بِسۡمِ ٱللهِ
ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِذَا جَآءَ
نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ
ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا (٢) فَسَبِّحۡ
بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا (٣)
Ertinya:
Apabila
datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya
menguasai negeri Mekah); (1)
Dan engkau
melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; (2)
Maka
ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya
Dia amat menerima taubat.(3)
Pinggir kota
Makkah, tahun ke 8 Hijrah
Tidak
terbayang oleh sesiapa pun ketika itu, tatkala Nabi Muhammad s.a.w dan Saidina
Abu Bakar keluar meninggalkan Makkah berhijrah ke Yathrib, bahawa pada suatu
hari mereka akan pulang semula membuka kota dengan membawa hampir 12 ribu
orang-orang Islam. Kekuatan umat Islam ketika itu telah menggetarkan puak kafir
Quraisy yang berkubu di bandar Makkah.
Derapan kaki
menggegarkan pinggir kota Makkah, menandakan kemaraan umat Islam untuk membuka
semula kota Makkah...
Musuh-musuh
Islam yang dahulunya sangat menentang perjuangan Nabi Muhammad s.a.w, kini
terpaksa membuka jalan, meminggir ke bahu jalan bagi memberikan laluan kepada
junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w untuk memasuki kota Makkah.
Kata Buya
HAMKA dalam Tafsirnya:-
“ Nabi s.a.w
menundukkan kepalanya ke arah tanah, merendahkan diri kepada Allah Azza Wa
Jalla, sehingga hampir terkulai ke bawah kenderaannya. Unta tua bernama
Qashwaa, bersama unta itu baginda sembunyi-sembunyi meninggalkan negeri yang
amat baginda cintai, dan bersama unta itu jugalah baginda kembali sebagai
penakluk,delapan tahun kemudian”
Gegak
gempita seluruh kota Makkah dengan laungan bertahlis, takbir dan tahmid, memuji
dan membesarkan Allah s.w.t. Hati kaum Muslimin berbunga dapat kembali ke
kampung halaman yang sekian lama ditinggalkan. Mengalirlah air mata mereka
kegembiraan...
Biar
bersyariat
Yahooooo!!!
Aku Menang!!
Terbaeeekkk!!
(Versi Boboi boy)
Wohooooo!!
Den monang weh!! Den Monang!! (Tiada kaitan dgn kemenangan N9 ye~)
Begitulah
masyhurnya ungkapan kegembiraan yang seringkali kita luahkan apabila mendapat
kejayaan. Bahkan yang lebih extreme, ada pula yang menambahnya dengan meloncat-loncat, berguling-guling macam tenggiling, menggambarkan keseronokan mereka
mengecapi kemenangan.
Lalu, sebagai
Muslim benarkah caranya begitu?
Ahli
Mufassirin menyatakan bahawa kejayaan dan pertolongan yang dimaksudkan dari
surah ini adalah daripada Peristiwa Fathu Makkah. Sebuah peristiwa yang mengukir
sejarah keberhasilan perjuangan Dakwah Islamiyyah. Menggambarkan kemenangan
yang dijanjikan oleh Allah s.w.t itu pasti akan tiba saatnya, cuma bila dan
dimana memungkinkan persoalan itu bermain dalam jiwa-jiwa sang pejuang.
Maka
ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu...(3)
Iktibar daripada
ayat ini, memberitahu kepada kita, cara yang selayaknya bagi seorang Mu’min
untuk merayakan kemenangan yang dikecapi.
Mengembalikan
pujian hanya kepada Tuan Punya Kemenangan...
Menyedari
bahawa Allah s.w.t pemberi nikmat tersebut...
Membasahi
bibir dengan zikrullah...
Nabi s.a.w
sendiri dengan penuh tawadu’, memasuki kota Makkah sambil menunduk, maka apakah
alasannya kita berdiri sombong atas kejayaan yang tidak seberapa?
Syeikh Ibnu
Athoillah menyebut di dalam al Hikamnya:-
“ Jangan
kamu meninggalkan zikir kerana merasakan tidak adanya kehadiranmu (tumpuan)
bersama Allah ketika berzikir itu. Sebab kelalaian kamu dari berzikir (tidak
berzikir langsung) adalah lebih bahaya berbanding kelalaian kamu ketika sedang
berzikir walaupun tanpa tumpuan. Mudah-mudahan Allah s.w.t mengangkat
(mengurniakan) kamu dari (maqam) zikir dalam keadaan lalai kepada zikir penuh
kesedaran, daripada zikir penuh kesedaran kepada yang dapat melupakan segalanya
kecuali Zat Yang Maha Sempurna (DIA) yang layak diingati. Hal itu tidaklah
sukar bagi Allah yang maha agung “
... dan
mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.(3)
Mengapa
dalam hiruk pikuk laungan kemenangan, kegembiraan di atas jalan yang haq,
berjaya menumbangkan kebatilan, kembali ke kampung halaman yang dirindui sejak
sekian lama, tiba-tiba Allah s.w.t meminta kita meminta ampun kepadanya?
Salahkah meraikan kejayaan itu?
Hanyalah
semata-mata bagi menginsafi diri kita, jangan ada perasaan ‘ujub dan takabbur
atas kemenangan yang datangnya dari Allah s.w.t jua itu. Tidak perlulah
membangkitkan kemegahan diri sehingga melambung pujian terhadapnya, sehingga
terlupa bahawa kemenangan itu, sebenarnya milik Allah s.w.t.
Lantas, jika
terasa hanyut dibuai keindahan pujian, kembalilah kepada Allah s.w.t dengan
istighfar, kerana hakikat pujian yang kita terima itu, tidak lain kerana Allah
s.w.t masih menutup aib diri kita dari pandangan umum. Astaghfirullahal ‘Azim...
Renungkan
bait ini:-
“Sesiapa
yang memujimu maka ketahuilah segala pujian itu berlaku adalah kerana pandainya
Allah s.w.t menyembunyikan keburukanmu. Maka kembalikanlah pujian pada Zat yang
telah menutup aibmu bukannya kepada orang yang memujimu”
Kerendahan dan
kepatuhan terhadapNYA semata hanya akan terhasil apabila manusia menyedari
hakikat pujian itu hanya kerana kemuliaan Allah s.w.t.
Allahu
Allah!
3 comments:
Minta izin copy... keterangan yang penuh menarik!... Semoga memberi manfaat kepada para pembaca blog ini... :)
prkongsian yg mntap!
kuasa SYUKUR ini slalu d pndg enteng, hkktnya ksyukurn inilah yg sbnrnye mmbuahkn BERKAT.. (^_^)
to HAZWAANI (Dua org Hazwan):-
Alhamdulillah, sedikit kesedaran yg Allah s.w.t tumpahkan kpd diri saya, sewajarnya dijadikan perkongsian.
Semoga Allah s.w.t melorongkn kepada kita untuk mengamalkannya.^_^
Post a Comment