Sunday, December 21, 2008

Coret si Anak Rantau : Masjidil Haram - Makkah al Mukarramah (5-16 Mac 2008)

Saya mengetap bibir tanda geram. Mana tidaknya, sudah tiga hari saya duduk ‘mematung’ dihadapan seorang syeikh yang sedang menyampaikan syarahan nya dengan penuh semangat. Hampir ‘lenguh ‘ telinga saya cuba untuk menangkap satu persatu kalimah Arab yang dituturkan oleh syeikh ini, namun masih tidak berjaya memahaminya. Terlalu laju! Tambahan pula, bukan Bahasa Arab Fushah yang diucapkan beliau sebaliknya Bahasa Arab ‘Ami yang jarang sekali saya mendengarnya apatah lagi untuk mempelajarinya. Sakitnya hati! Hajat dihati, andai diberi kesempatan, ingin juga menimba ilmu dibumi penuh Barakah ini. Masjidil Haram..titisan peluh dakwah Nabi dan sahabat pernah menitik disini. Tanah Haram ini pernah menjadi saksi peritnya perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Tanah Haram ini juga pernah menjadi bukti betapa Sulh Hudaibiyyah mencerna kedamaian dalam Fathul Makkah. Derita dan Damai sering bertukar ganti ketika itu. Namun Insan Tauladan itu tidak pernah berhenti, mengeluh, putus asa dengan menitipkan risalah Tauhid pada hati batu bernama Quraisy.

Saya menarik nafas panjang, kesal menyelubungi hati ini, tersentak dek kerana kejahilan lughah ‘arabiyyah yang dimiliki. Sedih melingkari ruang emosi diri kerana hajat menadah ilmu di bumi Makkah ini tidak kesampaian. Babul ‘Umrah tentunya acap kali mentertawakan saya yang hanya mampu ternganga tatkala syeikh itu padat melontar ilmu pada pelajar yang mendongak kehausan ilmu!



With my ummi n my sis

Tiba-tiba, suatu perbualan berbahasa Melayu menyinggah telinga saya. Sambil menoleh kebelakang saya dapati Pak Cik Aziz (ahli rombongan Umrah saya) sedang berbual bersama seorang lelaki berkulit hitam manis. Tutur lelaki itu berbaur Melayu Indonesia, lalu saya hampiri mereka. Pemuda itu rupanya salah seorang pelajar Indonesia di Ummul Qura’. Ahmad namanya. Setelah berta’aruf, saya bertanyakan, kalau-kalau ada di antara syeikh yang mengajar ini menggunakan Lughah Arab yang lebih mudah difahami. Pemuda ini menjawab ‘Enta pergi ke Bab Abdul Aziz, disana enta akan nampak segerombolan orang Melayu yang sedang mendengar kuliah daripada Syeikh Abdul Kadir Al Mandili, beliau Ulama’ dari Malaysia dan sering menyampaikan kuliah disini dalam Bahasa Melayu!’ Nah..terasa kecil amat pengetahuan diri ini, hinggakan ulama’ bangsa sendiri memberi kuliah di Masjidil Haram pun saya tidak pernah mengetahuinya!

Saya tersenyum keriangan! Lantas terus menuju ke tempat yang dimaksudkan oleh pemuda tersebut. Saya lihat seorang lelaki yang mungkin separuh abad umurnya sedang duduk bersila di atas kerusi sambil menyampaikan kuliahnya dalam bahasa Melayu! Saya duduk bersebelahan dengan seorang pemuda dan bersalaman dengannya, pemuda itu bertanya kepada saya ‘Enta Min Malayzi?’, ‘Na’am’ saya mengangguk. ‘Ohh..ana ingatkan enta dari Vietnam atau China, wajah enta seiras Pan Asian Chinese Look!’, saya tersenyum lantas membalas ‘Saya dengan Jackie Chan tu adik beradik tau! Cuma saya ni Muslim je..’ Kami tertawa kecil, lalu pemuda bernama Afiq itu menyerongkan sedikit Kitab Shahih Bukhari itu untuk tatapan saya. Saya senang dengan gurauan serupa ini dan seringkali juga menggunakan modal yang sama sebagai bahan humor, terutamanya bersama rakan yang baru dikenali. Dengan humor ini, tentunya First Empression seseorang terhadap kita lebih menyenangkan.


