Tuesday, March 24, 2009

Surah Al Anfal ayat 24

“Wahai orang-orang Yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara Yang menjadikan kamu hidup sempurna”

Ayat 24 Surah Al Anfal ini telah memberikan suatu konsep mengenai erti ‘hayat/hidup’ yang sebenar dalam Islam. Rasulullah s.a.w selaku utusan Allah, telah menyeru orang-orang beriman supaya menyambut seruan Allah dan RasulNYA. Seruan yang mengajak mereka supaya menjalani erti ‘hidup’ yang sebenar. Hidup manusia sangatlah bererti memandangkan kemuncak hidup yang sejati ialah dengan makrifat Allah (mengenal Allah). Mengenal bahawa sifat ubudiyyah seorang Muslim mestilah dipersembahkan hanya kepada Allah.



Perhambaan kita haruslah kepada Allah semata-mata, tanpa terikat dengan mana-mana fahaman ciptaan manusia. Sesungguhnya fahaman ciptaan manusia seperti sekularime, komunisme, nasionalisme, pragmatisme, liberalisme, dan lain-lain lagi akan terus hidup selagi fahaman Islam tidak hidup subur di muka dunia ini. Para pejuang fahaman menyeleweng itu merasa bimbang fahaman ciptaan mereka akan ditolak oleh manusia.Jesteru itu mereka berusaha keras menindas kebangkitan semula Islam, kerana mereka sedar hanya fahaman Islam sahaja yang mampu menyedarkan manusia untuk menolak semua fahaman batil ciptaan manusia itu.

Kini tidak menjadi suatu rahsia bahawa punca musuh Islam khasnya golongan orientalis barat berusaha melenakan orang-orang Islam, kerana mereka takut semangat jihad fisabilillah hidup semula dalam hati umat Islam. Andai itu terjadi, maka terjejaslah cengkaman mereka di kebanyakan negara-negara Islam masa kini.

Kehidupan seorang Muslim amatlah mulia jika ianya berlunaskan Syariat Allah. Hal ini kerana, syariat itu diturunkan oleh Allah, Tuhan yang Maha Besar, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk ciptaanNYA. Tentu sekali, ianya jauh lebih sempurna dan sesuai jika dibandingkan dengan mana-mana peraturan atau undang-undang ciptaan manusia. Jadi sebagai suatu pandangan umum, yang manakah lebih mulia dan bermakna hidupnya, Muslim yang hidup dibawah naungan syariat Allah (Tuhan sekalian Alam) cuma kini pada pandangan manusian, nilaian pangkat dan harta itu amatlah besar, sehinggakan sanggup melupakan hala tuju sebenar mereka sebagai hamba Allah. Semua insan disisi Allah adalah sama, berdiri di sebuah saf yang lurus, tanpa mengira darjat ataupun kekayaan, sujud menyembah yang Esa.

Benarlah apa yang dikatakan Allah di dalam Al-Quran, Surah Al Hujurat ayat 13:-

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).


Para pembaca sekalian, ayat ini merupakan sebahagian dari kerja kursus Al-Quran saya. Diminta untuk mentafsir ayat ini memberi saya sebuah kesedaran bahawa adakah saya benar-benar hamba Allah yang memaknakan erti HIDUP dalam lingkungan syariat Allah?

Benarkah saya telah meMULIAkan segala peraturan Allah lebih daripada dunia dan segala isinya?

Adakah saya sudah punya PANGKAT di sisi Allah?

Atau sekadar digelar PANGKAT pada pandangan manusia?



Gerun hati ini tatkala menelan pahit sebuah hadis yang mafhumnya berbunyi:-

Barangsiapa yang mencari keredaan Allah (walaupun) manusia murka kepadanya nescaya Allah akan redha kepadanya dan kelak orang ramai juga akan redha kepadanya. Dan barangsiapa mencari keredhaan manusia (walaupun) dengan cara yang di murkai Allah, nescaya Allah akan murka kepadanya dan kelak manusia juga akan murka kepadanya Hadith Riwayat Ibnu Hibban.

Moga diri ini masih sempat untuk berteleku tunduk ke hadrat ilahi, mengenang jijiknya diri memilih diiktiraf oleh makhluk ciptaan bernama Manusia, namun seringkali CACAT dipandang Allah…sengaja saya biarkan soalan diatas tidak berjawab agar sesiapa yang usai membacanya, turut bermuhasabah.

2 comments:

Anonymous said...

urmmm...

......

Tinta Al-Murabbi said...

erk?ini komen kah?kritikan kah? wee~~