Monday, October 31, 2011

Sisi Syukur Mu’min dalam Surah An Nasr


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا (٢) فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا (٣)


Ertinya:

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); (1)

Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; (2)

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.(3)

Pinggir kota Makkah, tahun ke 8 Hijrah



Tidak terbayang oleh sesiapa pun ketika itu, tatkala Nabi Muhammad s.a.w dan Saidina Abu Bakar keluar meninggalkan Makkah berhijrah ke Yathrib, bahawa pada suatu hari mereka akan pulang semula membuka kota dengan membawa hampir 12 ribu orang-orang Islam. Kekuatan umat Islam ketika itu telah menggetarkan puak kafir Quraisy yang berkubu di bandar Makkah.

Derapan kaki menggegarkan pinggir kota Makkah, menandakan kemaraan umat Islam untuk membuka semula kota Makkah...


Musuh-musuh Islam yang dahulunya sangat menentang perjuangan Nabi Muhammad s.a.w, kini terpaksa membuka jalan, meminggir ke bahu jalan bagi memberikan laluan kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w untuk memasuki kota Makkah.

Kata Buya HAMKA dalam Tafsirnya:-

“ Nabi s.a.w menundukkan kepalanya ke arah tanah, merendahkan diri kepada Allah Azza Wa Jalla, sehingga hampir terkulai ke bawah kenderaannya. Unta tua bernama Qashwaa, bersama unta itu baginda sembunyi-sembunyi meninggalkan negeri yang amat baginda cintai, dan bersama unta itu jugalah baginda kembali sebagai penakluk,delapan tahun kemudian”

Gegak gempita seluruh kota Makkah dengan laungan bertahlis, takbir dan tahmid, memuji dan membesarkan Allah s.w.t. Hati kaum Muslimin berbunga dapat kembali ke kampung halaman yang sekian lama ditinggalkan. Mengalirlah air mata mereka kegembiraan...

Biar bersyariat

Yahooooo!!! Aku Menang!!

Terbaeeekkk!! (Versi Boboi boy)

Wohooooo!! Den monang weh!! Den Monang!! (Tiada kaitan dgn kemenangan N9 ye~)

Begitulah masyhurnya ungkapan kegembiraan yang seringkali kita luahkan apabila mendapat kejayaan. Bahkan yang lebih extreme, ada pula yang menambahnya dengan meloncat-loncat, berguling-guling macam tenggiling, menggambarkan keseronokan mereka mengecapi kemenangan.

Lalu, sebagai Muslim benarkah caranya begitu?

Ahli Mufassirin menyatakan bahawa kejayaan dan pertolongan yang dimaksudkan dari surah ini adalah daripada Peristiwa Fathu Makkah. Sebuah peristiwa yang mengukir sejarah keberhasilan perjuangan Dakwah Islamiyyah. Menggambarkan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t itu pasti akan tiba saatnya, cuma bila dan dimana memungkinkan persoalan itu bermain dalam jiwa-jiwa sang pejuang.

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu...(3)

Iktibar daripada ayat ini, memberitahu kepada kita, cara yang selayaknya bagi seorang Mu’min untuk merayakan kemenangan yang dikecapi.

Mengembalikan pujian hanya kepada Tuan Punya Kemenangan...
Menyedari bahawa Allah s.w.t pemberi nikmat tersebut...
Membasahi bibir dengan zikrullah...

Nabi s.a.w sendiri dengan penuh tawadu’, memasuki kota Makkah sambil menunduk, maka apakah alasannya kita berdiri sombong atas kejayaan yang tidak seberapa?

Syeikh Ibnu Athoillah menyebut di dalam al Hikamnya:-

“ Jangan kamu meninggalkan zikir kerana merasakan tidak adanya kehadiranmu (tumpuan) bersama Allah ketika berzikir itu. Sebab kelalaian kamu dari berzikir (tidak berzikir langsung) adalah lebih bahaya berbanding kelalaian kamu ketika sedang berzikir walaupun tanpa tumpuan. Mudah-mudahan Allah s.w.t mengangkat (mengurniakan) kamu dari (maqam) zikir dalam keadaan lalai kepada zikir penuh kesedaran, daripada zikir penuh kesedaran kepada yang dapat melupakan segalanya kecuali Zat Yang Maha Sempurna (DIA) yang layak diingati. Hal itu tidaklah sukar bagi Allah yang maha agung “

... dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.(3)

Mengapa dalam hiruk pikuk laungan kemenangan, kegembiraan di atas jalan yang haq, berjaya menumbangkan kebatilan, kembali ke kampung halaman yang dirindui sejak sekian lama, tiba-tiba Allah s.w.t meminta kita meminta ampun kepadanya? Salahkah meraikan kejayaan itu?

Hanyalah semata-mata bagi menginsafi diri kita, jangan ada perasaan ‘ujub dan takabbur atas kemenangan yang datangnya dari Allah s.w.t jua itu. Tidak perlulah membangkitkan kemegahan diri sehingga melambung pujian terhadapnya, sehingga terlupa bahawa kemenangan itu, sebenarnya milik Allah s.w.t.

Lantas, jika terasa hanyut dibuai keindahan pujian, kembalilah kepada Allah s.w.t dengan istighfar, kerana hakikat pujian yang kita terima itu, tidak lain kerana Allah s.w.t masih menutup aib diri kita dari pandangan umum. Astaghfirullahal ‘Azim...

Renungkan bait ini:-

“Sesiapa yang memujimu maka ketahuilah segala pujian itu berlaku adalah kerana pandainya Allah s.w.t menyembunyikan keburukanmu. Maka kembalikanlah pujian pada Zat yang telah menutup aibmu bukannya kepada orang yang memujimu”

Kerendahan dan kepatuhan terhadapNYA semata hanya akan terhasil apabila manusia menyedari hakikat pujian itu hanya kerana kemuliaan Allah s.w.t.

Allahu Allah!

3 comments:

Awananology Studio said...

Minta izin copy... keterangan yang penuh menarik!... Semoga memberi manfaat kepada para pembaca blog ini... :)

محمد حذوان بن حميدان said...

prkongsian yg mntap!
kuasa SYUKUR ini slalu d pndg enteng, hkktnya ksyukurn inilah yg sbnrnye mmbuahkn BERKAT.. (^_^)

Tinta Al-Murabbi said...

to HAZWAANI (Dua org Hazwan):-

Alhamdulillah, sedikit kesedaran yg Allah s.w.t tumpahkan kpd diri saya, sewajarnya dijadikan perkongsian.

Semoga Allah s.w.t melorongkn kepada kita untuk mengamalkannya.^_^