Wednesday, March 30, 2011

Awan Nano

Selepas solat Maghrib, di kedai ‘Pak Cik’ bersama Din dan Amir…


“Kau dah tengok video clip dia?” soal Din.


“Belum la..cecite, cecite..” saya membalas.


“Cerita pasal seorang anak yang tak menghargai, tak dengar cakap ayah dia, last2 ayah dia mati kena tikam ” hurai Din ringkas.


“ Ooo…”


Pulang ke rumah, saya terus search dalam youtube, ‘Awan Nano’.


Ini lah hasilnya:-



Begitulah awan nano
Setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi ...
Dan bibirmu


Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai.. jejarimu


Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua


Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu..

4 tahun


Sekilas masa, sudah 4 tahun arwah Abah pergi meninggalkan kami. 2 Mac 2007. Namun, pabila memori itu bertandang kembali, sebaknya seakan-akan semalam baru terjadi.


Kehilangan nasihat berharga…


Kehilangan motivasi membina…


Kehilangan pujukan bermakna…


Saya kehilangan semua itu sejak 4 tahun lalu dari jiwa seorang abah. Menafikan keperluan nasihat, motivasi dan pujukan itu, ibarat menafikan sebahagian tanggungjawab abah pada masa lalu. Sungguh, saat-saat diri ini sesekali lemah, saya sering tertanya-tanya apakah nasihat yang diberikan abah andai beliau masih disisi.


Apa pujuk abah jika saya merungut sedih dan letih?


Apa pendapat abah jika situasi itu dan ini berlaku?


Apa kata abah tentang jalan dakwah yang saya pilih kini?


Sungguh…saya ingin tahu semua itu dari beliau.


Cita-cita


Pada masa lalu, arwah Abah merupakan tenaga aktivis ABIM yang giat. Saya sendiri sewaktu kecil dahulu pernah ikut bersama-sama abah dan sahabat-sahabat beliau berusrah dari rumah ke rumah. Waktu itu, saya tidak kenal lagi erti usrah, haraki, dakwah dan perjuangan.


“Angah nanti dah besar, jadi ustaz ye..” terngiang-ngiang lagi pesanan arwah Abah di telinga saya.


Insya Allah abah, Insya Allah...


Saya pegang utuh cita-cita ini. Cita-cita yang bukan sekadar memenuhi permintaan seorang ayah, namun juga menampung ketandusan masyarakat kini. Cita-cita yang bukan menghidu nilai duniawi semata-mata, namun matlamat akhirnya adalah Ukhrawi. Jika ditanya apakah motivasi lain yang mendorong untuk menjadi Ustaz, selain Allah s.w.t dan Rasul sebagai asbab utama, maka jawapannya ialah ABAH. Beliau menyemai kuat doktrin keUSTAZan, sejak saya dibangku sekolah lagi.


Masih Ada


Namun, pemergian itu bukan beerti saya hilang punca. Umi, Along, Ika dan Yah masih setia berada menyokong kuat. Kami saling menampung antara satu sama lain. Ditambah pula dengan kehadiran Abang Zairil yang menjadi pengukuh kami sekeluarga.


Meskipun saya kehilangan nasihat, motivasi dan pujukan dari seorang ayah. Tetapi Allah s.w.t caturkan supaya saya masih lagi boleh memiliki semua itu dari 5 insan yang lain. Dari seorang ibu, kakak, adik-adik dan juga abang. Terima kasih…terima kasih sangat-sangat kepada kalian semua.


Allah s.w.t masih lagi melimpahkan RahimNYA kepada kami, biarpun kasih sayang seorang Ayah telah tiada. Namun, kasih sayang Allah s.w.t itu Maha Luas, Maha Mencukupi. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.


TERIMA KASIH AWAN NANOku (ABAH)!


P/S:- Terima kasih kepada sahabat-sahabat/jiran yang sudi meluangkan masa hadir ke rumah sewa bagi majlis tahlil tempoh hari. Maaflah sekiranya hidangan yang dijamukan tidak seberapa, maklumlah orang bujang =P

1 comment:

محمد حذوان بن حميدان said...

smoga abah ditempatkn dlm golongan yg mnempah syurga firdaus, amin..

wlaupun abah ust arif sdh lama tiada, nmun ana yakin roh prjuangannya sudah lama bertapak di jiwa ust arif,ykinlah..~ (^_^)