Wednesday, May 15, 2013

Asma’ Binti Ariffudin



3 April 2013 (Delta Hospital, Mansurah, Mesir)

Dalam kerisauan menunggu isteri yang sedang bertarung nyawa di bilik bersalin, saya segera menunaikan solat fardhu Maghrib. Menyandar resah dan gelisah pada Ilahi, memohon selamat dan dipermudahkan urusan kelahiran.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah Azza Wajalla. Tepat jam 6.30 petang, dengan izinNYA, isteri saya telah selamat melahirkan seorang mujahidah.

Bayi seberat 3.2 kg itu saya dakap, terus diazan dan diiqamahkan. Terasa sayup perasaan ketika itu. Menitis air mata mengagumi kebesaran Rabbul Jalil. Barangkali, inilah perasaan yang sama dirasakan arwah abah ketika mengazankan saya, 25 tahun yang lalu.

Dahulu bergelar suami, kini sudahpun layak dipanggil Abah!

Besar peranannya, kini qudwah saya di dalam keluarga bukan sahaja kepada isteri, ia melebar kepada anak pula. Semoga ciri qudwah kebapaan Rasulullah s.a.w dapat saya jadikan panduan  dalam mendidik anak ini. Ameen.

Senyummmmmmm~



Asma’ Abu Bakar
Setelah beberapa hari, kami mengambil keputusan untuk menamakan anak sulung kami ini bersempena nama sahabiah baginda s.a.w. Kisahnya masyhur, namun figura srikandi pejuang sepertinya di zaman kini mungkin sudah jarang-jarang ditemui. Kanvas sirah perjuangan Nabi s.a.w telah mengukir nama ini dalam catatannya.

Asma’.

Anak kepada Saidina Abu Bakar r.a ini punyai peranan besar dalam peristiwa Hijrah sehingga digelar ‘Dzatun Nithaqain’ (perempuan yang mempunyai dua tali pinggang) oleh Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya, keadaan beliau yang sedang sarat hamil itu, tidak menjadi penghalang bagi menghantar makanan ke Gua Thur. Begitu jua kecerdikannya mengatur strategi menutup jejak kaki dengan gembala kambing yang dibawanya.

Isteri kepada Zubair Bin Awwam dan bonda  kepada Abdullah Bin Zubair. Dua sosok lelaki ini tidak pernah gentar untuk mati mengejar syahid. Hebatnya sokongan seorang isteri dan asuhan seorang ibu ini!

Saya berdoa ke hadrat Allah s.w.t supaya mengurniakan akhlak dan ketaqwaan yang mirip Asma’ Abu Bakar keatas anak saya khususnya, dan kepada kita amnya.

Asma’…je?
Kebanyakan sahabat apabila bertanya mengenai nama anak kecil ini selalu menggantungkan persoalan mereka.

Asma’…apa?

Asma’…je ke?

Asma’…pendeknya nama?

Seolah-olah menganggap ada nama lain yang berganding selepasnya. Terlalu pendek mungkin?

Yelah…zaman canggih kan, nama anak pun mestilah nak canggih juga kan?

Saya sekadar tersenyum. Kalau canggihnya nama itu berserta baik maknanya, maka Alhamdulillah, semoga peribadi anak itu seindah namanya. Terkadang, dek kerana mengejar nama glamor dan moden itu, ertinya sudah melalut ke laut!

Seperkara lagi mengenai ejaan. Pengalaman saya sebagai guru, ada di kalangan ibu bapa yang cenderung mengeja nama anak mereka dengan ejaan yang payah sehingga tergeliat lidah menyebutnya. Oh… +_+

Tambahan pula, nama yang diberi sudah cantik dan comel sekali. Namun, mungkin kerana teralu panjang, akhirnya berkesudahan dengan Mat, Rep, Has, Din, Yan, Ton, atau Syu sahaja pabila dipanggil orang.

Panduan memberi nama
Ingin saya nukilkan sedikit panduan para Ulama’ dalam memberikan nama untuk anak. Ada tiga pilihan yang diberikan menurut Imam Mawardi dalam karangannya Nasihatul Muluk:-

  1.  Diambil dari nama orang-orang yang berpegang teguh pada agama, seperti para nabi dan rasul serta orang-orang soleh. Ini dimaksudkan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan mencintai mereka dan menghidupkan nama mereka. 
  2. Nama yang memiliki jumlah huruf yang sedikit, ringan di lidah, mudah diucapkan dan sesuai didengar.
  3. Nama yang memiliki makna yang baik dan sesuai dengan si pemilik nama serta sesuai dengan status sosialnya dalam masyarakat.

Sekadar panduan, mahu diambil manfaat silakan, jangan sampai bergaduh suami isteri pula. =P

Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abu Darda r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:-

“ Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, kalian akan dipanggil dengan nama kalian dan nama bapa kalian. Oleh kerana itu, indahkanlah nama kalian”

Namun, apa pun namanya, didikan kitalah (ibu bapa) yang sebenarnya mencorakkan mereka dari segenap sudut. Longlainya kita dalam berperanan, maka akibatnya ‘saham’ anak yang sepatutnya memimpin kita ke syurga bertukar ke neraka.

4 comments:

ayman fahym said...

ahlan wasahlan asma'
semakin bam bam cam abahnya jugak ye?hehe...comey2...
tahniah ariffuddin & izyan =D

:sour n sweet: said...

ahlan wasahlan asma'
comey cam acik eman..hehe ^__^

Tinta Al-Murabbi said...

Ahlan2. Keluarga besar Pai IPGKDRI. Hehe.

Bam2 lg ke aku ni? hehe~

Syukran man.

محمد حذوان بن حميدان said...

tahniah buat ust ariff dan zaujah. Moga kehadiran Asma' membawa sinar kebahagiaan buat seisi rumah, amiin