Tuesday, March 23, 2010

Motif???

Sengaja saya pilih untuk berada di rumah sahaja memandangkan tempoh cuti tidaklah terlalu panjang. Hanya seminggu sahaja. Lebih senang ‘melekat’ di atas kerusi malas sambil menghabiskan Bacaan Wajib yang telah ditetapkan di dalam borang Mutaba’ah Amal. Menghirup teh sambil membelek-belek buku genre Haraki karangan Dr. Ali Sharbaji yang bertajuk ‘Suri Teladan di dalam Kehidupan Para Sahabat’, bagi saya buku ini punyai metod tersendiri dalam mengimbau kembali jerit payah para sahabat nabi s.a.w untuk mendaulatkan Islam di muka bumi Allah suatu masa dahulu. Buah tangan ulama’ besar yang juga antara pengarang kitab Fiqh Minhaji As-Syafie.

Sedang asyik meneliti buku tersebut, kedengaran hon posmen di laman rumah, menghulurkan bungkusan yang memerlukan tandatangan si penerima. Sempat juga saya menarik risalah yang terselit di celah pagar sebelum masuk semula ke rumah. Seperti biasa, taman perumahan ini seringkali menjadi sasaran para peniaga bagi mempromosikan perniagaan mereka melalui tebaran risalah serupa ini. Saya kembali melabuhkan punggung kembali ke kerusi malas tersebut. Kerusi ini punyai nostalgia panjang bersama arwah abah, sekali duduk pasti ketagihan dengan keempukannya! =)

Alangkah terkejutnya saya apabila melihat kandungan risalah tersebut! Memaparkan gambar seorang sami Siam yang sedang duduk bersila di dalam sebuah kuil (wat). Nah ini gambarnya:-

Helaian kertas A4 putih bercetak depan dan belakang itu menceritakan bagaimana seorang ‘Tok Guru’ berkebolehan membantu menyelesaikan masalah kewangan dengan hanya memberi nombor ramalan (nombor ekor) kepada mereka yang memerlukan bantuannya. Sambil menggaru kepala yang tidak gatal ini, saya sangat tertanya-tanya, apakah tujuannya risalah serupa ini disebarkan di kawasan perumahan saya yang hampir 98% nya berbangsa Melayu, beragama Islam?? Tidak cukup sekadar itu, disertakan juga ‘testimoni’ mereka yang telah berjaya sebagai bahan bukti penguat keyakinan mereka yang membacanya. Hairan…siapa sebenarnya golongan sasaran mereka?

Melihatkan kepada iklan ini, ianya bukan sahaja berpotensi untuk membuahkan kesyirikan (meminta bantuan kepada ‘Tok Sami’ tersebut, dengan membelakangkan Allah s.w.t), malahan ia boleh merangsang kemaksiatan dengan mempromosi NOMBOR EKOR! Aduhai…bukankah ini sangat jelas? Sebaran seperti ini bukan sahaja bisa menyuburkan kemaksiatan, tetapi juga boleh MEROSAKKAN AKIDAH umat Islam.

Pengiklanan berorientasikan SYAHWAT dan MAKSIAT

Tidak dapat dinafikan kuasa pengiklanan itu sangat besar dan berpengaruh. Jika tidak, masakan banyak syarikat-syarikat besar membelanjakan jutaan ringgit untuk melariskan perniagaan mereka melalui pengiklanan. Ringkas dan padat adalah unsur penting yang perlu ada pada setiap iklan untuk memastikan penonton/pendengar terkesan dengan perkara yang disampaikan.

Namun, kebelakangan ini, saya melihat banyak iklan di kaca TV khususnya,yang dihiasi unsur-unsur tidak elok untuk ditonton oleh kita (Muslim). Ada sebilangan iklan yang dengan beraninya menonjolkan ‘KESEKSIAN’ wanita untuk dijadikan bahan penarik iklan mereka. Sebagai contoh, iklan DEODORANT yang lebih senang menayangkan seorang WANITA meleretkan bahan tersebut di KETIAKnya yang putih melepak, pakej PENGURUSAN BADAN yang terang-terang memaparkan seorang wanita dengan hanya memakai pakaian dalam sahaja. Perkara yang OPTIONAL sebegini, mengapa perlu pendedahan yang melampau sebegitu?

Bayangkan, kadar pengulangan iklan yang kerap di kaca TV, ditatap oleh jutaan MUSLIM saban hari. Apatah lagi kanak-kanak yang masih mulus jiwanya, dicemari dengan tontonan lenggok giur wanita semata-mata mahu mempromosikan sabun mandi! Bagaimana ‘Tarbiyyah Islamiyyah’ mampu mekar dalam jiwa anak-anak Muslim jika begini keadaannya? Common View seperti ini dibimbangi mampu mematikan naluri seorang Muslim yang sepatutnya berteraskan Al-Quran dan Sunnah. Hati seorang Mukmin sepatutnya dibendung dengan titik Putih, tetapi kerana tontonan ‘rutin’ iklan-iklan ini, maka dengan mudah sekali, hujanan titik Hitam pula berkarat di dalamnya.

Saya kira SESETENGAH (bukan semua) konsep pengiklanan perniagaan di Malaysia sudah mencapai tahap yang amat merisaukan. Daripada media elektronik hinggalah media cetak, kesemuanya banyak di dominasi oleh syarikat-syarikat perniagaan yang ingin melariskan produk/servis mereka. Matlamat keuntungan yang ingin mereka capai telah membelakangkan moral, agama serta adat ketimuran yang kita miliki. Mereka meletakkan pelarisan produk sebagai objektif utama tanpa mengira apakah impaknya kepada pemikiran masyarakat. Serangan pemikiran kuning ke dalam minda bawah sedar Muslim, tentunya akan melesukan lagi kemantapan jati diri kita. Ditambah lagi dengan dunia yang semakin MENGGILA suasananya di luar sana. Selamatkah kita? Keluarga kita? Anak-anak kita?

Mempromosi tanpa menggadaikan aqidah dan akhlak bukankah jauh lebih praktikal? Contoh mudah saya petik dari laman ini: http://saifulislam.com/?p=6868. Kekreatifan yang Allah s.w.t kurniakan itu sepatutnya disalurkan ke arah menghasilkan sesuatu yang lebih BERMORAL! Jangan jadi seperti barat yang hendak mengiklankan makanan ringan tetapi dengan cara yang amat MENJIJIKKAN. (http://www.youtube.com/watch?v=6aXxbuqvESI&feature=PlayList&p=7B4B985429330BF3&playnext=1&playnext_from=PL&index=3) –lihat minit ke 4. Tiada langsung nilai yang membina! Semoga kita mengambil pengiktibaran daripadanya.

Sengaja saya mengaitkan isu pengiklanan ini dengan pengalaman sebenar saya menerima risalah promosi yang berunsur syirik di atas. Biar hidup realitinya bukan sekadar tohmahan kosong semata-mata. Wallahua’alam.


P/S:- Sedang bergelumang dengan dunia PRAKTIKUM, doakan saya tenang menghadapinya. Hidup dalam dua alam ini agak menyeronokkan! =)

1 comment:

محمد حذوان بن حميدان said...

mabruk ya akh!
satu perkongsian yg amt berguna.. (^_^)