Thursday, October 28, 2010

Terima Kasih ‘Sepahit Jadam’

Hampir 3 bulan lamanya saya ‘tandus’ tanpa sebarang penulisan di Tinta Al Murabbi ini. Entri kali terakhir adalah pada bulan Julai yang lalu, ketika itu saya sedang sibuk berpraktikum di S.K Maras. Entah apa puncanya, seolah-olah semangat saya untuk meneruskan penulisan kian pudar. Bulan berganti bulan, bukan saya tidak pernah cuba untuk mula mengarang semula, namun setiap kali berada di pertengahan pembikinan entri, saya menjadi buntu. Melayang…pudar, lalu hilang.


Sungguh…saya sendiri tidak tahu apakah ‘penyakit’ yang menyelubungi diri saya, menghalang untuk menjadikan blog ini sebagai wasilah dakwah saya. (+_+)


Walhal, sebelumnya, saya sangat berkomitmen untuk menulis walau satu entri bagi setiap bulan. Itu tekad saya, tidak akan membiarkan Tinta Al Murabbi ini sunyi dan sepi. Lalu menjadi longgokan sampah seperti blog-blog lain yang tidak aktif.


Semangat saya kian malap, apabila ada dari kalangan sahabat saya meminta untuk saya muhasabah kembali apakah tulisan-tulisan saya di dalam blog ini sebenarnya telah dicerna dan dihadamkan sepenuhnya ke dalam realiti diri yang sebenar. Jangan hanya pandai menulis sahaja, mengamalkannya tidak. Wal’iyazu Billah. Ya…itu adalah kritkan yang membina, namun, entah apa silapnya, saya sendiri yang berkeadaan ‘down’. Termenung panjang saya jadinya, terus…mengambil keputusan untuk berhenti daripada menulis.


Saban hari, saya membuat ‘blog walking’ kemana sahaja jari ini ingin ‘click’. Tercari-cari sumber untuk meniup kembali teriakan JIHAD di arena alam maya ini…


Tiga bulan…bukan suatu tempoh yang pendek, pelbagai perkara telah saya tempuhi sepanjang tempoh itu. Alhamdulillah…aktiviti dakwah saya di alam realiti bergerak seperti biasa, tidaklah perlahan seperti perlahannya perjalanan blog saya di kanvas maya ini. Saya aktif mengikuti kuliah Maghrib mingguan yang disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Tarmizi Taha. Banyak permata yang dapat saya kutip dari Surau Muhajirin ini, sidang pembaca.. di kesempatan ini, saya menyeru, mari bersama-sama kita menghidupkan kembali tradisi keilmuan yang dititipkan oleh Rasulullah s.a.w kepada para Ulama’ ini.


Saya juga telah diamanahkan oleh Lajnah Balai Islam, BADAM untuk menyampaikan kuliah Maghrib pada setiap hari Rabu, bukanlah saya insan yang layak untuk memenuhi slot itu, namun, kerana keperluan ISLAH di IPGKDRI, maka saya penuhi juga amanah itu. Sejujurnya, apabila direnung-renungkan semula, mungkin ini hikmah tersembunyi disebalik ‘kendur’nya saya di alam maya ini. Menyemarakkan kembali nadi keilmuan dalam diri. (^_^)


Disebalik ‘Sepahit Jadam’


Saya membelek-belek buku tersebut, tiada berkeinginan langsung untuk membelinya, walaupun tajuknya menarik perhatian saya, SEPAHIT JADAM. Harganya yang dipotong 50% itu pun masih belum dapat mempengaruhi saya untuk membelinya. Jualan Pecah Gudang oleh Jundi Resources ini saya hadiri hanya kerana memenuhi tuntutan sahabat bagi menemani beliau.


Bukanlah sifat saya untuk berkira-kira mengenai wang apabila melibatkan soal ilmu dan buku ini. Namun, bajet (peruntukan) yang telah saya sediakan untuk BUKU telah pun mengalami defisit pada minggu lalu, apabila saya secara teruja telah menempah satu set Tafsir Ibnu Kathir yang memakan belanja hampir RM 400. Kewangan sebagai seorang pelajar selalunya agak terhad dimana kita sama-sama ketahui bahawa makanan ruji hujung bulan adalah MEE MEGI (T_T).


