Sunday, June 28, 2009

Toharah Haraki?


Ganjil sekali bunyi tajuk ini ketika saya berbincang mengenainya bersama saudara Zaki. Ketika itu, kami sedang duduk santai di birai Balai Islam sambil berbual mengenai permasalahan fiqh. Maklumlah, duduk bersama saudara Zaki memang tidak akan lari dari perbincangan ilmiah, saya kagum dengan betapa luasnya pembacaan beliau. Ke’obses’an beliau dengan buku, menyebabkan dia mudah memberi respon dalam permasalahan semasa.


Biasa dengar Fiqh Sirah bukan? Bagaimana adaptasi peristiwa-peristiwa sirah Nabawiyyah dihadam ke dalam perjuangan menegakkan Islam masa kini. Istinbat hukum, strategi perjuangan, akhlak muslim dan lain-lain faktor pembangunan ummah ketika zaman Nabi s.a.w akan dikaji untuk diaplikasi pada dunia Islam dewasa ini. Sirah Nabawiyyah merupakan suatu bukti yang menunjukkan kepada kita betapa logiknya perlantikan nabi daripada kalangan manusia sendiri, dan bukannya dari kalangan binatang, jin dan sebagainya. Kehidupan manusiawi yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w memberikan ajaran secara praktikal kepada liku-liku perjuangan haraki yang sewajibnya kita telan dalam menghadapi bias-bias mehnah dan tribulasi sebagai pejuang agama Allah.


Subjek haraki ini amat praktikal untuk dikaitkan dengan mana-mana cabang ilmu Islam. Ianya perlu selaras dengan realiti semasa umat Islam kini bagi membangkitkan sentimen Jihad dan membentuk fikrah perjuangan yang kental dalam jiwa para daie. Maka, sengaja saya bawakan dalam Tinta Al Murabbi, bagaimana agakanya jika dikaitkan subjek Toharah dengan Haraki? =)


“ Abe ingat lagi tak ceramah Ustaz Kamarulzaman pasal AIR MUSTA’MAL dan AIR MUTLAQ dan perkaitannya dengan jiwa daie terutamanya syabab macam kita ni?” soal Zaki sebagai set induksi perbincangan kami kali ini.


“Hmm…ingat lagi rasanya, dia ada sentuh mengenai:- Jadi lah daie yang berjiwa musleh dan bukan sekadar hanya berjiwa soleh kan?” saya menjawab sambil mengerah memori lalu.


“Ho la…dia suruh kita semua amik iktibar untuk bersifat seperti air Mutlaq dan bukan sekadar bersifat seperti air Musta’mal.” Zaki tersenyum.


“Yelah, Soleh itu ialah orang yang melakukan amal kebaikan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t ibaratnya air Musta’mal, manakala Musleh ialah Muslim yang mengajak orang lain untuk turut menjadi Soleh, ini ibarat air Mutlaq” Amin menyampuk memberi kesimpulan.


Jika dirujuk pada Manhaj Fiqh Asy Syafi’e, air Mutlaq bermaksud air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah s.w.t. Ia bukan sahaja suci namun berperanan untuk menyucikan yang lain (digunakan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis). Manakala air musta’mal bersifat dengan sifat suci tetapi TIDAK menyucikan. Contohnya, air teh, bersifat suci (boleh diminum) tetapi tidak menyucikan (tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis).


Sifat Air Mutlaq iaitu suci dan menyucikan perlu diterapkan dalam jiwa setiap Muslim, bukan sahaja mempunyai sifat-sifat mahmudah yang tinggi tetapi juga mampu untuk membentuk jiwa mahmudah yang sama kepada orang lain/sekitarnya. Bukan sahaja mampu membentuk keperibadian Muslim yang menjadi cermin kepada diri, tetapi mampu membina ‘cermin’ bagi diri Muslim yang lain. Umpama, seorang Muslim yang bukan sahaja SOLEH tetapi juga MUSLEH.


Bukan sekadar bersifat AIR MUSTA’MAL, iaitu hanya mampu memperbaiki diri (suci tapi tidak menyucikan)sendiri. Tetapi nasib orang-orang sekeliling kita yang mengharapkan calitan kebaikan yang kita lakukan, hanya mampu terus mengharap, tanpa sedar bahawa tangan kitalah yang mampu membantu mereka. Tidak salah bersifat SOLEH, tetapi adakah salah menuju MUSLEH?