Syeikh Abdul Kadir Al Mandili

Syeikh Abdul Kadir Al Mandili sedang mensyarahkan sebuah hadis dari Shahih Bukhari yang berbunyi:-

Pada hari Kiamat kematian akan didatangkan lalu disembelih seperti yang telah dikhabarkan Nabi saw: “Jika penghuni Syurga telah masuk Surga dan penghuni Neraka telah masuk Neraka, akan didatangkan kematian itu disembelih, lalu ada orang yang menyeru, ‘Hai penghuni Surga, tidak ada kematian (setelah ini)! Hai penghuni Neraka, tidak ada kematian (setelah ini)!’maka penghuni Surga bertambah gembira. Sedang penghuni Nereka bertambah sedih.” (HR. Al-Bukhari no. 6548 dan Muslim no. 2850 (43) dari Sahabat Ibnu ‘Umar).

Kata Syeikh Abdul Kadir Mandili:- Kesedihan penghuni Neraka itu adalah kerana azab yang sedang mereka tanggung itu tidak akan tamat sebaliknya akan berkekalan kerana tiada lagi istilah MATI di Akhirat kelak. Sedang kulit dibakar hingga hangus, manusia meraung kepedihan dan kesakitan, kulit itu kemudiannya diganti yang baru, kemudian mereka dibakar lagi, begitulah berulangnya azab neraka terhadap penghuninya, hingga titisan air mata tidak mampu lagi menterjemahkan kesakitan yang mereka alami.

Hadis yang sama pernah saya dengar syarahnya dalam sebuah ceramah Audio oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebulan sebelum berlepas ke Tanah Suci ini. Dua kali diperdengarkan hadis yang menggerunkan ini oleh dua tokoh yang berbeza, seolah sebuah amaran kepada diri, jika berani menggerakkan anggota badan menuju kecelakaan dan kemaksiatan maka beranilah menanggung risiko azab pedih di neraka kelak! Tindakan mu adalah pilihanmu wahai manusia!

Jangan dicabar Ayat Allah yang berbunyi:-

إِنَّهُ مَن يَأْتِ رَبَّهُ مُجْرِماً فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيى

Sesungguhnya barang siapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan berdosa, maka baginya neraka Jahanam. Dia tidak mati didalamnya dan tidak pula hidup (Tahaa: 74)

Maksud tidak mati di sini ialah mereka berulangan merasakan azab dan maksud tidak hidup pula ialah hidup yang dapat digunakan untuk bertaubat.

‘Sesungguhnya aku tidak layak masuk syurgamu, namun tidak pula sanggup ke neraka mu’

3 comments:

Anonymous said...

salam...

hmm..beznya dpt g tnah suci. ntah ble leh smpai sna huhu..
dpt brdoa di dpn Kaabah (rasa krdilnya diri ini), dpt mngutip mutiara ilmu di bumi barakah, dpt knal tmpat n gya hdup tmpat org..
mmg bez la..

mkcih brkgsi ilmu n pngalaman anta. srnok bca Tinta Al Murabbi. teruskan usha anta :)

Tinta Al-Murabbi said...

Berjalanlah di muka bumi Allah, nescaya kamu akan dpt melihat pelbagai kebesaranNYA yg seringkali kita abaikn keistimewaannya..Allah hu Rabbi~

Anonymous said...

alhamdulillah..
terima kasih di atas perkongsian pengalaman anda ini.. kadang2.. dari pengalaman orang lain..boleh membuatkan hati kita tersentuh..lantas terfikir akan kejahilan diri sendiri..syukran.. didoakan semoga anda menjadi seorang murabbi cemerlang..insyaAllah