Sedang asyik menelek buku itu (dengan kata lain, curi-curi baca), mata saya terkilas pandang kelibat seseorang. Apabila saya membanding-bandingkan semula wajah individu itu dengan wajah yang terpampang di kulit buku SEPAHIT JADAM ini, saya dapati ianya adalah SERUPA! Nah..sekali lagi berlaku keterujaan yang luar biasa, tanpa berfikir panjang terus saya membayar harga buku tersebut. Membawa buku itu kepada tuan punya tulisan, meminta tanda tangan, dan…


Berpuas Hati! Menemui dan bergambar bersama seorang tokoh dakwah bernama Nik Mohamad Abduh ini sangat menggembirakan hati saya. Bukan calang-calang orang, beliau merupakan cetakan pengkaderan dakwah yang mendapat tarbiyyah secara langsung dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. (^_^)


Mujurlah…peluang begini diberikan oleh Allah s.w.t di tempat pertemuan yang tidak disangka, Jualan PECAH GUDANG! =P


Review SEPAHIT JADAM


Buku ini merupakan kompilasi entri-entri terbaik yang ditulis oleh Ustaz Nik Mohamad Abduh. Ia merakamkan sebahagian potret perjuang yang rencam dan dituang melalui kejernihan akal seorang tokoh muda. Bidasannya tajam tanpa menghiraukan celaan manusia lain, juga tanpa perlu berbasa basi, beliau juga tidak berselindung dengan keinginan-keinginan yang ingin digapai dalam kehidupan yang digarap bersama pengalaman baru dan lama dalam mengharungi hidup.


Ustaz Nik Mohamad Abduh melalui pelbagai tema yang dituang menggunakan teknik naratif yang hidup dalam menjelaskan komennya tentang politik, ekonomi dan sosial negara ini lebih menarik dengan bahasa yang mudah dikunyah serta sinikal sifat bahasanya. Sifat bahasa yang santai tapi berbaur tegas jarang dimiliki oleh mana-mana penulis masakini.


Membaca tulisan Ustaz Nik Mohamad Abduh akan memperkayakan pengalaman kita tentang erti kehidupan yang sangat kompleks dan unik, jarang sekali seorang penceramah dipakejkan dengan kemahiran menulis dengan baik, itulah anugerah tuhan maha perkasa kepada beliau untuk menebarkan dakwah.


Apa yang lebih penting daripada ini, sebenarnya, buku itu telah berjaya menghidupkan kembali naluri dakwah penulisan saya yang hampir-hampir saja dicacakkan dua batu nesan di atasnya. Keberanian dan ketajaman mesej melalui huraian ayat yang santai itu telah menjadikan cara penulisan beliau sebagai contoh baru untuk saya aplikasikan. Rantaian antara pengalaman dan ilmu yang digarap dengan baik oleh beliau memberikan pencerahan kepada saya untuk kembali menulis. Untuk al Fadhil Ustaz Nik Mohamad Abduh, saya ucapkan:-


“TERIMA KASIH SEPAHIT JADAM”

P/S:-

- Pembaca sekalian, doakan saya agar terus istiqamah dalam pejuanga di alam maya ini, sebagaimana istiqamahnya saya di alam realiti. Insya Allah. (^_^)


- Maaf bagi mereka yang sering bertanyakan – Bila nak update blog? Dan hanya dijawap oleh saya dengan senyuman kambing.

5 comments:

محمد حذوان بن حميدان said...

tahniah akhi kerana trs dbrikan kkuatan utk trs dan kebali mnulis..1 prkongsian yg mntap,insyaALLAH ana kn cbe mmbedah bku SEPAHIT JADAM itu,mudah-mudahan ia mnjadi 1 taujihat buat kita..amin (^_^)

Tinta Al-Murabbi said...

Syukran..sila2..bedahlah..mana tahu nta jumpa JANTUNG perjuangan yg sebenar di dalamnya~ Allahumma Ameen

Amin Rox said...

Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepi akhirnya muncul kembali!

Ayuh, jgn 'down' sgt. Hidup sebagai pen'daie' takley 'down'. ^_^

Baihaqi Sensei said...

mabruk!!!

Baihaqi Sensei said...

good boy...

klu rs down tgk je video klip maher zain yg ko amek dr aku.. lagu insha allah... Hayatilah liriknya...:)