Hakikat hidup bermasyarakat, kita akan wajib menjalinkan hubungan dengan sesama manusia. Seorang Mu’min bukan sahaja menjalinkan perhubungan demi tanggungjawab sosial atau demi memenuhi keperluan diri namun seorang Mu’min akan menjalinkan perhubungan dengan matlamat yang lebih besar dan suci iaitu mencapai Mardhatillah. Persoalannya, bagaimana untuk mencapai keredhaan Allah dalam pe rhubungan? Ya..melalui konsep “Islahkan Diri, Berdakwah kepada yang lain”.

Prihal hidup di dunia bukan mengenai ruku’, sujud, puasa dan zakat sahaja, namun ianya melibatkan prihal bagaimana kebijaksanaan kita bagi mengaplikasikan hubungan sesama manusia untuk mencapai ganjaran pahala. Bagaimana kita membina sebuah jalinan keakraban yang bukan sahaja mempunyai ciri-ciri normal dalam hubungan sosial duniawi, namun, lebih dari itu, hubungan itu sewajibnya dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan hubungan sosial ukhrawi!



Mungkin wujud tohmahan:- ‘ Huh! Aku sudah cukup payah menjaga diriku sendiri, apatah lagi mahu menggalas tanggungjawab dibahu bagi mengislah yang lain? Sudah tentunya aku tidak mampu!’ Kepada golongan ini, ingin saya tujukan sepotong ayat Allah dalam surah at Tahrim ayat 6 yang bcermaksud:-


‘Hai orang-orang beriman, peliharakanlah dirimu dan keluargamu dari pada neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu-batu…”


Nah…ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa, seWAJIBnya kita memelihara DIRI dan KELUARGAmu daripada api neraka. Jikalau Allah s.w.t hanya memerintahkan kepada kita supaya HANYA CAKNA kepada diri sendiri sahaja, selamatkan hanya diri kita sahaja dari api neraka, maka, mengapa timbul ayat ini? Ayat yang jelas memberitahu bahawa DIRI KITA dan KELUARGA perlu dipelihara daripada azab api neraka!


Sidang pembaca yang dirahmati Allah s.w.t, percayalah kita sekali-kali TIDAK akan dapat menghayati dan menjiwai peranan AIR MUTLAQ itu seandainya kita masih beralasan:-


'Orang lain jelah bagi tazkirah tu..ana tak retilah’


‘Alahai..ana ni ilmu sikit je..manalah layak’


‘Ish..diri saya sendiri pun tak betul lagi, camne la saya nak nasihat orang lain?’


Satu persoalan yang ingin saya keutarakan kepada alasan-alasan ini ialah ‘SAMPAI BILA?’. Merasakan bahawa ilmu di dada masih tidak mencukupi, maka sampai bila ilmu itu hendak cukup?2010? 2011? 2013? Mati? Tidak sedarkah bahawa ilmu Allah s.w.t itu cukup luas..sehingga tidak terhitung? Sampai bila kamu mahu merasakan dirimu sudah sempurna serba serbi AKHLAKnya, ILMUnya? Bukankah manusia sempurna itu hanyalah sifat nabi yang Ma’sum? Sampai SEDIA? Ukuran apa yang kamu katakan kamu sudah bersedia? Segulung ijazah? MASTER? PHD? Fokusnya disini bukan mengenai SEDIA atau TIDAK, tapi langkah menuju kearah SEDIA itupun masih lumpuh! Hakikatnya, jiwa dan fikiran kita masih dihuni oleh anasir-anasir luar yang meletakkan keutamaan lain selain ISLAM. Dimana ketetapan TAJARRUD yang sering kita laungkan?


Jauh sekali dalam entri ini untuk saya menafikan peranan-peranan kecil dan sampingan dalam berdakwah. Kecil atau besar sesuatu tugasan dalam berdakwah hanya Allah s.w.t yang tentukan. Tapi apa yang ingin saya sampaikan ialah betapa kroniknya semangat/niat berdakwah di kalangan Muslim hari ini!


Ingatlah wahai DAIE, jadilah Muslim yang berjiwa MUTLAQ dan bukan sekadar MUSTA’MAL! Koreksi diri
agar yang SOLEH itu dikekalkan, yang MUSLEH itu dicapai!


P/S:- Asif lama tidak meng’update’kan ‘Rumah’ saya ini. Umur 21 ini menggarap lebih banyak daya usaha kearah gerak kerja berbentuk fizikal, ke hulu dan ke hilir. Mujur, kaki yang bengkak ini semakin surut dengan kehendakNYA..Alhamdulillah (^_^). Rabbi yaseer wala tu’aseer ya kareem.