Wednesday, January 9, 2013

Kadangkala Cacat itu juga Nikmat...


Setelah hampir setahun saya memencilkan diri dari arena penulisan. Saya kira, tahun 2013 merupakan tahun yang sesuai bagi saya untuk membuat ‘come back’. Tulisan pertama bagi tahun ini mungkin agak ‘kaku’, kerana sudah sekian lama jemari ini tidak menari di atas papan kunci.

Alhamdulillah, usai pengajian 5 tahun setengah di IPGKDRI, Allah s.w.t menentukan saya untuk ditempatkan di Sek. Keb. Pendidikan Khas Kg. Baharu Kuala Lumpur. Err…pendidikan khas? Sekolah apa tu rip?

Sekolah yang menempatkan kanak-kanak bermasalah pendengaran. 5 tahun setengah saya belajar untuk menjadi seorang ustaz bagi kanak-kanak normal, akhirnya, Allah s.w.t takdirkan saya untuk mendidik kanak-kanak pekak ini. Inilah gagasan Qada’ dan Qadar Allah s.w.t yang tak tercapai dek akal pemikiran saya sendiri.

Menerima takdir ini? Sudah tentu! Bentangan hikmah yang Allah s.w.t sediakan untuk saya di masa hadapan tiada satu pun yang berada dalam lingkungan pengetahuan saya. Maka, selaku Muslim, hikmah itulah pencetus keredhaan dan ketaatan saya pada Allah s.w.t di ketetapan masa kini.

Sesuatu yang baru dan asing bagi saya iaitu bahasa yang tidak pernah saya pelajari (Bahasa Isyarat) serta komuniti yang tidak pernah gauli sebelum ini. Ya Salam...Allah s.w.t benar-benar telah mengubah persepsi saya terhadap komuniti ini.

Bahasa Isyarat



Seorang pekak dan buta yang terkemuka, Helen Keller (1905) dalam bukunya The Story of My Life menyebut:-

“ The problem of deafness are deeper and more complex, if not more important than those blindness. Deafness is a much worse misfortune. For it means the lost of most vital stimulus – the sound of voice that brings language, sets thoughts astir, and keeps us in the intellectual company of man”

Persepsi masyarakat terhadap golongan pekak

“Aku takutlah anak aku dalam kandungan ni kena kenan/badi jadi pekak!” keluh Nora.

“Kenapa pula?” soal rakannya.

“Semalam aku terlanggar kucing waktu driving! Boleh kena badi tau!” ujar Nora semula.

Dialog ini antara contoh perkaitan persepsi masyarakat Melayu kepada orang pekak disebabkan kenan atau badi. Ianya selalu dirujukkan kepada anak-anak cacat kerana kesalahan lampau ibu bapanya.

Wujud kepercayaan yang mengatakan anak cacat kerana balasan tuhan. St. Augustine melihat kelahiran anak cacat sebagai tanda telah dihukum kerana dosa bapa mereka. Manakala undang-undang Rom lampau memasukkan orang pekak dan bisu sebagai golongan yang tidak mempunyai hak dari segi undang-undang (Meadow, 1980).

Di balik kaca mata saya

Sekadar pemerhatian saya, komuniti mereka agak terasing dari masyarakat normal dan sering dipandang pelik. Memandang mereka dengan ruang lingkup ‘kecacatan’, menjadikan mereka seolah-olah tidak berdaya, tidak berdikari dan hina.

Memandang nilai tinggi rendah seseorang hanya berukurkan kecacatan seperti ini amat tidak bertepatan kerana pada hakikatnya Allah s.w.t menjadikan semua manusia itu mulia dan sebaik-baik ciptaan. Sebenar-benar perbezaan antara kita? Hanyalah TAQWA.

Tambahan pula masih wujud segelintir manusia masih terpalit dengan kepercayaan badi/kenan. Sekalipun tatayur  (mempercayai badi/kenan) itu jelas dilarang dalam Islam. Dikisahkan ketika kaum Thamud menuduh Nabi Saleh a.s itu sebagai pembawa sial, Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah An Naml:-

 قَالُواْ ٱطَّيَّرۡنَا بِكَ وَبِمَن مَّعَكَ‌ۚ قَالَ طَـٰٓٮِٕرُكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ‌ۖ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمٌ۬ تُفۡتَنُونَ (٤٧) 

Ertinya:- Mereka menjawab: "Kami mendapat nasib yang malang, disebabkan kamu dan orang-orang yang besertamu". Saleh berkata: "Nasibmu ada pada sisi Allah, (Bukan Kami yang menjadi sebab), tetapi kamu kaum yang diuji".

Nikmat bila Syukur, Celaka bila Kufur

Alhamdulillah…

Kita mampu melihat kerana adanya nikmat mata.

Kita juga mampu mendengar kerana adanya nikmat telinga.

Dan kita mampu berbicara kerana adanya nikmat lidah.

Namun,

Mampukah kita menjamin kesemua pancaindera itu kita melayaninya sebagai sebuah kurniaan? Kerana jika tidak, alangkah malangnya, andai kita terkhilaf sehingga melayaninya sebagai sebuah kecelakaan!

Apapun kurniaan yang kita terima dari Allah s.w.t, ianya di panggil NIKMAT atas sebab manfaat yang kita terima dan kesenangan yang kita kecapi.

Keterbalikan daripada itu, ianya merupakan kecelakaan apabila kita si Manusia melakukan kerosakan menggunakan nikmat kurniaan Ilahi ini!

Hakikatnya, kesempurnaan mata, telinga dan lidah kita, andai disyukuri dengan pertambahan kebajikan dan ibadah, maka Syurgalah balasannya. Tetapi, jika dikufuri dengan digunakan bagi memuaskan durjana maksiat dan kejahatan, maka nantikanlah azab Neraka.

Saya segara insaf apabila diingatkan pada diri ini:-

“Aku yang cukup serba serbi ni, mata, telinga, mulut, boleh berfungsi dengan baik, entah berapa banyak lah dosa yang aku dah kumpulkan sepanjang hidup menggunakan pancaindera ini, mereka…meskipun tak sempurna pendengaran dan pertuturan, sekurang-kurangnya saham dosa atas kedua pancaindera itu mungkin kurang atau mungkin tiada langsung. Nipis dosa, makin tebal lah harapan ke Syurga!”
 Sob…Sob… T_T

Bukankah benar, kadangkala cacat itu juga nikmat???

Persoalan besar untuk aku, engkau dan dia setelah tamat membaca entri ini.

Dah berapa banyak dah pahala kau kumpul atas fungsi pendengaran dan penglihatan ni??



2 comments:

aminazli said...

Setiap yang halal pasti dihisab dan setiap yang haram pasti diazab.

Tinta Al-Murabbi said...

Allah..benar sekali..

Bagaimanalah keadaan kita nanti ye? T_T