Wednesday, December 3, 2008

Sufi - Mujahid Agama

Dewasa ini, perkataan ‘Sufi/Tariqat Tasawuf’ seringkali dihujani dengan pelbagai fitnah yang amat sempit. Seolah-olah golongan ini sudah di’tampal’ status mereka dengan perkataan-perkataan seperti karamah, kasyaf, ilham, firasat, mimpi, wali-wali ghaib, tok syeikh sahaja. Malah, sangat menyedihkan, apabila ada mengatakan bahawa mereka ini hanyala golongan pelik pak-pak zikir yang tidak peduli perkembangan semasa, hanya reti beruzlah sehingga meninggalkan permasalahan ummah! Alangkah sempitnya pemikiran ini!

Baiklah, dalam entri kali ini, saya akan cuba sedaya upaya membentangkan beberapa fakta mengenai peranan golongan sufi ini dalam perjuangan jihad.

1. Syeikh Abu Yazid Al Bistami, bukan sahaja seorang guru Mursyid dan pemimpin kerohanian, bahkan merupakan seorang pejuang yang berani dalam menyertai apa jua medan peperangan sehingga beliau pernah berkata: ‘Aku telah ditetapkan untuk bersama-sama dengan para Mujahideen (di medan perang). Aku menetakkan pedang di muka musuh-musuh Allah itu bersam mereka didalam masa yang lama’. Dalam hal ini, Dr. Abd. Halim Mahmud di dalam sebuah karangannya menegaskan Syeikh Abu Yazid ketika berada di barisan hadapan, bukan hanya semalaman bersandar di tembok-tembok kubu Islam, malah beliau juga terus berzikirullah tanpa putus-putus.

2. Dalam peperangan Salib, para ulama’ Tasawuf telah memainkan peranan yang cukup penting seperti yang dinukilkan di dalam Haqaiq’an al-Tasawuf: ‘Dan di Mesir, di waktu tentera Salib tiba di Dimyat, golongan Sufiyyah seperti Syeikh Abu Hasan Asy Syazili, ‘Izuddin Bin Abd Salam dan Abu Fath Bin Daqaq al-‘Iyd dan ulama-ulama lain telah memberikan khidmat yang sebaik-baiknya untuk menentang tentera Salib’.

3. Di Benua India pula, kita menemui tokoh-tokoh perjalanan kerohanian seperti Syeikh Ahmad Al-Sirhandi, Syah Waliyullah al Dihlawi dan lain-lain yang sangat berjasa kepada Islam kerana jidah mereka dalam politik dan agama sehingga Syeikh Abu Hasan An Nadwi menyebutkan pentingnya peranan mereka itu dengan katanya: ‘Sesungguhnya saya sentiasa menyatakan bahawa jika tidak kerana wujudnya mereka itu dan jihad mereka, nescaya Islam telah lenyap ditelan oleh agama Hindu, tamadun dan falsafahnya’.

4. Di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu, kita akan temui tokoh-tokh Tasawuf yang memainkan peranan penting di dalam politik dan pentadbiran negara. Pada zaman kegemilangan empayar Islam Acheh pada abad ke 16 -17. Kita dapat melihat bagaimana peranan yang dimainkan oleh Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abd. Rauf Singkel dan lain-lain lagi.

5. Di samping itu, yang sudah termasyhur ialah seperti Imam Al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir Jailani, Imam Hasan Al Banna lain-lain. Dalam hal ini, Al Maududi berkata: ‘Sesungguhnya mereka (ahli tasawuf) mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam di daerah-daerah yang jauh terpencil yang belum ditakluki oleh tentera-tentera Islam atau yang belum dapat ditundukkan di bawah hukum Islam. Di tangan mereka itulah, Islam tersebar di Afrika, Indonesia, pulau-pulau di Lautan Hindi, China dan India.

6. Abu Hasan Ali An Nadwi pula menukilkan mengenai dakwah Syeikh Abdul Qadir Al Jailani dengan katanya: ‘Kira-kira 70 000 orang telah menghadiri majlis (ta’limnya). Lebih 5 000 orang Yahudi dan Nasrani telah memeluk Islam menerusi usahanya. Lebih 100 000 orang-orang jahat dan perompak atau pencuri bersenjata yang telah bertaubat menerusi usahanya. Beliau telah membuka pintu taubat dan bai’ah seluas-luasnya , maka orang ramai yang tidak diketahui bilangan mereka itu kecuali Allah sahaja, telah masuk ke dalamnya. Sehingga akhlak mereka menjadi baik dan demikian juga keIslaman mereka itu’



Demikianlah, beberapa fakta yang saya kutip daripada sebuah buku yang bertajuk ‘Sufi Mujahid’ sebagai rujukan. Ianya merupakan karangan Ibrahim Mohamad. Saya melihat bahawa fakta ini mampu membuktikan kepada kita bahawa golongan sufi bukanlah golongan yang hanya duduk beruzlah, tidak produktif dan tidak berjihad.

Saya tidak menafikan bahawa ajaran tasawuf ini merupakan suatu disiplin ilmu yang agak rumit kerana ianya berkaitan dengan hati. Ianya banyak diselewengkan masa kini hingga ada yang terjerumus ke dalam kesesatan. Namun, ia bukanlah suatu ‘tiket’ untuk melebelkan bahawa kesemua mereka ini sesat! Kita seharusnya meniliti dan merujuk pada mereka yang ‘ahli’ dalam bidang ini sebelum membuat sesuatu rumusan/keputusan.
Ingatlah ayat Allah dalam surah An Nahl ayat 43:-

Ertinya: Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, Yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu Bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

No comments: