wahai akhi, Syurga itu MANIS namun jalan menujunya adalah PAHIT.




Wahai para Dai’e, perjuangan kita bukan perjuangan menggali harta karun, bukan perjuangan mencari kemerdekaan, bukan perjuangan merebut piala, sebaliknya perjuangan kita adalah perjuangan mendamba keredhaanNYA. Mehnah dan tribulasi adalah perkara wajib yang mesti ditempuhi. Kecil atau besar, kuat atau lemah ujian itu biar IMAN yang menjadi pengukurnya. Andai iman itu kukuh, LETAKLAH sebuah batu yang maha besar di atas badan, dijemur di tengah padang pasir yang panas terik, namun bibir tetap meledakkan kalimah AHAD! AHAD! AHAD! Umpama Bilal Bin Rabah di dera oleh Umaiyyah. Kata Umaiyyah:- “Aku tidak akan angkat ketulan ini kecuali setelah kau mati atau kau kufur dengan agama Muhammad ini dan kembali menyembah al-Lata dan al-Uzza”.


Namun, jika sebaliknya yang berlaku, yang diseksa ialah Ketua Munafiq, Abdullah bin Ubay bin Salul. Tentu mudah sahaja dia berpaling kepada al-Latta dan al-Uzza. Mengapa perlu mencari susah? Diseksa dan dizalimi batang tubuh itu sedangkan boleh sahaja meloloskan diri. Nah, apa yang membezakan mereka? Tidak lain dan tidak bukan..ianya soal keIMANan.


Wahai mujahid muda, titiplah pengalaman dari jerit payah perjuangan para sahabat nabi. Jadikan pedoman dan haluan, moga tidak mudah mengeluh panjang dalam perjuangan. Bukannya salah andai engkau merajuk, mengeluh dan meratap dengan mehnah, kerana itu hakikat insan yang tidak sempurna sifatnya, namun jangan dipanjangkan rajukan itu, jangan diberatkan keluhan itu, kerana yang menanti di akhirat kelak adalah Jannah yang tidak terjangkau dek pemikiran manusia akan imejnya. Ingatlah pesanan Asy Syahid Imam Hasan al-Banna:- “Kewajipan kita lebih banyak dari masa yang kita ada”.


Jadilah seperti barisan semut tadi! JANGAN BERHENTI, JALAN TERUS!!!

7 comments:

Endofday said...

Hebat ko arepudin... aku nak layan blues jap, pasal chelsea kalah tadi haha

Tinta Al-Murabbi said...

Nvm la bro..bitaw drogba..jangan berhenti, jalan terus!keep the Gud peformance 4 FA Cup..keh3x

Thoyba Mursyidah said...

Alhamdulillah, semangat ini biarlah tersemai pada setiap da'ei. Janji Ilahi yang dicari, bukab materi.
Mabruk...

Tinta Al-Murabbi said...

insya Allah..doakan diri ini kekal sokmo dalam perjuangan~ terkadang..terasa juga mehnah ujian datang membadai, memukul jiwa yang kosong ini =)

Amin IPKT said...

Bagus2.. Article mantap, sebab keter kawe terpilih masuk blog demo, kawe belanjo demo bereh...he2

Tinta Al-Murabbi said...

hehe..kete merah yg marak dengan bakti perjuangan islamiyyah!jgn jual min!kenangan tuh~~

banat @ saffa @ hazwani said...

faham dan sedar.
terus!